Monday, December 1, 2008

Daulatkan bahasa Melayu, wajibkan bahasa Inggeris




ADA orang kata graduan IPTA tidak dapat kerja kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Ada ahli politik mengatakan bahawa bahasa Inggeris tidak menjejaskan pencapaian pelajar dalam peperiksaan.

Ada juga ahli politik mengatakan bahasa Melayu hendaklah diperkasakan dan dijadikan bahasa pengantar daripada prasekolah hingga peringkat universiti.

Ada ahli akademik mendapati daripada penyelidikannya terhadap pencapaian sekolah di luar bandar bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran menjejaskan pencapaian pelajar.

Ada orang terpelajar di bandar inginkan bahasa Inggeris diteruskan menjadi bahasa pengantar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dengan alasan globalisasi.

Ada juga ahli akademik yang mengatakan kalau orang Perancis, Jerman dan Jepun boleh maju dalam Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, mengapa pula tidak di Malaysia?

Kita juga pernah dengar bahawa graduan IPTA tidak dapat kerja kerana ilmu yang mereka dapat di universiti tidak lagi relevan dengan keperluan pasaran semasa. Maka sedikit masa dahulu kita pernah dengar menggalakkan pengkhususan dua major. Dan ada yang mengatakan bahawa graduan IPTA memilih jenis dan lokasi pekerjaan.

Pernyataan-pernyataan di atas perlulah dikaji secara komprehensif untuk mendapatkan hasil yang konkrit. Dalam pelaksanaan dasar pula eloklah dibuat kajian mendalam dan menyeluruh sebelum sesuatu dasar tersebut dilaksanakan.

Kalau hanya bergantung kepada persepsi sahaja, boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul, bergantung kepada keadaan dan persekitaran.

Bahasa hanyalah alat untuk berkomunikasi. Pemahaman apa yang dikomunikasikan bergantung kepada kefasihan kedua-dua pihak dalam bahasa yang digunakan. Komunikasi tidak akan berlaku jika hanya sebelah pihak yang faham.

Maka di peringkat prasekolah (4-6 tahun) dan sekolah rendah, bahasa ibunda merupakan bahasa yang paling sesuai digunakan. Dan ini tidak menghalang bahasa kebangsaan dan bahasa dunia yang lain iaitu Inggeris, Mandarin dan Arab dijadikan mata pelajaran wajib. Kerana di peringkat kanak-kanak inilah pembelajaran bahasa yang paling berkesan.

Oleh itu di peringkat ini (prasekolah dan sekolah rendah), penekanan hendaklah diberikan kepada kemahiran berbahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis), Matematik dan ICT. Dan penilaian hendaklah ditumpukan kepada kemahiran yang dijalankan secara berterusan.

Di peringkat sekolah menengah (rendah dan atas), kemahiran bahasa, Matematik dan ICT tetap diwajibkan di samping penambahan mata pelajaran lain seperti Sains dan Sastera mengikut pilihan dan kemampuan pelajar (menengah atas) dengan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Bagaimanapun, bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris hendaklah diwajibkan lulus dengan gred yang baik untuk ke peringkat berikutnya. Ini bermakna bahawa mereka yang masuk ke peringkat universiti telah fasih dalam sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Dengan kefasihan bahasa Inggeris pada tahap yang ditetapkan, maka tidak perlu lagi MUET untuk kemasukan ke universiti (tetapi dalam pelaksanaannya MUET adalah untuk keperluan berijazah).

Jika bahasa tidak merupakan masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran di peringkat universiti, maka bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantarnya. Jika ini berlaku, maka pernyataan-pernyataan di atas mungkin tidak akan timbul dalam konteks bahasa.

Rakyat Malaysia mestilah mendaulatkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, bahasa Inggeris hendaklah diwajibkan dan pilihan bahasa Mandarin atau Arab sebagai bahasa komunikasi.

No comments: