Monday, December 1, 2008

Guan Eng bersikap perkauman




JASIN 22 Nov. - Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengguna pelbagai bahasa pada papan tanda, selain bahasa Melayu dianggap sebagai pendekatan perkauman yang amat jelas diamalkan oleh DAP.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan tersebut tidak wajar dan diambil oleh seorang pemimpin seperti Ketua Menteri Pulau Pinang.

''Sepatutnya sebagai pemimpin negeri, kita wajar menghindari perkara-perkara seperti ini dan ia juga tidak sepatutnya wujud.

''Jadi, tidak sepatutnya Guan Eng mewujudkan isu-isu seperti ini kerana ia tidak elok untuk keharmonian kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sehari Bersama Pelanggan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang turut dihadiri Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor di sini hari ini.

Mohd. Ali memberi reaksi berhubung tindakan kerajaan Pulau Pinang yang tetap meneruskan cadangan menamakan jalan pada papan tanda dalam satu bahasa lain di samping bahasa Melayu bagi mempromosikan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia.

Kata beliau, tindakan kerajaan Pulau Pinang itu tidak pernah dilakukan oleh negara lain yang masyarakatnya terdiri pelbagai kaum dan etnik.

Ujarnya, kerajaan negeri bersetuju dan menyambut baik sekiranya pelbagai bahasa diletakkan pada monumen atau bahan sejarah bagi menjelaskan latar belakang bahan itu.

''Misalnya, kita letakkan pelbagai bahasa pada makam Hang Tuah bertujuan bagi memberi keterangan kepada pelancong luar tentang bahan sejarah itu, ia tidak mengapa demi bagi mempopularkan tempat tersebut sebagai tarikan pelancong.

''Tetapi, tidak perlulah meletakkan pelbagai bahasa pada nama jalan, ia belum dibuat lagi oleh mana-mana negara luar.

''Apa yang Guan Eng lakukan hari ini, begitulah sebenarnya diri beliau," katanya.

Katanya, Guan Eng bersikap demikian semata-mata ingin mencari publisiti dengan sengaja mewujudkan isu perkauman seperti yang ditimbulkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada masa ini.

No comments: