Tuesday, July 29, 2008

Pertemuan dua parti yang majoriti ahlinya Melayu Islam tidak harus disalahertikan oleh pihak lain

SEJAK Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan pemimpin Umno yang diketuainya mengadakan tiga pertemuan dengan pimpinan kanan Pas bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam dan kepentingan ummah di negara ini, pelbagai pihak memberi reaksi yang berbeza. Sementara ramai orang Melayu/Islam lega dengan perkembangan terbaru itu, tidak kurang juga sama ada di pihak Pas atau Umno sendiri, meragui niat pihak-pihak yang terbabit dalam pertemuan itu.

Keraguan mereka terhadap keikhlasan pertemuan antara dua parti orang Melayu/Islam terbesar itu tidak sukar difahami terutama di kalangan penyokong Pas. Ini adalah sejarah kedua-dua parti itu, sejak awal penubuhan lagi diselangi dengan perbalahan dan perdamaian. Pas, yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama dalam Umno pada 1951, pernah menjadi kerabat Barisan Nasional dan selepas keluar daripada gagasan itu, turut mengadakan beberapa muzakarah dengan Umno.


Pada 1986 misalnya, Pas di bawah kepemimpinan Allahyarham Yusof Rawa pernah mengadakan muzakarah dengan Umno atas pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan mengurangkan ketegangan antara penyokong kedua-dua parti ketika itu. Pertemuan di Seri Perdana pada malam 9 April itu turut dihadiri Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nakhaie Ahmad, masing-masing Timbalan Yang Dipertua Pas dan Naib Yang Dipertua Pas ketika itu. Selain Dr Mahathir, turut mewakili Umno dalam pertemuan itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Apabila Pas kemudian melihat pertemuan itu cuba digunakan untuk kepentingan politik individu tertentu dalam Umno terutama apabila perjumpaan yang seharusnya sulit itu, dibocorkan oleh kem Umno sendiri, ia tidak diteruskan. Malah, Yusof Rawa ketika menyatakan keengganan Pas meneruskan muzakarah, secara terbuka menuduh Anwar menjadikan pertemuan itu untuk kepentingan politik peribadinya.

Justeru, tidak hairanlah antara yang menyatakan rasa kurang senang terhadap pertemuan terbaru Umno-Pas ini adalah Mursyidul Am Pas sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebagai pemimpin kanan paling veteran dalam parti itu sekarang, memang wajar untuk beliau meragui keikhlasan Umno sehinggalah mendapat kepastian daripada Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas minggu lalu.

Majlis Syura Ulama bersetuju untuk mengadakan muqabalah dan bukannya muzakarah dengan Umno demi kemaslahatan umat Melayu dan agama Islam. Pas juga mensyaratkan pertemuan itu tidak akan membincangkan langsung soal perkongsian kuasa apalagi penggabungan dengan Umno. Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk mengatur lebih banyak pertemuan susulan ekoran tiga pertemuan yang dilihat positif itu serta menerima cadangan Pas supaya ia dipanggil muqabalah.

Berdasarkan penjelasan mereka yang arif bahasa Arab, muqabalah membawa erti pertemuan biasa atau bersemuka untuk mencari titik persefahaman atau perbezaan antara dua pihak yang bertelagah. Perbincangan dalam pertemuan itu pula lebih bersifat umum tanpa menetapkan topiknya. Muzakarah pula lebih mirip kepada saling mengingati antara satu sama lain dengan tumpuan kepada perbahasan dan perbincangan tertentu. Dalam kata lain, muzakarah dilihat lebih khusus dan berupa satu cabang muqabalah.

Apa pun panggilannya, bagi sebahagian umat Islam di negara ini, kesediaan pemimpin kedua-dua parti itu untuk duduk semeja berbincang mengenai nasib masa depan agama dan bangsa sudah cukup melegakan, terutama ketika semakin banyak suara sumbang memperlekehkan Islam dan umatnya di negara ini. Yang penting ialah kejujuran kedua-dua pihak untuk memberi perhatian kepada masalah dengan tidak menjadikan pertemuan ini bagi kepentingan peribadi atau parti masing-masing.

Walaupun sukar bagi kedua-dua pihak untuk bersepakat mengenai politik dan prinsip perjuangan parti, sebagai saudara seagama dan sebangsa, ahli Pas dan Umno tidak harus bertelagah berhubung perkara asas yang membabitkan masa depan Islam dan umat Melayu di negara ini. Mereka seharusnya bersetuju untuk tidak bersetuju mengenai pendekatan politik tetapi mesti sepakat berhubung soal kesucian Islam dan masa depan bangsa Melayu.

Selepas kegagalan muzakarah 1986 itu, pemimpin Umno dan Pas pernah beberapa kali berkongsi pentas dan pandangan. Pada Mei 2002, Dr Mahathir dan Allahyarham Fadzil Noor pada Syarahan Perdana mengenai Palestin dan Kemanusiaan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada sidang media bersama selepas majlis itu, Abdullah dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesepakatan antara kedua-dua parti bukan perkara baru kerana mereka pernah sependapat dalam beberapa isu lain sebelumnya.

Berdasarkan senario ini, pertemuan terbaru antara pemimpin Umno dan Pas tidak seharusnya dicurigai sama ada oleh penyokong fanatik parti masing-masing atau komponen dalam gabungan politik mereka. Apa yang dilakukan oleh Abdullah dan Hadi itu adalah kesinambungan kesediaan pucuk pimpinan parti masing-masing sebelum ini.

Bezanya idea pertemuan terbaru ini dengan muzakarah sebelumnya ialah ia bukan datangnya daripada Umno tetapi dicetuskan oleh Hadi sendiri dalam wawancara eksklusifnya dalam Harakahdaily. Apakah yang mendorong Hadi membuat pelawaan itu sedangkan Pas sebelum ini beberapa kali pernah dikecewakan Umno? Logiknya tentulah kepercayaan pucuk pimpinan Pas bahawa Umno di bawah kepemimpinan Abdullah tidak mungkin mengulangi kesilapan yang mambawa kepada kegagalan muzakarah kedua-dua parti itu sebelum ini.

Jika Pas pernah menyalahkan Anwar atas kegagalan muzakarah 1986 dan sering bertelagah pendapat dengan Dr Mahathir berhubung isu membabitkan Islam, mereka mungkin melihat Abdullah lebih senang dibawa berunding dan boleh dipercayai. Kepercayaan Pas terhadap Abdullah juga mungkin ada kaitannya dengan sejarah penubuhan parti itu ekoran cadangan Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab Umno Bagan, Butterworth 57 tahun lalu. Ini kerana salah seorang anggota jawatankuasa penaja Pas yang dipengerusikan Haji Ahmad Fuad Hassan itu ialah Haji Ahmad Badawi Abdullah, bapa Perdana Menteri sendiri.

No comments: