Wednesday, October 29, 2008

Kesan keahlian terus BN


KEMAMPUAN menawarkan perubahan dan pembaharuan adalah perkara penting bagi sesebuah parti politik demi untuk mengekalkan sokongan rakyat/pengundi kepadanya. Kejayaan memenangi pilihan raya biasanya akan dicapai oleh parti politik yang mampu menawarkan idea, inisiatif dan program yang dapat mencipta persekitaran yang kondusif bagi membolehkan rakyat untuk meningkatkan taraf hidup serta mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka.

Namun sejarah telah menunjukkan bukan semua idea yang dikemukakan oleh parti politik adalah idea yang menguntungkan sama ada rakyat, negara mahupun parti politik itu sendiri. Ada idea yang baik dari segi teorinya tetapi tidak praktikal dan akan menyusahkan di kemudian hari. Idea sebegini biasanya bersifat terlalu idealistik.

Ada beberapa idea yang selama ini diuar-uarkan untuk perbahasan umum perlu dilihat dengan secara lebih teliti sebelum sebarang keputusan diambil untuk melaksanakannya kerana implikasi kemudian hari yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Antara idea tersebut cadangan keahlian terus Barisan Nasional. Idea ini timbul hasil analisis serong terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berlalu di mana terdapat sesetengah penganalisis menyimpulkan daripada keputusan PRU tersebut bahawa parti-parti politik yang berdasarkan sesuatu kaum sudah tidak lagi relevan malahan parti-parti ini hanya menunggu waktu untuk berkubur.

Kesimpulan yang dibuat para analisis ini amat songsang dari segi realiti kerana parti-parti yang menang besar sama ada di pihak pembangkang atau BN di dalam PRU 12 adalah parti-parti yang berasaskan kaum. DAP parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum tetapi hakikatnya adalah parti untuk kaum Cina telah menang besar dan mengetuai kerajaan di negeri Pulau Pinang serta mengawal kerajaan-kerajaan negeri Perak dan Selangor. Pas yang merupakan parti satu kaum malahan satu agama menerajui kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Perak serta mempunyai wakil di dalam kerajaan negeri Selangor. UMNO yang keahliannya terhad kepada orang Melayu dan bumiputera menguasai 78 kerusi Dewan Rakyat jumlah yang melebihi dari kesemua kerusi yang diperoleh parti komponen yang lain secara kolektif. Parti-parti yang gah mendakwa bersifat pelbagai kaum namun hakikatnya bersifat satu kaum seperti Parti Gerakan dan PPP mengalami kekalahan yang teruk.

Cadangan keahlian terus BN ini sebenarnya boleh melemah dan seterusnya menghancurkan BN kerana mereka yang menganggotai BN secara terus tanpa melalui keahlian di dalam parti komponen akan secara hakikatnya menjadi "ahli super". Ahli luar biasa ini yang tidak tertakluk kepada disiplin mana-mana parti komponen berkemungkinan akan mendatangkan masalah.

Bayangkan kecelaruan yang akan berlaku di peringkat akar umbi akibat konsep keahlian terus ini. BN yang hari ini mempunyai 13 parti komponen dengan struktur di peringkat negeri, bahagian dan cawangan akan kelam kabut dengan adanya Kelab BN dan konsep keahlian terus yang dicadangkan. Tidak mungkinkah akhirnya Kelab BN dan konsep keahlian terus yang dicadangkan ini akan hanya mewujudkan komponen ke-14 BN?

Bagaimana pula jika ahli-ahli BN secara langsung ini melanggar disiplin BN?

Bagaimana mereka ingin dikenakan tindakan disiplin oleh sebab pertanyaan utama yang akan timbul ialah piawai serta tatacara disiplin parti manakah yang ingin diguna pakai untuk tindakan diambil? Tidak logik jika setiap pelanggaran disiplin ingin ditangani Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri atau Jawatankuasa Pengurusan yang diketuai Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Bagaimana pula hak mereka untuk memilih dan dipilih ke jawatan-jawatan parti?

Adakah dengan mewujudkan keahlian terus ini bermakna kita akan membuka jawatan-jawatan utama BN seperti jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN untuk dipertandingkan bagi memberikan hak demokratik kepada ahli BN secara terus ini untuk memilih dan dipilih?

Bagaimana pula dengan ahli-ahli parti komponen BN yang kalah di dalam pertandingan parti komponen atau merajuk tidak dipilih sebagai calon adakah mereka ini akan dibenarkan melompat keluar dari parti komponen masing-masing dan menyertai BN secara langsung dengan mendakwa bahawa walaupun mereka yakin dengan perjuangan BN tetapi tidak bersetuju atau tidak suka dengan parti komponen yang ada.

Hakikatnya jika cadangan pengwujudan keahlian terus BN ini diterima ia sudah tentu akan melemahkan parti-parti komponen BN sendiri seterusnya berpotensi menghancurkan BN itu sendiri.

No comments: