Wednesday, October 29, 2008

Pastikan komposisi Melayu dalam projek hartanah

Sejauh mana pembangunan perumahan di negara ini menguntungkan bumiputera yang merupakan penduduk asal dan majoriti negara ini?

Adakah syarat sekurang-kurangnya 30 peratus dalam penjualan hartanah kediaman benar-benar dipatuhi pada ketika sebahagian besar daripadanya boleh dijual kepada orang lain termasuklah warga asing?

Hal berkaitan pemilikan hartanah dan kediaman ini mesti diberi perhatian bagi mengelakkan ketidakseimbangan komposisi kaum antara bandar dan luar bandar.

Kita tidak mahu kawasan bandar terus dimonopoli oleh kaum tertentu manakala imej kawasan luar bandar pula akan terus dikaitkan sebagai kubu kuat penempatan masyarakat Melayu yang juga sedang menanti dibaham oleh pembangunan.

Apa yang dikhuatiri, ia akan melebarkan lagi jurang interaksi antara kaum yang tentunya tidak sihat untuk perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Oleh itu, setiap kerajaan negeri serta seluruh Pihak Berkuasa Tempatan perlu konsisten dalam mengekalkan tanah-tanah milik Melayu sedia ada sekalipun kawasan-kawasan tersebut dibangunkan.

Mengapa syarat 30 peratus tidak ditingkatkan menjadi 67 peratus selari dengan komposisi sebenar bumiputera pada ketika ramai orang Melayu kini dikatakan semakin stabil kedudukan ekonominya sehingga membawa kepada proses liberalisasi bagi menggantikan unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Pembangunan hartanah dan pembukaan bandar-bandar baru moden seluruh negara usah meminggirkan kedudukan pemilikan bumiputera. Agenda menyusun semula masyarakat tidak seharusnya hanya tertumpu di luar bandar sebaliknya fokus tersebut perlu turut dihalakan ke kawasan bandar.

Tindakan pemaju yang mendirikan begitu banyak rumah kediaman kos tinggi yang harganya begitu mahal ibarat racun kepada peratusan pegangan hartanah kediaman orang Melayu pada masa depan.

Ironinya, boleh dikatakan setiap pembangunan kawasan perumahan baru sebenarnya adalah di atas tanah yang asalnya dimiliki oleh orang Melayu.

Di Kuala Lumpur misalnya, kawasan- kawasan yang asalnya merupakan kampung tradisi Melayu semakin menyusut diratakan oleh projek pembangunan yang gagal menjamin hak milik bumiputera dikekalkan sama seperti sebelum dimajukan apatah lagi ditingkatkan.

Atas dasar pengambilan atau penukaran status tanah, maka banyak bidang tanah termasuklah tanah rizab Melayu akhirnya bukan lagi milik orang Melayu.

Menyedari hakikat pentingnya pemilikan hartanah bagi menjamin kelangsungan politik, ekonomi dan sosial bumiputera pada masa depan, suatu mekanisme bagi memastikan tanah yang sedia ada terus kekal milik Melayu mestilah dilaksanakan segera. Pendek kata, hidup mati orang Melayu kelak bergantung kepada pemilikan hartanah.

Dalam masa yang sama, orang Melayu juga harus ditarik untuk sama-sama berebut memiliki hartanah kediaman atau komersial di kawasan-kawasan bandar baru bagi mengelak 'suburnya' fenomena dominasi kaum tertentu di bandar-bandar seluruh negara.

Bukan masa ubah dasar



Banyak syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah milik bukan bumiputera.

UNTUK rekod, pemilikan ekuiti di kalangan orang Melayu setakat ini cuma berjumlah 18.9 peratus, manakala kaum bukan bumiputera pula sebanyak 40.6 peratus. Selebihnya iaitu kira-kira 40.5 peratus ekuiti dimiliki oleh warga asing.

Jika angka itu diteliti dengan bijak dan tanpa sebarang maksud yang tersembunyi, pastinya ramai yang bersetuju bahawa jumlah 18.9 peratus itu masih terlalu jauh daripada angka 30 peratus seperti yang diperuntukkan kepada bumiputera dalam dasar pemilikan ekuiti.

Justeru, apakah sebenarnya yang menjadi kebimbangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai terhadap dasar pemilikan ekuiti bumiputera yang sebenarnya tidak pun mencapai sasaran sehingga sanggup dipersoalkan?

Adalah satu kedangkalan untuk mengatakan peruntukan ekuiti bumiputera itu mengekang daya saing sesebuah syarikat terutamanya dalam berdepan dengan krisis ekonomi global, sedangkan dasar yang sama juga selama ini melonjak kepada kekukuhan ekonomi negara.

Bagaimana pula dengan puluhan atau mungkin ratusan syarikat senaraian awam yang langsung tidak mempraktikkan dasar peruntukan 30 peratus ekuiti kepada bumiputera tetapi masih dibenarkan beroperasi?

Adakah terlalu sukar untuk melihat toleransi kerajaan itu adalah atas semangat untuk menjaga keharmonian antara kaum dan memberikan ruang sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia mengecapi kekayaan negara meskipun ia jelas membelakangkan dasar dan Perlembagaan negara?

Umum mengetahui bahawa meskipun komposisi orang Melayu di negara ini berjumlah 67 peratus, iaitu jauh lebih tinggi berbanding kaum Cina (25 peratus) dan India (tujuh peratus), namun penguasaan ekonomi orang Melayu sangat terkebelakang.

Selain pemilikan ekuiti yang rendah, kaum bumiputera juga hanya menguasai 20.3 peratus pemilikan syarikat berbanding bukan bumiputera iaitu sebanyak 75.7 peratus.

Malah, daripada aspek penguasaan ekonomi lain seperti pemilikan bangunan komersial, jawatan pengurusan tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), perbandingan antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera ibarat langit dan bumi.

Adalah sesuatu yang menyedihkan seperti yang dijelaskan oleh pensyarah ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilihat sangat lemah selepas pilihan raya umum lalu, secara berterusan dieksploitasi oleh rakan-rakan dalam barisan yang sama.

Cubaan demi cubaan yang menekan kerajaan untuk melepaskan satu persatu kepentingan orang Melayu katanya, tidak lebih daripada tindakan keterlaluan untuk memperlihatkan kerajaan terutamanya UMNO tidak lagi kuat, walhal parti komponen yang mewakili kaum Cina itulah yang sebenarnya ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.

Tanpa mengambil kira sensitiviti orang Melayu, isu-isu yang membabitkan kaum bumiputera yang dibangkitkan baik oleh pembangkang apatah lagi di kalangan parti komponen BN sendiri, dilakukan dengan niat seolah-olah untuk mencabar.

Dalam ketika gelora politik masih belum reda kini, sebarang pendirian atau pandangan yang menyentuh mengenai kaum lain, tidak wajar dilontar secara terbuka, apatah lagi oleh seorang pemimpin kanan bertaraf menteri.

Kenyataan-kenyataan berbentuk menjuarai sesuatu kaum dan terserlah cuba untuk meraih populariti, akan hanya mengusutkan lagi suasana politik sedia ada dan memanjangkan perdebatan isu-isu sensitif yang boleh mengeruhkan semangat perpaduan.

Mendominasi

Membincangkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan sesuatu kaum oleh mana-mana pemimpin sekali pun, sewajarnya mengambil kira masa dan wadah yang sesuai, dan sesuatu yang jelas kini bukanlah waktu dan ketikanya.

"Apatah lagi ketika kaum bukan bumiputera lebih mendominasi ekonomi dan kekayaan negara, permintaan sebegitu hanya membayangkan sikap tamak segelintir pihak yang masih berasa tidak cukup dengan kelebihan yang dinikmati," ujar Haim.

Mengajak kaum bumiputera untuk bersaing secara adil dan saksama di gelanggang ekonomi terbuka juga bukanlah satu cabaran yang terlalu gerun untuk disahut. Malah, sudah ramai orang Melayu yang membuktikan bahawa mereka juga mampu menguasai ekonomi jauh lebih hebat daripada kaum-kaum yang lain.

Namun, agenda kerajaan khususnya memperkasakan kaum bumiputera terutamanya orang Melayu secara keseluruhannya masih terlalu jauh. Apatah lagi dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi di kalangan penduduk luar bandar dan pedalaman yang masih terkebelakang.

Menurut Haim, tanpa bimbingan, dorongan, sokongan dan insentif tertentu kepada golongan ini, membuka persaingan secara merit kononnya untuk mempersiapkan diri dalam persekitaran ekonomi global, hanya akan mengundang lebih banyak masalah.

Justeru, peruntukan khusus kepada bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan atau dasar negara sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sebagainya sewajarnya dipertahankan dan dijayakan dengan sebaik-baik mungkin.

Kerajaan juga tambah Haim, pastinya tidak mempunyai halangan untuk menghapuskan peruntukan ekuiti itu setelah benar-benar yakin golongan yang ingin dibantu mampu berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan sokongan tertentu.

Namun sehingga itu, kerajaan perlu kekal dengan tanggungjawab menyediakan sokongan sewajarnya sama ada dalam bentuk pembangunan modal insan, pelaburan dan sebagainya dalam menawarkan ruang dan peluang yang sama kepada semua golongan.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, parti mana sekali pun yang memerintah negara perlu memastikan taraf hidup dan sosio-ekonomi kaum majoriti sentiasa dibela dan dipertahankan.

"Kerajaan yang gagal merubah nasib dan masa depan kaum majoriti, adalah sebuah kerajaan yang gagal. Bagaimana cara pelaksanaan dan penyampaiannya bergantung kepada dasar yang ditetapkan oleh pemerintah," tambah beliau.

Hakikatnya, biar sebanyak mana sekalipun dasar diperkenalkan oleh kerajaan, kaum bukan bumiputera sedikit pun tidak pernah diabaikan, malah masih mampu meraih kekayaan tanpa sebarang halangan.

Sewajarnya juga, dasar-dasar itu tidak dilihat sebagai ancaman kepada kaum lain, sebaliknya lebih kepada satu usaha untuk meningkatkan taraf sosio bumiputera terutamanya orang Melayu yang realitinya masih jauh ketinggalan.

Bagaimana pula jika kaum bumiputera meminta kerajaan memperkecilkan lagi penguasaan ekonomi bukan bumiputera dengan meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera sehingga 50 peratus? Tidakkah tercalar perasaan bukan bumiputera dengan tuntutan sebegitu?

Dengan sekian banyak ancaman ke atas keistimewaan kaum bumiputera dijadikan senjata berkepentingan politik oleh segelintir pihak, orang Melayu tidak lagi boleh sekadar memandang dan membiarkan sesuatu selama ini menjadi hak mereka gugur satu per satu.

Tanpa mengambil kira perbezaan ideologi atau asas perjuangan parti, kaum bumiputera perlu bersatu hati dalam mengekang suara-suara yang berterusan menyerang secara membuta tuli apa yang selama ini menjadi hak dan keistimewaan masyarakat bumiputera.

Hentikan kenyataan pertikai hak-hak bumiputera

UNGKAPAN 'Melayu mudah lupa' kini boleh dikaitkan dengan masyarakat bukan Melayu. Bukan lama pun Majlis Raja-Raja Melayu menyeru supaya falsafah Perlembagaan negara yang menyentuh kontrak sosial - hak-hak istimewa institusi Raja dan orang Melayu - perlu dijaga serta tidak terus dipersoalkan.

Tetapi rentak untuk membangkitkan perkara yang agak sensitif ini masih mahu dikeluarkan oleh pemimpin kanan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Apakah rasional kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai hingga mencadangkan kerajaan supaya syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam dimansuhkan.

Apakah apabila dimansuhkan ia akan menjamin daya saing syarikat berkenaan? Menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat awam disifatkan sebagai satu cadangan yang tidak bertanggungjawab.

Janganlah tunjukkan sikap tamak hingga melupakan golongan yang tertinggal dalam menikmati hasil ekonomi negara. Apakah tidak cukup kekayaan yang sudah dibolot sejak merdeka dan kini mahu kesemua hasil kemakmuran ekonomi negara ingin dikaut semua tanpa memikirkan nasib golongan bumiputera?

Mana-mana pemimpin politik yang ingin mencadangkan supaya syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam dihapuskan, ia perlu realistik.

Selepas lebih 18 tahun Dasar Ekonomi Baru diganti dengan Dasar Ekonomi Nasional, matlamat mencapai 30 peratus pegangan ekuiti bumiputera dalam kek ekonomi negara masih jauh. Sehingga sekarang pegangan bumiputera hanya sekitar 19 peratus.

Oleh itu, wajarkah syarat ini dimansuhkan? Jika cadangan ini dilayan, apakah wujud lagi jaminan bahawa bumiputera akan mendapat pembelaan dan agihan dalam ekonomi negara.

Hakikatnya sekarang, semua kaum sedar bahawa bumiputera masih ketinggalan dalam bidang ekonomi, walhal mereka adalah penduduk majoriti negara ini.

Kita setuju syarat itu dimansuhkan setelah matlamat yang cuma mahu 30 peratus pegangan ekuiti itu mencapai kejayaan. Selagi agenda bumiputera itu belum tercapai, biarlah ia dipertahankan walaupun terpaksa memakan masa 50 tahun atau lebih seabad lagi.

Pada masa sekarang kita harap kerajaan memberi tumpuan untuk mengharungi cabaran ekonomi yang menuju kegawatan seperti sedekad yang lalu. Jangan tertekan dengan cadangan MCA itu.

Kita perlu membuat langkah-langkah persediaan untuk menghadapi suasana ekonomi dunia yang kurang menentu sekarang. Ini bukan masa untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan mendesak dibuat perubahan dalam dasar-dasar kerajaan yang dirasakan tidak perlu pun diubah lagi.

Oleh itu, kita menyeru kepada pemimpin politik baik komponen BN atau pakatan pembangkang supaya berhentilah daripada mengeluarkan sebarang cadangan atau usul yang berkaitan dengan hak bumiputera.

Tindakan itu adalah wajar demi menghindar daripada timbulnya bibit-bibit rasa tidak puas hati antara kaum.

Melayu tidak pernah minta hak bukan bumiputera

MCA melalui naib presidennya, Datuk Liow Tiong Lai meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputra dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing. Ini adalah satu lagi suara sumbang daripada MCA yang menyentuh hati masyarakat bumiputera di negara ini.

Apa lagi yang mereka mahu supaya masyarakat Cina kembali menyokong parti itu yang kalah teruk dalam pilihan raya umum Mac lepas.

Masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu tidak pernah pun menyentuh dan meminta orang Cina memberikan hak mereka kepada bumiputera. Perhatikan sahaja ratusan ribu syarikat milik persendirian dan sendirian berhad milik seratus peratus orang Cina di negara ini yang berkembang maju dan langsung tidak dipersoalkan oleh orang Melayu.

Kita tidak perlu meneliti rekod Pendaftar Syarikat (RoC) mengenai ekuiti masyarakat Cina di negara ini. Cuba kita lihat sekeliling dengan memandu kereta dan melawat ke serata bandar besar dan kecil di seluruh Malaysia, lihat siapa yang pemilik perniagaan dan kekayaan di negara ini.

Dengan ini saya pinta kerajaan supaya tidak tunduk dengan permintaan MCA kerana hanya mahu popular di hati masyarakat Cina. Ekuiti 30 peratus dalam syarikat awam adalah tidak seberapa jika dilihat dalam konteks ekuiti saham keseluruhannya. Ini adalah satu cara kerajaan meningkatkan ekonomi bumiputera setaraf dengan kaum bukan bumiputera.

Bagi sesebuah syarikat untuk berdaya maju ia bukan kerana ekuiti pemegang sahamnya tetapi adalah dari segi pengurusannya. Pihak pengurusan mesti mematuhi etika pengurusan yang baik bagi memajukan syarikat.

Contoh terbaik ialah apa yang berlaku dalam krisis kewangan Amerika Syarikat sekarang. Syarikat-syarikat yang besar seperti Lehman Brothers, AIG, Bear Sterns dan Merrill Lynch pun boleh tumbang walaupun mengamalkan pasaran bebas.

Walaupun bumiputera memegang ekuiti 30 peratus, pihak pengurusannya masih lagi dipegang oleh kaum bukan bumiputera. Bumiputera adalah pemegang saham yang pasif. Pernahkah orang Melayu bertanya berapa ramaikah kaum bumiputera yang memegang jawatan pengurusan di syarikat-syarikat seperti Resort World, Sunway, IOI Berhad, Public Bank dan banyak lagi.

Di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula kaum bumiputera lebih kelihatan memegang jawatan tertinggi dalam syarikat. Pernahkah orang Melayu bertanya, berapa ramaikah kaum bumiputera memegang jawatan pengurusan pada peringkat pertengahan.

Sebagai seorang yang pernah bekerja dalam syarikat GLC yang terbesar di negara ini, saya tidak merasakan bahawa saya memegang jawatan kanan dalam syarikat itu kerana status saya seorang bumiputera.

Bumiputera sepatutnya mendapat jawatan yang lebih kerana ekuiti syarikat-syarikat GLC dipegang oleh majoritinya bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan beberapa institusi yang lain. Tetapi pihak pengurusan tidak pula menyisihkan kaum bukan bumiputera dalam syarikat-syarikat GLC.

Saya cadangkan MCA pergi membuat lawatan ke syarikat-syarikat GLC untuk mengetahui keadaan sebenar. Kalaupun peratusannya lebih, ia adalah di peringkat bawahan seperti kerani dan pengawal keselamatan.

Sepatutnya syarikat-syarikat awam bukan GLC yang ekuitinya 30 peratus dipegang oleh bumiputera, pihak pengurusannya harus juga mengandungi 30 peratus kaum bumiputera. Tetapi ini tidak pun berlaku.

Lebih banyak syarikat awam bukan GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia berbanding dengan syarikat-syarikat GLC. Kaum bumiputera tidaklah setamak itu dan menuntut haknya. Kaum bumiputera telah banyak bertolak ansur.

Saya minta MCA tidak mengungkit perkara-perkara yang telah pun dipersetujui dalam Dasar Ekonomi Baru sebaliknya bekerjasama memperbaikinya. Kesan buruk ekonomi dunia bukannya daripada polisi pegangan ekuiti sesebuah syarikat, sebaliknya adalah daripada manusia-manusia yang tamak.

Dengan ini saya minta pucuk pimpinan negara supaya tidak tunduk dengan tekanan dan ugutan daripada mana-mana pihak. Semua masyarakat di negara ini berhak menikmati kekayaan dengan saksama.

Jika kerajaan tunduk dengan permintaan ini, saya percaya negara akan kembali seperti sebelum merdeka di mana sektor ekonomi akan dimonopoli oleh satu kaum sahaja.

Kerjasama kaum lebih penting

PUTRAJAYA 29 Okt. - Kerjasama pelbagai kaum untuk menghadapi cabaran ekonomi global adalah lebih penting daripada soal pemilikan ekuiti dalam syarikat awam, kata Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai.

Menurutnya, daripada berbincang mengenai soal pengagihan ekuiti antara pelbagai kaum, negara ini sepatutnya lebih menitikberatkan perkara mengenai daya saing negara dalam arena ekonomi global yang mencabar.

‘‘Pada hari Deepavali, mereka (pemberita) tanya saya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), saya pun jawab bahawa MCA mengalu-alukan kenyataan itu dan berpandangan positif dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara.

‘‘Lepas itu ada wartawan tanya mengenai soal ekuiti dan saya menjawab bahawa ekuiti itu bukannya penting tetapi apa yang lebih penting ialah kerjasama antara kaum, bergabung tenaga untuk meningkatkan produktiviti dan daya persaingan negara.

‘‘Adalah tidak bermakna (untuk bercakap mengenai pengagihan ekuiti) jika negara tengah menghadapi cabaran ekonomi yang besar,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai permintaan MCA supaya kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Tidak tepat pada masanya

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan desakan MCA untuk memansuhkan pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam sebagai cadangan yang tidak tepat pada masanya.

Pengerusinya, Datuk Reezal Merican Naina Merican menegaskan, tidak wujud keperluan yang sangat mendesak agar perkara-perkara asas seperti itu dibincangkan dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keperluan liberalisasi persaingan tidak disambut dengan semangat yang betul oleh rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN).

''Keperluan bumiputera bersedia untuk bersaing secara terbuka tidak bermakna suatu pendekatan yang melampau dan 'ad-hoc' boleh dilaksanakan dalam masa ini,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Tiong Lai berkata, elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara kini adalah daya saing yang kuat bagi membolehkan negara berhadapan dengan kesan buruk ekonomi dunia.

Dr. Mahathir tidak setuju hapus ekuiti bumiputera

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam tidak boleh dihapuskan sekarang kerana penghapusannya belum tentu menjamin daya saing syarikat-syarikat tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai bahawa penghapusan pegangan ekuiti itu akan memastikan daya saing syarikat berkenaan.

Katanya, apabila sudah mencapai matlamat ekuiti pemilikan 30 peratus bumiputera, maka ketika itu bolehlah syarat tersebut dimansuhkan.

''Kalau sudah tercapai matlamat, ekuiti itu patut kita hapuskan. Sekarang belum tercapai. Banyak lagi nak kena buat. Kalau 20 peratus hari ini tidak berkembang, sedangkan ekonomi berkembang 20 peratus, itu akan kurang, jadi ini semua kena ambil kira.

''Kalau kita sudah capai, kita hapuslah, belum capai tak boleh. Walaupun kita boleh ubah tapi matlamat kita kena jaga. Saya fikir waktu ini tak bolehlah. Bukan masa nak buat penyesuaian apa-apa pun, dunia sedang huru-hara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, sekiranya hak bumiputera mahu dikurangkan kepada 20 peratus maka hak bukan bumiputera seharusnya diturunkan juga.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pertikaian hak-hak istimewa orang Melayu, beliau berkata, orang selalu bercakap tentang hak keistimewaan Melayu tetapi lupa bahawa orang bukan Melayu juga ada hak mereka.

''Ya, kita selalu cakap. Tetapi orang bukan Melayu ada hak juga. Kalau ambil hak Melayu, maka kena ambil hak bukan Melayu. Kita kena cakap secara rasional, jangan tumpu satu pihak sahaja," ujarnya.

Mengulas sama ada wujud perpecahan berikutan pertandingan antara anak beliau, Datuk Mukhriz dan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, Dr. Mahathir berkata, tidak bermakna dengan adanya pertandingan maka timbul juga perpecahan.

Jangan ikut rentak pembangkang

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Para pemimpin UMNO mengingatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak terikut-ikut dengan rentak parti pembangkang yang sengaja mahu menyentuh hak Melayu dan bumiputera demi kepentingan masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, semua parti komponen BN sepatutnya memikirkan cara untuk menambah kekuatan ekonomi dan bukannya berebut-rebut mengenai kuota sedia ada.

"Saya ingatkan apabila ada kepimpinan baru dalam MCA, akan lahir idea baru untuk menambah pendapatan ekonomi negara dan tidak lagi membangkitkan isu lapuk berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai semalam yang meminta kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Tiong Lai berkata, merit atau daya saing sesebuah syarikat itu yang perlu diberikan keutamaan dan bukannya persoalan berkaitan ekuiti bumiputera.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, permintaan MCA itu disifatkan sebagai cubaan untuk meraih populariti daripada ahli parti itu sendiri.

"Mereka hendak meluahkan perasaan dan menjadi popular dengan niat mahu memperjuangkan nasib ahli.

"Pemimpin parti komponen juga sedang mencari perhatian untuk peralihan kepimpinan parti masing-masing. Bagaimanapun, parti itu harus jelas mengenai isu itu dan harus melihat pandangan semua pihak," katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin pula berkata, MCA perlu lebih prihatin dengan kepentingan kaum bumiputera dalam ekonomi negara dan bukan mengeluarkan kenyataan bersifat 'cakap-cakap politik' semata- mata.

"MCA sebagai parti memerintah adalah sebahagian daripada kerajaan yang mentadbir semua kaum termasuk bumiputera di negara ini.

"Adakah MCA akan berpuas hati jika kaum bumiputera mendapat kadar ekuiti yang lebih rendah berbanding 30 peratus sekarang?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, MCA perlu mencadangkan satu kadar yang baru jika parti itu mahu kadar 30 peratus bumiputera dalam pemilikan ekuiti syarikat awam dimansuhkan.

Pendapat yang sama turut dilontarkan oleh seorang lagi ahli MT, Datuk Shahrir Abdul Samad yang menegaskan, perkara itu sepatutnya dikemukakan oleh Tiong Lai pada perbincangan dengan pemimpin tertinggi BN.

"Tidak sewajarnya hal sensitif ini dibincangkan secara terbuka kerana ia menyentuh perasaan orang Melayu dan bumiputera,'' katanya.

Menurut beliau, masih ada ruang kepada MCA untuk mengemukakan apa juga cadangan tetapi biarlah ia dibincangkan dulu dengan pemimpin tertinggi BN.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Tiong Lai menyalah tafsir kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu DEB diganti secara beransur-ansur.

Menurut beliau, Najib dengan jelas menyatakan unsur-unsur DEB boleh dihapuskan apabila bumiputera sudah mempunyai daya saing dan tidak lagi memerlukan bantuan daripada kerajaan.

"Justeru, cadangan Tiong Lai akan merumitkan lagi usaha untuk memastikan bumiputera lebih berdaya saing dalam bidang ekonomi,'' katanya.

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Reezal Marican Naina Marican berkata, cadangan itu tidak kena pada masanya dan tidak harus diperkatakan pada masa ini.

"Dalam suasana ekonomi yang sukar fokus kita lebih wajar tertumpu kepada usaha mencari ruang ekonomi baru.

"Aliran pemikiran 'mansuh dan ketepi' apa yang menjadi asas selama ini, mestilah dibuat dengan semangat dan dalam masa yang betul. Kita amat berharap, agar kenyataan seperti ini tidak dibuat secara membuta tuli dan semberono," katanya.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron berkata, walaupun bumiputera diperuntukkan ekuiti tersebut, kaum Cina dan India turut diberi hak pemilikan yang sama rata dalam sesuatu syarikat awam berkenaan.

Menurutnya, melalui pelaksanaan itu, semua kaum tidak pernah dinafikan hak mereka dan turut menikmati pelbagai kemudahan daripadanya.

"Biarpun bertujuan mengangkat taraf ekonomi bumiputera agar sama dengan kaum-kaum lain, hakikatnya, pemilihan hak sama rata dengan kaum lain tetap diutamakan,'' katanya.

Exco Puteri UMNO, Nolee Ashilin Radzi berkata, syarat tersebut tidak wajar dibatalkan kerana ia sudah terkandung dalam Wawasan 2020 yang mana negara mengimpikan rakyat bersaing secara saksama dan boleh berdikari.

"Itu sebenarnya terkandung dalam Wawasan 2020 di mana kita mengimpikan sebuah negara yang rakyatnya boleh bersaing secara saksama dan boleh berdikari tanpa 'tongkat'," katanya.

Beliau berkata, pada hari ini bangsa Melayu secara umumnya belum mampu bersaing dan memerlukan sokongan kerajaan untuk terus maju dalam ekonomi.

Pemilikan ekuiti Melayu hanya 19 peratus

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pencapaian bumiputera dalam pemilikan ekuiti syarikat senaraian awam setakat ini baru mencapai 19 peratus, jauh daripada 30 peratus yang disasarkan sewaktu Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan kerajaan pada 1970.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, sehubungan itu cadangan agar syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam dimansuhkan tidak boleh diterima sama sekali.

‘‘Sebelum mengutarakan cadangan begitu, pihak-pihak berkenaan harus mengkaji kedudukan ekonomi kaum Melayu dan bumiputera terlebih dahulu,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Meraikan Kejayaan GiatMara di sini hari ini.

Beliau menambah, syarikat bukan bumiputera yang sebenarnya tidak bekerjasama dengan usahawan bumiputera demi kepentingan perniagaan mereka.

‘‘Sebagai contoh, beberapa bulan lalu kementerian saya telah berusaha mempertemukan 260 syarikat bukan bumiputera yang belum mempunyai 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dengan para usahawan bumiputera,” jelasnya.

Namun, katanya, daripada 260 syarikat bukan bumiputera yang dijemput, hanya enam syarikat yang menghadirinya dan program mempertemukan ahli-ahli perniagaan itu disifatkan sebagai gagal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai semalam, yang meminta kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam.

Tiong Lai berkata, merit atau daya saing sesuatu syarikat itu yang perlu diberikan keutamaan dan bukannya persoalan berkaitan ekuiti bumiputera.

Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang sengaja mahu menyentuh hak Melayu dan bumiputera demi kepentingan politik mereka.

‘‘Justeru, isu sensitif sebegitu tidak perlu dikemukakan sekarang kerana masalah krisis ekonomi global bukan hanya melanda negara baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar penekanan diberikan terhadap aspek mewujudkan kerjasama yang jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Tegasnya, dalam memastikan hak Melayu dan bumiputera terjamin seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, kerajaan BN tidak pernah menafikan hak kaum bukan bumiputera.

Malahan sebagai contoh, katanya, GiatMara telah menerima ribuan pelajar kaum India sungguhpun penubuhan Mara dikhususkan untuk membantu Melayu dan bumiputera.

Henti polemik kontrak sosial

''Raja-Raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.''

Petikan di atas adalah sebahagian daripada kenyataan akhbar khas Majlis RajaRaja yang menyeru semua rakyat Malaysia agar berhenti mempersoalkan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum semenjak lebih lima dekad yang lalu.

Demi kestabilan dan kemakmuran berterusan negara, semua rakyat tanpa mengira kaum perlu akur terhadap nasihat yang sarat kebijaksanaan ini.

Jika tidak dihentikan, polemik berpanjangan ini berpotensi meranapkan masa depan negara dan rakyat Malaysia.

Orang Melayu juga perlu mengambil iktibar daripada nasihat Majlis Raja-Raja tentang peri pentingnya kita bersatu padu bagi mempertahankan kemuliaan serta kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu, peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan (agama Islam dan bahasa Melayu) dan hak-hak istimewa orang Melayu.

Jika perpaduan di antara orang Melayu rapuh kerana politik kepartian yang tidak terkawal, maka janganlah kita terkejut jika golongan tertentu cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan pelbagai alasan termasuk alasan untuk mengembangkan demokrasi serta hak asasi manusia bagi mempersoalkan asas-asas kenegaraan Malaysia yang sudah sedia termaktub.

Isu jelas memperlihatkan Raja-Raja Melayu menjadi pelindung kepada orang Melayu untuk mempertahankan Artikel 153 ini daripada terus menjadi polemik di negara kita.

Hari ini kita menyaksikan pihak-pihak ini dengan berani mempersoalkan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Ini dilakukan walaupun majoriti penduduk Malaysia beragama Islam, walaupun Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi negara) menyatakan Islam adalah agama rasmi negara, walaupun terdapat peruntukan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama lain di kalangan orang-orang Islam dan walaupun Malaysia adalah anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Selain daripada mempertikaikan status negara Islam Malaysia, mereka juga berusaha untuk menyama taraf kedudukan agama Islam dengan agama-agama lain melalui inisiatif seperti Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan mereka berusaha meminda atau mentafsir semula melalui keputusan Mahkamah, Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi bidang kuasa Mahkamah Syariah dari campur tangan Mahkamah Sivil.

Yang menyedihkan usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini dibantu oleh penganut agama Islam yang kononnya berfahaman liberal.

Selain daripada percubaan untuk menurun taraf Islam mutakhir ini juga terdapat pihak-pihak yang cuba mempersoalkan kewajaran sama ada secara langsung mahupun tidak langsung peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya peruntukan Perkara 152 berkenaan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kenapa setelah lebih lima dekad amat sukar bagi golongan tertentu untuk menerima kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Kegagalan

Kegagalan untuk bertutur secara fasih di dalam bahasa Melayu begitu juga kegagalan untuk menulis dan membaca di dalam bahasa Melayu di kalangan generasi pascamerdeka tidak dapat dimaafkan.

Tiada alasan yang boleh menjustifikasikan keadaan ini. Kegagalan penguasaan hanya mencerminkan sikap endah tidak endah terhadap simbol kenegaraan ini.

Ada yang memberi alasan bahawa di dalam era globalisasi kita hanya perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa yang mempunyai nilai ekonomi.

Ini satu alasan yang pelik kerana di antara negara G8 iaitu negara-negara yang super maju dan mempunyai kemajuan teknologi serta kuasa beli yang secara kolektifnya melebihi China dan India hanya tiga negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.

Lima lagi negara G8 bangga menggunakan bahasa kebangsaan mereka iaitu Perancis, Rusia, Jerman, Itali dan Jepun malahan Wilayah Quebec di Kanada pun menggunakan bahasa Perancis. Bukan kita meremehkan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tetapi apa yang ingin dinyatakan adalah janganlah menjadikan alasan globalisasi sebagai alasan memperlekehkan keperluan penguasaan bahasa kebangsaan.

Alasan globalisasi juga diberikan bagi mengabsahkan (mengesahkan) kenapa dasar ekonomi affirmative seumpama DEB yang dilaksanakan di bawah Perkara 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu) hendak dimansuhkan.

Bagi golongan yang tidak sukakan dasar affirmative, mereka mendakwa bahawa pelaksanaannya akan hanya melunturkan kelebihan persaingan negara di dalam menghadapi globalisasi.

Mereka memberi contoh di dalam bidang pelajaran tinggi bagaimana pengamalan dasar ini adalah penyebab kepada kenapa anak-anak muda bukan Melayu/bumiputera yang genius berhijrah ke negara lain.

Soalannya benarkah mereka bertindak demikian akibat tidak berpeluang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam, mendapat biasiswa kerajaan untuk ke luar negara dan gagal mendapat peluang pekerjaan di sektor awam dan syarikat berkait kerajaan (GLC) atau sebab sebenar mereka bertindak sedemikian dan penyebab utama kepada apa yang disifatkan sebagai brain drain adalah pencarian peluang ekonomi yang lebih baik.

Alasan ini seolah-olah mengetepikan hakikat bahawa kerajaan semenjak pertengahan 90-an telah meliberalkan sektor pengajian tinggi bagi memberi peluang kepada seramai mungkin pelajar yang layak mendapat akses kepada pengajian tinggi.

Bukankah langkah ini terbukti berjaya kerana hari ini di kalangan kohort (kumpulan) umur 17-23 mereka yang mendapat peluang pengajian tinggi telah meningkat kepada 27 peratus. Angka ini dijangka terus meningkat kepada 40 peratus menjelang 2010.

Walaupun hari ini hanya terdapat 20 universiti awam tetapi hasil liberalisasi kerajaan kini terdapat 33 universiti dan kolej universiti swasta termasuk institusi yang diasaskan parti politik bukan Melayu seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR/ MCA), AIMST (MIC), Universiti Terbuka Wawasan (WOU/Gerakan), 4 kampus tempatan universiti asing dan lebih 500 kolej swasta.

Sebahagian institusi swasta ini mengadakan program berkembar dengan institusi pengajian tinggi luar negara melalui program '3+0', '2+1' atau '1+2' di mana pelajar tempatan menghabiskan sebahagian atau keseluruhan pengajian mereka di dalam negara tetapi mendapat ijazah dari universiti-universiti asing.

Hakikat ini telah mengurangkan beban pelajar-pelajar dan para ibu bapa mereka yang tidak mendapat tempat di IPTA kerana kos yang terpaksa ditanggung adalah lebih murah berbanding menghabiskan keseluruhan pengajian di luar negara.

Statistik menunjukkan bahawa jumlah pelajar institusi pengajian tinggi swasta ini melebihi jumlah pelajar IPTA.

Dari segi kaum pula, pelajar bukan Melayu melebihi pelajar Melayu apabila jumlah pelajar kedua-dua institusi IPTA dan IPTS digabungkan.

Tidak cukup dengan langkah meliberalkan akses kepada pengajian tinggi kerajaan juga telah menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang semenjak lebih 10 tahun yang lalu telah mengeluarkan RM11 bilion di dalam pinjaman pelajaran.

Pinjaman ini telah berjaya memanfaatkan lebih 1 juta pelajar. Kenapa hakikat ini tidak diuar-uarkan apabila mempolemikkan angka penerima biasiswa mengikut kaum yang diberikan oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mana jumlah biasiswa berkenaan hanya 2,000 setahun.

Cukuplah, janganlah kita mempolemikkan lagi kontrak sosial dan peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan demi keamanan dan kestabilan negara. Malaysia adalah negara yang bukan sahaja berbilang kaum tetapi juga berbilang agama, budaya dan bahasa.

Tanpa kedua-dua faktor keamanan dan kestabilan manusia atau kelompok manusia yang super genius sekalipun tidak akan dapat mengoptimumkan potensi mereka di bumi tercinta ini.

Bagaimana Malaysia akan stabil dan aman jika dua pertiga rakyat Malaysia (65.1% Melayu/bumiputera) yang hanya menguasai kurang satu perlima kekayaan negara (19.4%) masih hendak terus diasak, dicemburui dan didengki.

Khalid pertahan pelantikan

SHAH ALAM 28 Okt. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap mempertahankan pelantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) walaupun menerima bantahan pelbagai pihak.

Beliau berkata, keputusan tersebut bersifat sementara dan Siew Moi sendiri telah bersetuju mengenai kedudukannya itu sehinggalah pengganti jawatan berkenaan diisi oleh calon bumiputera dari kalangan profesional.

Abdul Khalid mendakwa beliau tidak faham apabila ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri melantik Siew Moi untuk memangku jawatan itu berbanding memikirkan PKNS didakwa hilang berbilion ringgit.

"Kita mesti memandang berat, marah tukar orang tapi tak marah hilang berbilion ringgit. Kalau ada pendirian berbeza sama ada memilih bumiputera kemudian bagi beratus juta ringgit, atau memilih orang Melayu tetapi hilang berbilion ringgit," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid memberitahu Siew Moi bersedia membantu mencari pengganti yang sesuai untuk jawatan itu.

Malah katanya, Siew Moi yang sudah 35 tahun berkhidmat di PKNS dilihat sudah sebati dengan PKNS dan sanggup untuk membangunkan syarikat itu.

"Beliau sudah 35 tahun berkhidmat dengan PKNS dan pegang jawatan akaun yang mana beliau sudah biasa dengannya.

"Ini fakta dan pelantikan beliau adalah satu yang logik kerana difikirkan baik untuk PKNS dalam tempoh peralihan ini," katanya.

Katanya: "Jika kita ambil orang baru dari luar sebagai pemangku jawatan ini, ia mungkin satu perkara yang aneh.''

Melayu, bumiputera perlu bersatu

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Orang Melayu dan bumiputera di negara ini yang berlainan fahaman politik digesa bersatu melindungi hak-hak mereka yang terkandung di dalam Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Gesaan itu disampaikan oleh bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail pada majlis perasmian laman web Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Tun Ibrahim merupakan ahli kehormat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, saranan Tun Ibrahim itu perlu dipandang serius, selari perkembangan terkini politik tanah air dengan pelbagai pihak mempersoalkan hak ketuanan Melayu dan bumiputera.

‘‘Pandangan beliau penting kerana beberapa pertubuhan seperti Hindraf bagi kaum India dan Dong Jiao Zong serta Suqiu untuk kaum Cina menuntut dan memperjuangkan hak masing-masing.

‘‘Justeru, Perkasa yang ditubuhkan September lalu berjuang untuk kaum Melayu dan bumiputera pula agar hak- hak dalam Perlembagaan Persekutuan dipelihara, seterusnya memastikan keharmonian negara.

“Tetapi, apa yang perlu saya tekankan ialah Perkasa bukannya pertubuhan yang bersifat perkauman dan saya harap ia difahami dan diterima semua pihak,” katanya.

Konsep kesamarataan tidak sesuai diamalkan

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Konsep kesamarataan yang dituntut oleh kaum bukan Melayu masih tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini kerana kaum Melayu dan bumiputra masih jauh ketinggalan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah (gambar) berkata, jika dilihat dari aspek pegangan ekuiti secara individu, orang Melayu sebenarnya hanya memegang tiga peratus sahaja.

Katanya, pencapaian ekuiti bumiputera yang dikatakan sebanyak 18 peratus itu adalah satu petunjuk kasar bagi statistik pemilikan aset yang tidak zahir iaitu pemilikan saham syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur.

''Orang Melayu sebenarnya miskin, nilai kekayaan terkumpul sejak dahulu hingga sekarang masih menunjukkan jurang yang luas antara kaum.

''Bangunan-bangunan pencakar langit, perniagaan-perniagaan besar dimiliki oleh kaum bukan Melayu, malah senarai tujuh orang terkaya di Malaysia juga bukan orang Melayu. Adakah konsep kesamarataan ini adil," soalnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kertas kerja pada Kongres Kebangsaan Masa Depan Melayu anjuran Pertubuhan Profesional Melayu di Wisma Sejarah di sini hari ini.

Kongres itu diadakan bagi menyatupadukan Melayu dan memastikan keterjaminan kuasa politik mereka di samping merangka strategi pembangunannya

Ibrahim berkata, indeks gini iaitu indeks untuk mengukur pendapatan dan pemilikan harta antara kaum menunjukkan Melayu berada pada tahap 0.45.

Katanya, ia adalah bukti nyata yang menunjukkan Melayu itu masih miskin dan jauh ketinggalan.

''Indeks gini yang hampir kepada sifar menggambarkan jurang yang kecil, manakala indeks yang hampir kepada 1.0 menunjukkan jurang yang luas," jelasnya.

Beliau menambah, bagaimana hendak mencapai konsep kesamarataan dalam keadaan sebegini. Kadar kemiskinan antara kaum juga masih menunjukkan bahawa orang Melayu adalah yang paling tinggi kedudukannya.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk mempercepatkan pencapaian tahap keserasian yang sesuai, sasaran agihan peluang-peluang masa hadapan dicadang mengikut nisbah taburan populasi yang pada masa kini berada pada 65 peratus bumiputera 35 peratus bukan bumiputera.

"Pada masa yang sama, bumiputera perlu dilatih untuk menanam sikap kuat bekerja dan berusaha kerana dengan cara itu, keharmonian itu juga boleh tercapai dengan lebih pantas," ujarnya.

Tiga sasaran pulih Melayu P.P

PULAU PINANG 20 Okt. – Tiga sasaran diletakkan oleh UMNO Bahagian Tanjong untuk memulihkan keadaan dan keupayaan orang Melayu Pulau Pinang agar terus bersaing dengan kaum lain di negeri ini khususnya di kawasan bandar.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibnihajar berkata, tiga sasaran yang difokuskan itu ialah pendidikan, peluang perniagaan dan pemilikan rumah mampu milik di kawasan-kawasan berprofil tinggi.

Katanya, sebagai suara orang Melayu di Tanjong, beliau telah memperjuangkan hak-hak untuk orang Melayu sejak sekian lama malah dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004 telah dibangkit tentang Melayu terpinggir.

Namun katanya, apabila dibangkitkan hal-hal berkaitan orang Melayu, beliau ditegur dan dikecam sedangkan apa yang diperjuangkan itu adalah kebaikan untuk kaum yang semakin lama semakin terpinggir di Pulau Pinang.

“Kenapa orang Melayu yang majoriti 42 peratus di Pulau Pinang masih dikawal oleh kaum minoriti?

“Sebab utama ialah kegagalan pemimpin untuk membantu menyediakan peluang yang sepatutnya dinikmati oleh kaum Melayu selain dinafikan hak masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Ahmad, usaha berterusan pihaknya telah membawa kepada kejayaan untuk orang Melayu di Tanjong apabila berjaya menubuhkan Yayasan Pendidikan dan Kebajikan selain berjaya membeli sebuah premis di kawasan berprofil tinggi dengan nilai RM1.5 juta.

Katanya, keputusan UMNO untuk membeli premis itu adalah sebagai sokongan untuk orang Melayu agar dapat bersaing dengan kaum lain di Pulau Pinang selain khususnya dalam bidang pendidikan selepas tertubuhnya yayasan tersebut.

Ujarnya, UMNO Tanjong bukan hanya berjuang untuk orang Tanjong sahaja, malah seluruh penduduk di Pulau Pinang turut diperjuangkan nasib mereka.

“Sebagai contoh usaha berterusan UMNO Tanjong telah berjaya membawa hasil apabila ada sekolah yang sebelum ini tidak pernah mencatat sebarang keputusan A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, berjaya mencatatkan keputusan memberangsangkan,” katanya.

Ini kerana, katanya, hasil usaha UMNO Tanjong yang memujuk dan membawa beberapa syarikat berkaitan kerajaan untuk mengambil sekolah-sekolah di Pulau Pinang untuk dijadikan anak angkat di dalam Program Pintar mereka.

Penubuhan Yayasan Pelaburan Hartanah Bumiputera juga katanya, dilihat sebagai salah satu langkah untuk membantu dan menyokong orang Melayu berniaga.

UMNO perlu terus dominan dalam BN

SEJAK awal penubuhan Perikatan - gabungan parti-parti UMNO, MCA dan MIC hinggalah gabungan itu diperbesarkan lagi keanggotaanya (kini 13 parti) dengan nama bertukar kepada Barisan Nasional (BN), UMNO merupakan parti teras yang sememangnya dominan dalam gabungan parti-parti itu politik itu.

Hakikat itulah yang pantas mendewasakan politik Perikatan/BN dan atas hakikat itu jugalah membolehkan Perikatan/BN sentiasa mengiringi serta mencorak rancangan bagi mengisi kemerdekaan negara.

Agenda pembangunan sosioekonominya telah menjadikan Malaysia antara negara contoh di kalangan negara-negara sedang membangun. Tiada siapa yang boleh memadam atau meminda rekod lebih 50 tahun Perikatan/BN itu, sekali gus menafikan peranan UMNO dalam menerajui Perikatan/BN.

Rahsia di sebalik semua kejayaan itu ialah kerana di dalam Perikatan/BN wujud parti teras yang sentiasa mendominasi pakatan tersebut. Parti itu adalah UMNO. Dan, dalam sejarah pilihan raya Malaysia, UMNO tidak pernah menghampakan rakan-rakan sekutunya dalam Perikatan mahupun BN. Hasil pilihan raya sentiasa mencerminkan status quo UMNO dalam BN.

Walaupun pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lepas, pencapaian BN merosot agak ketara sehingga ada yang mengaitkannya sebagai satu tsunami politik, rekod UMNO kekal terbaik dan menyumbang kerusi Parlimen terbanyak, berbanding parti-parti komponen lain.

Parti komponen lain yang mencatat keputusan cemerlang pada Mac lepas ialah PBB tetapi ia setakat di Sarawak. UMNO secara tradisinya mengekalkan rekod yang selari dengan statusnya sebagai parti induk dan tulang belakang dalam BN.

Jadi, apakah wajar jika timbul suara yang tidak mahu melihat UMNO kekal dominan dalam BN? Apakah pihak yang cuba membangkitkan hal itu lupa sejarah yang dicatatkan oleh Perikatan/BN dalam merencanakan kemederdekaan dan pembangunan pascamerdeka? Lupakan kepada peranan dan dominasi UMNO sejak dahulu? Kenapa isu itu berbangkit sekarang; tidak dahulu? Apakah motifnya?

Selepas Mac lepas, kemerosotan pencapaian BN telah cuba diterjemahkan oleh banyak pihak sebagai berpunca daripada UMNO sehingga timbul dakwaan UMNO membuli rakan-rakan komponen lain. Itu baru pencapaian yang merosot, itupun bukan dalam UMNO sahaja. Lihatlah pencapaian komponen-komponen lain yang banyak hilang kerusi. MCA, Gerakan dan MIC sebagai contoh.

Justeru, UMNO perlu memastikan ia terus kekal dominan dalam politik BN supaya ia boleh kekal sebagai parti induk dan tulang belakang gabungan itu. Seperti mana UMNO tiada pilihan kedua, parti-parti komponen lain juga sebenarnya tiada alternatif melainkan perlu menerima hakikat itu.

Jika tidak UMNO, parti mana? Gerakan, yang hanya menang dua kerusi Parlimen dan melepaskan 'Pulau Mutiara' satu-satunya negeri yang diterajuinya, atau MCA atau MIC?

Dalam sesebuah pertubuhan atau gabungan, perlu ada pihak yang memimpin atau menjadi pendulu. Itu satu kemestian seperti mana sesebuah keluarga perlu ada kepala keluarga yang biasanya tugas itu diambil oleh bapa.

Sesebuah Kabinet juga perlu ada menteri perdana sebagai kepala dan di negara ini, kita mengenalinya sebagai Perdana Menteri. Itu dalilnya.

Oleh itu, dalam melihat kepada soal tsunami politik berkenaan, semua parti komponen perlu melihat ke dalam pertubuhan masingmasing terlebih dahulu, sebelum melihat kelemahan komponen lain. Perbaiki diri sendiri lebih mudah jika mahu memperkasakan diri sendiri. Meletakkan kelemahan diri kepada komponen lain dalam dalam konteks BN sekarang, banyak merujuk kepada UMNO hanyalah jalan pintas yang memungkinkan tiada hasil langsung melainkan keburukan.

Berdasarkan pencapaian dan sumbangan parti-parti komponen terutama pada pilihan raya lepas, adalah sesuatu yang memalukan apabila sayap Pemuda MCA mencadangkan supaya diadakan dua Timbalan Pengerusi BN dan salah satunya diisi oleh wakil dari parti itu. Atas asas apa cadangan itu? Kekuatan MCA? Sumbangan MCA dalam pilihan raya lepas? Atau kerana anggota MCA ramai?

Benar, MCA telah memainkan peranan cukup bermakna kepada kerajaan sejak merdeka lagi. Itu juga sejarah. Namun, apakah ia wajar ditimbulkan ketika rekod teruk MCA dalam pilihan raya lepas?

Semua orang yang memahami peranan MCA sejak awal penubuhan Perikatan dapat memahami mengapa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus mengekalkan kuota anggota Kabinet dan timbalan menteri kepada MCA, yang sebenarnya tidak mencerminkan pencapaian parti itu dalam pilihan raya lepas.

Keadaan itu wajar dilihat begini: Perdana Menteri yang menerajui UMNO selaku parti tulang belakang BN mampu berbuat demikian dan ia dihormati komponen lain. Perdana Menteri juga sudah tentu tidak melupakan sejarah dan peranan MCA.

Dalam kes ini, UMNO sebenarnya membuktikan BN perlu ada parti teras dan UMNO selaku parti teras tidak mengambil peluang yang terbuka luas untuk menangguk di air yang keruh.

Kepimpinan baru MCA sudah tentu akan berusaha untuk mengembalikan kekuatan MCA dengan berusaha keras meraih sokongan rakyat keturunan Cina, sekali gus meletakkannya kembali sebagai parti kedua terkuat dalam BN selepas UMNO. Tugas yang serupa juga menjadi tanggungjawab partiparti komponen BN yang lain.

Gerakan misalnya, yang memperjuangkan parti pelbagai kaum, perlu melakukan sesuatu. Ini kerana konsep penubuhan Gerakan, sedar atau tidak, sebenarnya berasaskan parti pelbagai kaum.

Jika Gerakan mempertahan keunikan itu, BN sebenarnya telahpun mempunyai parti pelbagai kaum sejak Gerakan menganggotai BN lagi.

Ketika UMNO, selaku parti tulang belakang, berusaha keras meraih kembali sokongan padu rakyat berketurunan Melayu dan bumiputera lain, amatlah malang jika rakan-rakan komponen lain, dalam usaha meraih kembali kepercayaan golongan sasaran, membuat andaian serta dakwaan yang akhirnya tidak menyumbang kepada keutuhan BN.

Tanamkan semangat kesetiaan hadapi krisis

Dalam suasana inflasi sekarang, satusatunya harga barang dan perkhidmatan yang boleh diturunkan oleh kerajaan ialah harga runcit minyak petrol dan diesel. Kerajaan mempunyai kuasa yang sepenuhnya ke atas harga akhir atau harga runcit komoditi itu.

Bagi komoditi kawalan lain, seperti tepung, gula dan beras tempatan, kerajaan hanya berkuasa ke atas harga inputnya tetapi tidak ke atas harga runcitnya. Ini kerana komoditi itu menjadi input kepada komoditi akhir lain.

Contoh, harga tepung dapat dikawal tetapi tidak ke atas harga roti canai. Begitu juga dengan komoditi gula, kerajaan tidak dapat mengawal harga runcit minuman teh tarik walaupun dapat mengawal harga inputnya iaitu gula. Keadaan yang sama juga boleh dipanjangkan kepada harga beras dan harga runcit sepinggan nasi.

Dalam tempoh 131 hari iaitu dari 5 Jun hingga 14 Oktober tahun ini, harga runcit minyak petrol telah dikurangkan sebanyak 40 sen seliter kepada RM2.30 seliter. Bagi harga runcit minyak diesel, ia dikurangkan sebanyak 38 sen seliter kepada RM2.20 seliter.

Pengurangan harga itu meringankan beban kos pengangkutan pengguna, peniaga dan industri. Berlaku penjimatan atau tabungan sebanyak 40 sen seliter (petrol) atau 38 sen seliter (diesel) jika mereka yang berkenderaan masih mengekalkan unit penggunaan minyak petrol dan diesel. Lebihan tunai itu boleh ditabungkan itu untuk menampan kesan inflasi.

Pada teorinya, pengurangan harga runcit minyak petrol dan diesel itu disertai dengan penurunan harga barang dan perkhidmatan. Seperti mana berlaku apabila harga komoditi minyak itu dinaikkan, harga barang dan perkhidmatan turut dinaikkan kerana kesan rantaiannya.

Ada juga harga komoditi dinaikkan secara melampau oleh peniaga dan industri atas alasan komoditi minyak adalah input penting dalam proses pengeluaran. Dengan pelarasan harga petrol dan diesel yang ketiga, peniaga dan industri masih tidak sensitif dan prihatin. Harga barang dan perkhidmatan lekit turun kerana masing-masing ingin mengaut keuntungan berlebihan daripada kelemahan dan ketidakupayaan pengguna untuk mempengaruhi harga pasaran.

Semangat kesetiaan kepada negara menghadapi krisis perlu ada dalam kalangan peniaga dan industri dalam sektor 'benar' iaitu sektor yang mengeluarkan barang dan perkhidmatan. Mereka turut sama berkorban dengan kerajaan dan pengguna untuk keselamatan ekonomi negara. Mereka wajar menurunkan harga produk masing-masing.

Kesan rantaian yang dibawa oleh pengurangan harga dalam sektor benar akan meningkatkan perbelanjaan domestik. Malah, sejak krisis kewangan negara pada tahun 1997, peranan perbelanjaan domestik semakin penting dan penyumbang kuat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan perbelanjaan domestik akan memperlahankan ekonomi negara terperangkap dalam kemelesetan. Untuk mengharapkan sokongan daripada sektor perdagangan antarabangsa adalah sukar buat masa ini.

Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang merupakan pasaran eksport utama negara, sedang berdepan dengan krisis kewangan dan kelembapan ekonomi.

Ini berbeza dalam sektor kewangan. Tindakan industri perbankan dan kewangan tempatan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia perlu diteladani. Kadar bunga dikekalkan walaupun berlaku inflasi. Ini boleh dilakukan kerana institusi perbankan dan kewangan kebanyakannya dimiliki oleh kerajaan (GLC) seperti Malayan Banking Berhad, Affin Holdings Berhad, Bumiputera Commerce Holding Berhad dan BIMB Holdings Berhad. Secara tak langsung mempunyai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Lazimnya, kadar bunga dinaikkan apabila berlaku inflasi. Ini meningkatkan kos pinjaman bayaran balik kepada pengguna dan pelabur. Menyedari permasalahan itu dan atas semangat kesetiaan menghadapi krisis, industri perbankan dan kewangan tempatan mengekal kadar bunga dengan matlamat menjaga kebajikan pengguna supaya tidak berlaku krisis pinjaman tidak berbayar dan pada masa yang sama meningkatkan pelaburan domestik.

Polisi pengekalan kadar bunga itu perlu disokong dengan dasar tambatan ringgit. Jika tidak, kadar bunga yang rendah memberi tekanan kepada ringgit untuk turun nilai, lebih-lebih lagi apabila nilai dolar Amerika Syarikat tidak menentu berikutan krisis kewangannya. Dengan nilai ringgit yang lemah, kos import negara semakin mahal dan akan membawa fenomena inflasi yang diimport ke dalam negara.

Ini menokok lagi tekanan hebat ke ekonomi negara yang sedang berdepan dengan inflasi bersifat tolakan kos. Buat masa ini, kerajaan masih mempertahankan dasar apungan ringgit dengan harapan krisis kewangan di Barat dapat dipulihkan segera.

Penyelarasan harga bahan api di Malaysia mengikut trend harga minyak di pasaran dunia perlu dijadikan polisi penentuan harga yang berterusan bagi menetapkan harga runcit petrol dan diesel. Dengan polisi yang sedemikian, masyarakat kini lebih bersedia dengan pengumuman harga bahan api itu membuat penyesuaian corak perbelanjaan mengikut kemampuan masing-masing.

Kerajaan juga kini lebih berhati-hati membuat pengumuman mengenai harga bahan api itu. Pengumuman yang terbaru, kerajaan mungkin dapat menurunkan harga petrol ke paras RM1.92 seliter jika harga minyak di pasaran dunia jatuh di bawah paras AS$72 setong.

Jika harga minyak di pasaran dunia meningkat, pengguna perlu menerima harga semasa bahan api itu. Atas semangat kesetiaan negara dalam menghadapi krisis, peniaga dan industri perlu sama membantu ekonomi negara dengan tidak menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Jika tidak dielakkan, kenaikan harga barang dan perkhidmatan perlu berkadaran dengan kenaikan harga bahan api. Semangat kesetiaan pada negara dalam menghadapi krisis wajar ditanamkan pada setiap pelaku ekonomi dalam negara. Ia boleh juga disifatkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial pengguna dan korporat.

Tambah naib canselor bukan bumiputera

KUALA LUMPUR 19 Okt. - MCA meminta kerajaan melantik lebih banyak bukan bumiputera berkaliber dan berpengalaman untuk menjadi naib canselor di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Perkara itu merupakan salah satu daripada tujuh resolusi yang diluluskan secara sebulat suara pada hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurut resolusi pendidikan itu, langkah melantik bukan bumiputera menjadi naib canselor adalah supaya nilai majmuk dapat diterapkan di IPTA.

Langkah itu juga diyakini dapat mempertingkatkan prestasi universiti berkenaan secara keseluruhan.

Dalam pada itu, dalam resolusi berkaitan hal-ehwal kerajaan, parti itu menyarankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda supaya ia tidak disalahgunakan.

Parti itu juga mahu supaya diwujudkan satu sistem yang berkesan bagi memantau penggunaan akta berkenaan serta menjamin bahawa ia hanya digunakan dalam kes-kes membabitkan pengganas dan elemen subversif.

Sementara itu, dalam resolusi membabitkan kebebasan beragama, parti itu menegaskan undang-undang syariah tidak boleh diguna pakai ke atas masyarakat bukan Islam.

Sehubungan itu, ia mahu supaya Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama rakyat dipertahankan.

Teliti kesan lantik dua Timbalan Pengerusi BN

ADAKAH selepas ini jika jawatan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah kepada dua dengan satu daripadanya diisi oleh pemimpin MCA seperti cadangan bekas Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai akan menggambarkan perkongsian kuasa sebenar di kalangan parti komponen BN?

Adakah pelbagai tuntutan lain yang ibarat sudah diberi betis hendakkan paha akan padam sekiranya hasrat tersebut terlaksana?

Timbul juga persoalan, siapa yang buli siapa apabila cadangan tersebut dikaitkan dengan istilah pembuli yang kerap disebut sejak akhir-akhir ini?

Hakikatnya, walaupun Timbalan Presiden UMNO turut memegang jawatan Timbalan Pengerusi BN, hak mana-mana parti komponen BN untuk bersuara tidak pernah dinafikan sejak BN terbentuk pada 1974 lagi.

Selama ini pun, semua pemimpin komponen termasuklah MCA memiliki kebebasan bersuara yang luas lantaran kedudukan perwakilan mereka tetap diberi perhatian sewajarnya.

Malah, jika diturutkan kehendak MCA yang hanya mampu meraih 10.21 peratus undi dengan menyaksikan banyak kerusinya hilang dalam pilihan raya umum Mac lalu, tidak mustahil 13 rakan sekutu BN lain akan saling menyalak menuntut perkara yang sama.

Selain itu, dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting bahawa UMNO begitu dominan dalam BN juga adalah tidak tepat jika melihatkan pencapaian jauh lebih dominan taraf sosioekonomi dan pengaruh politik bukan Melayu khususnya masyarakat Cina di negara ini.

Desakan Tiong Lai tersebut juga seperti menangguk di air keruh serta nyata tidak banyak membantu kerajaan dalam menumpukan sepenuh usaha bekerjasama mengatasi masalah kemelesetan ekonomi dan kerapuhan perpaduan masyarakat masa kini.

Sedangkan, rakyat Malaysia menantikan apakah usaha dan tindakan setiap komponen BN tidak terkecuali MCA untuk sama-sama membincangkan hal berkaitan rakyat berbilang kaum bukan sekadar berlegar pada persoalan kuasa politik kepartian kaum semata-mata.

Malah, jika usul dua jawatan Timbalan Pengerusi BN itu diterima, jawatan salah satunya lebih molek dan adil diserahkan kepada mana-mana parti komponen Bumiputera di Sabah atau Sarawak.

Rasionalnya adalah berdasarkan faktor komposisi penduduk majoriti Melayu-Bumiputera di negara ini serta sokongan kuat masyarakat di sana terhadap BN dalam pilihan raya umum ke-12 lalu. Sebagai catatan, kedua-dua negeri tersebut menyumbang 57 kerusi iaitu 25.6 peratus daripada 222 kerusi Parlimen (Dewan Masyarakat, Edisi Khas 2008:62).

Tidak keterlaluan juga ada baiknya setiap komponen BN turut memahami mesej yang tersirat di sebalik kenyataan akhbar khas yang telah dikeluarkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu ke-215 minggu lalu.

Apa pun, desakan untuk menambah satu jawatan Timbalan Pengerusi BN itu perlu benar-benar diteliti terlebih dahulu. Apakah rakyat Malaysia akan dapat menikmati kestabilan politik, kemantapan ekonomi serta keharmonian sosial jika impak negatif lebih banyak daripada kebaikan hanya kerana memenuhi kehendak komponen BN tertentu yang bukan-bukan?

Tujuh rintihan masyarakat Cina

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini meluahkan tujuh rintihan rakyat khususnya di kalangan masyarakat Cina yang turut mengakibatkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Presiden MCA, beliau berkata, para pemimpin BN dan semua parti komponennya perlu memandang berat terhadap keluhan rakyat tersebut dan bertindak secara berkesan untuk membawa perubahan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

''Perkara yang saya sentuh hari ini adalah benar-benar suara orang ramai. Isu-isu tersebut merupakan maklum balas yang diterima oleh MCA dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mahu mendengar perkara sebenar," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55 di Wisma MCA di sini hari ini.

Katanya, tujuh isu tersebut ialah masalah penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik dan pegawai kerajaan seperti dalam pemberian kontrak kerajaan serta segelintir ahli politik dalam BN yang angkuh dan ghairah membuat kenyataan atau ucapan yang berbau perkauman atau mengugut kaum-kaum lain.

Tambahnya, orang ramai juga mengeluh berhubung dengan peningkatan kes jenayah, harga barang dan kos kehidupan yang tinggi akibat kenaikan harga minyak serta cara pengendalian isu-isu keagamaan oleh pihak berkuasa.

''Mereka juga merintih kerana pihak berkuasa tertentu dianggap suka menggunakan alasan dasar ekonomi negara mengikut interpretasi yang prejudis dan pemikiran yang sempit.

''Ramai peniaga, pengusaha, pemaju atau pelabur bukan bumiputera sentiasa berasa kecewa kerana berasa disekat dan tidak dilayan oleh sesetengah kementerian, jabatan atau agensi kerajaan dengan adil dalam soal pemberian lesen, permit, pinjaman atau peluang penyertaan tender," ujar Ka Ting.

Menurutnya, kekurangan peruntukan daripada kerajaan dalam pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta sekolah-sekolah mubaligh turut menjadi isu di kalangan masyarakat Cina dan India.

Ka Ting berharap kerajaan dapat menangani perkara-perkara tersebut dengan segera supaya keyakinan orang ramai terhadap kerajaan dapat dipulihkan.

Presiden MCA itu yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan hari ini berkata, sejak berada di luar Kabinet, beliau telah berjumpa dengan banyak pihak terutama di kalangan rakyat biasa dan mendapat pelbagai maklumat mengenai harapan mereka terhadap kerajaan.

Jangan cuba buli UMNO

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan Gerakan diberi amaran jangan cuba hendak membuli UMNO semata-mata mahu meraih kembali populariti di kalangan kaum masing-masing selepas pilihan raya umum lalu.

Beberapa pemimpin UMNO berkata, tindakan parti terbabit sengaja memainkan sentimen hak Melayu dan bumiputera yang telah termaktub dalam kontrak sosial amat tidak sihat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan pemimpin parti komponen itu yang terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang bahawa UMNO membuli mereka mampu menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, persepsi bahawa UMNO membuli rakan komponen tidak boleh diterima sama sekali kerana parti terbesar kaum Melayu itu sering berkompromi mengenai hak-hak kaum lain dalam pelbagai hal.

''Kalau UMNO membuli parti lain, UMNO tidak akan memberi peluang kepada wakil rakyat dari parti komponen untuk bertanding dalam pilihan raya di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu.

''Hakikat yang kita lihat, wakil rakyat Gerik (Datuk Tan Lian Hoe-Gerakan) merupakan wakil rakyat yang bukan dari UMNO dan beliau menang di situ," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Khairul Group of Associates di sini hari ini.

Sebelum itu beliau diminta mengulas kenyataan pakatan pembangkang yang mengatakan UMNO sebagai parti pembuli dalam BN.

Mohamed Khaled memberitahu, apa yang menyedihkan ialah persepsi sebegitu turut disuarakan oleh beberapa parti komponen BN yang secara jelas terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Menurutnya, dakyah yang disuarakan oleh pakatan pembangkang itu didorong oleh matlamat mereka untuk melemahkan BN selain tidak memahami sejarah perjuangan bapa-bapa kemerdekaan daripada UMNO, MCA dan MIC.

''Pakatan pembangkang sebenarnya tidak mempunyai dasar dan hanya memberikan reaksi terhadap pergerakan BN.

''Jika dikaji sejarah penubuhan Malaysia serta hak-hak dalam kontrak sosial, ia sebenarnya mencerminkan komposisi kaum di negara ini yang mana 60 hingga 70 peratus penduduknya adalah kaum Melayu dan bumiputera," tegasnya.

Dalam pada itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron menyelar usul Pemuda MCA Perak yang mahukan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung kenyataannya mengenai kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

''Kenyataan Khairy bukan mahu menafikan hak biasiswa bukan Melayu sebaliknya beliau mahu kuota biasiswa bagi Melayu dan bumiputera tidak dikurangkan selari dengan pertambahan hak biasiswa bukan Melayu," katanya.

Gesaan tersebut, kata beliau, mencerminkan Pemuda MCA tidak mempunyai modal dalam usaha meraih kembali sokongan kaum Cina di negara ini selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Menurutnya, Pemuda MCA Perak dan Pemuda MCA Kebangsaan perlu bermuhasabah diri dan jangan mengeksploitasi perkara-perkara yang tidak benar.

''Jika mereka (Pemuda MCA) berjaya memenangi kembali kerusi-kerusi yang dirampas oleh DAP di bandar-bandar besar, barulah suara mereka boleh diterima," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, gesaan Pemuda MCA itu mencerminkan kedangkalan pemikiran pemimpin pergerakan tersebut.

Menurutnya, suara pemimpin kecil itu yang mahu menjadi wira bagi kaum Tionghua tidak perlu diberikan perhatian.

''Ini merupakan contoh parti komponen yang mahu membuli UMNO terutama selepas pilihan raya 8 Mac lalu," jelasnya.

Akur pada Perlembagaan

Ada pihak mempersoalkan mengapakah orang Melayu banyak diberikan keistimewaan, walhal kaum lain juga memegang status sebagai warganegara Malaysia dan lahir di Malaysia.

SALEHUDDIN: Kekeliruan ini timbul ekoran ramai di kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi selepas merdeka tidak didedahkan kepada sejarah bagaimana pembentukan negara ini dan undang-undang yang berkaitan pemeliharaan hak setiap kaum di negara ini.

Apabila mereka tidak didedahkan dengan sejarah dan tidak diberitahu mengenai bagaimana wujudnya peruntukan khusus mengenai hak keistimewaan orang Melayu di bawah Perlembagaan maka tidak hairanlah ramai pihak yang mempersoalkan mengapa mesti orang Melayu diberikan keistimewaan.

Malaysia mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Konsep ini telah dipersetujui untuk diserapkan sebagai konsep yang diguna pakai di negara ini oleh pemerintahan kerajaan British ketika negara dalam proses mencapai kemerdekaan.

Teras utama konsep Raja Berperlembagaan ini adalah raja-raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi yang amat penting dalam sistem pemerintahan negara khususnya untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Jika dilihat kepada sejarah bagaimana kemerdekaan negara diperoleh, sebenarnya persetujuan telah dicapai di antara tiga kaum terbesar negara Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, Raja-Raja Melayu dan dengan persetujuan kerajaan British agar hak keistimewaan orang Melayu akan terus dilindungi selepas mencapai kemerdekaan melalui kuasa yang diberikan kepada raja-raja Melayu.

Persetujuan inilah yang dinamakan sebagai Social Contract atau kontrak sosial. Ia dipersetujui atas dasar asas bagi mengurangkan jurang ekonomi kaum Melayu. Dan, apa yang diputuskan di dalam kontrak sosial tersebut telah diterjemahkan ke dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang terus digunapakai dan menjadi teras kepada pembangunan dan pemodenan negara Malaysia.

Bagaimanapun, hak dan kepentingan kaum lain tidak pernah dipinggirkan dan sentiasa dipelihara dan diperuntukkan juga di bawah Artikel 153 itu sendiri.

Apakah kemungkinan yang boleh berlaku akibat daripada tindakan segelintir pihak mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak?

Apabila mereka mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu maka inilah yang dikatakan mempersoalkan kedudukan undang-undang dan membangkitkan isu sensitif yang boleh mengundang perselisihan faham dan mencetuskan ketegangan antara kaum. Peruntukan yang menjamin keistimewaan orang Melayu akan terus kekal selagi ia tidak dipinda.

Bagaimana hendak memastikan persetujuan semua kaum, Raja Melayu dan kerajaan British dilaksanakan oleh generasi akan datang?

Persetujuan kontrak sosial ini telah termaktub di dalam undang-undang melalui Artikel 153. Peruntukkan mengenai keistimewaan orang Melayu telah diperketatkan lagi pada 10 Mac 1971 dengan memasukkan Fasal (8A), Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana dalam peruntukkan ini diberi kuasa tambahan. Iaitu memberi kuasa tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberi arahan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai pentadbiran dan pengurusan universiti dan pusat pengajian tinggi atau kolej agar merizabkan tempat dalam jumlah tertentu bagi pelajar Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak di universiti, pusat pengajian tinggi dan kolej.

Dengan kata lain, pihak berkuasa tersebut perlu mematuhi sekiranya terdapat arahan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara tersebut. Jika diteliti dengan mendalam peruntukan fasal ini, jelas ia memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi penetapan kuota bagi orang Melayu di universiti, kolej dan pusat pengajian tinggi yang lain.

Apabila disentuh soal kuota kepada pelajar Melayu, bukanlah bermakna pelajar Melayu tidak layak untuk mendapatkan tempat di universiti. Ini kerana pelajar Melayu masih perlu memenuhi pra syarat dan kelayakan asas sebelum diterima masuk ke sesebuah universiti atau pusat pengajian tinggi.

Dalam masa yang sama apabila ada sistem kuota tidaklah bermakna pihak universiti mengenepikan soal kualiti kerana syarat untuk melepasi ujian dan peperiksaan tidak tertakluk kepada sistem kuota.

Dengan kata lain, jika pelajar Melayu tidak melepasi standard, mereka tetap gagal. Di samping peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak yang telah dibincangkan, terdapat juga peruntukan di bawah undang-undang negeri yang merizabkan tanah khusus bagi pemilikan oleh orang Melayu dan syarikat-syarikat yang dikategorikan sebagai syarikat pegangan Melayu bagi tanah beri milik, tanah kerajaan negeri, tanah rizab hutan dan tanah yang telah dirizabkan untuk kegunaan umum.

Sebagai contoh di negeri Selangor terdapat Enakmen Rizab Melayu (Selangor) FMS Cap 142 yang memberikan penekanan terhadap rizab tanah bagi orang Melayu. Undang-Undang ini memastikan tanah yang dirizabkan untuk orang Melayu sentiasa terpelihara.

Bagaimana pula kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan?

Di dalam Perlembagaan ada memperuntukkan Artikel 3(1) bahawa agama Islam adalah agama bagi Persekutuan. Namun dalam masa yang sama, agama-agama lain boleh diamalkan tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

Di negara ini, majoriti orang Melayu beragama Islam. Secara tidak langsung apabila kita memperkatakan mengenai agama Islam ia berhubung rapat dengan orang Melayu. Persoalan mengenai agama Islam juga telah dipertanggungjawabkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Kedudukan agama Islam juga terpelihara dengan rapi di bawah Perlembagaan dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Mengapa sejak kebelakangan ini terdapat golongan tertentu, malahan sekumpulan orang Melayu sendiri yang telah mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu?

Perkembangan ini pastinya amat merunsingkan dan mengundang kegelisahan di kalangan masyarakat Melayu yang ingin terus mempertahankan kedudukan dan keistimewaan yang terpelihara sejak berzaman sebagai pribumi negara ini.

Persoalannya adakah masyarakat Malaysia telah terlupa tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan dahulu yang mana hak-hak orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak akan terus dipelihara, dilindungi tanpa perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Tidakkah masyarakat hari ini sedar bahawa institusi raja diwujudkan bukan sebagai satu lambang upacara dan adat istiadat rasmi semata-mata. Malahan sebagai satu organ penting di dalam tampuk pemerintahan negara yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan masyarakat pribumi Sabah Sarawak dan agama Islam.

Adakah generasi muda hari ini tidak pernah didedahkan tentang sejarah kewujudan negara ini yang berteraskan prinsip asas kontrak sosial antara kaum? Atau adakah orang Malaysia mudah lupa dan begitu alpa sehingga mengenepikan segala yang telah dipersetujui malah sedia termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan? Di manakah silapnya kita dalam kegagalan memastikan prinsip asas ini terpahat di dada dan pemikiran setiap rakyat di negara ini?

Hak istimewa

Apabila saya memperkatakan tentang kedudukan undang-undang mengenai hak istimewa orang Melayu dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak ini yang dipelihara oleh institusi raja, saya tidak sama sekali menyatakan undang-undang mengenepikan hak kaum lain di negara ini.

Malah kaum lain juga mempunyai hak yang sama rata di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara, cuma terdapat keistimewaan sedikit kepada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sebagaimana dipersetujui oleh semua kaum ketika mencapai kemerdekaan seperti di bawah Artikel 153.

Persoalan juga timbul adakah memelihara hak keistimewaan orang Melayu sekarang ini sudah tidak relevan lagi. Saya menyatakan soal relevan atau tidak bukan menjadi persoalannya kerana apa yang penting adalah hak istimewa ini sudah terpahat di bawah Perlembagaan dan akan terus kekal sehingga suatu pindaan dilakukan terhadap peruntukan itu.

Perjuangan untuk memelihara hak istimewa orang Melayu tidak boleh dilihat sebagai perjuangan berbentuk perkauman racist. Ini kerana undang-undang telah sedia memperuntukkan keistimewaan dan hak tersebut dan kita hanya perlu mempertahankan hak yang sedia ada ini.

Apakah faktor-faktor penting yang memerlukan hak istimewa orang Melayu dan institusi beraja mesti dipertahankan?

Ia perlu dipertahankan bagi memastikan: (i) Mempertingkatkan ekonomi orang Melayu setaraf dengan kaum-kaum lain agar tidak terpinggir (ii) Orang Melayu mempunyai daya saing dari segi ekonomi yang seimbang dengan kaum lain. (iii) Tahap kemiskinan orang Melayu dapat diatasi dengan kadar segera.

(iv) Kekuatan ekonomi orang Melayu boleh menjadi asas kepada kekuatan politik orang Melayu (v) Agama Islam terus dipelihara sebagai agama rasmi yang perlu dihormati oleh seluruh masyarakat Malaysia. (vii) Agar hak orang Melayu terhadap pemilikan tanah di negara ini dipelihara.

(viii) Pelajar-pelajar Melayu mendapat tempat di universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan dalam jumlah yang hampir sama dengan kaum lain. (ix) Peluang diberi kepada kontraktor -kontraktor dan peniaga-peniaga Melayu untuk menjalankan perniagaan dan dapat bersaing dengan kaum lain di dalam apa jenis perniagaan yang diceburi.

Bagi memastikan kedudukan dan kepentingan orang Melayu sentiasa terpelihara, Perlembagaan Persekutuan melalui Artikel 153 telah memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh merizabkan untuk orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak dalam kadar yang difikirkan munasabah untuk perkara-perkara seperti di bawah.

(a) Jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam (b) Peruntukkan biasiswa dan danasiswa (c) Keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya (d) Peruntukkan permit atau lesen bagi pengendalian apa-apa tred atau perniagaan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan yang membenarkannya (e) Kemudahan-kemudahan khas yang lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Perlu diingat, perenggan (e) Meliputi perkara yang luas iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan hak istimewa kepada orang Melayu dalam aspek lain apabila kerajaan Persekutuan hendak mengadakan sesuatu kemudahan khas lain bagi menjamin hak orang Melayu di Malaysia sentiasa terpelihara dan dindungi.

Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja memperuntukkan peranan Yang di-Pertuan Agong di dalam merizabkan perkara-perkara tersebut di atas.

Bahkan melalui Fasal (3) dan (6) Artikel 153 juga diperuntukkan kaedah perlaksanaan rizab tersebut bagi menjamin ia dapat dilaksanakan dengan berkesan iaitu dengan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan apa-apa arahan seperti yang diperuntukkan seperti:

(a) Mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang bidang kuasanya meliputi orang-orang dalam perkhidmatan awam. (b) Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai pemberian biasiswa, danasiswa atau pendidikan dan latihan. (c) Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pemberian permit dan lesen, bagi perlaksanaan rizab yang dinyatakan.

Setelah disentuh dan dihuraikan secara panjang lebar mengenai fungsi Yang di-Pertuan Agong, apakah nasihat ataupun saranan anda mengenai isu berbangkit ini?

Semua pihak perlu berbalik dan akur kepada peruntukan undang-undang. Sekiranya ini dilakukan, saya yakin tidak akan timbul pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum.

Pihak-pihak terlibat perlu lebih sensitif dalam mempersoalkan hak setiap kaum demi menjamin keharmonian dan keamanan negara ini. Saya juga yakin sekiranya semua pihak memahami sejarah kewujudan peruntukan mengenai hak istimewa orang Melayu dan memahami konsep raja berperlembagaan nescaya semua pihak akan akur tentang apa yang telah diberikan kepada setiap kaum.

Saya juga melihat terdapat golongan tertentu apabila membincangkan hak orang Melayu mereka lebih cenderung menyatakan ia menyentuh isu perkauman. Walhal ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana dalam undang-undang sudah sedia termaktub. Jadi mengapakah mesti mereka mempersoalkannya dan bertelingkah sedangkan undang-undang sudah jelas untuk difahami.

Ringkasnya, saya juga percaya kekeliruan ini timbul apabila semua pihak bercakap mengikut emosi masing-masing tanpa merujuk kepada undang-undang.

Sebagai rumusan, kuasa Yang di-Pertuan Agong di dalam memelihara keistimewaan orang Melayu di negara ini sentiasa terpelihara di bawah peruntukan undang-undang negara.

Kesan keahlian terus BN


KEMAMPUAN menawarkan perubahan dan pembaharuan adalah perkara penting bagi sesebuah parti politik demi untuk mengekalkan sokongan rakyat/pengundi kepadanya. Kejayaan memenangi pilihan raya biasanya akan dicapai oleh parti politik yang mampu menawarkan idea, inisiatif dan program yang dapat mencipta persekitaran yang kondusif bagi membolehkan rakyat untuk meningkatkan taraf hidup serta mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka.

Namun sejarah telah menunjukkan bukan semua idea yang dikemukakan oleh parti politik adalah idea yang menguntungkan sama ada rakyat, negara mahupun parti politik itu sendiri. Ada idea yang baik dari segi teorinya tetapi tidak praktikal dan akan menyusahkan di kemudian hari. Idea sebegini biasanya bersifat terlalu idealistik.

Ada beberapa idea yang selama ini diuar-uarkan untuk perbahasan umum perlu dilihat dengan secara lebih teliti sebelum sebarang keputusan diambil untuk melaksanakannya kerana implikasi kemudian hari yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Antara idea tersebut cadangan keahlian terus Barisan Nasional. Idea ini timbul hasil analisis serong terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berlalu di mana terdapat sesetengah penganalisis menyimpulkan daripada keputusan PRU tersebut bahawa parti-parti politik yang berdasarkan sesuatu kaum sudah tidak lagi relevan malahan parti-parti ini hanya menunggu waktu untuk berkubur.

Kesimpulan yang dibuat para analisis ini amat songsang dari segi realiti kerana parti-parti yang menang besar sama ada di pihak pembangkang atau BN di dalam PRU 12 adalah parti-parti yang berasaskan kaum. DAP parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum tetapi hakikatnya adalah parti untuk kaum Cina telah menang besar dan mengetuai kerajaan di negeri Pulau Pinang serta mengawal kerajaan-kerajaan negeri Perak dan Selangor. Pas yang merupakan parti satu kaum malahan satu agama menerajui kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Perak serta mempunyai wakil di dalam kerajaan negeri Selangor. UMNO yang keahliannya terhad kepada orang Melayu dan bumiputera menguasai 78 kerusi Dewan Rakyat jumlah yang melebihi dari kesemua kerusi yang diperoleh parti komponen yang lain secara kolektif. Parti-parti yang gah mendakwa bersifat pelbagai kaum namun hakikatnya bersifat satu kaum seperti Parti Gerakan dan PPP mengalami kekalahan yang teruk.

Cadangan keahlian terus BN ini sebenarnya boleh melemah dan seterusnya menghancurkan BN kerana mereka yang menganggotai BN secara terus tanpa melalui keahlian di dalam parti komponen akan secara hakikatnya menjadi "ahli super". Ahli luar biasa ini yang tidak tertakluk kepada disiplin mana-mana parti komponen berkemungkinan akan mendatangkan masalah.

Bayangkan kecelaruan yang akan berlaku di peringkat akar umbi akibat konsep keahlian terus ini. BN yang hari ini mempunyai 13 parti komponen dengan struktur di peringkat negeri, bahagian dan cawangan akan kelam kabut dengan adanya Kelab BN dan konsep keahlian terus yang dicadangkan. Tidak mungkinkah akhirnya Kelab BN dan konsep keahlian terus yang dicadangkan ini akan hanya mewujudkan komponen ke-14 BN?

Bagaimana pula jika ahli-ahli BN secara langsung ini melanggar disiplin BN?

Bagaimana mereka ingin dikenakan tindakan disiplin oleh sebab pertanyaan utama yang akan timbul ialah piawai serta tatacara disiplin parti manakah yang ingin diguna pakai untuk tindakan diambil? Tidak logik jika setiap pelanggaran disiplin ingin ditangani Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri atau Jawatankuasa Pengurusan yang diketuai Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Bagaimana pula hak mereka untuk memilih dan dipilih ke jawatan-jawatan parti?

Adakah dengan mewujudkan keahlian terus ini bermakna kita akan membuka jawatan-jawatan utama BN seperti jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN untuk dipertandingkan bagi memberikan hak demokratik kepada ahli BN secara terus ini untuk memilih dan dipilih?

Bagaimana pula dengan ahli-ahli parti komponen BN yang kalah di dalam pertandingan parti komponen atau merajuk tidak dipilih sebagai calon adakah mereka ini akan dibenarkan melompat keluar dari parti komponen masing-masing dan menyertai BN secara langsung dengan mendakwa bahawa walaupun mereka yakin dengan perjuangan BN tetapi tidak bersetuju atau tidak suka dengan parti komponen yang ada.

Hakikatnya jika cadangan pengwujudan keahlian terus BN ini diterima ia sudah tentu akan melemahkan parti-parti komponen BN sendiri seterusnya berpotensi menghancurkan BN itu sendiri.

Kerajaan akan pastikan GLC berdaya saing


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kerajaan akan terus memantau prestasi syarikat milik kerajaan (GLC) yang bertindak sebagai payung kepada pembangunan syarikat-syarikat kecil bumiputera bagi memastikan mereka terus kekal berdaya saing dalam memacu perkembangan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berbanding prestasi GLC sebelum garis panduan Buku Merah Program Transformasi GLC dikeluarkan pada April 2006, kini dapat dilihat banyak peningkatannya malah ada GLC yang dikategorikan sebagai cemerlang.

"Setelah garis panduan dibuat oleh kerajaan, kita nampak banyak peningkatan. Malah ada GLC yang cemerlang tetapi kita belum puas hati.

"Kita akan terus memantau supaya prestasinya berterusan meningkat dan kalau ada kelemahan tertentu, kita sanggup memperbaikinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini yang mahu mengetahui rancangan dan strategi kerajaan untuk menjadikan GLC mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) mengenai tindakan kerajaan untuk membantu syarikat kecil pembekal perabot ke sekolah yang kini diburu bank setelah hilang kontrak bekalan itu, Najib berkata, beliau telah menemui wakil syarikat berkenaan dan mendengar aduan mereka.

Dalam soalannya, Azmi memberitahu, syarikat kecil tersebut dipayungi Kumpulan Guthrie yang diberikan kontrak membekal perabot di sekolah tetapi kini, 50 peratus daripada syarikat kecil itu diburu bank kerana Guthrie tidak lagi menjalankan perniagaan tersebut.

Najib yang berterima kasih kepada Azmi kerana membangkitkan isu tersebut berkata, beliau telah meminta tender pembekalan itu dikaji semula dan sekiranya perlu, kerajaan akan menggantikannya dengan sistem kontrak berpusat bagi membolehkan syarikat kecil bumiputera itu mendapat peluang perniagaan daripada kerajaan.

''Saya minta peluang diberikan kepada kelompok ini kerana kalau tidak, mereka akan gulung tikar. Peluang patut diberikan kepada mereka," katanya.

Menjawab soalan asal daripada Azmi, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak mahu perniagaan diurus berlandaskan dasar-dasar perkauman dan sentiasa menggalakkan syarikat swasta dan GLC memainkan peranan membangunkan vendor tempatan termasuk bumiputera.

Katanya, syarikat besar milik bukan bumiputera terutama yang memegang lesen atau mendapat kontrak daripada kerajaan, juga patut mengutamakan pembangunan syarikat-syarikat kecil tempatan dan bumiputera.

''Selari dengan garis panduan yang ada, GLC berperanan memayungi syarikat pengusaha dan pembekal kecil bumiputera melalui pelbagai program seperti pelaksanaan Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) yang diwujudkan khusus untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan syarikat kecil serta menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera dalam aktiviti ekonomi," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, daripada perolehan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berjumlah RM5.5 bilion pada 2007, 32 peratus atau RM1.8 bilion dianugerahkan kepada vendor bumiputera dan TNB juga memainkan peranan sebagai payung kepada 250 vendor di bawah BVDP.

Katanya, pemantauan ke atas pelaksanaan program Buku Merah oleh GLC secara keseluruhan dibuat melalui Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC sebagai salah satu elemen utama Program Transformasi GLC.

Najib berkata, peranan GLC menyokong agenda pembangunan negara tidak terhad kepada aspek perolehan malah memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan sebagai usaha berterusan memperkasakan prestasi GLC.

''Membangunkan tenaga kerja yang berprestasi tinggi dan berdaya saing akan memacu perkembangan ekonomi negara dan pada masa yang sama, melahirkan pemimpin korporat dan usahawan masa depan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu telah pun terbukti dengan lahirnya komuniti usahawan berjaya yang sekarang ini menyokong operasi syarikat seperti Petronas dan Proton.

Ingat fakta sejarah Tanah Melayu


KENYATAAN Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe telah mengundang kontroversi. Pertama, berdasarkan sejarah kata beliau, orang Melayu adalah juga pendatang sama seperti orang Cina dan India. Kedua, dengan nada sinis beliau menyindir UMNO bahawa parti Gerakan selama ini berada dalam telunjuk UMNO. Gerakan tidak mempunyai suara dalam menentukan keputusan kerajaan.

Publisiti murahan jelas menunjukkan bahawa beliau seolah-olah pakar dalam bidang sejarah dan menarik perhatian serta sokongan orang Cina yang telah kecewa dengan Gerakan. Saya tidak pasti apakah latar belakang sebenar kelulusan Lian Hoe sehingga menyebabkan kenyataan seperti ini dikeluarkan.

Saya mungkin dapat menerima serba sedikit pendapat ini jika beliau adalah pakar sejarah. Jika tidak, mungkin ada agenda tersembunyi yang perlu kita lihat secara serius.

Ini kerana selepas pilihan raya umum baru-baru ini, ada beberapa parti komponen Barisan Nasional cuba menggunakan kesempatan ini untuk mengugut UMNO dan kerajaan. Mereka tahu, UMNO kini berada dalam kedudukan yang agak lemah. UMNO memerlukan sokongan parti-parti komponen bukan Melayu untuk memerintah. Justeru, peluang ini digunakan untuk mencapai hasrat yang sekian lama terpendam, termasuk mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu.

Lian Hoe perlu sedar bahawa kemenangan beliau di Parlimen Gerik dalam pilihan raya lalu adalah hasil sokongan pengundi Melayu UMNO. Jika kerusi Gerik itu tidak diberikan kepada Gerakan dan UMNO tidak mengundi beliau, tidak mungkin ada Lian Hoe pada hari ini sebagai Timbalan Menteri Penerangan. Itupun beliau masih tidak bersyukur dan amat kiasu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada sebahagian orang Cina tidak dapat menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Perlu diingatkan bahawa sejarah sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan 'Melayu' atau 'Tanah Melayu' itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini.

Nama-nama ini terkenal di kalangan negara China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma- Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).

Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11 barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa.

Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu, Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Namun, kedatangan penjajah British telah merubah peta politik Tanah Melayu.

Kalau dahulu, hubungan antara antara China dan Tanah Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu.

Orang Cina yang mendatang dapat menjadi warganegara disebabkan oleh proses akomodasi orang Melayu dalam memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada yang berhak tanpa mengira latar belakang.

Diterima

Melalui proses akomodasi para pemimpin ketika itu, lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan Jus Soli. Demografi negara berubah serta merta.

Hampir 40 peratus daripada warganegaranya adalah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia. Contohnya, nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu.

Sebelum tahun 1910, kemasukan orang asing semakin bertambah tanpa had telah mengejutkan sultan negeri-negeri Melayu Bersekutu. Mereka memaksa British menghalangnya. Tetapi keperluan pekerja yang mendesak dalam bidang perlombongan dan perladangan menjadi kemasukan mereka tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Setiap tahun ribuan pendatang Cina dan India tiba di Tanah Melayu. Sehingga tahun 1931, apabila bancian dibuat, jumlah orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang Melayu di negeri mereka sendiri (Comber, 2007: xx).

Seramai 1,285,000 orang Cina berada di Tanah Melayu, 33.9 pertumbuhan penduduk ketika itu. Pada tahun 1947, jumlah ini terus meningkat kepada 1,885,000, mewakili 38.4 peratus pertumbuhan penduduk. Dalam kajian yang dilakukan oleh Ardizzone (1946), sebenarnya jika dicampurkan dengan imigran lain, bilangan mereka telah melebihi penduduk asal pada tahun 1946 sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk asal (Melayu).

Apabila Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, British kembali semula memerintah Tanah Melayu. Usaha-usaha dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum dan semangat muhibah.

British mengumumkan rancangan Malayan Union pada tahun 1946. Dalam rancangan ini, British mahu menubuhkan sebuah negeri bersatu dan mencipta satu kewarganegaraan yang sama rata untuk semua kaum. Kerajaan British berkuasa penuh terhadap pentadbiran Tanah Melayu.

British berpendapat dengan wujudnya pentadbiran secara berpusat pentadbiran Tanah Melayu akan menjadi lebih berkesan dan efisien.

Mereka bersetuju memberikan kemerdekaan kepada negara orang Melayu, hanya jika mereka bersetuju berkongsi kuasa politik dan ekonomi dengan kaum-kaum yang mendatang (Ling Liong Sik, 1995: 4). Melalui proses akomodasi inilah akhirnya peta Tanah Melayu berubah menjadi masyarakat majmuk.

Bagi memudahkan urusan pentadbiran, British telah mencipta satu istilah bernama Malayan. Malayan dirujuk bukan Melayu yang telah bermastautin lama atau dilahirkan di Malaya. Manakala istilah Melayu atau Malaysians digunakan untuk orang Melayu, Indonesia dan Orang Asli.

Antara ciri Perlembagaan Malayan Union ialah kerakyatan melalui undang-undang berasaskan prinsip jus soli diperkenalkan yakni melalui kuat kuasa undang-undang dan secara permohonan atau kemasukan. Orang Melayu akan menjadi warganegara Malayan Union secara automatik, manakala orang bukan Melayu yang ingin menjadi warganegara perlu memenuhi kelayakan-kelayakan bermastautin, kelahiran dan sebagainya.

Antara raja-raja Melayu dengan kerajaan British, satu perjanjian baru diwujudkan. Raja-raja Melayu diminta menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing kepada British. Undang-undang baru akan diperkenalkan bagi pihak raja-raja.

Ini bermakna, British akan terus menjajah negeri-negeri Melayu termasuk negeri-negeri Selat. Orang Melayu melihat ia adalah satu ancaman kepada hak-hak mereka dan memberi keuntungan kepada orang bukan Melayu (Ongkili, 1985: 39-42, Ruslan Zainuddin, 2005: 550-563, Comber, 2007: xxi).

Reaksi orang Melayu terhadap Malayan Union (Ongkili, 1985: 42-52) memang telah dirasai dan diduga oleh orang Cina sebagai kaum yang mendatang. Orang Cina memang tahu bahawa orang Orang Melayu tidak begitu mudah menerima orang Cina sebagai rakyat Tanah Melayu. Dengan sebab itu, sejak awal-awal lagi orang Cina telah bersiap sedia untuk menghadapi keadaan seperti ini. Mereka mengambil sikap 'tunggu dan lihat' bagi melindungi kepentingan mereka.

Orang Cina menyuarakan pandangan mereka terhadap Malayan Union melalui pelbagai cara seperti pertubuhan, kesatuan dan akhbar-akhbar Cina.

Jelas di sini bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media massa Cina memainkan peranan penting dalam sosialisasi politik Cina. Inilah bentuk dan sikap masyarakat Cina sejak daripada awal lagi berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka tidak akan membiarkan dirinya keseorangan.

Tidak Logik

Mereka sedar bahawa dengan menubuhkan persatuan, adalah satu-satunya cara yang terbaik untuk memperjuangkan, mempertahankan dan menjaga hak-hak dan kebajikan mereka. Selepas merdeka, keberanian orang Cina semakin ketara apabila Lee Kuan Yew menyuarakan perjuangan Malaysian Malaysia iaitu Malaysia untuk orang Malaysia. Perjuangan ini disambung oleh DAP sehingga ke hari ini.

Dalam Malaysian Malaysia itu nanti kedudukan yang tinggal pada orang Melayu hanya sultan-sultan. Jawatan lain akan dijawat oleh mereka yang berkelayakan tanpa mengira kaum. Kuan Yew memberikan tempoh 20 tahun sahaja kepada Malaysia berperdanamenterikan orang Melayu. Selepas itu sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri.

Kuan Yew secara terang-terang menolak hak-hak istimewa orang Melayu. Katanya, "Mengikut Sejarah orang-orang Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan kecil, cuma kira-kira 700 tahun yang lalu.

Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha agung UMNO, Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun.

Oleh itu, adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa hanya mereka sahaja adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka".

Pendek kata, Kuan Yew juga menolak pendapat bahawa orang-orang Melayu adalah Bumiputera gugusan Pulau-Pulau Melayu (Comber, 2007: 114-115).

Kenyataan Kuan Yew ini terus mempengaruhi masyarakat Cina pada hari ini. Lebih dahsyat lagi ada yang berani mengatakan bahawa bumiputera yang sebenar adalah orang asli, dan bukannya orang Melayu. Orang Melayu juga adalah pendatang seperti orang Cina.

Ini bermakna seolah-olah orang Cina menolak negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairan jika perkara berkaitan hak-hak istimewa orang Melayu tidak mendapat sokongan orang Cina sama ada secara individu, persatuan mahupun parti-parti politik Cina. Mereka menganggap bahawa keistimewaan orang Melayu bersifat sementara.

Mereka mendesak supaya peningkatan terhadap hak-hak mereka turut dilakukan berpegang kepada prinsip kesamarataan.

Sementara orang Melayu berkeras dengan merujuk kepada sejarah hak bumiputera mesti pertahankan dan diberi keistimewaan khusus. Sehingga kini, pertikaian tidak berkesudahan. Orang Melayu mempertahankan kedudukan mereka yang istimewa melawan bukan Melayu (Cina) yang menuntut kesamarataan.

Ketidakpuasan hati orang ini disalurkan melalui akhbar-akhbar berbahasa Cina, ucapan-ucapan awam dan perbualan sesama mereka, sehingga menimbulkan salahfaham dan kadangkala berlaku ketegangan dalam hubungan kaum di Malaysia.

Kesimpulannya, sudah sampai masanya parti Gerakan belajar memahami sejarah negara dan berhenti mengamalkan politik mengugut untuk mendapatkan kepentingan tertentu.

Janganlah gunakan kelemahan yang wujud hari ini untuk mendapatkan publisiti murahan dan mengugut UMNO bagi menunjukkan seolah-oleh merekalah sahaja pejuang rakyat di negara. Tetapi berfikirlah lebih jauh lagi untuk kepentingan rakyat di negara ini.