Thursday, May 8, 2008

Pemuda Umno bidas kenyataan Karpal

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno hari ini membidas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang terus mempersoalkan kuasa Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung isu pertukaran Pengarah Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury. Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Pengerusi DAP itu yang menyentuh hak dan kuasa Raja-Raja Melayu jelas melanggar ketertiban pembentukan negara yang dipertahankan sejak sekian lama. Katanya kenyataan Karpal bahawa Sultan Perak tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri itu boleh membawa reaksi tidak senang dalam kalangan orang Melayu dan mewujudkan ketegangan kaum.
“Hentikan segera perbuatan ini. Raja-Raja Melayu bukan sahaja perlu dihormati tetapi institusinya hendaklah dipertahankan oleh semua kaum yang mengaku sebagai rakyat Malaysia. “Ini soal kenegaraan dan bukan soal undang semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini mengulas kenyataan Karpal semalam bahawa Sultan Azlan Shah tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri, termasuk mengarah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran Jamry sebagai Pengarah Jaip. Karpal mendakwa arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan sepatutnya keputusan terdahulu kerajaan negeri mengarahkan pertukaran Jamry dikekalkan.
Hishammuddin berkata, Raja-Raja Melayu adalah lambang ketua agama persekutuan dan negeri-negeri lain serta menaungi semua rakyat di negara ini tanpa mengira agama dan kaum. Beliau berkata sebagai peguam dan ahli politik veteran, Karpal seharusnya lebih mahir terhadap sejarah negara dan lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan. Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai ketika ditemui di lobi Parlimen berkata Karpal perlu memahami dan menghormati perlembagaan negeri dan undang-undang yang termaktub di bawahnya. “Hal ehwal agama di bawah Sultan. Ia sudah sememangnya jelas,” katanya.

No comments: