Wednesday, October 29, 2008

Henti polemik kontrak sosial

''Raja-Raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.''

Petikan di atas adalah sebahagian daripada kenyataan akhbar khas Majlis RajaRaja yang menyeru semua rakyat Malaysia agar berhenti mempersoalkan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum semenjak lebih lima dekad yang lalu.

Demi kestabilan dan kemakmuran berterusan negara, semua rakyat tanpa mengira kaum perlu akur terhadap nasihat yang sarat kebijaksanaan ini.

Jika tidak dihentikan, polemik berpanjangan ini berpotensi meranapkan masa depan negara dan rakyat Malaysia.

Orang Melayu juga perlu mengambil iktibar daripada nasihat Majlis Raja-Raja tentang peri pentingnya kita bersatu padu bagi mempertahankan kemuliaan serta kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu, peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan (agama Islam dan bahasa Melayu) dan hak-hak istimewa orang Melayu.

Jika perpaduan di antara orang Melayu rapuh kerana politik kepartian yang tidak terkawal, maka janganlah kita terkejut jika golongan tertentu cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan pelbagai alasan termasuk alasan untuk mengembangkan demokrasi serta hak asasi manusia bagi mempersoalkan asas-asas kenegaraan Malaysia yang sudah sedia termaktub.

Isu jelas memperlihatkan Raja-Raja Melayu menjadi pelindung kepada orang Melayu untuk mempertahankan Artikel 153 ini daripada terus menjadi polemik di negara kita.

Hari ini kita menyaksikan pihak-pihak ini dengan berani mempersoalkan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Ini dilakukan walaupun majoriti penduduk Malaysia beragama Islam, walaupun Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi negara) menyatakan Islam adalah agama rasmi negara, walaupun terdapat peruntukan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama lain di kalangan orang-orang Islam dan walaupun Malaysia adalah anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Selain daripada mempertikaikan status negara Islam Malaysia, mereka juga berusaha untuk menyama taraf kedudukan agama Islam dengan agama-agama lain melalui inisiatif seperti Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan mereka berusaha meminda atau mentafsir semula melalui keputusan Mahkamah, Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi bidang kuasa Mahkamah Syariah dari campur tangan Mahkamah Sivil.

Yang menyedihkan usaha pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini dibantu oleh penganut agama Islam yang kononnya berfahaman liberal.

Selain daripada percubaan untuk menurun taraf Islam mutakhir ini juga terdapat pihak-pihak yang cuba mempersoalkan kewajaran sama ada secara langsung mahupun tidak langsung peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya peruntukan Perkara 152 berkenaan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kenapa setelah lebih lima dekad amat sukar bagi golongan tertentu untuk menerima kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Kegagalan

Kegagalan untuk bertutur secara fasih di dalam bahasa Melayu begitu juga kegagalan untuk menulis dan membaca di dalam bahasa Melayu di kalangan generasi pascamerdeka tidak dapat dimaafkan.

Tiada alasan yang boleh menjustifikasikan keadaan ini. Kegagalan penguasaan hanya mencerminkan sikap endah tidak endah terhadap simbol kenegaraan ini.

Ada yang memberi alasan bahawa di dalam era globalisasi kita hanya perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa yang mempunyai nilai ekonomi.

Ini satu alasan yang pelik kerana di antara negara G8 iaitu negara-negara yang super maju dan mempunyai kemajuan teknologi serta kuasa beli yang secara kolektifnya melebihi China dan India hanya tiga negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.

Lima lagi negara G8 bangga menggunakan bahasa kebangsaan mereka iaitu Perancis, Rusia, Jerman, Itali dan Jepun malahan Wilayah Quebec di Kanada pun menggunakan bahasa Perancis. Bukan kita meremehkan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tetapi apa yang ingin dinyatakan adalah janganlah menjadikan alasan globalisasi sebagai alasan memperlekehkan keperluan penguasaan bahasa kebangsaan.

Alasan globalisasi juga diberikan bagi mengabsahkan (mengesahkan) kenapa dasar ekonomi affirmative seumpama DEB yang dilaksanakan di bawah Perkara 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu) hendak dimansuhkan.

Bagi golongan yang tidak sukakan dasar affirmative, mereka mendakwa bahawa pelaksanaannya akan hanya melunturkan kelebihan persaingan negara di dalam menghadapi globalisasi.

Mereka memberi contoh di dalam bidang pelajaran tinggi bagaimana pengamalan dasar ini adalah penyebab kepada kenapa anak-anak muda bukan Melayu/bumiputera yang genius berhijrah ke negara lain.

Soalannya benarkah mereka bertindak demikian akibat tidak berpeluang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam, mendapat biasiswa kerajaan untuk ke luar negara dan gagal mendapat peluang pekerjaan di sektor awam dan syarikat berkait kerajaan (GLC) atau sebab sebenar mereka bertindak sedemikian dan penyebab utama kepada apa yang disifatkan sebagai brain drain adalah pencarian peluang ekonomi yang lebih baik.

Alasan ini seolah-olah mengetepikan hakikat bahawa kerajaan semenjak pertengahan 90-an telah meliberalkan sektor pengajian tinggi bagi memberi peluang kepada seramai mungkin pelajar yang layak mendapat akses kepada pengajian tinggi.

Bukankah langkah ini terbukti berjaya kerana hari ini di kalangan kohort (kumpulan) umur 17-23 mereka yang mendapat peluang pengajian tinggi telah meningkat kepada 27 peratus. Angka ini dijangka terus meningkat kepada 40 peratus menjelang 2010.

Walaupun hari ini hanya terdapat 20 universiti awam tetapi hasil liberalisasi kerajaan kini terdapat 33 universiti dan kolej universiti swasta termasuk institusi yang diasaskan parti politik bukan Melayu seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR/ MCA), AIMST (MIC), Universiti Terbuka Wawasan (WOU/Gerakan), 4 kampus tempatan universiti asing dan lebih 500 kolej swasta.

Sebahagian institusi swasta ini mengadakan program berkembar dengan institusi pengajian tinggi luar negara melalui program '3+0', '2+1' atau '1+2' di mana pelajar tempatan menghabiskan sebahagian atau keseluruhan pengajian mereka di dalam negara tetapi mendapat ijazah dari universiti-universiti asing.

Hakikat ini telah mengurangkan beban pelajar-pelajar dan para ibu bapa mereka yang tidak mendapat tempat di IPTA kerana kos yang terpaksa ditanggung adalah lebih murah berbanding menghabiskan keseluruhan pengajian di luar negara.

Statistik menunjukkan bahawa jumlah pelajar institusi pengajian tinggi swasta ini melebihi jumlah pelajar IPTA.

Dari segi kaum pula, pelajar bukan Melayu melebihi pelajar Melayu apabila jumlah pelajar kedua-dua institusi IPTA dan IPTS digabungkan.

Tidak cukup dengan langkah meliberalkan akses kepada pengajian tinggi kerajaan juga telah menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang semenjak lebih 10 tahun yang lalu telah mengeluarkan RM11 bilion di dalam pinjaman pelajaran.

Pinjaman ini telah berjaya memanfaatkan lebih 1 juta pelajar. Kenapa hakikat ini tidak diuar-uarkan apabila mempolemikkan angka penerima biasiswa mengikut kaum yang diberikan oleh kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mana jumlah biasiswa berkenaan hanya 2,000 setahun.

Cukuplah, janganlah kita mempolemikkan lagi kontrak sosial dan peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan demi keamanan dan kestabilan negara. Malaysia adalah negara yang bukan sahaja berbilang kaum tetapi juga berbilang agama, budaya dan bahasa.

Tanpa kedua-dua faktor keamanan dan kestabilan manusia atau kelompok manusia yang super genius sekalipun tidak akan dapat mengoptimumkan potensi mereka di bumi tercinta ini.

Bagaimana Malaysia akan stabil dan aman jika dua pertiga rakyat Malaysia (65.1% Melayu/bumiputera) yang hanya menguasai kurang satu perlima kekayaan negara (19.4%) masih hendak terus diasak, dicemburui dan didengki.

No comments: