Monday, December 1, 2008

Ladang babi sistematik selesai masalah rakyat - Pas




KUALA LUMPUR- Dewan Pemuda Pas menganggap cadangan mewujudkan ladang babi sistematik di Selangor dan Kedah adalah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dalam isu penternakan haiwan itu.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, masalah yang berpunca daripada penternakan babi yang tidak terurus telah lama wujud di negara ini iaitu sejak 51 tahun lalu dan kerana itu, ia perlu dimodenkan.

''Soal penternakan babi tidak perlu diungkit, kita nak selesaikan masalah rakyat dan itulah isu yang kita bincangkan sama ada mampu atau tidak untuk kita sediakan kawasan penternakan yang sistematik mengikut piawaian antarabangsa," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan Pas kini tidak mampu bersuara malah banyak tindak-tanduknya hanya untuk memuaskan parti lain termasuk membenarkan penternakan babi di kawasan kampung orang Melayu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, orang Melayu sudah tidak boleh mengharapkan Pas mempertahankan hak mereka, malah parti itu juga tidak lagi berani bercakap mengenai penubuhan negara Islam.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pihak yang mendakwa Pas tidak mempertahankan keistimewaan Melayu perlu merujuk kepada dokumen penubuhan pakatan pembangkang yang ditandatangani Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Katanya, dokumen itu mengandungi pendirian Pas untuk mempertahankan kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu yang terkandung dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

No comments: