Thursday, May 8, 2008

Erti setia pada negara

KENYATAAN Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan tentang erti kesetiaan kepada negara di sidang Dewan Rakyat semalam memang menarik perhatian.
Ketika bangun membantah penggunaan perkataan derhaka oleh Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim, Po Kuan berkata, soal kesetiaan wakil rakyat kepada raja dan negara tidak wajar dipertikaikan.
Ini kerana menurut beliau lagi, setiap ahli Parlimen telah mengangkat sumpah setia di samping diluahkan semasa menyanyi lagu Negaraku.
Sememangnya apa yang dikatakan oleh ahli Parlimen DAP itu ada benarnya - setiap ahli Parlimen diikat oleh sumpah setia, justeru kesetiaan mereka tidak boleh dipertikaikan.
Namun cukupkah sekadar mengangkat sumpah dan menyanyikan lagu Negaraku yang mungkin setahun boleh dikira dengan sebelah jari untuk menyerlahkan kesetiaan rakyat Malaysia kepada negara tercinta.
Jika itu ukurannya, alangkah mudahnya untuk semua orang mendakwa bahawa mereka taat dan setia, tidak cukup dengan mengangkat sumpah ditambah pula nyanyian Negaraku - maka cukuplah pakejnya.
Asal dapat dibuktikan dua elemen itu, maka tindakan-tindakan lain termasuk mencerca, menghina atau mempertikaikan fungsi serta kuasa raja boleh dihalalkan begitu sahaja.
Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan yang berbau hasutan dan boleh memporak-porandakan rakyat boleh saja dilontarkan tanpa mengira sama ada ia menyakitkan sesiapa.
Hakikatnya sumpah setia yang dibaca ketika tangan kanan diangkat dan bait-bait lagu Negaraku yang dinyanyikan mungkin sekali setahun membawa pengertian yang amat mendalam.
Tercetus di dalamnya janji-janji untuk bersatu, saling bertoleransi dan tidak akan memecah belahkan rakyat. Paling penting ialah di dalam lagu Negaraku terserlah betapa tingginya institusi diraja sebagai payung kepada rakyat.
Jika semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan agama menghayati elemen dalam sumpah setia serta lagu Negaraku tentu tidak akan tercetus lepas laku mempertikaikan kuasa sultan dalam urusan yang sememangnya dalam bidang kuasa baginda.
PerpaduanRakyat Malaysia juga tentu ingat akan Rukun Negara kita. Rukun lima perkara itu menjadi teras perpaduan untuk membentuk satu negara tanpa mengira agama dan bangsa.
Tertera pada ikrar Rukun Negara ialah janji rakyat untuk menumpukan seluruh tenaga dan usaha bagi mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat.
Rukun Negara meletakkan 'Kepercayaan Kepada Tuhan' sebagai prinsip pertama. Begitu pentingnya setiap rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa berlandaskan hidup kepada agama.
Tanpa agama, manusia tidak percaya konsep ketuhanan, lantaran kehidupan yang dilalui tanpa sebarang pegangan dan juga kepercayaan. Maka hidup akan menjadi tidak terarah sehingga boleh saja menjadikan negara porak- peranda.
Menariknya jika dilihat semula susunan prinsip Rukun Negara yang menjadikan 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' sebagai prinsip kedua selepas kepercayaan kepada Tuhan.
Betapa semua rakyat Malaysia dari peringkat bawahan hinggalah atasan termasuk ahli-ahli Parlimen mesti melihat semula prinsip-prinsip penting dalam Rukun Negara terutamanya dari sudut yang hangat diperkatakan sekarang.
Perlu difikirkan secara teliti mengapa kesetiaan kepada raja disatukan pula dengan negara. Pastinya definisi kesetiaan kepada raja dan negara amat berkait rapat di mana semua rakyat dituntut setia kepada raja dan penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.
Itulah yang cuba dibangkitkan oleh ahli Parlimen Muar yang mahu supaya satu usul dibentangkan bagi membolehkan Karpal jatuh dalam kategori 'penderhaka' lantaran mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Bukan sekadar kuasa, Pengerusi DAP itu turut mengaitkan Sultan Perak dengan jawatan Ketua Hakim Negara yang pernah disandang baginda, seolah-olah baginda jahil undang-undang.
Hakikatnya pakej prinsip Rukun Negara yang turut menggariskan Kedaulatan Undang-Undang; Keluhuran Perlembagaan; dan Kesopanan dan Kesusilaan amat berkait rapat.
Kelima-lima elemen itu saling berkait dan ia menjadi asas paling penting ke arah membentuk negara yang benar-benar merdeka dan rakyat yang sentiasa harmoni serta saling percaya- mempercayai. Sebab itu, jika pertikaian Karpal terhadap kuasa Sultan Perak dijadikan kajian kes maka dapat dipastikan bahawa empat daripada lima prinsip Rukun Negara itu telah terusik.
Pertamanya Karpal memperlekehkan kuasa raja sekali gus kesetiaannya kepada raja boleh saja dipersoalkan atau diragui. Semestinya apabila institusi raja diusik dengan kaedah yang tidak betul, apa pula status Karpal terhadap negara. Beliau boleh saja mendakwa bahawa niatnya bukan memperlekehkan kuasa raja dan kesetiaannya kepada negara juga tidak terusik namun siri kenyataan serta persoalan terhadap raja dan bangsa Melayu boleh sahaja menggambarkan siapa Karpal sebenarnya.
Begitu juga dengan prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang secara jelas telah dilanggar oleh peguam terkemuka itu serta Keluhuran Perlembagaan yang secara jelas tidak dihormati oleh seorang rakyat Malaysia. Karpal juga melanggar batas Kesopanan dan Kesusilaan apabila secara tidak segan-silu mempersoalkan kuasa sultan yang secara terang-terangan terkandung di dalam Perlembagaan.
Secara realitinya sekadar mengangkat sumpah taat setia dan menyanyikan lagu Negaraku belum cukup untuk membuktikan bahawa kita adalah rakyat Malaysia yang menghargai tempat tumpah darah kita.
Setiap tatalaku dan kata-kata mesti mencerminkan bahawa tiada sebarang keraguan tentang kecintaan rakyat terhadap negara bangsa serta institusi-institusi yang perlu diberi penghormatan dan pengiktirafan.
Perlu diingat kejayaan menguasai lima negeri bukan bermakna pemimpin dan rakyat di negeri berkenaan keluar daripada Malaysia. Mereka masih bernaung di bawah sultan dan Yang di-Pertuan Agong yang sama.
Mereka masih berpaksikan sebuah negara bernama Malaysia. Justeru setiap tuntutan undang-undang mesti dihormati manakala ikatan sosial yang terjalin antara rakyat yang berbeza warna kulit dan rupa tidak boleh dirungkai semata-mata kerana lima negeri menyerah kepada politik yang berbeza.

No comments: