Monday, December 1, 2008

Ketuanan Melayu tidak lagi relevan - Mei Fun



KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun turut menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan hari ini atas alasan semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara.

Sambil menyokong kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai perkara itu semalam, beliau berkata, di tanah air ini semua rakyat adalah tuan tanah Malaysia.

''Oleh itu kita sama-sama bangunkan negara,'' katanya selepas mempengerusikan dialog antara Exco Wanita MCA dengan 19 ahli bahagian Wanita, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Miri di sini hari ini.

Ditanya apakah pandangan Soi Lek itu selari dengan semangat UMNO yang menjadi ahli komponen dalam Barisan Nasional (BN), Mei Fun berkata:

''Kita tidak dapat memberi arahan supaya semua orang bersetuju dengan pandangan mereka.

''Biar mereka mempunyai pandangan yang tidak sama tetapi apa yang penting ada semangat kerjasama antara satu sama lain.

''Apa yang disuarakan oleh Soi Lek itu selaras dengan konsep kongsi kuasa dalam BN,'' katanya.

Mei Fun berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Soi Lek yang berpendapat konsep ketuanan Melayu tidak relevan hari ini dan telah ditolak rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Soi Lek berkata, konsep itu mungkin sesuai apabila ia dirangka sebelum kemerdekaan negara tetapi tidak lagi hari ini berikutan rakyat memberi isyarat jelas menerusi pilihan raya umum lalu.

Soi Lek memberitahu demikian ketika menyampaikan syarahan di Subang Jaya, kelmarin.

No comments: