Monday, December 1, 2008

Apabila UMNO terus menjadi tumpuan










Perkara 1: Kuasa akar umbi SAYA telah dua kali menulis dalam ruangan ini berkaitan kuota dalam pemilihan UMNO dan politik wang yang dikaitkan dengannya. Pertama pada akhir Oktober dan kedua, pertengahan bulan lepas.

Oleh kerana UMNO menjadi parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) dan tonggak kerajaan BN sama ada di Pusat mahupun di negeri-negeri yang dikuasainya, maka adalah tidak keterlaluan jika isu terbabit terus diperkatakan. Ia sedikit sebanyak telah mengguris maruah UMNO, maruah orang Melayu walaupun hakikatnya tiada siapa yang tahu secara tepat setakat mana seriusnya. Namun yang jelas, ia menarik minat rakyat sama ada mereka yang berada di dalam UMNO, BN mahupun di luar lingkungan itu.

Ramai pemimpin UMNO mengupas mengenainya; kesemuanya mahu amalan terbabit dihapuskan. Terbaru Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan pemilihan parti itu dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian; dan tidak lagi terhad kepada 2,500 perwakilan ke perhimpunan agung sahaja. Ia untuk mengelakkan politik wang kerana sejumlah kecil wakil ke perhimpunan agung sudah tentu mudah terdedah kepada umpan wang.

UMNO sebenarnya mempunyai 191 bahagian dan di bawahnya terdapat lebih 19,200 cawangan. Anggotanya pula kira-kira 3.1 juta.

Berdasarkan struktur tersebut, adalah tidak mustahil jika keseluruhan anggota UMNO membuat keputusan siapa yang mereka mahu menerajui kepimpinan parti mereka. Ini bermakna pemilihan pucuk pimpinan termasuk ahli Majlis Tertinggi wajar diserahkan kepada 3.1 juta ahli UMNO. Jika itu dapat dilaksanakan, sudah tentu tiada seorang pun lagi yang boleh mempertikaikan jika seseorang pemimpin UMNO menegaskan beliau dipilih oleh akar umbi.

Infrastruktur ke arah itu telahpun ada, cuma perlu diperkemaskan sahaja termasuk soal pemantauan kelayakan keanggotaan parti yang diasaskan oleh yuran tahunan RM1.

Memang benar, ia bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi UMNO sebenarnya telahpun berupaya untuk berubah ke arah lebih baik. Tebaran kuasa memilih perlu diperluas seboleh mungkin kepada ahli-ahlinya. Perhimpunan agung parti yang dilanjutkan Mac ini mungkin boleh berbuat sesuatu!

Perkara 2: Wanita UMNO dan masyarakatDua minggu lepas, Utusan Online telah membuat dua tinjauan umum berkaitan dengan Pergerakan Wanita UMNO, selaras dengan tumpuan pelbagai pihak terhadap pergerakan itu lebih-lebih lagi kebelakangan ini. Tinjauan umum berdasarkan bancian dalam talian itu dibuka untuk sesiapa sahaja yang melayari Utusan Online. Satu, mengenai kewajaran diadakan pertandingan bagi jawatan nombor satu sayap UMNO tersebut. Bancian kedua pula cuba melihat pandangan awam berhubung dua calon bagi jawatan berkenaan iaitu penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz dan pencabarnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Saya percaya semua pembaca telah mengetahui hasil tinjauan umum tersebut, namun hasilnya kekal sekadar pandangan.

Memang benar, Utusan Online sama sekali tidak berhasrat mengetepikan proses pemilihan dalam Wanita UMNO, yang memberi mandat sebenar kepada perwakilan Wanita untuk memilih ketua mereka. Namun, tiada salahnya jika pandangan orang ramai (dalam konteks ini pembaca Utusan Malaysia) cuba dilihat lebih-lebih lagi setelah pelan peralihan kuasa Wanita UMNO tidak menjadi.

Benar, pemilihan Wanita UMNO tidak boleh disamakan dengan undian AF! Tetapi rasanya, tiada apa yang salah jika pandangan orang ramai cuba dilihat kerana ia sama sekali tidak akan mengikis hak perwakilan Wanita UMNO dalam membuat keputusan mereka kelak. Jangan wujud keraguan akan kematangan dan keupayaan perwakilan Wanita UMNO dalam membuat keputusan. Walaupun, UMNO menjadi hak mutlak ahli-ahlinya, namun apa yang berlaku di dalamnya ia secara langsung atau tidak langsung akan memberi kesan kepada kehidupan orang ramai di negara ini. Ini kerana ia perlu dilihat kepada kedudukannya sebagai tulang belakang BN yang memerintah negara ini.

Lagipun, sama ada wanita UMNO mahupun sayap Pemuda, Puteri atau Putera malahan UMNO induk perlu berani 'menjalar' ke dalam masyarakat terbanyak tanpa mengira anutan politik mereka. Biarlah UMNO relevan kepada sesiapa sahaja di negara ini.

Adalah satu pemikiran songsang jika ada yang berpendirian lebih-lebih lagi dalam Wanita UMNO sendiri bahawa orang di luar Wanita UMNO tidak perlu campur tangan dan mengambil tahu tentang pemilihan pergerakan itu.

UMNO termasuk sayap-sayapnya perlu didekatkan dengan rakyat, seperti mana UMNO mahu rakyat memilih calon-calonnya apabila tiba musim pilihan raya.

Hentikan tindakan mengguris hati orang Melayu







SEKALI lagi orang Melayu terguris apabila Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mempertikaikan konsep ketuanan Melayu dengan membuat kenyataan bahawa konsep tersebut tidak relevan lagi. Malangnya kenyataan itu dibuat selepas beliau tidak lagi berada dalam Kabinet seolah-olah ada agenda lain di sebaliknya.

Tidak kita nafikan akhir-akhir ini pelbagai bentuk kritikan, tindakan dan juga ketidakpuasan hati diungkit berkaitan orang Melayu sama ada oleh parti pembangkang mahupun parti-parti komponen Barisan Nasional yang menyentuh isu bahasa, keistimewaan Melayu dan juga pendidikan.

Dua minggu lepas, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah memberi peringatan agar kaum-kaum lain di negara ini menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan di negara tempat mereka berhijrah dan bukannya mengkritik untuk tujuan menjatuhkan. Ternyata titah tersebut dipandang remeh kerana masih ada isu yang dibawa ke tengah seolah-olah sengaja mahu diperdebatkan.

'Serangan' paling jelas ialah mengenai isu ketuanan Melayu dan juga bahasa Melayu kerana tidak sampai dua minggu selepas sesuatu isu dibangkitkan ada pula isu baru yang diketengahkan yang sedikit-sebanyak menggugat kesabaran orang Melayu.

Kedegilan pihak-pihak tertentu yang tetap mahu mengungkit setiap isu mengenai Melayu seolah-olah melanggar Perlembagaan yang mana telah ditetapkan bahawa bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi dan keistimewaan kaum Melayu sebenarnya merujuk kepada asal usul negara ini dan kaum pribuminya daripada keturunan Melayu.

Apa yang berlaku sebenarnya memperlihatkan adanya usaha untuk mengikis kuasa Melayu sedikit demi sedikit daripada negara ini.

Sejarah telah membuktikan bahawa kuasa-kuasa Melayu yang amat gah suatu masa dahulu terhakis sedikit demi sedikit angkara orang asing.

Punca utamanya ialah dari segi ekonomi dan perluasan kuasa dan pengaruh yang berpunca daripada ekonomi. Kita ambil contoh Melaka yang dahulunya amat terkenal sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan.

Kelicikan orang luar melebarkan perniagaan mereka telah menyebabkan negeri Melaka dikunjungi orang luar sebagai peniaga.

Kepintaran Ferenggi yang pada mulanya membeli tanah sebesar belulang lembu tidak pernah difikirkan langsung oleh pembesar tempatan bahawa dengan belulang itulah Ferenggi menghirisnya kecil-kecil kemudian disambung menjadi tali dan keluasan tanah sebesar tali yang diregang itulah menjadi milik mereka.

Orang Melayu yang bangun mempertahankan hak mereka dalam suasana sekarang terdiri daripada yang membaca dan memamahi sejarah lama sebagai satu pengajaran supaya sejarah hitam itu tidak berulang.

Kita juga menghormati orang bukan Melayu yang memahami sejarah dan keistimewaan Melayu dengan tidak mengusik langsung soal tersebut. Mereka yang memahaminya menjadikan negara kita sebagai tempat mencari rezeki, tempat berlindung dan tempat tinggal selama-lamanya.

Apa-apa pun kita harus ingat jika isu mengenai ketuanan Melayu dan soal bahasa Melayu diungkit oleh bukan Melayu, ini bermakna ada usaha-usaha untuk menghapus keistimewaan tersebut, dan landskap negara akan berubah sekelip mata.

Oleh itu, Melayu mestilah berusaha melindungi hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Salah satu caranya ialah Melayu mesti memperkemas kedudukan ekonomi mereka kerana dengan kelemahan ekonomi, bermakna orang lain akan mengambil kesempatan atas kita.

Di samping itu, kementerian-kementerian tertentu mesti mencari kaedah- kaedah lain untuk memperkukuh perpaduan di kalangan kaum di negara ini supaya dengan mantapnya perpaduan, keharmonian akan dapat dipertahankan.

Dengan hanya menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai bahan kajian wajib di sekolah-sekolah rendah tidak lama lagi belum tentu cukup untuk memastikan 'sejarah' kita tidak akan diusik kemudian hari.

Kita sebenarnya mesti mencari jalan bagaimana mahu mendidik sebahagian kecil warga negara yang sudah remaja, dewasa dan tua di negara ini untuk untuk memahami dan menghormati sejarah.

apa dosa melayu terhadap bukan melayu?






MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu?

Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan.

Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri.

Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu.

Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan.

Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian.

Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000.

Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu.

Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti 'menyalak' dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu - ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik.

Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang 'bertuah' manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri.

Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut.

Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan 'air liur'. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara.

Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu.

Modal baru permainan politik PKR







KUALA LUMPUR 30 Nov. - Janji Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mempertahankan keistimewaan, agama dan bahasa Melayu adalah permainan politik yang menjadi modal baru parti itu untuk meraih sokongan rakyat berketurunan Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau melihat janji yang disuarakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu sebagai satu strategi untuk memancing minat dan undi orang Melayu yang kini semakin merosot terhadap PKR.

''Modal dia hendak tubuh kerajaan sudah basi, ini modal baru untuk memancing orang Melayu. Pada hakikatnya, PKR bersekongkol dengan DAP dalam menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB), bersekongkol dengan pertubuhan haram Hindraf yang mengutuk dan menghina orang Melayu.

''Mereka cuma bermain kata-kata apabila membangkitkan soal keistimewaan orang Melayu. PKR sokong puak- puak ini (DAP dan Hindraf), bagaimana pula dia kata hendak pertahankan Melayu. Ini mainan politik sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr. Wan Azizah bahawa PKR dan pakatan pembangkang bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan di negara ini bagi menolak tohmahan kononnya PKR cuba menghakis kedaulatan raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga agama Islam.

Dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR semalam, beliau berkata, parti yang bergabung dalam pakatan pembangkang telah menandatangani 'communique bersama', yang menjelaskan komitmen pakatan itu terhadap kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan istimewa kaum Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam, seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, beliau melihat janji tersebut sebagai pandangan peribadi Dr. Wan Azizah sahaja.

Katanya, Presiden PKR itu semakin tertekan dan terdesak dengan tindak-tanduk para pemimpinnya yang nyata menjejaskan sokongan orang Melayu terhadap PKR menyebabkan terpaksa menabur janji bagi menarik semula minat mereka.

''PKR tidak akan mampu memperjuangkan agama, kaum dan bahasa Melayu. Apa muslihat mereka? Beliau sedar sokongan Melayu semakin kurang, lalu mereka serba salah dan membuat janji ini," katanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kenyataan Dr. Wan Azizah itu hanyalah cakap-cakap politik orang terdesak yang menyedari pengaruh parti itu semakin menurun di kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, janji Presiden PKR itu tidak menunjukkan keikhlasan memandangkan tindakan pemimpin dan ahli PKR tidak menampakkan parti itu membela orang Melayu sebaliknya menunjukkan warna dan tembelang sebenar PKR.

''Mana ada dia perjuangkan hak Melayu. Dalam soal ketuanan Melayu, DEB, papan tanda pelbagai bahasa yang DAP naikkan, kita tidak nampak pembelaan mereka kepada kepentingan Melayu, malah menjadi 'pak turut' DAP pula, itu realitinya," kata beliau.

Salah menyatakan Malaysia adalah kerajaan Melayu?








KUALA LUMPUR- Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, adalah salah dan tidak tepat bagi sesiapapun, sama ada di dalam atau di luar parti untuk menyatakan bahawa kerajaan adalah sebuah kerajaan Melayu.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, hakikatnya sejak pembentukan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, kerajaan diwakili oleh pelbagai kaum utama di Semenanjung Malaysia serta kumpulan etnik dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, negara ini mencapai kemerdekaan hasil daripada usaha gigih bersepadu rakyat pelbagai kaum dan kejayaan negara hari ini kerana kerjasama antara kaum.

"Dan ini bukannya datang dengan tidak semena-mena. Saya tidak nampak alasan mengapa kami perlu meneruskan polemik usang yang saya anggap hanya akan memberikan kita halangan untuk melaluinya.

"Jadi mengapa kita mesti meletakkan diri kita dalam keadaan sedemikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Komuniti Resusitasi Kardiopulmonori (CPR) anjuran St. John Ambulans Malaysia di sini hari ini.

Ong berkata, apa yang penting adalah bergerak ke hadapan dan meningkatkan daya saing negara.

Di REMBAU, Ong berkata, MCA tetap menghormati raja-raja Melayu, Perlembagaan dan Rukun Negara yang selama ini dijunjung oleh parti itu, sampai bila-bila.

Katanya, isu ketuanan Melayu yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu daripada pelbagai parti politik negara ini hanyalah satu polemik dan isu lapuk.

"Kalau nak dijadikan berita ada sahaja berita, kita masuk web, ada sahaja berita, kritikan yang tajam dan melulu macam-macam. Kalau kita baca semua ini, perasaan kita akan terguris. Isu-isu seperti ini tidak ada kesudahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Hua di sini hari ini.

Setiap masyarakat, katanya, mempunyai kelebihan tersendiri dan menjadi kewajipan setiap kaum di negara ini untuk belajar daripada kelebihan itu.

Dalam konteks ini, perbezaan kaum-kaum di Malaysia adalah untuk saling melengkapi di antara satu sama lain kerana dalam dunia hari ini, perbezaan pendapat di antara mereka akan mengagalkan kemampuan negara untuk bersaing di persada antarabangsa, kata beliau.

Terikut-ikut rentak pembangkang’




KOTA KINABALU– Kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menyentuh tentang ketuanan Melayu dianggap boleh memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini.

Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Soi Lek jelas terikut-ikut dengan rentak parti pembangkang yang sengaja mencari isu perkauman bagi menarik sokongan.

“Ini kerana isu ketuanan Melayu lebih banyak mengelirukan rakyat dan membangkitkan salah faham. Sebagai ahli politik, beliau sepatutnya memberi kefahaman dan bukan menambah kekusutan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, adalah tidak wajar isu ketuanan Melayu dibangkitkan kerana ia selama ini tidak pernah menyekat kaum lain daripada hidup dalam keadaan aman dan damai sehingga mampu menguasai pelbagai bidang sama ada perniagaan, pendidikan, sukan dan sebagainya.

Malah katanya, isu ketuanan Melayu juga bukan faktor kemerosotan sokongan rakyat pada Barisan Nasional (BN) kerana keputusan pilihan raya lalu perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar.

“Jangan letak kelemahan kepada UMNO semata-mata, semua ahli-ahli komponen BN perlu ada tanggungjawab bersama. Setiakawan antara komponen perlu wujud pada semua keadaan.

“Bukan masa senang sahaja, masa susah kita disalahkan dan perasaan dihiris dengan isu-isu yang sensitif,” katanya.

Beliau berkata, jika benar Soi Lek mahu menjadi ‘hero’ kepada masyarakat Cina, beliau sepatutnya mengemukakan lebih banyak idea membina dan bukan kenyataan bersifat merosakkan perasaan muhibah yang sedia terjalin.

“Perkara itu tidak seharusnya ditimbulkan oleh mana-mana pihak kerana semua rakyat sepatutnya telah sedia maklum mengenai perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika terus dibangkitkan ia boleh mencetuskan suasana tidak baik, sekali gus menjejaskan semangat perpaduan antara rakyat berbilang kaum,” ujar beliau.

Katanya, sebagai pemimpin sebuah parti dalam komponen BN, Soi Lek sepatutnya mengelak daripada menimbulkan isu yang mencabar perasaan orang Melayu.

Lucut gelaran Soi Lek, Mei Fun





KUALA LUMPUR- UMNO Bahagian Cheras mencadangkan agar gelaran Datuk Seri dan Datin Paduka yang dikurniakan kepada Timbalan Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek dan Ketua Wanita MCA, Dr. Chew Mei Fun ditarik balik kerana mereka telah menghina institusi Raja-Raja Melayu.

Ketuanya, Senator Datuk Syed Ali Alhabshe berkata, tindakan itu perlu kerana Soi Lek bersikap biadap dan Mei Fun pula menyokong kenyataan itu secara membabi-buta.

"Mereka sudah menghina Raja-Raja Melayu dan pemimpin UMNO. Kedua-duanya lupa asal-usul nenek moyang. Maka tidak ada faedahnya pelbagai gelaran dianugerahkan kepada mereka," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Khamis lalu, Soi Lek menyatakan konsep ketuanan Melayu di negara ini tidak lagi relevan dan perlu ditolak rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Kenyataan Mei Fun yang menyusul selepas itu menyatakan bahawa tanah air ini milik semua rakyat dan mereka adalah tuan tanah Malaysia.

Tambah Syed Ali, pengertian ketuanan Melayu adalah luas termasuk fungsi kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak negara dan tidak perlu dipertikaikan.

"Oleh sebab semangat ketuanan Melayu itulah, orang Melayu sanggup bermandi darah mempertahankan tanah airnya daripada dicengkam penjajah Inggeris dan ancaman komunis serta Bintang Tiga yang dianggotai oleh kebanyakannya orang Cina," katanya.

Beliau juga mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat supaya mengambil tindakan tegas ke atas kedua-dua pemimpin tersebut kerana sikap mereka sudah melampaui batasan dan tidak menghormati setiakawan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga meminta Kementerian Dalam Negeri melihat kenyataan Soi Lek daripada sudut undang-undang kerana secara jelas mempunyai unsur menghasut dan boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat.

"Sekarang bukan masa lagi untuk UMNO berlembut kononnya ingin jaga perasaan rakan-rakan BN kerana mereka khususnya MCA tidak pernah pun menghormati para pemimpin Melayu," katanya.

Soi Lek hiris hati Melayu







BATU PAHAT– Pucuk pimpinan Barisan Nasinal (BN) diminta bertindak tegas terhadap Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berhubung kenyataannya menolak konsep ketuanan Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, ini kerana kenyataan tersebut telah menghiris hati masyarakat Melayu terutama ahli UMNO yang selama ini menjadi rakan baik MCA.

Menurutnya, walaupun kenyataan itu merupakan pandangan peribadi Soi Lek, namun ia lahir daripada seorang pemimpin yang sepatutnya menjadi sahabat dalam komponen BN.

‘‘Kenyataan ini sangat menyinggung dan menghiris hati masyarakat Melayu,” katanya selepas merasmikan Sambutan Kesenian Islam Kemas Peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek baru-baru ini bahawa konsep ketuanan Melayu di negara ini tidak lagi relevan dan ditolak rakyat pelbagai kaum.

Mohamad berkata, Soi Lek tidak seharusnya membuat kenyataan tersebut kerana ketuanan Melayu tidak bermaksud menghambakan orang bukan Melayu di negara ini.

“Ia sebenarnya bermaksud negara ini bertuankan Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak dahulu lagi,” katanya.

Menurutnya, walaupun negara ini dipertuankan oleh Melayu, namun masyarakat Melayu tidak pernah memusuhi malah sentiasa bertolak-ansur dengan kaum lain.

‘‘Sebagai rakan, pemimpin MCA sepatutnya menjaga sensitiviti orang Melayu tetapi apa yang berlaku mereka bersikap lebih daripada parti DAP,” katanya.

Beliau berkata, MCA perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan itu dan seterusnya mengambil tindakan terhadap Soi Lek.

Menurutnya, kenyataan tersebut sangat perkauman dan boleh merosakkan perpaduan.

Tumpu kukuhkan parti, bukan mencari populariti








WALAUPUN tidak sampai 60 hari dipilih sebagai Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sudah mula hendak menunjukkan taringnya. Terbaru, beliau membuat kenyataan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan kerana menurutnya semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara.

Jika kenyataan Soi Lek diteliti adalah jelas berlaku salah tafsiran berhubung konsep ketuanan Melayu yang diperkatakan oleh beliau. Ini kerana maksud sebenar ketuanan Melayu bukanlah melibatkan soal seorang tuan dengan hambanya.

Sebaliknya ketuanan Melayu seperti mana ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis ialah induk negara ini adalah orang Melayu. Tetapi malangnya Soi Lek cuba melihat konsep ini dari sudut yang sempit sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan orang Melayu.

Sebagai pemimpin yang memegang jawatan kedua dalam sebuah parti yang merupakan salah sebuah parti besar dalam dalam komponen BN, Soi Lek seharusnya berhati-hati dalam membuat kenyataan. Beliau mungkin hendak mencari populariti atau menunjukkan beliau sudah mula bekerja tetapi membuat kenyataan sensitif seumpama itu bukanlah caranya.

Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, apa yang dilakukan oleh Soi Lek tidak akan mampu memperkukuhkan BN sebaliknya hanya akan mencetuskan kontroversi.

‘‘Sepatutnya Soi Lek berusaha bagaimana untuk menarik sokongan rakyat menyokong BN, bukannya dengan cara mengeluarkan kenyataan yang dilihat bertujuan untuk mencari populariti sahaja,’’ katanya ketika dihubungi. Malah Razali juga menyifatkan kenyataan Soi Lek itu tidak layak untuk dilafazkan oleh seorang bertaraf Timbalan Presiden.

Popular

‘‘Soi Lek perlu tahu tanggungjawab besar sebagai orang nombor dua dalam parti tetapi malangnya kenyataan yang dibuat benar-benar tidak mencerminkan tugas beliau sebagai Timbalan Presiden,’’ kata beliau.

Dalam memperkatakan isu ini, penganalisis politik, Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak mempunyai pandangan tersendiri. Beliau berkata, ada dua cara untuk menjadi popular dan mendapat perhatian dalam politik sekarang iaitu pertama ‘membelasah’ UMNO dan kedua memperlekehkan orang Melayu. Mungkin pandangan Dr. Mohamed ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan mereka yang terlibat tetapi hakikat jika dikaji apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, ia ada kebenarannya.

Selepas pilihan raya umum lalu seolah-

olah menjadi satu trend di kalangan ahli politik tanpa mengira sama ada komponen BN atau pembangkang cuba mencetuskan isu-isu berbaur perkauman untuk menunjukkan kehadiran mereka.

Jika ia dilakukan oleh pembangkang, mungkin tidak ada salahnya kerana memang sifat pembangkang begitu apa tah lagi apabila ada rakan seperjuangan mereka biarpun berasal daripada parti Melayu menyokong apa yang diperkatakan. Tetapi malangnya di kalangan komponen BN sendiri sudah ada suara-suara ala-ala pembangkang ini.

Seharusnya sebagai komponen BN, pemimpin-pemimpinnya perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan. Tafsiran bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan tidak akan menguatkan parti komponen itu sebaliknya hanya akan mencetuskan perbalahan baru. Kalau UMNO atau orang Melayu hendak bertindak sebagai tuan seperti mana Inggeris menjajah dahulu, sudah pasti kaum lain tidak akan mendapat tempat di negara ini.

Oleh itu Soi Lek atau mana-mana pemimpin yang cuba menimbulkan soal ketuanan Melayu ini harus belajar dahulu erti sebenar konsep berkenaan. Kalau benarkan UMNO sebagai parti induk Melayu mengamalkan sikap tuan sudah pasti MCA yang merasakan diri mereka adalah hamba tidak akan mendapat jawatan dalam Kabinet termasuk menjadi Menteri Kesihatan.

Bekerjasama

Mungkin contohnya ini agak keterlaluan tetapi inilah salah satu hujah paling tepat untuk menggambarkan bahawa selama ini orang Melayu termasuklah juga UMNO tidak pernah mencuba untuk menjadi tuan kepada sesiapa. Sebaliknya sejak sebelum merdeka lagi orang Melayu sentiasa berusaha bekerjasama dengan kaum lain membangunkan negara ini.

Cumanya, kaum lain harus memahami bahawa ini adalah tanah Melayu dan orang Melayu adalah induk tetapi dalam masa yang sama nasib bukan Melayu tetap dibela. Berikutan sikap tolak ansur inilah Malaysia boleh mencapai kemajuan pada tahap sekarang. Justeru kepada pemimpin-pemimpin seperti Soi Lek berhati-hatilah membuat kenyataan.

Janganlah cuba menutup kelemahan sendiri dengan cara menuding jari menyalahkan orang lain dan ini termasuklah juga cuba meraih sokongan dengan membuat kenyataan yang secara nyata bertujuan untuk mencari populariti semata-mata.

Adalah lebih baik sebagai insan yang baru diberi semula ‘talian hayat’ untuk berpolitik, Soi Lek menumpukan perhatian bagi memperkukuhkan BN melalui MCA. Cabaran menanti BN dalam pilihan raya umum akan datang adalah sangat getir. Jika Soi Lek atau mana-mana pihak komponen terus cuba memainkan isu sensitif ia tidak akan menguntungkan BN. Kita memahami MCA berada dalam keadaan terdesak bagi meraih semula sokongan masyarakat Cina tetapi janganlah sampai dalam usaha tersebut, pemimpin-pemimpin tenggelam punca.

Segala pandangan atau masalah harus dibincangkan dalam mesyuarat bersama-

sama komponen BN yang lain bukan dilontar keluar sehingga ia menimbulkan suasana tegang. Semoga Soi Lek akan belajar daripada bekas pemimpin MCA bagaimana hendak berperanan sebagai Timbalan Presiden.

Monopoli punca Melayu gagal




KOTA KINABALU- Monopoli berterusan syarikat-syarikat besar bumiputera terhadap projek-projek mega didakwa menjadi punca utama kegagalan pencapaian 30 peratus ekuiti bumiputera di negara ini.

Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (gambar) berkata, sikap tamak dan mementingkan diri itu mengakibatkan kadar pencapaian ekuiti bumiputera kini hanya 18.9 peratus.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, keadaan tersebut membuatkan sasaran 30 peratus itu terbantut sekali gus merugikan syarikat-syarikat kecil dan sederhana milik bumiputera.

"Walaupun kerajaan masih belum wujudkan undang-undang antimonopoli di negara ini tetapi perbuatan tersebut tidak harus dibiarkan.

"Syarikat-syarikat besar yang mendapat projek besar tidak beri kepada orang lain sebaliknya mereka sanggup tubuhkan syarikat baru dengan menggunakan nama lain semata-mata untuk mendapatkan semua projek,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas merasmikan Program Memperkasa Ekonomi Bangsa ke-20 di Hotel Beverly, di sini malam tadi.

Abdul Rahim mengulas permintaan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed yang melawat Sabah minggu lalu, supaya projek-projek mega tidak dibolot sepenuhnya oleh syarikat-syarikat besar tetapi turut diagihkan sebanyak 10 peratus kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai menggesa penghapusan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam kerana mendakwa ia menjadi halangan dalam mewujudkan kerjasama jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Abdul Rahim seterusnya berkata, pengagihan projek- projek mega perlu diberikan kuota yang lebih besar kepada syarikat-syarikat yang kecil dan sederhana khususnya kontraktor kelas F.

"Setiap projek besar yang dianugerahkan kepada mereka yang layak, perlu disyaratkan supaya sebahagian daripadanya iaitu 10, 20 atau 30 peratus projek diagihkan kepada kontraktor-kontraktor kecil.

"Tetapi kontraktor-kontraktor kecil itu mestilah berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang," katanya.

Dalam hal ini, katanya, Gabem menawarkan diri untuk menjadi rujukan utama pihak yang berkaitan.

Gabem katanya, akan bekerjasama dengan badan, persatuan, koperasi dan dewan-dewan perniagaan milik bumiputera di seluruh negara untuk mendapat maklumat lengkap mengenainya.

Shafie kesal kenyataan Soi Lek





KUALA LUMPUR– Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menganggap ketuanan Melayu tidak lagi relevan.

Katanya, isu ketuanan Melayu tidak harus ditimbulkan oleh mana-mana pihak kerana semua rakyat sepatutnya telah sedia maklum mengenai perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mohd. Shafie berkata, tindakan Soi Lek akan menimbulkan suasana tidak harmoni di negara ini dan pihaknya berharap konsep ketuanan Melayu tidak lagi dipertikaikan pada masa akan datang.

‘‘Ia sangat mengecewakan apabila kata-kata itu datang daripada seorang rakan saya yang juga bekas menteri Kabinet, beliau patut tahu dengan jelas tentang perkara-perkara yang disifatkan sebagai sensitif di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Lukisan Cat Air Nasional Putrajaya Kedua di Pasar Seni di sini hari ini.

Jangan cabar Ketuanan Melayu - Khaled Nordin




KUALA LUMPUR 29 Nov. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyelar pihak yang cuba mengelirukan konsep ketuanan Melayu dengan membuat kenyataan tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, konsep ketuanan Melayu tidak ada kena mengena dengan hubungan tuan dengan hamba tetapi merujuk kepada asal usul negara ini dan kaum pribuminya daripada keturunan Melayu.

''Apa pun dasar yang dibuat oleh kerajaan yang memihak kepada orang Melayu asalnya daripada sejarah itu dan bukan kerana ketuanan Melayu.

''Oleh kerana asal usul rakyat negara ini adalah orang Melayu dan mereka juga merupakan kaum majoriti maka tentulah dasar-dasar kerajaan memberi kelebihan kepada orang Melayu,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mendakwa ketuanan Melayu tidak relevan lagi hari ini serta disokong oleh Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun semalam.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi seterusnya mengingatkan pelbagai pihak supaya jangan mencabar ketuanan Melayu hanya kerana melihat orang Melayu seolah-olah berpecah.

''Jangan kerana orang Melayu nampak berpecah disebabkan politik ada pihak sengaja hendak menyerang konsep ketuanan Melayu dan Melayu sebagai kaum induk.

''Jangan salah tafsir dan salah perkiraan dalam perkara ini. Kelemahan dalam parti sendiri hendak dihalakan pula kepada parti orang Melayu,'' tegas beliau.

Syed Hamid: Bukan 'jenaka yang boleh dipermainkan'



KUALA LUMPUR- Orang Melayu perlu bangkit dan menghentikan segala bentuk kritikan daripada kaum lain yang mahu menolak konsep ketuanan Melayu di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan kesedaran daripada orang Melayu perlu bagi memberi amaran kepada semua pihak bahawa perkara berkaitan ketuanan Melayu bukanlah 'jenaka yang boleh dipermainkan'.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengingatkan kaum lain supaya tidak menganggap seolah-olah orang Melayu tidak mempunyai rasa sensitif dengan terus mempertikaikan hak mereka.

''Jangan ingat orang Melayu senyap selama ini bermakna tidak berperasaan. Kita tidak mahu berpeluk tubuh lagi dan kini mahu bangkit menegakkan hak yang tidak perlu dipertikaikan sesiapa.

''Orang Melayu perlu sedar selama ini kita telah banyak tercabar. Kita tidak pernah mempertikaikan mereka dan malah menghormati hak antara kaum yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan.

Syed Hamid berkata, sebagai bekas menteri, Soi Lek sepatutnya lebih faham perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya lagi, isu sensitif yang ditimbulkan oleh bekas Menteri Kesihatan itu dilihat 'sepak mula' yang akan membawa kemarahan orang Melayu.

Jelasnya, kenyataan panas itu juga tidak seharusnya timbul daripada seorang pemimpin MCA yang seharusnya berdiri teguh di belakang prinsip Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, orang Melayu sendiri sudah lama bersabar namun sikap itu bukan bermaksud kaum terbesar di negara ini boleh diperlekehkan dengan sesuka hati.

Beliau turut melahirkan rasa hairan mengapa masih ada pertikaian terhadap orang Melayu yang jelas masih di belakang dari pelbagai sudut berbanding kaum lain.

''Kita tidak tahu mengapa isu ketuanan Melayu masih ditimbulkan sedangkan mereka tahu pencapaian orang Melayu masih lagi di belakang.

''Selama ini kita juga telah bersetuju dengan hak kaum yang telah termaktub. Jangan membanding atau menyamakan hak antara kaum yang telah sedia ada selama ini," tegasnya.

Lebih baik jadi pembangkang - Hishammuddin





KUALA LUMPUR- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan lebih baik bagi pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai sahaja parti pembangkang sekiranya mahu terus mengungkit sejarah dan fakta negara.

Beliau berkata, dengan menidakkan sejarah termasuk konsep ketuanan Melayu, mereka hanya meletakkan diri dalam wajah yang sama dengan pembangkang iaitu berpolitik pada landasan kaum serta agama dan sebab itu lebih baik untuk mereka berada bersama pembangkang.

Tegas beliau, kenyataan-kenyataan yang mengungkit soal sejarah ini jika diteliti bukanlah dilakukan melalui hati yang ikhlas tetapi lebih kerana kepentingan peribadi dan politik sahaja.

Baginya, pemimpin yang mengungkit perkara itu sengaja mahu menjadi 'hero' atau menjadikan perkara itu sebagai isu untuk meletakkan kawan-kawan sendiri dalam partinya atau parti lain berada dalam situasi yang perlu menjawab kepada isu yang dibangkitkan itu.

''Selepas 8 Mac, kita berada dalam landskap politik yang baru dan semua tercari-cari macam mana nak posisikan diri dan perjuangan.

''Namun kalau letakkan diri dalam takuk lama seperti dalam keadaan pembangkang, maka akhirnya lebih baik mereka duduk dalam pembangkang,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pertemuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu sebaliknya hanya mengakui konsep kepimpinan Melayu.

Bagi Pemuda UMNO, katanya, sayap itu mengetahui dan memahami apakah sejarah dan kedudukan Perlembagaan negara.

Justeru menurut beliau, bukan cara Pemuda UMNO untuk menjadi relevan dengan mengungkit sesuatu perkara yang hanya boleh menyebabkan diri menjadi hero tetapi kemudian meletakkan rakan-rakan lain dalam situasi menjawab.

''Justeru kita selepas Mac ini mahu lakukan perubahan dengan mendengar apa yang menjadi kehendak ramai agar terus diterima semua dalam landskap politik yang baru.

''Saya yakin UMNO dan BN boleh lakukan tetapi nampaknya masih ada pemimpin yang belum lagi sedar bahawa mereka perlu berubah dengan melihat dalam konteks kaca mata baru,'' katanya.

Hishammuddin mengingatkan semua pihak agar berhenti daripada membangkitkan sebarang isu yang melibatkan kaum dan agama.

Beliau berkata, rakyat telah mula muak dan penat dengan gelagat politik seperti itu yang lebih mencerminkan pandangan sesuatu individu itu sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat mahu pemimpin politik bekerja melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan setelah lapan bulan pilihan raya umum berlalu.

''Kita telah lalui pilihan raya dan orang nak lihat kita ke depan, laksanakan kerja kita. Kalau terbelenggu dalam isu seperti ini, bila kita nak buat kerja.

''Terbaru, orang yang meluahkan hal itu juga hanya membangkitkan sekarang, bukan dulu ketika berada dalam kerajaan, pegang jawatan Kabinet,'' tegasnya.

Apa matlamat perpecahan melayu Muslim?






SOALAN: Perpecahan politik Melayu Muslim begitu ketara sekali. Di luar dunia politik, tidak kurang juga banyak perpecahan terutama kemunculan beberapa mazhab seperti Syiah dan Wahabi. Apa sebenarnya di sebalik perpecahan ini?

– Haji Shamsul, Kuang, Selangor.

JAWAPAN: Saya kurang berminat untuk bercakap soal perpecahan. Ia di luar kehendak agama. Islam yang selalunya menyeru kita supaya bersatu. Allah SWT mengutuk tabiat sukakan perpecahan kerana perpecahanlah bangsa-bangsa terdahulu mengalami kepupusan. Bersatu teguh bercerai roboh.

Namun Islam menerima adanya kepelbagaian, malah kepelbagaian dalam anutan pun satu perkara yag harus diterima. Oleh sebab itu, Islam menerima toleransi dengan kafir zimmi (mereka yang boleh hidup bersama dengan orang Islam, tidak mengacau dan menceroboh umat Islam), malah hak-hak mereka mesti turut dipertahankan. Dengan orang bukan Islam ini, sikap yang patut diambil seperti di ajarkan oleh al-Quran: “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agama aku”. Sama seperti mereka tidak boleh memaksa kita menganut agama mereka, kita juga tidak dibenarkan memaksa mereka menganuti agama Islam.

Berbalik kepada soal perpecahan sesama sendiri, saya pernah bertanya, apa sikap kita terhadap berbagai-bagai mazhab seperti Syiah dan Wahabi kepada salah seorang bekas guru saya. Jawabnya, biarkan Wahabi di Arab Saudi dan Syiah di negara Iran. Malaysia dan alam Melayu tinggalkan kepada anutan dan pemikiran tradisi kita, dalam akidah bermazhabkan Asya‘irah atau pengikut mazhab Imam Asy‘ari dan fekah pula bermazhabkan Imam Shafi‘i. Kita tidak ada masalah dengan mazhab yang kita pegang dan anuti selama ini.

Dalam realiti Malaysia, majoriti penduduk Muslim hanya melebihi 60 peratus atau lebih sedikit. Jika perpecahan berlaku kepada beberapa mazhab lagi, akan memberi kesan kepada survival umat Islam. Peristiwa pahit di Iraq sudah cukup menjadi pengajaran, di mana akhirnya pembunuhan sesama orang Islam yang bermazhab Syiah dan Sunni. Turut terjadi di Pakistan dan di mana sahaja adanya pelbagai pemikiran yang taksub mazhab ini. Di Malaysia pun seperti di beberapa negara Islam Sunni, semacam ada perancangan halus untuk memecah belahkankan umat Islam kepada beberapa mazhab. Ia berlaku di negara-negara Teluk mahu pun di Nigeria atau beberapa negara lain. Di Mesir, larangan menukar mazhab difatwakan oleh para ulama mereka, bimbangkan akan parah lagi perpecahan yang ada.

Walaupun mazhab-mazhab lain merupakan salah satu mazhab dalam Islam, ia lebih cenderung kepada akan muncul perbezaan politik berbanding dengan agama. Oleh sebab mazhab akidah akan melahirkan perbezaan pegangan politik. Kesilapan sesetengah mazhab masih membuka kisah sejarah lama rasa tidak puas hati kepada para sahabat lalu mengecam para sahabat besar dan mengutuk Abu Bakar, Umar dan Uthman, lebih-lebih lagi ‘Aisyah r.a

Revolusi Iran

Kemenangan Khomeini ke atas Shah Iran, misalnya yang menjadi talibarut Amerika memang disukai ramai orang Islam. Tetapi menjadikan kemenangan revolusi Iran itu untuk diekspot ke seluruh dunia Islam patut menjadi perhatian serius umat Islam. Apatah lagi bagi orang Melayu yang sangat jauh dengan budaya Farsi atau mengembalikan keagungan Farsi.

Di sebaliknya, apa pula perlunya ajaran mazhab Hambali dengan pendekatan keras ala Wahabi diperkenalkan di Malaysia? Sedangkan orang Melayu menganuti Islam dengan cara yang lembut dan bersifat kesufian. Wahabi, banyak membidaahkan segala amalan umat Islam yang sedia ada sehingga segala-galanya ditolak daripada tahlil dan qunut, hingga sambutan Maulidur Rasul dan amalan bacaan Yasin. Apakah yang menjadi perkiraa mereka selain daripada golongan taksub, bukan lagi membidaahkan orang lain, hatta sanggup mengkafirkan pula.

Pada hemat saya, suhu perpecahan semakin meningkat apabila ada pula beberapa serpihan pandangan kontra seperti golongan Ahbash yang mengkafirkan pula Wahabi.

Apa yang saya lihat, polemik dan konflik Muslim di Timur Tengah yang tidak pernah aman itu dan cuba dibawa secara yang kurang beradab dan beretika, jauh daripada adab sopan Melayu mula diperkenalkan di sini dan mula pula dapat mempengaruhi, bukan sahaja orang awam tetapi elit Melayu sama ada elit dan elit birokrasi. Apakah ini bukan mejadi satu ancaman untuk masa depan umat Islam di Malaysia?

Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak harus mengambil perhatian. Keadaan yang sama mungkin lebih ketara di Indonesia. Kita dapat fahami di sana kebebasannya lebih luas. Tidak ada kawalan pihak jabatan agama atau pihak berkuasa pentadbiran agama. Apa yang ada suara ulama sebagai NGO sahaja.

Saya tidak pernah berniat atau bersangka buruk kepada mana-mana pihak yang ingin mengembangkan kefahaman mereka. Namun dalam bahasa “fiqh awlawiyyat” atau kefahaman terhadap keutamaan, banyak perkara yang lebih baik menjadi keutamaan umat Islam di Malaysia. Sepatutnya mereka diberi faham Islam secara yang jelas, bukan atas taksub mazhab pemikiran mahu pun taksub mazhab hukum.

Satu masalah para guru agama lepasan luar negara ini, mereka kurang mendalam tentang budaya asal di Alam Melayu. Lalu mencedok sepenuhnya ilmu dan penafsiran daripada guru-guru mereka sama ada di Lebanon, Syria, Mesir, Jordan atau Riyadh, apa lagi di Qum atau Teheran.

Pada tahun awal 70-an, idea-idea islah dan reform gerakan Islam luar negara juga sudah dibawa ke sini, maka tersebarlah idea-idea Hasan al-Banna, Syed Qutub, al-Maududi, Said Hawwa dan sebagainya. Ia adalah idea yang baik, jika dapat ditapis daripada segi pendekatan dan disesuaikan dengan iklim di Malaysia. Namun ramai orang pada satu ketika dulu terperangkap dengan idea- idea itu akhirnya juga mengambil pendekatan ‘megkafirkan’ orang lain setelah membaca tafsir Fi Dzilal al-Quran dan Ma‘alim fi al-Tariq. Saya selalu bertanya, adakah kafir hukum atau kafir politik?

Berbalik kepada pertanyaan di atas, saya menyeru agar kita kembali kepada asal. Kata-kata “kembali kepada al- Quran dan al-Sunnah” tidak harus hanya difahami secara mudah begitu sahaja. Jika difahami secara mudah, ada pelajar salah sebuah universiti bertanya kepada saya, apa perlu kita bermazhab, kerana al-Quran dan al- Sunnah ada di hadapan kita? Saya menjawab mudah, analoginya, apa guna anda menggunakan batang paip di rumah, jika air bersih sudah ada di loji air itu? Kenapa tidak mengambil terus air dari loji di atas bukit sana?

Mazhab masih menjadi penting untuk mendapat kaedah dan metode mengambil hukum dan kefahaman daripada al- Quran dan al-Sunnah. Mereka yang menyeru kepada al-Quran dan al-Sunnah tanpa bermazhab sama seperti mereka yang tidak mahu atau rasa perlu masuk ke sekolah, belajar sendiri untuk dapat ijazah. Mampukah semua orang berbuat demikian? Pada keadaan biasa, masing-masing memerlukan sekolah dan maktab untuk mendaptkan ijazah.

Intelektual

Apa yang merisaukan saya, umat Islam di Malaysia menghadapi krisis kepimpinan, bukan dalam kepimpinan politik sahaja, tetapi kepimpinan intelektual dan ilmu. Ia menjadi lebih parah, jika ilmu dipelajari secara separuh-separuh dan secara berpecah-pecah. Mereka belajar hanya daripada satu perspektif, lalu menghasilkan natijah ilmu yang dangkal.

Ada mereka yang mahir hadis tetapi kurang kefahaman dalam hukum fekah, ada yang alim fekah tetapi jahil hadis, ada yang tahu pemikiran moden yang buta bahasa Arab dan tahu ilmu agama tetapi buta dengan ilmu alat seperti ilmu moden. Jadilah para ilmuan seperti tujuh orang buta yang ingin menafsirkan bentuk seekor gajah. Akhirnya tidak ada yang benar-benar tepat kerana mereka hanya mengambil faham berdasarkan persepsi dan perspektif mereka sahaja.

Di sini peranan komuniti ulama atau badan-badan agama yang seharusnya dapat menyatukan pandangan mereka ini dengan kekerapan mengadakan pertemuan dan perbincangan. Orang awam menjadi keliru dengan keadaan yang ada. Bagaimana orang ramai boleh percaya kepada doktor, kalau doktor sendiri pun sakit? Wallahualam.

Susur kekuatan politik Melayu




Sebagai anak muda Melayu pasca- merdeka, pandangan penulis mungkin salah tetapi enam bulan kebelakangan ini adalah period paling 'hidup' dalam membicarakan isu bangsa Melayu. Banyak pihak yang mewakili apa yang dikatakan sebagai 'suara Melayu' telah bangkit menyatakan pandangan dan juga asas keresahan.

Baik namanya Perkasa, Pewaris - dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara bagi pihak orang Melayu, semuanya dirasakan ikhlas dengan niat untuk melihat perubahan dan nasib orang Melayu diberikan perhatian oleh pihak berkepentingan. Mereka punya asas untuk bersuara atas pelbagai platform; sayangnya, jika kita gagal mewujudkan kesepakatan pemikiran dan tindakan, suara ini akan menjadi detik 'politikal' yang tidak diterjemah dalam bentuk pelaksanaan dasar dan polisi.

Hakikatnya, suara ini mesti diambil maklum oleh pihak berwajib. Kesemua kertas kerja, resolusi, pandangan, kesimpulan forum dan seminar yang rencam dan pelbagai mesti diperhalusi secara bersungguh dan ikhlas. Jangan biarkan suara orang Melayu menjadi suatu 'gendang politik' yang tidak kesampaian. Perjuangan zaman ini memerlukan komitmen kepada pelaksanaan kata-kata dan bukan sahaja demonstrasi yang tidak berpenghujung.

Apa yang penulis khuatir, rentak kita untuk gemar berdemonstrasi seakan- akan sudah terikut-ikut dengan budaya politik jalanan yang tidak mempunyai hemah dan hala tuju. Perjuangan mestilah bersifat strategik - dan tidak menjurus kepada membuka segala macam tuntutan di atas bahu jalan. Ini masanya untuk kita menjadikan isu Melayu sebagai 'isu teras' di dalam pembicaraan pembuat dasar.

Walaupun mendapat bantuan daripada pihak polis, suka diingatkan bahawa kadangkala kita tidak mampu mengurus emosi dan perasaan. Apa yang berlaku tempoh hari di Jalan Tun Razak menggambarkan segalanya. Untung wanita yang mempunyai pandangan berbeza tersebut tidak diapa-apakan. Jika tidak, ia menggambarkan 'kekerasan' kita yang tidak mampu dikawal.

Penulis juga menginginkan usaha pemerkasaan bangsa dilakukan secara bersungguh. Untuk ia berlaku, kita mesti diberikan keyakinan bahawa 'suara' ini didengari dan diperhalusi. Kita mungkin boleh berbuih mulut bercakap tentang kepentingan bangsa; tetapi yang lebih penting dalam zaman yang serba canggih ini adalah - agenda bertindak dan polisi yang berani.

Hakikatnya, apa yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu bukanlah 'tsunami', tetapi 'terapi politik' (political theraphy) kepada orang Melayu. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa kita baru sahaja disedarkan daripada lena yang panjang. Kita perlu mengakui bahawa kita terlalu selesa dengan ungkapan hak istimewa dan ketuanan Melayu. Kita berasa cukup terpelihara dalam belenggu pemikiran politik zaman lampau.

Bukannya kita tidak diingatkan dalam babak tertentu sejarah Malaysia moden. Kertas litmus kesabaran orang Melayu sudah acap kali berubah warna. Hari ini, ia memerlukan langkah strategik dan keazaman politik luar biasa. Kelompok kecil Melayu mungkin juga akan menentangnya atas dasar 'keterbukaan' dan 'kesamarataan'.

Kepimpinan Melayu mesti dikaitkan dengan budaya kerja efisien, bersih, cekap, amanah, punya harga diri dan merit yang tinggi. Siapa mampu menafikan bahawa Singapura menegakkan 'Ketuanan Cina'. Ini perkara yang sangat teras dan penting. Tetapi mereka melonggarkan sedikit takrif 'ketuanan' - dengan menyuntik budaya kerja efisien, meninggikan 'aras prestasi kepimpinan', meletakkan merit sebagai asas, mewujudkan suasana pemilihan pemimpin yang ketat dan peka dengan perubahan.

Perkhidmatan awam yang secara kebetulannya didominasi oleh orang Melayu juga mesti menampakkan gelombang perubahan. Sektor awam yang cekap, efisien, amanah, nyah-korupsi, tegas dan bersungguh juga akan memberi wibawa moral kepada prestasi orang Melayu keseluruhannya. Orang Melayu sendiri perlu mengangkat 'integriti' kemelayuannya.

Kompetitif

Apakah mungkin seorang Melayu menjadi Perdana Menteri Singapura? Secara merit, matematikal, sistemik dan ego-budaya; jawapannya adalah tidak. Kayu ukur nilaian kepimpinan akan sentiasa dinaikkan dari masa ke semasa. Sistem politik tidak akan membenarkan ia berlaku. Melayu Singapura kena terima hakikat ini. Ini juga tidak bermakna Melayu Singapura lemah. Secara perbandingan, mereka mungkin Melayu yang lebih kompetitif dan berani.

Kita tidak akan selamanya mampu berselindung di sebalik ungkapan hak istimewa dan istilah lain yang berkaitan. Ketuanan Melayu - mesti diubah pengertian dan amalannya.

Selagi kita mengaitkan kepimpinan kita dengan istilah yang merosakkan - seperti korupsi, politik wang, tidak jujur, tidak amanah; kita secara tidak sedar telah merosakkan peluang mempertahan Ketuanan Melayu.

Politik Melayu jangan cepat 'rentan' (cepat jatuh sakit, mudah jatuh sakit, mudah dihinggapi penyakit - muka surat 1,528, Kamus Besar Bahasa Melayu UTUSAN). Ini termasuklah budaya politik jerit-jeritan dan budaya 'cium keris' yang sudah terlalu teatrikal dan melodramatik.

Politik wang juga mampu membawa rentan kepada politik Melayu. Kita sangat memerlukan gelombang pengukuhan politik Melayu yang jujur dan ikhlas.

Jalan politik sedia ada sudah betul. 'Suara' orang Melayu, baik di Perak, Selangor, Kedah sudah mula resah dan khuatir. Bagi pentadbir yang bijaksana dan responsif - bermain dengan suara dan perasaan orang Melayu adalah jalan yang mampu membawa luka politik yang dalam. Jangan terlalu bergantung dengan keputusan PRU-12 kerana gelombang rentas kaumnya adalah sementara.

Sampai saat ini, penulis percaya ramai orang Melayu masih menantikan pertemuan pimpinan UMNO-Pas. Sebahagian besarnya tidakpun mengharapkan wujudnya kerjasama strategik selepas daripada itu. Mesej pertemuan itulah yang lebih membawa makna, dan mampu mengubat resah umat Melayu. Suara Melayu mesti diberikan keyakinan bahawa wujud 'ruang muzakarah' yang terbuka untuk direalisasikan.

Ketidakselesaan UMNO didesak rakan muafakatnya mesti difahami oleh Pas. Kehilangan hormat rakan sealiran Pas kepada parti tersebut juga mesti mendapat 'empati' UMNO. Bayangkan sahaja murninya politik jika Mursyidul Am Pas menegur jujur kerisauan tentang politik wang; dan Pak Lah mengingatkan ketidakperluan meneruskan ladang babi di Bukit Selambau. Apakah prinsip politik kedua-duanya akan hancur menyembah bumi? Apakah mesej baik yang mampu disampaikan kepada umat Melayu?

Pertemuan UMNO-Pas bukanlah pendekatan politik yang rasis dan jumud. Ini bukan soal 'Erdogan' atau tidaknya fikrah dan pendekatan kita. Ini juga bukan soal UMNO memerlukan Pas. Fikrah dan pendekatan 'umatik' inilah yang perlu dilahirkan daripada keputusan PRU-12 yang 'terapeutikal' itu.

Sementara penulis juga sangat mendokong agenda kebangkitan Melayu pasca PRU-12 yang 'terapeutikal' - semangat jelajah dan membakar semangat Melayu mestilah juga disederhanakan. Memang benar, kita rentan hati dengan beberapa isu dan kedangkalan pemikiran individu tertentu; tetapi berjelajah dengan hati yang panas - boleh mendatangkan natijah yang berbeza.

Penulis hanya ingin menyampaikan pandangan kecil mengenai isu 'ketuanan Melayu'. Jika ia mendatangkan resah berterusan di kalangan orang bukan Melayu, khususnya dengan konotasi 'tuan-hamba'; apakah mungkin ia ditukar kepada 'Keabsahan Melayu' (Malay Legitimacy)?

Kalau kita benar-benar menerima hakikat hak keistimewaan dan kepentingan Melayu sudah terabsah molek dalam Perlembagaan - maka soal 'legitimasi' orang Melayu tidak wajar diungkit lagi. Soal kehadiran orang Melayu tidak seharusnya cuba ditulis dengan pemahaman sejarah yang semberono dan jumud.

Kalaulah agaknya pandangan Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA dalam ucapan beliau di Anugerah Kancil 2008 boleh diangkat sebagai 'pandangan perdana' masyarakat Cina di Malaysia - 'Keabsahan Melayu' mampu tampil sebagai opsyen. Tegas Soi Lek, 'kami menerima Kepemimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu'. Ujar beliau lagi, '...when we say we reject 'Ketuanan Melayu, we are not challenging the Malay special rights. It is enshrined in our constitution and nobody can take that away'. (rujuk: http://drchua9.blogspot. com)

Suhu politik Malaysia masih belum dingin. Ia tidak juga perlu dihangatkan dengan gendang keperwiraan yang ekstrem. Kita perlu pantas merenung kembali sejarah dan bergerak seiringan menuju masa depan yang menjanjikan buat semua. Kaedah membugar semangat tanpa kawalan emosi dan didikan iman - akan melahirkan generasi reaktif.

Untuk mengabsah kita sebagai 'bangsa wibawa' - ia memerlukan lebih daripada perenggan-perenggan penting dalam Perlembagaan Negara. Ia memerlukan polisi dan dasar berani, jiwa pesaing unggul, iktisad yang menjanjikan dan lasykar bangsa yang mampu menjadi modal insan gemilang.

Tidak ada sesiapa pun yang berani mengatakan perjalanan memperkasa bangsa akan menjadi mudah. Kefahaman tentang realiti baru dan keberanian untuk menyatukan amalan dan tindakan - akan menjanjikan hasil yang menyeluruh.