Tuesday, May 20, 2008

Saya tidak sangka Dr. M benar-benar keluar parti

ALOR STAR 20 Mei - ''Saya bukan cabar tapi hanya mengemukakan pendapat. Saya tidak sangka Tun Dr. Mahathir Mohamad akan benar-benar keluar daripada UMNO.''
Itulah penjelasan Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Warga Darul Aman, Ismail Wan Teh yang kononnya menjadi pencetus kepada keputusan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu keluar daripada parti berkenaan semalam.
Pada forum Nasib Kedudukan Bangsa Melayu di sini semalam, beliau bertanya kepada Dr. Mahathir sama ada bekas Perdana Menteri itu berani untuk meletakkan jawatan setelah berulang kali menghentam pemimpin UMNO.
Menurut Ismail, tujuannya bertanyakan soalan sedemikian hanya mengingatkan Dr. Mahathir supaya bertanggung jawab atas segala kenyataan yang dikeluarkan olehnya ketika masih berada di dalam UMNO.
Bagi beliau, tindakan Dr. Mahathir yang mengeluarkan kritikan pedas kepada pemimpin UMNO seolah-olah menggambarkan beliau terlalu marah dan kecewa dengan UMNO.
"Kita tidak mahu wujudnya pemimpin yang hanya tahu bercakap tetapi tidak mahu memikul tanggung jawab dengan apa yang telah dikatakan.
"Kita tidak boleh menyuruh orang lain untuk meletakkan jawatan sedangkan kita masih berada di dalam parti tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri itu yang merupakan ahli seumur hidup UMNO membuat kejutan dengan membuat pengumuman bahawa beliau keluar daripada parti tersebut setelah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ismail juga merupakan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu namun beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Hassan Syarif.
Jelas Ismail, pada forum itu, beliau hanya hadir sebagai wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan tidak bersuara mewakili mana-mana parti.
"Soalan saya juga bukan bertujuan untuk mendesak beliau (Dr. Mahathir) untuk keluar daripada UMNO.
"Semua yang berlaku semalam hanya pendapat spontan yang keluar daripada minda saya untuk mengetahui jawapan sebenar daripada mulutnya sendiri setelah beliau tidak putus-putus melontarkan kritikan terhadap parti ini," katanya.
Ismail memberitahu, keputusan Dr. Mahathir untuk keluar daripada UMNO merupakan satu kehilangan besar kepada parti itu kerana beliau merupakan seorang ahli politik yang mempunyai banyak jasa kepada negara.
"Pengalaman yang ada pada Dr. Mahathir sepanjang menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri tidak ada pada orang lain.
"Beliau merupakan seorang yang bijaksana dan saya pasti keputusannya keluar parti telah lama difikirkan dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk dihebahkan," jelasnya.
Tambahnya, keputusan Dr. Mahathir keluar daripada parti bolehlah diibaratkan seperti pasangan suami isteri yang telah bercerai dengan talak satu.
"Jika bercerai dengan talak satu, pasangan itu masih boleh rujuk kembali dan bernikah semula.
"Ahli-ahli UMNO yang mahu melihat Dr. Mahathir kembali berjuang di dalam mesti mesti pandai mengambil pendekatan memujuk beliau kembali menyertai parti," ujarnya.

No comments: