Tuesday, July 29, 2008

Bekas PM Kanada : Pejuang Anwar Ibrahim Yang Halalkan Perkahwinan Gay dan Lesbian.


Mereka ialah bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin; Bekas Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Michel Camdessus dan bekas Presiden Bank Dunia, James Wolfensohn.

- Siapakah mereka yang sebenarnya?

- Apakah kenyataan bersama mereka itu layak dipandang serius oleh rakyat dan kerajaan Malaysia?

- Apakah mereka benar-benar faham terhadap situasi dan undang-undang negara yang berdaulat seperti Malaysia?

- Apakah mereka itu hanya merupakan bekas-bekas pemimpin yang tidak lagi mempunyai maruah diri dek perbuatan silam semasa menerajui organisasi masing-masing?

ATAU

- Apakah pengikut-pengikut Anwar Ibrahim dan PKR patut berasa malu apabila Anwar Ibrahim mempunyai kaitan yang erat dengan ketiga-tiga pemimpin itu?


1. Paul Martin

Paul Martin merupakan bekas Perdana Menteri Kanada. (12 December 2003 – 6 February 6 2006) yang jatuh tersungkur dan menanggung malu apabila tiga parti pembangkang bersepakat untuk menjatuhkan beliau menerusi pengundian usul tidak percaya di House of Commons (Dewan Rendah).

Parti Liberal berhaluan tengah-kiri pimpinan Paul Martin ketika itu menghadapi pergolakan politik dan juga dihantui skandal rasuah.

Paul Martin hanya menjawat jawatan Perdana Menteri selama 3 tahun sahaja, satu sejarah baru bagi negara Kanada.

Yang menimbulkan persoalan besar mengenai gesaan beliau supaya Malaysia menghormati hak individu ialah pemahaman Paul Martin sendiri mengenai maksud hak dan konsep moral itu sendiri.

Dalam masa pemerintahan beliau yang singkat itu, Paul Martin telah meluluskan satu akta yang memualkan iaitu Akta Perkahwinan Awam (Civil Marriage Act) atau pun Bill C-38 pada 1 Februari 2005 di House of Commons.

Akta tersebut telah meluluskan perkahwinan sesama jantina kononnya di atas dasar hak asasi manusia!

Maksudnya, Paul Martin telah membenar dan menggalakkan perkahwinan lelaki dengan lelaki (gay) dan perempuan dengan perempuan (lesbian).

Dan Kanada merupakan negara keempat di dalam dunia ini yang membenarkan perkahwinan songsang itu.

Dengan wujudnya Akta yang songsang dan terkutuk ini, negara Malaysia sebagai negara Islam pastinya membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Paul Martin itu.

Dan orang yang menghalalkan perkahwinan songsang itu juga patut dikutuk dengan keras!

Dengan menyetujui akta perkahwinan sesama jantina, kita tentu dapat memahami penerimaan Paul Martin mengenai seks luar tabii yang pada pendapat beliau adalah satu bentuk seks yang lumrah di antara pasangan gay dan lesbian!

Dan untuk pengetahuan pembaca sekalian, encik Michael Hendricks dan encik René Leboeuf merupakan pasangan lelaki (gay) yang pertama berkahwin secara sah di Quebec, Kanada. (rujuk foto)

Tanya diri sendiri, tidakkah ianya satu akta yang memualkan?

Dan Paul Martin pula adalah sahabat baik Anwar Ibrahim yang kini disiasat kerana dituduh meliwat Saiful.


2. James David Wolfensohn

James David Wolfensohn merupakan Presiden Bank Dunia ke sembilan (1995 - 2005). Beliau dilahirkan di Sydney, Australia dan berketurunan Yahudi.

Beliau juga merupakan trustee kepada Rockefeller Foundation , satu sindiket kebajikan di mana pengasas-pengasasnya dikatakan berasal daripada Yahudi keturunan Sephardic ( Yahudi campuran Sepanyol dan Portugis) .

(Foto - Wolfesahn berpelukan dengan John Rockefeller)

Apabila Wolfensohn bersara pada tahun 2005, tempat beliau diganti pula oleh Paul Wolfowitz, seorang lagi sahabat baik Anwar Ibrahim.

Paul Wolfowitz adalah daripada keturunan Yahudi Poland yang dianggap tidak berhak memegang jawatan itu kerana beliau adalah pemimpin neocon - ekstrem berhaluan kanan yang menggubal dasar penguasaan dominasi AS di dunia, tidak langsung berminat memperjuangkan nasib golongan miskin dan juga memainkan peranan penting dalam pencerobohan negara itu ke atas Iraq.


3. Michel Camdessus

Michel Camdessus pula merupakan Pengarah Urusan Dana Kewangan @ International Monetary FundAntarabangsa (IMF) pada tahun 16 Januari 1987 hingga 14 Februari 2000.

IMF di bawah Camdessus pernah menyelar langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia bagi menangani krisis Mata Wang Asia pada tahun 1997. Seperti yang kita ketahui hari ini, Malaysia hampir menerima pakej bantuan IMF yang disarankan oleh Anwar Ibrahim (sahabat Camdessus) tetapi Dr Mahathir telah menolak pakej tersebut.

Oleh kerana tindakan Dr Mahathir itu, Malaysia terselamat, tahap ekonomi negara dapat dikekalkan dan rakyat tidak sengsara seperti di negara-negara jiran. (Dr Novandri : Masaalahnya ialah kerajaan hari ini dan ramai yang sudah terlupa jasa Dr Mahathir!)

Dan apabila Dr. Horst Koehler menganti IMF pada tahun 2000, beliau berkata: ``Mahathir betul... prestasi ekonomi sejak krisis itu menunjukkan dia betul.''

Camdessus juga pernah campurtangan di dalam hal-ehwal negara Malaysia apabila beliau mencadangkan supaya kerajaan Malaysia menilai semula polisi kawalan harga ke atas petrol dan barangan keperluan asas termasuk beras, tepung, susu dan gula.

Cadangan ini dikritik dengan keras oleh pihak Malaysia kerana ia bermakna tiada lagi subsidi kerajaan ke atas barangan itu dan kemungkinan harga barang kawalan akan naik mendadak jika harganya ditentukan oleh kuasa pasaran.

Kesimpulannya, jika berdasarkan kepada matlumat-matlumat di atas, kita perlu berhati-hati. Sahabat-sahabat Anwar Ibrahim mempunyai personaliti dan motif yang amat mencurigakan.

Kita tanyakan kepada diri sendiri, apakah motif dan kaitan di antara Anwar Ibrahim dengan Paul Martin, pejuang kahwin sesama jenis, James David Wolfensohn, keturunan Yahudi dan Michel Camdessus, bekas ketua IMF yang hampir meranapkan Malaysia pada 1997?

Apakah kenyataan bersama ketiga-tiga pemimpin itu hanya merupakan satu kebetulan?

Atau ianya merupakan satu komplot terancang satu organisasi besar dunia yang memperalatkan Anwar Ibrahim?

Kepada rakyat dan pengikut-pengikut Anwar Ibrahim, sedarlah dengan segera.

Kaji semula keanggotaan Pas

DAP persoal kredibiliti berdasar perkembangan mutakhir undang keraguan

KUALA LUMPUR: Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan Pas.

"Pas ternyata mengundang keraguan mengenai kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada Pas patut terus dibenarkan menganggotainya," kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.


Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan berita baru-baru ini yang mengesahkan bahawa Pas dan Umno, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), mengadakan rundingan bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.

"Jaminan Presiden Pas (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa Pas tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.

"Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, Pas mengadakan perbincangan dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan mengenai perkara itu," katanya.

Beliau juga menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno 'atas nama perpaduan Melayu' dan menyifatkan langkah bersifat perkauman oleh Pas itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat, yang dianggotai DAP, PKR dan Pas memerintah lima negeri – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Perpecahan gabungan ini akan menyebabkan berlaku perubahan kerajaan di negeri terbabit, kecuali di Kelantan dengan Pas mempunyai majoriti lima kerusi.

Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan agar Umno dan Pas dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan serius. Kenyataan Nik Aziz ini mengetepikan kenyataan Abdul Hadi di Ipoh kelmarin bahawa Pas tidak akan bergabung dengan Umno atau menyertai Barisan Nasional.

"Jelas sekali, kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini memberi persepsi bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Rakyat," kata Karpal.

Bagaimanapun, kenyataan Karpal juga mengandungi kesilapan apabila beliau menyebut Nasharudin Mat Isa sebagai Setiausaha Agung Pas sedangkan orang kuat Pas itu adalah Timbalan Presiden parti berkenaan.

"Minggu lalu, Setiausaha Agung (sebenarnya timbalan presiden) Pas Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan Pas secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat.

"Pas tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal. – Bernama

'Parti tidak minat bertemu DAP'


SAMPAI MAKLUMAT: Ong menyampaikan ucapan pada mesyuarat agung tahunan pemilihan perwakilan MCA Bahagian Tapah, di Pusat Komuniti Kampung Baru Pahang, semalam.



TAPAH: MCA tidak berminat mengadakan pertemuan dengan DAP kerana tidak mempunyai keperluan berbuat demikian, sebaliknya lebih mementingkan perbincangan sesama parti komponen dalam usaha mengukuhkan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata pihaknya tidak bercadang mengadakan pertemuan dengan DAP seperti yang dilakukan Umno dan Pas kerana ada banyak agenda lain termasuk memenangi semula hati rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Saya tidak fikir perlu mengadakan pertemuan dengan DAP kerana yang lebih penting ialah perbincangan antara parti komponen untuk memperkukuh BN. Itu lebih baik daripada mengadakan perbincangan dengan parti lawan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan pemilihan perwakilan MCA Bahagian Tapah, di Pusat Komuniti Kampung Baru Pahang, di sini, semalam.


Seramai 15 perwakilan Bahagian Tapah terpilih ke mesyuarat agung tahunan MCA pusat bagi pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan parti pada 18 Oktober ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan pertemuan Umno dan Pas perlu membabitkan parti komponen BN lain termasuk MCA.

Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, ahli MCA tidak perlu sangsi dengan pertemuan itu kerana ia tidak menjejaskan kepentingan parti komponen lain dalam BN.

"Pertemuan Umno dan Pas bukan perkara yang perlu dibimbangkan kerana ia sudah dilakukan sebelum ini. Sebagai parti memang menjadi hak Umno melakukan pertemuan itu selagi perbincangan tidak menjejaskan parti komponen BN lain yang berbilang kaum.

"Apa yang penting, Umno sudah berjanji memberi penjelasan hasil pertemuan itu dalam mesyuarat Umno akan datang. Jika tidak membabitkan kita (MCA) pun tiada masalah," katanya.

Ong berkata, pihaknya mengalu-alukan penjelasan rundingan itu untuk mengelak kebimbangan kerana latar belakang Pas yang mempunyai aspirasi bercanggah dengan kepentingan aspirasi BN.

"Tiba-tiba Pas boleh berbincang dengan Umno. Kandungan perbincangan perlu diperjelas kepada komponen lain kerana boleh menimbulkan rasa tidak yakin di kalangan ahli BN. Jika ia diperjelaskan adalah lebih baik," katanya yang mengharapkan setiap ahli BN menunjukkan perpaduan kental tanpa perlu mengesyaki antara satu sama lain.

Komponen BN bidas Karpal

Umno jumpa Pas tak timbul soal perkauman

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN) semalam membidas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno 'atas nama perpaduan Melayu' dan bersifat perkauman.

Mereka menyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melakukan semua perkara demi kebaikan negara tanpa mengetepikan mana-mana kaum.


Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata Karpal sepatutnya menyambut baik sebarang bentuk rundingan di kalangan pemimpin Melayu yang akan membawa kebaikan untuk semua.

"Jika wujud persefahaman dan tidak banyak percanggahan atas perkara-perkara pokok, itu adalah baik.

"Kemudian boleh memberi fokus kepada membangunkan ummah daripada tidak habis-habis menumpukan kepada isu-isu asas," katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor dilaporkan menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno dan menyifatkan langkah Pas bersifat perkauman tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat.



Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata DAP tidak harus marah kepada Pas kerana orang Melayu boleh dan perlu bertemu membincangkan hal agama Islam.

"Kenapa DAP nak marahkan Pas... yang dibincangkan hal agama Islam, bukan yang berkaitan DAP," katanya.

Ketua Penerangan MIC, Datuk M Saravanan, berkata bagi MIC, tidak timbul soal perkauman kerana percaya dengan kepemimpinan Perdana Menteri yang melakukan semua perkara demi kebaikan negara tanpa mengetepikan kaum lain.

Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata rakyat di negara tidak harus menganggap pertemuan Umno dan Pas sebagai satu bentuk perkauman, dan mengelakkan syak wasangka bagi menjaga kepentingan semua kaum.

Katanya, Karpal tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang menganggap rundingan antara Umno dan Pas 'atas nama perpaduan Melayu' bersifat perkauman.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan. Datuk Mah Siew Keong mahu Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi BN bagi membincangkan soal penggabungan Umno dan Pas.

Pas letak harapan positif

Siri pertemuan dengan Umno mampu perkasa bangsa Melayu, Islam

KUALA LUMPUR: Pas mengakui meletakkan harapan yang positif terhadap perkembangan seterusnya menerusi siri pertemuan susulan antara parti itu dengan Umno bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kepentingan Islam serta Melayu.

Sumber Pas berkata, parti itu berharap akan ada keputusan yang boleh memberi kebaikan kepada Islam dan perpaduan Melayu, tetapi bergantung kepada Umno sejauh mana untuk melihat perjumpaan itu secara positif.


Katanya, Pas setuju bertemu Umno atas dasar mencari titik persefahaman berasaskan kepentingan agama dan perpaduan Melayu.

"Yang jelas Majlis Syura sudah bersetuju pertemuan susulan diadakan dengan Umno bagi membincangkan isu berkaitan Islam dan kepentingan Melayu. Persetujuan itu juga berdasarkan keputusan yang dibuat pada 23 April lalu," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Menurut sumber itu, Majlis Syura Ulama Pas juga dijangka memberi penerangan dan taklimat kepada Jawatankuasa Tertinggi Pas Pusat sempena mesyuarat jawatankuasa itu akhir bulan ini di Ibu Pejabat Pas Pusat, di sini.

Katanya, penjelasan itu penting berikutan parti itu juga akan mengadakan muktamarnya di Ipoh selama lima hari mulai 13 Ogos ini.

"Isu pertemuan pemimpin tertinggi Pas dengan Umno dijangka menjadi antara topik utama dibahas pada muktamar itu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Presiden Pas, Roslan Shahir Mohd Shahir mengakui parti itu akan mengadakan satu siri penerangan pada peringkat akar umbi berkaitan perjumpaan Umno-Pas itu.

Katanya, ahli akar umbi perlu diberi penjelasan supaya mereka memahami perkembangan sebenar yang berlaku.

Ditanya Pas akan menubuhkan jawatankuasa khas pertemuan dengan Umno, beliau berkata, Majlis Syura Ulama memutuskan tiga pemimpin Pas, iaitu Presidenya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa serta Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaafar menerajui perbincangan atau muqabalah dengan Umno.

"Tiga pemimpin itu boleh mengadakan perjumpaan secara bersama atau berasingan dengan pemimpin Umno jika ada keperluan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya bila pertemuan susulan dengan Umno akan diadakan, beliau berkata berdasarkan keputusan yang dipersetujui Majlis Syura di Kota Bharu, Rabu lalu, ia boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang.

"Jika ada keperluan tidak mustahil pertemuan susulan dengan Umno akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Syor bubar Umno, Pas sukar dicapai Cadangan wujud parti tunggal orang Melayu perlu perbincangan secara teliti


 

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno dan Pas memberikan reaksi berbeza berhubung cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya kedua-dua parti itu dibubarkan bagi mewujudkan parti baru yang menggabungkan orang Melayu.

Mereka berpendapat, sukar untuk Umno dan Pas membubarkan parti masing-masing dan menyifatkan cadangan itu memerlukan perbincangan teliti.


Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Umno tidak perlu dibubarkan kerana ajaran Islam sentiasa menjadi teras perjuangan dan ia termaktub dalam Fasal 3, Perlembagaan Umno.

"Umno adalah parti Islam dan memperjuangkan ajaran Islam seperti termaktub dalam perlembagaannya.

"Tidak timbul isu untuk membubarkan Umno tetapi kita sentiasa mengalu-alukan jika Pas ingin bergabung dengan Umno," katanya.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz, mengesyorkan diwujud parti baru yang menggabungkan semua orang Melayu, supaya parti itu boleh diterima ahli Umno dan Pas tetapi perlu berlandaskan Islam.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata cadangan itu memerlukan persefahaman yang erat sebelum wujud kemungkinan dapat dilaksanakan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mustapha Mohamed, berkata perbezaan ideologi antara Umno dan Pas memungkinkan cadangan itu sukar dilaksanakan.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, penyatuan fikiran antara Umno dan Pas dianggap lebih penting daripada parti baru yang menggabungkan semua orang Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata Umno dan Pas tidak perlu dibubarkan ika kedua-dua pihak ikhlas menyatupa

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub menyifatkan cadangan Mursyidul Am Pas itu hanya `gurauan' dan mempunyai banyak maksud tersirat.

"Sesuatu yang mustahil untuk melihat sebuah parti yang memperjuangkan ideologi berbeza seperti Pas dan Umno dibubarkan semata-mata untuk menubuhkan sebuah parti baru.

"Ingin saya tegaskan Pas tidak mungkin dibubarkan kerana parti ini benar-benar memperjuangkan Islam, tidak tahulah pula Umno macam mana," katanya.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata cadangan penubuhan parti baru bagi menggantikan Umno dan Pas tidak mustahil tetapi tidak boleh dilaksanakan dalam masa terdekat kerana masih banyak isu berkaitan kedua-dua parti belum diselesaikan.

Beliau berkata, apa yang penting ialah kedua-dua pihak perlu ikhlas dan mempunyai niat betul bagi menyelesaikan perkara berkaitan kedua-dua parti.

DI KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz berkata, cadangan Umno dan Pas digantikan dengan parti baru bagi menyatukan orang Melayu akan dibincangkan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-54, di Ipoh pada 15 Ogos ini.

Katanya, beliau akan memberi penjelasan berhubung saranannya itu jika ahli Pas ingin mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Pertemuan Pas-Umno bela kebajikan rakyat

PKR Selangor anggap rundingan tak jejas Pakatan Rakyat

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bersetuju dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat dikaji semula berikutan tindakan parti itu mengadakan rundingan dengan Umno.

Sambil menegaskan Pas tidak melakukan sebarang kesalahan, Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu mempertahankan tindakan Pas berbincang dengan Umno kerana ia bertujuan menjaga kebajikan rakyat.


Beliau berkata, walaupun Pas sudah membuat keputusan meneruskan pertemuan dan perbincangan, hubungan tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan Pas tetap mantap.

"Pas tidak melakukan kesalahan. Kerjasama PKR, DAP dan Pas masih mantap. Walaupun pakatan mempunyai perbezaan pendapat, kita masih boleh bekerjasama untuk kebajikan rakyat," katanya selepas merasmikan Bengkel Pentadbiran Tanah dan Peluang Pembangunan di Selangor, di sini semalam.

Abdul Khalid menasihatkan wakil rakyat dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terus bekerja seperti biasa kerana dakwaan yang mengatakan ia mula retak dan berpecah sekadar spekulasi.

Karpal kelmarin berkata, jaminan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada rakan dalam Pakatan Rakyat bahawa Pas tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai Barisan Nasional (BN) tidak ikhlas dan tidak disokong perkembangan kebelakangan ini.

Beliau juga membidas langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno atas nama perpaduan Melayu dan menyifatkan ia bersifat perkauman dan tidak sejajar dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Mohamad Khir akui jumpa pemimpin Pas

 

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendedahkan pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pas untuk membentuk kerjasama selepas Barisan Nasional (BN) kalah di negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

Pada pertemuan itu, beliau mencadangkan jawatan Menteri Besar diberikan kepada pemimpin Pas jika kerjasama membentuk kerajaan negeri Pas-Umno dicapai.

"Inisiatif ini saya mulakan di Selangor sebaik berakhir pilihan raya umum. Saya sudah mencadangkan agar diadakan satu kerjasama antara Pas dan BN di Selangor," katanya dalam blognya www.drkhir.com, semalam.


Ketika dihubungi, Dr Mohamad Khir, berkata perbincangan berlanjutan selama empat hari bertujuan mewujudkan kerjasama untuk mentadbir negeri itu tetapi tidak berjaya kerana ada pengaruh luar.

Dr Mohamad Khir berkata, beliau turut mempertemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pemimpin tertinggi Pas serta mencadangkan jawatan Timbalan Menteri Besar, selain empat kerusi Exco diberikan kepada Pas.

Beliau berkata, persetujuan sudah hampir dicapai, tetapi Pas mahu mengadakan perbincangan dalaman dengan pemimpin lain dalam parti itu, tetapi tidak menyatakan pemimpin Pas ditemui.

Namun, Dr Mohamad Khir menafikan perbincangan itu adalah usaha terdesak Umno untuk terus berkuasa di Selangor.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad mengakui Pas setuju mengadakan pertemuan itu untuk mengikut rentak Umno ketika itu.

Pas beri amaran DAP jangan campuri urusan parti

ALOR STAR: Pas hari ini memberi amaran kepada DAP untuk tidak mencampuri urusan parti itu sambil menegaskan bahawa ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingininya, termasuk Umno.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata Pas sama sekali tidak rela untuk mengikut telunjuk sesiapa dalam perjuangannya dan ekoran itu DAP yang menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat tiada hak untuk menghalang atau menentukan tindak tanduk Pas.

“Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya lalu, bukan gabungan macam BN.


“Malaysia adalah negara bebas dan mengapa kita mesti mengikut telunjuk orang,” katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan Pas berikutan tindakannya mengadakan rundingan dengan Umno demi perpaduan Melayu.

Semalam, Karpal menganggap tindakan Pas itu sebagai tidak ikhlas kerana ia mengundang keraguan tentang kredibiliti parti itu dalam Pakatan Rakyat dan oleh itu keanggotaan Pas perlu dikaji semula.

Kenyataan terbaru Karpal itu dilihat sebagai tanda perpecahan mula ketara dalam pakatan parti pembangkang itu.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Karpal tidak berhak untuk mempertikai sebarang tindakan yang diambil Pas atau meminta Pas merujuk dahulu kepada DAP atau Pakatan Rakyat jika ingin berbincang dengan Umno.

“Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan Umno. Pas sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut),” katanya. - Bernama

Pas tetap kekal bersama Pakatan Rakyat

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata Pas tetap kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi meneruskan kerjasama mentadbir kerajaan negeri selepas mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, Mohammad Nizar yang juga Setiausaha Pas Perak, berkata ketika ini tidak timbul isu Pas dan Umno membentuk kerajaan negeri walaupun ada beberapa pertemuan bersemuka atau muqabalah antara pemimpin tertinggi parti itu.

"Kita (Pas) Perak komited menjalin kerjasama dengan gabungan PR seperti sekarang dalam mentadbir kerajaan negeri, " katanya mengulas pelawaan Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali untuk Pas dan Umno membentuk kerajaan negeri yang baru.

Kenyataan DAP bersikap anti-Pas

KOTA BHARU: Kelab Penyokong Pas Kebangsaan yang mewakili hampir 10,000 ahli bukan Islam seluruh negara menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang tidak matang walaupun sudah 42 tahun ditubuhkan kerana membuat kenyataan seolah-olah mencabar Pas keluar daripada Pakatan Rakyat.

Pengerusinya, Hu Pang Chaw, berkata sejak bersama dalam Pakatan Rakyat, DAP sering menunjukkan sikap anti-Pas menerusi pelbagai kenyataan yang tidak munasabah, termasuk menentang penubuhan negara Islam, sedangkan Pas tidak pernah menghentam ideologi parti itu.

"Kenyataan DAP yang meminta Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan Pas adalah komen yang tidak matang. Sekarang ini pun, dia memang anti-Pas sedangkan Pas tak pernah pun hentam DAP walaupun ia mempunyai ideologi berbeza," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh kelmarin yang mahu keanggotaan Pas dalam Pakatan Rakyat dikaji semula secara serius berikutan isu kerjasama antara Pas dan Umno termasuk rundingan bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor.

Karpal juga dilaporkan menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno ' dan menyifatkan langkah bersifat perkauman oleh Pas itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Pertemuan Umno-Pas bincang kepentingan Islam, Melayu

KUALA LUMPUR: Umno memutuskan untuk mengatur lebih banyak pertemuan susulan dengan pemimpin tertinggi Pas bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam dan kepentingan orang Melayu.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, petang semalam.


Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata pertemuan susulan itu pasti diadakan kerana pemimpin tertinggi kedua-dua parti sudah bertemu tiga kali sebelum ini.

“Lebih banyak dialog akan diadakan. Setakat ini ia amat baik dan lebih memahami mengenai asas agama yang kita tak boleh kompromi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MT di Menara Datuk Onn di sini.

Mesyuarat hampir tiga jam itu turut dihadiri Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya bila pertemuan seterusnya akan diadakan, Muhammad berkata tarikhnya belum dipastikan, tetapi perbincangan kedua-dua parti itu tetap akan diteruskan untuk kebaikan rakyat dan negara.

“Isu di sini ialah memahami asas ajaran Islam, bukan lompat parti, itu bukan isu,” katanya mengulas sama ada MT membincangkan mengenai persetujuan Pas untuk meneruskan pertemuan dengan pemimpin Umno.

Kelmarin, empat pemimpin tertinggi Pas sebulat suara bersetuju meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam negara ini.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat hampir sejam yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din serta Timbalan Presiden parti itu, Nasarudin Mat Isa.

Bagaimanapun, pada mesyuarat itu Pas membuat pendirian mahu perbincangan itu dikenali sebagai muqabalah yang bermaksud perjumpaan atau bersemuka, bukannya muzakarah.

Muhammad berkata, pada mesyuarat MT semalam Abdullah turut menerangkan mengenai hasil pertemuan yang diadakan dengan pimpinan Pas sebelum ini, terutama dari segi perkara pokok berkaitan agama yang sepatutnya umat Islam tidak boleh berbalah.

“Ini perkara berkaitan keimanan, berkaitan dengan ajaran agama kita tak boleh berbalah. Kita boleh ada perbezaan pendapat mengenai soal pentadbiran dan sebagainya, tapi dari segi agama kena ada kerjasama dan persefahaman antara kepemimpinan dalam Umno dan Pas yang mewakili pimpinan Islam,” katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu pembelian 14 kereta Mercedes Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta oleh kerajaan Terengganu, beliau berkata perkara berkenaan tidak dibincangkan.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, mesyuarat MT turut berbincang secara ikhlas untuk memperkasakan lagi parti, memperbaiki kelemahan dan bagaimana untuk mendekati isu semasa.

“Kita buat dengan cara yang kemas, muhasabah diri, tengok diri dan tengok realiti, pandang diri kita dan beritahu apa sebenarnya yang patut kita hadapi dengan keadaan baru, khalayak baru, situasi baru, masyarakat semasa yang sudah meningkat dan lebih kritikal, telus dan kena hadapi realiti baru ini,” katanya.

Ketua Penerangan Wanita Umno, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin, yang ditemui pula berkata, ahli MT memberi reaksi positif soal muqabalah.

Pertemuan pemimpin Pas, Umno bantu perkukuh kekuatan Melayu

Muqabalah demi umat Islam

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyambut baik persetujuan pemimpin tertinggi Pas untuk mengadakan muqabalah dengan Umno bagi membincangkan isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mustapa Mohamed, berkata walaupun konsep muzakarah ditukar kepada muqabalah, yang penting ialah keikhlasan pemimpin tertinggi kedua-dua parti untuk menyatupadukan orang Melayu.


"Apa juga usaha untuk memantapkan perpaduan amat dialu-alukan kerana jika Melayu bersatu, perpaduan negara akan dapat dicapai. Malah ia juga menjadi asas kepada perpaduan antara orang Melayu dengan kaum lain," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan empat pemimpin tertinggi Pas untuk meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat yang dihadiri Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din serta Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa, di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

Mustapa yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Malaysia dirahmati dengan pelbagai sumber kekayaan yang berpotensi besar untuk dimajukan oleh itu kestabilan politik serta perpaduan wajar diberi perhatian serius.

Pakar sosiologi yang juga bekas Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial, Datuk Dr Denison Jayasooria, berkata pihaknya mengalu-alukan persetujuan pemimpin tertinggi Pas untuk berbincang dengan Umno.

"Perbincangan sebegini tiada masalah, tetapi berbincang untuk meminggirkan kaum lain, ia boleh menjejaskan perpaduan nasional. Hubungan erat antara orang Melayu memberi kesan baik kepada perpaduan kaum lain dan pembangunan negara.

"Kalau Melayu dan umat Islam yang menjadi kaum dominan di negara ini, berpecah belah, ia akan mewujudkan ketidakstabilan politik dan memberi imej tidak baik kepada negara," katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pihaknya tidak menghalang mana-mana pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) asalkan membawa manfaat kepada rakyat.

"Kita tidak kisah dan tidak ada masalah, asalkan pertemuan itu membawa manfaat dan keadilan kepada semua pihak, bukannya berbincang untuk bergabung (parti).

"Kami juga sudah lama bersedia (mengadakan pertemuan dengan Umno), bercakap atas dasar keadilan yang membincangkan bukan saja isu Melayu dan Islam tetapi isu kepentingan semua kaum," katanya.

Nik Aziz syor tubuh parti baru ganti Umno, Pas

MACHANG: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengesyorkan supaya diwujudkan satu parti baru yang menggabungkan semua orang Melayu, supaya parti berkenaan boleh diterima ahli Umno dan Pas.

Bagaimanapun, katanya, penubuhan parti baru itu hendaklah berasaskan kepada syarat yang parti berkenaan hendaklah berlandaskan Islam.

"Bubar Umno dan Pas, kita buat parti lain yang boleh diterima belaka (semua orang Melayu) tetapi syarat dasarnya hendaklah Islam.


"Kalau Islam tidak boleh diterima, beritahu tak kena di mana Islam. Kalau dia (Umno) boleh cakap Islam tak betul, saya pun tak mahu Islam, tapi kalau Islam betul, saya nak tinggal Islam tak boleh," katanya.

Beliau memberitahu media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan kali ke-37, di markas Dewan Ulama (Madu), Machang, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Dewan Ulama Pusat yang juga Ketua Dewan Ulama negeri, Datuk Mohamed Daud Iraqi.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kemungkinan isu politik juga akan dibincang dalam muqabalah nanti antara Umno dengan Pas.

Nik Abdul Aziz berkata, satu daripada syarat hendak muqabalah dengan Pas ialah mencari jalan untuk menjadikan orang Melayu berada dalam satu parti.

Katanya, beliau masih bertegas tidak ingin babitkan politik dalam muqabalah itu nanti, namun boleh dibincangkan jika ia membabitkan mengenai Umno hendak masuk Pas.

"Satu daripada jadual (syarat) nak muqabalah ialah bagaimana biar Melayu ini so yah (satu saja) parti, Umno masuk Pas," katanya.

Sementara itu, Mohamed Duad berkata, Melayu sekarang berada dalam keadaan tersepit sehingga turut memberi kesan kepada Islam.

"Perpecahan itu sudah ada dalam Melayu menyebabkan bangsa ini kini tersepit dan bila Melayu tersepit, Islam pun akan tersepit. Oleh itu, muzakarah antara Pas dengan Umno penting untuk umat Islam," katanya.

Pas bimbang kepercayaan rakyat terhakis

SECARA tiba-tiba, apabila parti Pas mengumumkan kesediaannya bermuzakarah dengan Umno, orang Melayu menarik nafas lega kerana ia dilihat sesuatu yang positif bagi mengindahkan semula landskap politik negara khususnya perbalahan ideologi di kalangan orang Melayu. Hala tuju tetap sama iaitu untuk menjaga kepentingan Islam dan orang Melayu.

Namun, ada juga yang sangsi terhadap niat parti pembangkang itu. Berdasarkan sejarah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga pernah mengadakan kerjasama tetapi Pas sering berdolak dalih dengan niatnya itu. Dan baru-baru ini, Dr Mahathir sekali lagi menyuarakan kesangsiannya bahawa Pas menurut beliau, boleh berbuat apa saja.

Maklumlah, beliau yang sudah berhadapan dengan kerenah Pas selama 22 tahun dan tentunya amat faham mengenai 'perangai' parti Melayu kedua ini. Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan pernah menyatakan bahawa beliau sebenarnya bukan menolak ahli Umno tetapi menolak tubuh Umno yang disifatkan sebuah parti yang tidak menggunakan Islam sebagai landasan perjuangan.


Melihat sudut lain pula, ada ketikanya kita tertanya-tanya apakah yang mendorong Pas ingin bekerjasama dengan Umno? Sungguhpun memang sebelum ini pernah berbuat demikian, tidak ada sebarang hasil atau kata putus yang dapat dilihat.

Parti pembangkang di negara kita pada asalnya bergerak dengan sendiri berikutan ideologi yang terlalu sempit. Tidak seperti formula digunakan kerajaan, dasar tolak ansur dan ideologi yang dapat diterima semua kaum membolehkannya bekerjasama dengan parti yang dibangunkan kaum lain.

Akhirnya, parti pembangkang seperti Pas melihat bahawa ideologi sempit sukar mendapatkan korum dalam pemerintahan dan dengan itu konsep kerjasama dengan parti lain walaupun melanggar prinsip asal terpaksa digunakan. Beberapa pilihan raya sebelum ini iaitu pada 1999, 2004 dan 2008, menampilkan satu kerjasama beberapa parti pembangkang yang sudah membuahkan kejayaan besar kepada mereka, Mac lalu.

Daripada Barisan Alternatif kini Pakatan Rakyat, beberapa negeri juga berjaya ditawan selain berjaya menggugat kredibiliti parti Barisan Nasional.

Namun, tindak-tanduk atau dasar kerajaan Pakatan Rakyat apabila berjaya mentadbir kerajaan negeri seolah-olah memecahkan tembelang sendiri. Banyak isu yang tercetus mengheret ketidakpuasan hati rakyat bukan saja rakyat yang berpihak kepada kerajaan tetapi rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat. Isu yang wujud sejak kebelakangan ini menyentuh hal sensitif seperti isu Raja-Raja Melayu, agama Islam dan keistimewaan orang Melayu.

Malangnya, isu ini pula banyak timbul selepas Pakatan Rakyat memerintah di beberapa negeri. Inilah yang menarik untuk kita analisis mengapa kemungkinan besar Pas berlapang dada untuk mengadakan muzakarah. Pas hanya memerintah di Kelantan dan Kedah. Di Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat diketuai Parti Keadilan Rakyat yang banyak berkompromi dengan kata lain seolah-olah ditunggangi parti DAP.

Parti orang Melayu iaitu PKR dan Pas seolah-olah menjadi buah catur kepada DAP. Contohnya dalam isu penternakan babi, penganjuran konsert ketika perhimpunan sejuta rakyat yang mencetuskan insiden memalukan, isu penyaluran wang derma dalam akaun PKR serta isu lain yang dikatakan meretakkan kesefahaman Pakatan Rakyat.

Pas bimbang dengan kehakisan kepercayaan rakyat terhadap perjuangannya. Disebabkan matlamat ingin menjaga kesepakatan dalam Pakatan Rakyat, Pas terpaksa memberi laluan kepada tuntutan parti lain walaupun tuntutan itu menyentuh soal Islam dan orang Melayu.

Kepada siapa Pas mahu mengadu dalam isu orang Melayu dan Islam. Akhirnya, Pas terfikir sebaik-baiknya, Umno adalah saudara 'jauh' yang sesuai untuk bermuzakarah.

Kita tidak boleh menjangka apa perkara yang dibincangkan walaupun umumnya kita tahu skop perbincangannya akan menyentuh isu orang Melayu dan Islam.

Di sebalik cadangan muzakarah ini, akan adakah satu titik penyelesaian konkrit dalam kerjasama antara Pas-Umno sekiranya muzakarah itu berjaya diadakan, akan terjaminkah orang Melayu dan Islam dalam Pakatan Rakyat seperti terjaminnya orang Melayu dan Islam dalam BN?

Pas, Umno perlu jujur bermuzakarah demi perpaduan


DARI kiri (atas): Abdullah Ahmad Badawi, Nik Aziz Nik Mat, (bawah) Najib Razak dan Abdul Hadi Awang.



Masyarakat Melayu, Islam dituntut bermuhasabah untuk merenung sejenak ketentuan nasib masa depan mereka

MUNGKIN belum pernah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengiyakan sebarang bentuk kerjasama parti itu dengan Umno. Selama ini, bagi bekas Menteri Besar Terengganu itu, Pas dan Umno ibarat air dengan minyak – tidak boleh bercampur.

Beliau dilihat sebagai pemimpin Pas yang tidak mudah tunduk kepada sebarang desakan apatah lagi untuk diajak bersemuka dengan orang Umno. Tidak hairanlah, ada pemerhati politik berpendapat selagi Abdul Hadi mengetuai Pas, selagi itulah jurang antara pemimpin Melayu dalam Umno dan Pas sukar dirapatkan.


Bagaimanapun, apabila Abdul Hadi dalam wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu minggu lalu, menyentuh mengenai proses muzakarah bersama Umno, ramai yang terkejut – antara percaya atau tidak ia keluar daripada mulut pemimpin nombor satu Pas itu.

Kini umum sudah tahu, rupa-rupanya muzakarah itu sudah berjalan secara senyap sebanyak tiga kali antara kepemimpinan tertinggi Umno dan Pas, bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam serta kepentingan umat Islam di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengesahkan pertemuan itu berkata: "Kita berbincang dengan ikhlas dan menyuarakan apa juga pandangan yang kita fikir wajar, antaranya isu yang boleh memberi kesan kepada agama Islam kerana penting kita tidak berbalah dalam hal berkaitan agama.

"Lagipun, jika hal agama ini menjadi isu politik, ia boleh membawa masalah kepada orang Islam. Apa boleh saya katakan kita ada bersefahaman yang baik," katanya.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak turut menerima baik cadangan muzakarah itu kerana bagi beliau, apa yang penting ialah keinginan dan langkah terbaik untuk kepentingan negara.

Dalam satu kenyataan, Abdul Hadi berkata, perjumpaan pertama dengan Perdana Menteri berlaku sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang turut membabitkan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad.

"Pas tidak menafikan bahawa memang sudah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, bagi membincangkan isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. Pas bersedia menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia," katanya.

Abdul Hadi berkata, pertemuan itu sudah pun dilaporkan ke mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula dilaporkan berkata beliau bersetuju jika muzakarah itu ditukar kepada muqabalah kerana baginya muzakarah lebih kepada perdebatan, manakala muqabalah bermaksud perjumpaan atau bersemuka.

Walau apa pun namanya, yang penting ialah pemimpin kedua-dua parti itu bertemu dan berbincang atas nama perpaduan Melayu dan kepentingan agama.

Muzakarah antara pemimpin kedua-dua parti ini bukan sesuatu perkara baru atau luar biasa kerana ia pernah diadakan pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sekitar 1970-an ketika Umno dan Pas mahu menguatkan perpaduan orang Melayu berikutan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, selain bagi menggerakkan agenda meningkatkan taraf hidup dan ekonomi Bumiputera.

Tidak dinafikan selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, senario politik tanah air berubah sama sekali. Malah, keadaan agak bercelaru selepas itu dengan soal ketuanan Melayu dicabar, agama Islam bagaikan diperlekeh, malah ada pemimpin pembangkang seolah-olah mencabar institusi raja atau istana.

Pada masa sama, ramai orang Melayu berasa tidak senang hati apabila ada pihak secara terbuka memperkatakan mengenai hak keistimewaan mereka, kontrak sosial selain berkaitan isu ekonomi dan pendidikan, termasuk perkara berkaitan pemberian biasiswa untuk pelajar ke luar negara.

Tanpa mahu membangkitkan sentimen perkauman, hakikatnya kedudukan orang Melayu bagaikan tercabar, apatah lagi mereka berpecah berikutan fahaman politik yang berbeza. Keadaan itu menuntut masyarakat Melayu dan Islam bermuhasabah untuk merenung sejenak apakah nasib masa depan mereka.

Jika ingin mencapai sesuatu bagi perpaduan nasional, ia seharusnya bermula dengan perpaduan orang Melayu. Apabila wujud perpaduan Melayu, maka perpaduan nasional baru boleh dimulakan. Umno dan Pas adalah dua parti Melayu terbesar.

Berbekalkan keikhlasan dan komitmen jitu, ramai berpendapat muzakarah pada ketika orang Melayu menghadapi pelbagai cabaran sekarang, perlu disegerakan demi kepentingan agama dan bangsa.

Sudah semestinya rakan Pas dalam Pakatan Rakyat, terutama DAP tidak senang hati dengan perkembangan itu kerana mereka mungkin berpendapat perpaduan jitu pemimpin Melayu akan mengancam kedudukan mereka yang kini sudah menguasai dua negeri, iaitu Pulau Pinang dan 'Kabinet Kerajaan Perak'.

Memang ada kumpulan tertentu dalam Pas yang tidak selesa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai Pakatan Rakyat dan melihat DAP sebagai penghalang kepada agenda negara Islam parti itu. Dengan isu kes liwat membabitkan Anwar, Pas sudah mula melihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat semakin rapuh.

Di Perak, walaupun Menteri Besarnya orang Pas, banyak keputusan dikatakan dipengaruhi DAP yang menguasai barisan Exco. Contohnya isu 'Perjanjian Pangkor II' tetapi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan dakwaan ada 'Perjanjian Pangkor II', persetujuan bertulis antara beliau dengan pemimpin DAP negeri yang antara lain melarang Menteri Besar itu mengatakan Perak diperintah oleh Islam.

Banyak lagi isu lain yang bagaikan bertentangan dengan kehendak Pas di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Pada peringkat awal kerjasama itu, Pas dan DAP boleh melupakan ideologi politik menerusi 'perkahwinan untuk keselesaan', tetapi semakin hari nampaknya perkahwinan itu tidak semesra yang diharapkan.

Jika diibaratkan 'teruna dan dara', Pas dan DAP tidak boleh 'berkahwin' dan jika berkahwin sekali pun (orang kata kahwin paksa), talak adalah permainannya.

Berdasarkan hakikat ini, ke mana Pas mahu mengadu atau memperjuangkan sesuatu bagi kepentingan Melayu dan Islam. Dengan PKR? Parti orang Melayu, iaitu PKR dan Pas seolah-olah menjadi buah catur kepada DAP. PKR mahukan ketuanan rakyat, bukan ketuanan Melayu.

Akhirnya, Pas terfikir sebaik-baiknya Umno adalah saudara 'jauh' yang sesuai untuk bermuzakarah. Umno begitu serius untuk bermuzakarah dan diharapkan Pas juga perlu menunjukkan ia turut serius.

Tiada pihak harus mempersoalkan niat murni itu melainkan mereka yang melihat semuanya daripada sudut negatif atau perangkap semata-mata. Dalam hal muzakarah ini, tiada satu parti sama ada Umno atau Pas, yang dominan. Malah ia juga bukan bertujuan menekan mana-mana parti, sama ada Pas atau Umno, sebaliknya bagi kepentingan bersama.

Jika Umno dan Pas terus berbalah, akan berlaku kekalutan berterusan. Perbincangan adalah tradisi ulama zaman silam. Berkembangnya ilmu pada zaman keagungan Islam disebabkan hidupnya suasana muzakarah di kalangan mereka.

Malangnya, suasana itu semakin lenyap. Muzakarah diganti dengan perbalahan. Umat Islam terseret ke gelanggang pertikaman lidah, bertegang leher dalam suasana panas dan sensitif. Siapa yang meraih keuntungan?

Hakikatnya, Umno dan Pas yang mempunyai kekuatan tersendiri harus bertemu atas dasar keikhlasan dan tidak melihat muzakarah itu sebagai satu cara untuk menarik perhatian umum semata-mata. Soal sama ada Pas sebagai sebuah parti mahu menyertai BN, biar diketepikan dulu.

Pas dan Umno perlu jujur dalam perkara ini kerana keikhlasan itu akan mengikis segala prasangka, andaian dan biar perkara berlalu tersimpan dalam sejarah.

Benar, air dan minyak tidak akan bercampur, tetapi dalam kuali segala-galanya boleh bercantum apabila airnya mula mendidih. Itulah 'air perpaduan'.

Pertemuan dua parti yang majoriti ahlinya Melayu Islam tidak harus disalahertikan oleh pihak lain

SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan pemimpin Umno yang diketuainya mengadakan tiga pertemuan dengan pimpinan kanan Pas bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam dan kepentingan ummah di negara ini, pelbagai pihak memberi reaksi yang berbeza. Sementara ramai orang Melayu/Islam lega dengan perkembangan terbaru itu, tidak kurang juga sama ada di pihak Pas atau Umno sendiri, meragui niat pihak-pihak yang terbabit dalam pertemuan itu.

Keraguan mereka terhadap keikhlasan pertemuan antara dua parti orang Melayu/Islam terbesar itu tidak sukar difahami terutama di kalangan penyokong Pas. Ini adalah sejarah kedua-dua parti itu, sejak awal penubuhan lagi diselangi dengan perbalahan dan perdamaian. Pas, yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama dalam Umno pada 1951, pernah menjadi kerabat Barisan Nasional dan selepas keluar daripada gagasan itu, turut mengadakan beberapa muzakarah dengan Umno.


Pada 1986 misalnya, Pas di bawah kepemimpinan Allahyarham Yusof Rawa pernah mengadakan muzakarah dengan Umno atas pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan mengurangkan ketegangan antara penyokong kedua-dua parti ketika itu. Pertemuan di Seri Perdana pada malam 9 April itu turut dihadiri Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nakhaie Ahmad, masing-masing Timbalan Yang Dipertua Pas dan Naib Yang Dipertua Pas ketika itu. Selain Dr Mahathir, turut mewakili Umno dalam pertemuan itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Apabila Pas kemudian melihat pertemuan itu cuba digunakan untuk kepentingan politik individu tertentu dalam Umno terutama apabila perjumpaan yang seharusnya sulit itu, dibocorkan oleh kem Umno sendiri, ia tidak diteruskan. Malah, Yusof Rawa ketika menyatakan keengganan Pas meneruskan muzakarah, secara terbuka menuduh Anwar menjadikan pertemuan itu untuk kepentingan politik peribadinya.

Justeru, tidak hairanlah antara yang menyatakan rasa kurang senang terhadap pertemuan terbaru Umno-Pas ini adalah Mursyidul Am Pas sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebagai pemimpin kanan paling veteran dalam parti itu sekarang, memang wajar untuk beliau meragui keikhlasan Umno sehinggalah mendapat kepastian daripada Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas minggu lalu.

Majlis Syura Ulama bersetuju untuk mengadakan muqabalah dan bukannya muzakarah dengan Umno demi kemaslahatan umat Melayu dan agama Islam. Pas juga mensyaratkan pertemuan itu tidak akan membincangkan langsung soal perkongsian kuasa apalagi penggabungan dengan Umno. Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk mengatur lebih banyak pertemuan susulan ekoran tiga pertemuan yang dilihat positif itu serta menerima cadangan Pas supaya ia dipanggil muqabalah.

Berdasarkan penjelasan mereka yang arif bahasa Arab, muqabalah membawa erti pertemuan biasa atau bersemuka untuk mencari titik persefahaman atau perbezaan antara dua pihak yang bertelagah. Perbincangan dalam pertemuan itu pula lebih bersifat umum tanpa menetapkan topiknya. Muzakarah pula lebih mirip kepada saling mengingati antara satu sama lain dengan tumpuan kepada perbahasan dan perbincangan tertentu. Dalam kata lain, muzakarah dilihat lebih khusus dan berupa satu cabang muqabalah.

Apa pun panggilannya, bagi sebahagian umat Islam di negara ini, kesediaan pemimpin kedua-dua parti itu untuk duduk semeja berbincang mengenai nasib masa depan agama dan bangsa sudah cukup melegakan, terutama ketika semakin banyak suara sumbang memperlekehkan Islam dan umatnya di negara ini. Yang penting ialah kejujuran kedua-dua pihak untuk memberi perhatian kepada masalah dengan tidak menjadikan pertemuan ini bagi kepentingan peribadi atau parti masing-masing.

Walaupun sukar bagi kedua-dua pihak untuk bersepakat mengenai politik dan prinsip perjuangan parti, sebagai saudara seagama dan sebangsa, ahli Pas dan Umno tidak harus bertelagah berhubung perkara asas yang membabitkan masa depan Islam dan umat Melayu di negara ini. Mereka seharusnya bersetuju untuk tidak bersetuju mengenai pendekatan politik tetapi mesti sepakat berhubung soal kesucian Islam dan masa depan bangsa Melayu.

Selepas kegagalan muzakarah 1986 itu, pemimpin Umno dan Pas pernah beberapa kali berkongsi pentas dan pandangan. Pada Mei 2002, Dr Mahathir dan Allahyarham Fadzil Noor pada Syarahan Perdana mengenai Palestin dan Kemanusiaan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada sidang media bersama selepas majlis itu, Abdullah dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesepakatan antara kedua-dua parti bukan perkara baru kerana mereka pernah sependapat dalam beberapa isu lain sebelumnya.

Berdasarkan senario ini, pertemuan terbaru antara pemimpin Umno dan Pas tidak seharusnya dicurigai sama ada oleh penyokong fanatik parti masing-masing atau komponen dalam gabungan politik mereka. Apa yang dilakukan oleh Abdullah dan Hadi itu adalah kesinambungan kesediaan pucuk pimpinan parti masing-masing sebelum ini.

Bezanya idea pertemuan terbaru ini dengan muzakarah sebelumnya ialah ia bukan datangnya daripada Umno tetapi dicetuskan oleh Hadi sendiri dalam wawancara eksklusifnya dalam Harakahdaily. Apakah yang mendorong Hadi membuat pelawaan itu sedangkan Pas sebelum ini beberapa kali pernah dikecewakan Umno? Logiknya tentulah kepercayaan pucuk pimpinan Pas bahawa Umno di bawah kepemimpinan Abdullah tidak mungkin mengulangi kesilapan yang mambawa kepada kegagalan muzakarah kedua-dua parti itu sebelum ini.

Jika Pas pernah menyalahkan Anwar atas kegagalan muzakarah 1986 dan sering bertelagah pendapat dengan Dr Mahathir berhubung isu membabitkan Islam, mereka mungkin melihat Abdullah lebih senang dibawa berunding dan boleh dipercayai. Kepercayaan Pas terhadap Abdullah juga mungkin ada kaitannya dengan sejarah penubuhan parti itu ekoran cadangan Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab Umno Bagan, Butterworth 57 tahun lalu. Ini kerana salah seorang anggota jawatankuasa penaja Pas yang dipengerusikan Haji Ahmad Fuad Hassan itu ialah Haji Ahmad Badawi Abdullah, bapa Perdana Menteri sendiri.

Muzakarah Umno, Pas jadi kenyataan

KOTA BHARU: Empat pemimpin tertinggi Pas semalam sebulat suara bersetuju meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam negara ini.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat hampir sejam yang dihadiri Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din serta Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa.

Nik Abdul Aziz yang sebelum ini mahu perbincangan dengan Umno dihentikan segera, turut bersetuju membenarkan pemimpin Pas meneruskan pertemuan berkenaan selaras dengan persetujuan Majlis Syura Ulama pada mesyuaratnya, 23 April lalu.


Bagaimanapun, pada mesyuarat semalam Pas membuat pendirian mahu perbincangan itu dikenali sebagai muqabalah yang bermaksud perjumpaan atau bersemuka, bukannya muzakarah.

Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya yang dibacakan Dr Haron selepas mesyuarat empat pemimpin tertinggi parti itu di kediaman rasminya, JKR 10 di sini, menjelaskan beliau dan Abdul Hadi tidak bercanggah pendapat, sebaliknya kekeliruan berlaku disebabkan penggunaan perkataan muzakarah dan bukannya muqabalah.

"Muqabalah bermaksud perjumpaan atau bersemuka, manakala muzakarah membawa maksud berdebat secara terbuka," katanya.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita, Nik Abdul Aziz menjelaskan kenyataannya sebelum ini juga sama saja dengan kenyataan Presiden parti.

"Kalau perjumpaan untuk masuk Barisan Nasional (BN) memang tak ada, tapi kalau boleh tukar muzakarah kepada muqabalah," katanya.

Abdul Hadi pula berkata, tidak timbul isu Pas akan menyertai BN kerana parti itu masih bersama Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan perjumpaan pemimpin Pas dan Umno sebanyak tiga kali sebelum ini bukan saja membincangkan isu semasa yang dialami orang Melayu dan umat Islam, malah perpaduan dengan kaum lain selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Kita juga minta kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap masalah rakyat di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, khususnya di bawah Pas.

"Dalam isu ini, sebagai mana persefahaman kita dalam Pakatan Rakyat, tidak menjadi halangan untuk kita mengadakan perjumpaan dengan Umno kerana pertemuan itu bagi membincangkan isu bersama demi kepentingan seluruh rakyat kerana Pas wajib menyuarakan kepentingan Islam dan pada masa sama, keadilan wajib diberi kepada semua kaum," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, beliau tidak menghadiri pertemuan tiga kali dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, sebaliknya Pas diwakili Datuk Mustapha Ali yang membawa usul diputuskan pada mesyuarat Majlis Syura Ulama, April lalu.

Muzakarah Umno-Pas bela nasib Melayu

CADANGAN mengadakan muzakarah Umno-Pas memberi nafas baru yang melegakan banyak pihak walaupun ada segelintir pihak dalam Pas sendiri meragui keikhlasan Umno berbuat demikian demi mengeratkan perpaduan Melayu dan keutuhan agama Islam di bumi tercinta ini.

Kita harus memberi ruang kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan pengalamannya berurusan dengan Umno pada era 70-an dulu sehingga Pas disingkirkan daripada Barisan Nasioan (BN). Kita harus menghormati kebimbangan yang diutarakan beliau dan juga peringatan Menteri Besar Kelantan itu bahawa jika Pas tidak berhati-hati, tidak mustahil Pas akan terjerat buat kali kedua.

Kita juga harus mendengar pandangan Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, antara wakil Pas yang ditugaskan majlis syura bertemu Perdana Menteri selepas pilihan raya umum lalu untuk berbincang mengenai perpaduan Melayu dan Islam. Khalid yang terkenal dengan sifat berterus terangnya pasti mempunyai sebab tersendiri mengapa Pas perlu menghentikan muzakarah dengan Umno.


Kita juga harus menghormati pandangan jauh Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Majlis Syura, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Muslimat Pas Pusat serta Pesuruhjaya Pas Negeri yang merestui idea muzakarah Pas-Umno bagi mencari titik pertemuan dan persamaan demi memartabat-kan kembali kedudukan agama Islam yang kian tercabar di negara sendiri dan juga hak keistimewaan Melayu yang kian terhakis.

Islam sebenarnya agama yang menganjurkan konsep bermaaf-maafan dan melupakan sengketa lama. Apa gunanya kita menyimpan dendam lama dan menimbulkan syak wasangka sesama Islam. Episod Pas disingkir dulu adalah kisah silam wajar dijadikan iktibar. Kisah itu sebenarnya mematangkan Umno dan Pas untuk tidak mengulanginya ibarat kata pepatah lama 'yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan'.

Pemimpin Umno bertukar ganti. Senario politik, sosial, ekonomi dan lain-lain juga jauh berubah. Walaupun luka sudah hilang dan parut masih kelihatan, kehidupan dengan iltizam dan semangat baru, ketulusan untuk mendokong konsep ukhuwah Islamiah harus kita utamakan melebihi kepentingan peribadi, keperitan pengalaman lampau, kepentingan kelompok dan parti serta pelbagai kepentingan lain boleh membantut usaha murni perpaduan Melayu di Malaysia.

Sebab itulah rakyat terbanyak mengalu-alukan muzakarah dua parti Islam terbesar ini walaupun di kalangan rakyat Melayu ternyata mempunyai pelbagai latar belakang keluarga, pendapatan isi rumah, tahap pendidikan Islam yang berbeza.

Mengapakah majoriti Melayu kita berbangga dengan muzakarah ini? Sebabnya kerana di Tanah Melayu inilah saja bumi tempat Melayu Islam berpijak, bernaung dan menjalani kehidupan sejak berkurun lalu dan yang akan datang. Jika Melayu tidak bersatu dan Islam tidak dite-gakkan, maka tidak mustahil ketuanan Melayu dan Islam akan pupus ditelan masa.

Nasib Melayu perlu dibela pemimpin dan orang Melayu sendiri. Mana mungkin kaum lain akan memperjuangkan nasib orang Melayu. Lihatlah di Singapura, Afrika Selatan dan beberapa negara lain, minoriti Melayu ibarat melukut di tepi gantang. Jangan sampai kita melukut di tanah air sendiri kerana sekali kita hilang kuasa dan ketuanan Melayu, maka amat sukar kita mendapatkannya semula.

Kita kena percaya kepada kepemimpinan Melayu dan Islam yang ada di Malaysia sekarang. Saya menyanjung tinggi usaha muzakarah yang dijayakan Perdana Menteri dan pimpinan tertinggi Pas dan marilah kita berdoa semoga ia akan menjadi titik tolak perpaduan Melayu Islam yang tulen, kental dan berterusan sampai bila-bila. Buang yang keruh dan ambil yang jernih

Abdullah buka jalan selesai masalah: Hadi

 IPOH: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah 'membuka jalan' kepada parti itu untuk mengemukakan pandangan atau masalah terutama membabitkan kerajaan negeri yang diperintah Pas.

"Ini satu anjakan yang berlaku kepada Perdana Menteri ...membuka peluang kepada kita untuk mengemukakan masalah yang menjadi perkara yang perlu diselesaikan kepada kerajaan.

"Bagaimanapun tiada muzakarah perbincangan dengan Umno, yang ada hanya muqabalah. Ia tidak sama dengan muzakarah kerana muzakarah ada aspek debat," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Ke-13 di sini semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pertemuan tiga kali antara pimpinan Pas diketuai beliau; Timbalannya, Nasharuddin Md Isa serta Setiausaha Agung, Datuk Kamaruddin Jaafar, dengan Abdullah yang dilaporkan bagi membincangkan isu membabitkan perpaduan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Abdul Hadi berkata, sama ada muqabalah itu akan diteruskan pada masa akan datang atau tidak adalah tertakluk kepada keadaan selain akan dinilai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang akan datang.

Beliau bagaimanapun menegaskan parti itu tidak akan bergabung dengan Umno atau menyertai Barisan Nasional (BN) ekoran pertemuan itu.

Abdul Hadi juga menafikan berlaku perpecahan atau perbalahan dalam parti itu berikutan muqabalah berkenaan kerana pimpinan Pas pusat termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sendiri mengetahui tidak berlaku muzakarah dengan Umno atau BN.

Ditanya sama ada perte-muan itu membuatkan Pakatan Rakyat tergugat, beliau berkata: "Itu kena tanya parti berkenaan. Jangan tanya saya, saya tidak tahu apa yang ada dalam hatinya.

"Tetapi saya maklum kebimbangan parti itu berhubung pertemuan Umno-Pas," katanya.

Perbincangan cakupi soal agama, kepentingan rakyat keseluruhan: Shahrir

GEORGETOWN: Muzakarah antara pemimpin Pas dan Umno tidak harus dilihat dari sudut perkauman yang sempit, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata muzakarah tidak wajar dilihat dalam konteks Melayu saja, tetapi turut mencakupi hal lain seperti agama.

Beliau berkata, ia juga tidak membelakangkan konsep pelbagai kaum, apatah lagi Umno adalah parti utama dalam Barisan Nasional (BN) yang mendukung kepentingan semua kaum.


Katanya, sebarang dakwaan yang mengatakan muzakarah itu bertujuan membela kepentingan satu kaum saja tidak tepat dan pandangan berkenaan bersifat perkauman.

"Kenapa apabila pemimpin Melayu jumpa pemimpin Melayu dianggap perkauman? Tapi bila pemimpin kaum lain jumpa pemimpin sama kaum tidak dianggap perkauman. Jadi, jangan berfikir secara perkauman," katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pendidikan Pengguna Berkesan Untuk Guru Penasihat Kelab Pengguna Sekolah Menengah di Bayan Lepas dekat sini, semalam.

Shahrir diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang meminta sebarang pertemuan pemimpin parti perlu membincangkan kepentingan rakyat keseluruhan, bukan kaum tertentu.

Sambil meminta orang ramai tidak membuat reaksi berlebihan berkaitan muzakarah itu, Shahrir berkata, semua pihak bebas mengadakan pertemuan bagi menyatakan pandangan demi kebaikan rakyat dan negara.

Katanya, Umno juga tiada halangan jika DAP mahu mengadakan perbincangan dengan Pas kerana parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi.

"Ini soal muzakarah untuk kepentingan rakyat. Bukan hanya sekelompok rakyat. Kita bincang macam-macam, jadi tuduhan pertemuan itu berasaskan semangat perkauman tidak wajar," katanya.

Terdahulu, Shahrir berkata, perbelanjaan sambutan Hari Pengguna anjuran kementeriannya minggu ini, kurang RM2 juta berbanding RM5 juta, tahun lalu.

Beliau berkata, ia selaras langkah penjimatan dengan mengutamakan perbincangan tokoh kepenggunaan berbanding upacara perasmian.

Muzakarah perlu diteruskan demi kepentingan ummah

PEKAN: Muzakarah antara Umno dan Pas perlu diteruskan dengan skop yang lebih luas tidak terhad kepada perkara yang sudah dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata perbincangan secara teliti berhubung perkara lain yang wajar dibincangkan antara Umno dan Pas, elok dilakukan dengan niat mahu memastikan perpaduan kaum di negara ini menjadi bertambah baik.


Beliau berkata, istilah bagi pertemuan itu sama ada muzakarah atau muqabalah tidak penting, asalkan majlis berkenaan membolehkan dua pihak berbincang dan mencari kata sepakat dalam beberapa isu untuk membantu kepentingan ummah.

"Muzakarah ini elok diteruskan bukan saja perbincangan yang sudah dibuat Perdana Menteri, tetapi jika Pas setuju, kita boleh perluaskan perbincangan lebih terperinci apa-apa perkara yang wajar dibincangkan.

"Ini penting atas niat dan hasrat kita mencari keputusan yang boleh membantu kepentingan ummah, selain menentukan perpaduan kaum di negara ini bertambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada kumpulan terakhir 1,224 mangsa banjir di daerah Pekan Disember tahun lalu, membabitkan peruntukan RM863,200, di sini semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam laporan akhbar semalam berkata, Pas bersedia meneruskan muzakarah dengan Umno jika ia dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan agama.

Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Pusat, berkata RM3.47 juta wang ihsan sudah diagihkan kepada semua 3,834 mangsa banjir di daerah ini.

Kelewatan kumpulan terakhir menerima bantuan itu katanya, disebabkan maklumat paras air memasuki rumah mangsa, perlu diteliti dengan pengesahan penghulu dan ketua kampung.

Muzakarah Umno-Pas dimensi baru tingkat kerjasama kaum, keselamatan: Shafie

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan percaya muzakarah Umno-Pas boleh membawa dimensi baru ke arah perpaduan tulen orang Melayu dan Islam.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata muzakarah itu langkah positif dalam banyak sudut, walaupun kedua-dua parti berbeza ideologi.

"Jadi, mengapa tidak pertemuan ini (muzakarah Umno-Pas) dijadikan landasan menyelesaikan segala masalah yang timbul. Saya percaya semua pihak setuju dan mengalu-alukan muzakarah ini kerana ia bukan berunsur politik," katanya selepas merasmikan Kongres Majlis Arkib Antarabangsa (ICA) Ke-16 di sini, semalam.


Mohd Shafie berkata, jika wujud perpaduan kuat di kalangan orang Melayu dan kekuatan Islam, ia akan menjadi contoh kepada kaum lain di negara ini.

"Perpaduan dan agama adalah perkara penting dan jika tidak ditangani dengan baik, boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya.

Ditanya muzakarah itu boleh menjuruskan Pas menyertai semula BN dan bekerjasama dengan Umno berdasarkan sejarah parti itu pernah bersama BN sebelum ini, Mohd Shafie berkata, semuanya tidak mustahil.

"Kalau langkah diambil membolehkan pertemuan diadakan dan membawa perpaduan Melayu dan Islam, sejarah juga terbukti (Pas pernah menjadi sebahagian BN)... kenapa tidak," katanya.

Ditanya beliau mendapat sokongan padu ahli Umno Sabah untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti Disember ini, beliau percaya ada sokongan, tetapi perlu bekerja keras.

"Saya hanya menawarkan diri, tak bermakna apabila kita umum (untuk bertanding) orang akan terima. Secara peribadi saya menghubungi rakan dan ketua bahagian, merayu (sokongan) itu saja," katanya.

Ditanya kemungkinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman turut bertanding jawatan sama: beliau berkata: "Itu hak dia. Di Johor pun sampai empat orang tanding (jawatan naib presiden), tak salah," katanya.

Perak tepis gimik politik

TAPAH: Badan Perhubungan Umno Perak menolak tanggapan muzakarah Pas-Umno sebagai gimik politik.

Pengerusinya, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, berkata muzakarah itu adalah pendekatan positif ke arah menyatupadukan kaum Melayu, sekali gus memperkasa perpaduan di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, muzakarah itu sepatutnya disokong oleh semua pihak, terutama orang Melayu.

Katanya, untuk membina perpaduan nasional yang kukuh, semua kaum wajar mengutamakan penyatuan semangat terlebih dulu seperti orang Melayu dengan kaumnya, Cina dengan kaumnya dan orang India dengan kaumnya sendiri.

Beliau berkata, proses penyatuan sesama kaum akan membawa kepada perpaduan nasional yang lebih mantap, sekali gus menjadi aset bernilai dalam negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

“Majlis muzakarah mempunyai kewajaran dan perlu disokong demi kepentingan Melayu yang sinonim bila dikatakan Melayu adalah Islam,” katanya.

Pemuda Umno, PAS Johor bantah forum Artikel 11

JOHOR BAHRU: Pemuda Umno Johor dan PAS negeri meminta polis dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) membatalkan penganjuran forum awam bagi membincangkan perkara mengenai Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di sini pada 22 Julai.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu Khalid Mohamad berkata penganjuran forum yang bertujuan membincangkan perkara-perkara yang sensitif kepada umat Islam diperlu dihalang kerana ia berpotensi menimbulkan kekacauan.

"Kami minta polis Johor memantau penganjuran forum tersebut. Umat Islam dalam negeri merasa tercabar dengan penganjuran forum ini, yang mempunyai niat buruk terhadap agama dan umat Islam. Kami bantah sekeras-kerasnya penganjuran forum itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Umno Johor turut menggambarkan kumpulan penganjur forum tersebut sebagai "pelampau" dan meminta agar polis tidak mengeluarkan permit penganjuran forum yang dijadualkan berlangsung dari 9 pagi hingga 1 tengah hari, 22 Julai itu.

Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada hak kebebasan setiap orang untuk beragama, dan antara yang dijangka berucap pada forum bertajuk 'Federal Constitution - Protection For All' (Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan buat Semua) itu termasuk Prof Shad Salem Faruqi dan Malik Imtiaz Sarwar.

Sementara itu Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor Mazlan Aliman berkata pihaknya akan membuat laporan polis esok meminta pihak berkuasa membatalkan penganjuran forum awam tersebut.

Menurutnya, penganjuran forum Artikel 11 itu perlu dibatalkan kerana ia mempunyai agenda tersirat untuk memburuk-burukkan agama Islam dan meletakkan Undang-undang Syariah di bawah Undang-undang Sivil.

"Tindakan membuat laporan polis serta kepada Jabatan Agama Islam Johor itu merupakan suatu tindakan diplomasi dari pihak kita. Jika penganjur masih enggan membatalkannya, kita beri amaran, akan bertindak lebih agresif," katanya.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JAIJ Yosree Ikhsan yang dihubungi pula berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat tentang penganjuran forum kontroversi itu.

"Jika kita terima aduan rasmi dari mana-mana pihak, JAIJ akan menyiasatnya," katanya.

PAS tolak cadangan tubuh kerajaan campuran bersama Umno

PUTRAJAYA: Umno pernah mengajak PAS bagi menubuhkan kerajaan campuran dibeberapa negeri termasuk di mana kedua-dua parti itu boleh menubuhkan kerajaan tetapi ditolak oleh pemimpin tertinggi parti itu.

Menurut sumber, tiga pemimpin tertinggi PAS, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaafar dan bendahari Dr Hatta Ramli menolak pelawaan Umno itu setelah beberapa sesi rundingan dijalankan.

Beliau yang turut mewakili Umno dalam rundingan itu mendedahkan bahawa cadangan itu bagaimanapun mendapat reaksi positif daripada Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Matlamat utama cadangan berkenaan, tegasnya, adalah untuk mengukuhkan perpaduan Melayu serta memastikan kestabiliti politik yang berkekalan di negara ini.

"Kita telah mengadakan beberapa rundingan dengan PAS. Beberapa pemimpin telahpun berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan cadangan Umno itu, tetapi akhirnya mereka menolak.

"Malah Pengerusi PAS Perak Ahmad Awang ketika menolak cadangan Umno itu berkata parti itu lebih rela bekerjasama dengan parti orang kafir daripada bekerjasama dengan Umno yang dituduhnya parti zalim.

"Kerana itu, saya menganggap pemimpin-pemimpin PAS adalah hipokrit kerana di hadapan umum bercakap mengenai perpaduan Melayu serta kemungkinan bekerjasama dengan Umno, tetapi di belakang sanggup bekerjasama dengan DAP daripada dengan kita," katanya kepada mStar online Khamis.

Hadi pada hari Rabu menyatakan kesanggupan PAS bermuafakat dengan Umno demi kesepakatan orang Melayu.

Menurut sumber itu lagi, rundingan mengenai penubuhan kerajaan campuran Umno-PAS itu melibatkan beberapa pemimpin tertinggi Umno serta pemimpin tertinggi PAS termasuk ahli-ahli majlis syuranya.

Katanya, menurut rundingan itu, kerjasama melalui kerajaan campuran Umno-PAS itu sepatutnya bermula dengan negeri Perak, tetapi setelah beberapa kali pertemuan diadakan, PAS menolaknya walaupun mereka ditawarkan jawatan tinggi dalam kerajaan campuran itu.

Sumber itu berkata, pemimpin PAS yang terlibat dalam sesi rundingan itu, termasuk Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa memberitahu bahawa mereka lebih percaya kepada janji yang diberikan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pemimpin Umno.

PAS, menurut sumber itu lagi, percaya kepada janji Anwar bahawa jika parti itu bersepakat dengan DAP dan PKR mereka boleh menumbangkan kerajaan pusat Barisan Nasional.

Nik Aziz: Penggabungan Pas - Umno ibarat campuran lelaki dan wanita

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata penggabungan antara parti itu dan Umno adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana percantuman itu ibarat pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahram, sesuatu yang ditegah oleh agama.

"Macam laki-laki dengan perempuan tak boleh bertemu. Hendak gabung tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan East Computech System Sdn Bhd di sini hari ini.

Menurut Nik Aziz antara faktor lain yang menyebabkan penggabungan itu sukar adalah Umno pernah menyingkirkan anggotanya yang kemudian menubuhkan Pas.

"Boleh jika nak gabung, tapi Umno perlu ubah dasar dia...daripada kebangsaan kepada Islam," katanya.

Dalam ucapannya, Menteri Besar Kelantan itu meminta umat Islam mengubah cara penyampaian tradisi seperti berceramah di masjid dan surau kepada penggunaan teknologi dalam menyebarkan agama Islam.

"Sampai bila hendak guna cara ini. Kita berdakwah ini macam berniaga, bukan orang cari kita tapi kita cari orang," katanya.

Beliau berkata dengan kecanggihan teknologi sekarang, satu daripada caranya ialah menggunakan Internet untuk berdakwah kepada kaum lain.

"Contohnya (ialah) menggunakan bahasa Cina di dalam Internet dengan menulis artikel-artikel yang mudah difahami untuk menarik minat mereka terhadap Islam," kata Nik Aziz

Penyokong bukan Islam bimbang hasil muzakarah PAS-Umno

KOTA BAHARU: Kelab Penyokong PAS Kebangsaan berkata langkah parti itu mengadakan muzakarah dengan Umno akan menimbulkan kebimbangan di kalangan anggota akar umbi dan penyokong bukan Islam parti itu.

Sambil menegaskan muzakarah dengan Umno adalah sesuatu yang tidak akan menguntungkan PAS, pengerusi kelab itu, Hu Pang Chaw, berkata sokongan terutamanya daripada masyarakat bukan Melayu terhadap PAS mungkin terhakis.

"Kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lepas bukan sahaja kerana pengundi Melayu, tetapi juga sokongan pengundi bukan Melayu, faktor ini perlu diambil kira," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya Umno kini menghadapi kemelut dalaman dan penyokong tidak mahu PAS dijadikan perangkap untuk membina semula kekuatan Umno.

Hu bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS perlu belajar daripada pengalaman lepas apabila kerjasama dengan Umno hanya akan menghakis kekuatan PAS.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, berkata muzakarah dengan PAS menunjukkan Umno dan Barisan Nasional (BN) kini semakin terdesak.

"Kita bimbang Umno menggunakan muzakarah untuk melemahkan Pakatan Rakyat dan dalam masa yang sama menutup kelemahan dalam parti mereka," katanya

PAS ajak Umno bincang isu orang muda

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Pusat menjemput pergerakan Pemuda Umno untuk mengadakan perbincangan bersama berhubung beberapa isu yang menyentuh kepentingan generasi muda negara ini.

Ketuanya Salahudin Ayub berkata sejak kebelakangan ini banyak isu nasional telah dibangkitkan ke pengetahuan rakyat dan sewajarnya kedua-dua sayap parti politik utama mewakili orang Melayu di negara ini berjumpa dan bersama-sama mengatasinya.

"Kita mahu masyarakat melihat pemuda Pas dan Umno bukan hanya bertarung atas pentas politik semata-mata tetapi adalah satu kumpulan yang berkongsi pentas bagi mewakili satu golongan.

"Ia adalah golongan muda yang diwakili oleh kami berdua," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Salahudin mengulas demikian mengenai surat yang dikirimnya semalam kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mencadangkan satu pertemuan diadakan bagi membincangkan perkara terbabit bagi merealisasikannya.

Salahuddin berkata percubaan kali keduanya itu diharapkan membuahkan hasil selepas jemputan bagi membincangkan isu gejala sosial kira-kira dua tahun lepas tidak mendapat maklum balas daripada Pemuda Umno.

Umno-PAS selalu berjumpa tapi tidak formal

PETALING JAYA: Umno tidak mempunyai sebarang masalah jika pemimpin PAS mahu bertemu mereka bagi membincangkan pelbagai perkara untuk kepentingan politik dan rakyat.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata, Umno bersifat terbuka dan tidak ada masalah untuk berjumpa sesiapa sahaja daripada mana-mana parti termasuk daripada parti pembangkang.

“Kita di Umno terbuka dan kita tidak ada masalah untuk berjumpa sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Ketika ditanya sama ada Umno pernah mengadakan perbincangan dengan PAS bagi menerokai kerjasama masa depan seperti yang didakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan dengan Harakah, 8 Julai lalu, Muhammad berkata, perjumpaan dan perbincangan antara pemimpin kedua-dua parti itu memang selalu berlaku tetapi bukanlah secara formal.

“Kalau secara rasmi, memang tidak ada, tetapi jika tidak formal, memang selalu seperti di Parlimen dan kunjungan ke rumah kerana ada di antara kami yang berkawan sejak dari sekolah dan universiti.

“Kami tidak ada masalah untuk duduk dan makan minum bersama sambil membincangkan pelbagai isu,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan PAS perlu bekerjasama untuk mempertahankan politik Melayu di negara ini.

“Politik di Malaysia seharusnya bertunjangkan kaum Melayu kerana ini tanah air asal kita.

“Justeru, kita daripada Umno dan PAS perlu bekerjasama untuk mempertahankan politik Melayu di tanah air,” katanya

Berhubung kenyataan Abdul Hadi yang pertemuan mereka memberi penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah, Muhammad berkata, pembangunan yang dilaksanakan Umno di bawah Barisan Nasional (BN) pada masa ini sememangnya berteraskan prinsip Islam.

“Jika beliau kata yang kita tidak menekankan Islam, itu pandangan beliau.

“Pada saya, kita sudah adakan pelbagai kemudahan seperti membangunkan infrastruktur, merancang ekonomi, mewujudkan sistem pendidikan yang baik, menganjurkan masyarakat mempelajari sains dan teknologi dan mewujudkan keluarga bahagia.

“Dalam penanaman padi contohnya, kita wujudkan sistem perparitan dan saliran yang baik dan institusi perbankan dan insuran termasuk perbankan Islam, itu semua adalah tuntutan Islam.

“Islam itu luas, bukan hanya setakat membaca Quran sahaja,” katanya.