Thursday, May 8, 2008

Usaha satukan Melayu mesti bebas unsur peribadi

APABILA beberapa persatuan yang ditunjangi orang Melayu ingin bermuafakat untuk menyatukan bangsa demi keutuhan perjuangan dan hala tuju, maka seluruh umat Melayu di negara ini amat mengalu-alukan hasrat murni itu. Atas apa nama sekalipun penubuhan gagasan bertitik tolak daripada Kongres Permuafakatan Melayu di Persada Johor pada 2 Mei hingga 4 Mei lalu, ia mestilah ditubuhkan menerusi satu wadah yang tidak lain bertujuan melindungi hak orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gapena dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam kongres itu mengambil inisiatif untuk menyediakan gagasan bagi semua pertubuhan berteraskan Melayu menggembleng pemikiran dan kekuatan suara bersifat neutral politik demi survival ummah Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi.
Apa yang perlu ditekankan di sini semua persatuan ini wajar bersatu atas nama keikhlasan untuk memastikan hasrat mereka sampai kepada seluruh kaum Melayu seantero Malaysia. Hasrat itu walaupun jelas, ia perlu dilaksanakan ibarat menarik rambut dalam tepung, tepung tak berselerak rambut tak putus. Orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 dihambat rasa keliru dan buntu apakah yang terjadi hingga 124 saja kerusi Parlimen milik orang Melayu termasuk yang dimenangi Umno, Pas, PKR dan parti dari Sarawak.
Masing-masing melahirkan teori mereka dan bertindak mengikut usul pemikiran yang adakala lebih membawa kepada bibit perpecahan sebuah ikatan yang semakin longgar. Ada yang menyatakan parti mereka kalah kerana sabotaj, undi rosak, manifesto pembangkang yang menarik hati rakyat dan lebih utama undi protes dari golongan tertentu. Semua faktor ini menggusarkan umat Melayu. Atas dasar ini setiap pihak berasakan perlunya keretakan ditampal dan kerenggangan dirapatkan. Perlembagaan perlu dicetak sebanyak mungkin dan dididik kepada sekalian rakyat Malaysia supaya peringatan bahawa hak istimewa orang Melayu ada tertulis di dalamnya dan diharap fakta itu tidak luput daripada minda mereka.
Perlembagaan Malaysia adalah nadi sebuah negara bernama Malaysia. Dari situ lahir sebuah negara yang bakal mengecap 51 tahun tempoh kemerdekaannya. Jika ia adalah manusia, usia sebegitu menggambarkan kematangan dan pengalaman yang tidak terkira lamanya. Seperti manusia itu sendiri, sebuah negara mengalami pasang surutnya tersendiri. Malaysia dicorakkan begitu sempurna sebenarnya oleh pemimpin terdahulu hingga kini kesempurnaan itu dituntut dalam semua aspek pentadbiran kerajaan. Sebagai contoh, Indeks Komposit Kuala Lumpur yang meningkat hingga 1,300 mata tidak menggambarkan kedudukan ekonomi yang kukuh di kalangan masyarakat. Sokongan rakyat tidak dapat ditawan hanya dengan fakta ekonomi. Mereka menuntut lebih daripada itu. Harga minyak petrol yang terus meningkat di pasaran dunia. Begitu juga harga barang bersifat senang naik susah pula untuk turun seperti beras. Isu sebegini menyusahkan rakyat marhaen yang akan terus susah walaupun yang kaya akan semakin kaya terutama peniaga besar. Berita buruknya golongan marhaen turut meliputi orang Melayu selain bangsa lain yang berada pada paras yang sama. Lebih buruk lagi mereka adalah juga pengundi ketika pilihan raya umum yang baru lalu. Mereka mengundi siapa? Tepuk dada tanya selera. Senario sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 menunjukkan betapa isu sensitif yang dibawa oleh pihak tertentu serta permainan politik pemimpin yang sudah biasa dengan kempen berjuang untuk menang dengan apa cara dan janji sekalipun berjaya mempengaruhi pengundi yang selama ini dapat bertolak-ansur dengan sedikit ketidaksempurnaan pemerintah. Sedikit kecacatan sudah lebih daripada cukup untuk dijadikan modal kempen parti pembangkang. Apabila kempen Barang Naik dibuat oleh parti pesaing pemerintah, ia menghantar isyarat bahawa label itu amat bahaya kerana di Haiti dan Zimbabwe, akibat inflasi negara itu dilanda demonstrasi dan kehilangan sokongan rakyat majoriti hingga membawa kepada kejatuhan kerajaan. Manusia tetap manusia dan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perlindungan wajib ada atau mudah capai bagi meneruskan kehidupan. Jika ketiga-tiga perkara ini dijadikan modal berkempen pilihan raya nescaya undi mudah diperoleh. Setiap kali pilihan raya jika bernasib baik hak milik yang dimohon atas tanah yang diduduki akan dianugerahkan walaupun sudah hampir 30 tahun permohonan dibuat. Jaminan kediaman atau perlindungan akan terbela memungkinkan undi diberi kepada yang berjasa. Namun, setiap rumah perlu ada makanan untuk hidup perlu juga ada duit untuk membeli pakaian. Keperluan asas ini jika gagal dipenuhi akan mengundang petaka pada pihak yang diharapkan untuk memastikan ia dipenuhi. Faktor yang dinyatakan mungkin ya mungkin tidak menjadi punca undi penyokong setia parti Melayu terbesar beralih arah kompas. Cuma kemungkinan itu benar dan ia perlu diperbaiki seberapa segera. Walaupun ada pahat yang berbunyi kemudian hari. Tidak mengapa asal saja jangan menjadi tikus membaiki labu langsung tidak dapat dipulihkan. Kehilangan sokongan rakyat dan perpecahan di kalangan parti politik orang Melayu bukan hanya disebabkan faktor makro semata-mata. Faktor mikro seperti kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar subjek Matematik dan Sains perlu dikaji semula jika mungkin itu menyebabkan orang Melayu mengalami masalah dengan anak yang keciciran dalam pelajaran, masalah bersifat setempat seperti setinggan dan pencemaran, rakyat yang terasa dianak tiri, pergeseran politik dalaman, siswazah menganggur dan lain-lain perlu diperhalusi oleh mana-mana permuafakatan menyatukan orang Melayu takut yang dikendong berciciran yang dikejar pula tidak dapat. Untuk itu, elok kita lupakan permusuhan dan salah faham demi kesatuan umat Melayu. Secara tidak langsung kewujudan atas nama Kongres Permuafakatan patut dikekalkan sebagai muafakat juga atau nama penuhnya Melayu Bersatu Atas Fahaman Berpakat. Namun bersatunya Melayu biarlah atas satu wadah untuk melindungi hak istimewa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan untuk satu agenda yang bersifat keakuan. Biarlah biduk lalu kiambang bertaut dan jangan terus hanyut ke laut lepas.

No comments: