Wednesday, October 29, 2008

Tiada siapa berhak persoal kenyataan raja-raja


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tidak ada siapa pun di negara ini yang berhak mempersoal peringatan raja-raja Melayu berhubung kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata, walaupun ada yang berpendapat soal Kontrak Sosial boleh dipertikaikan namun harus diingat, kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu menyebut dengan jelas perkara itu telah terkandung dalam Perlembagaan.

''Jadi siapa mereka sama ada dalam UMNO, BN atau pembangkang, mereka tidak boleh persoalkan. Ia telah ada dan peringatan raja-raja Melayu jelas iaitu jangan bermain api dengan perkara yang telah dipersetujui.

''Raja-raja berhak sebagai payung di mana kita bernaung untuk mengeluarkan titah peringatan itu. Kalau kita dalam konsep Rukun Negara, titah itu mesti dijunjung,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan berkata, rakyat berhak mempersoalkan Kontrak Sosial sekiranya wujud kepincangan dalam pelaksanaannya.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, peringatan raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar khas kelmarin disifatkannya sebagai sesuatu yang cukup bersejarah kerana jarang-jarang sekali untuk raja-raja berbuat demikian.

Namun, katanya, dengan perkembangan semasa dan apabila ada suara-suara yang mula membangkitkan isu-isu sensitif, maka raja-raja Melayu memahami bahawa situasi itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.

''Raja-raja kita ternyata berjiwa rakyat, mereka peka dengan apa yang berlaku di bawah. Mereka dengar suara-suara yang ditimbulkan.

''Mereka juga faham isu-isu ini sesuatu yang sensitif, kalau dilepas bebas maka ini boleh timbulkan masalah besar bagi negara,'' jelasnya.

Beliau berkata, oleh itu, semua pihak di negara ini perlu menghormati kenyataan dan peringatan raja-raja Melayu.

''Raja-raja Melayu buat peringatan kepada perkara yang telah disepakati dan terkandung dalam Perlembagaan. Atas dasar itu kita harus hormati. '' tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, kontrak Sosial tidak seharusnya dijadikan isu politik memandangkan ia adalah asas yang telah membina Malaysia ke landasan yang terbaik seperti sekarang.

Katanya, melalui Kontrak Sosial, Malaysia telah mencapai banyak kejayaan terutama dari segi ekonomi.

"Di manakah yang dikatakan hak rakyat negara ini terjejas apabila pencapaian semua kaum dalam aspek ekonomi berkembang dengan sangat ketara?

"Kita sepatutnya berterima kasih kerana wujudnya dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memastikan semua kaum di negara ini tidak ketinggalan dalam mencapai kesejahteraan," katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Risda di sini hari ini.

Di KOTA KINABALU, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu yang disiarkan semalam tidak harus dilihat sekadar satu peringatan.

Menurut beliau, kenyataan akhbar tersebut sebaliknya merupakan titah raja-raja Melayu yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.

''Mana-mana pihak tidak perlu lagi mempersoalkan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan. Kedudukan Raja-Raja, agama Islam, orang Melayu dan bumiputera tidak boleh dibangkitkan supaya tidak timbul masalah kemudian hari.

''Ini adalah titah daripada institusi paling tinggi dalam negara iaitu institusi Raja-Raja yang tidak boleh dianggap kecil atau sekadar peringatan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Penasihat Perpaduan Negara (Panel), di sini hari ini.

No comments: