Wednesday, May 21, 2008

Arus deras Reformasi 1998-2008

Selain mengubah Umno dan BN, gerakan reformasi juga memberikan impak yang besar terhadap dua parti tua pembangkang iaitu PAS dan DAP.Pada 1999, Parti Keadilan Nasional (sekarang PKR setelah bergabung dengan PRM), PAS, DAP dan PRM telah membentuk satu pakatan yang digelar Barisan Alternatif (BA). BA memberikan saingan yang hebat kepada BN dalam pilihanraya umum ke-10. Penyatuan parti pembangkang bawah BA telah menyebabkan pertarungan satu lawan satu di antara dua parti (BN dan BA) di kebanyakan kawasan. Sentimen anti-Mahathir yang begitu kuat telah menyebabkan undi orang-orang Melayu beralih kepada BA. Bagaimanapun majoriti undi bukan Melayu masih lagi memihak kepada BN.Pilihanraya 1999 menguntungkan PAS apabila Terengganu jatuh bawah penguasaannya, Kelantan kekal dan mendapat 27 kerusi parlimen berbanding dengan hanya tujuh kerusi parlimen yang diperolehinya pada 1995. DAP bernasib malang dalam pilihanraya tersebut apabila Lim Kit Siang dan Karpal Singh, dua jaguh DAP, gagal kembali ke parlimen. Akan tetapi DAP mendapat lebihan satu kerusi, menjadikan jumlahnya 10 berbanding dengan sembilan kerusi yang diperolehinya pada pilihanraya umum sebelumnya. Parti Keadilan Nasional, yang masih setahun jagung dan mentah, berjaya mendapat lima kerusi parlimen dan empat kerusi negeri. Kejayaan gerakan reformasi dalam pilihanraya umum 1999 memberikan tamparan hebat kepada Mahathir selaku perdana menteri. Beliau diserang hebat dari dalam dan luar Umno. Sebagai reaksi spontan kepada trend pengundi Melayu yang memihak kepada pembangkang, kerajaan Mahathir menyerang beberapa media cetak berbahasa Melayu yang bebas dan kritikal. Tindakannya itu kerana semenjak permulaan gerakan Reformasi, Harakah, Eksklusif, Detik dan akhbar-akhbar tidak berkala menjadi sumber maklumat alternatif kepada orang-orang Melayu. Akhbar mingguan independen Eksklusif dan majalah Detik ditutup, manakala Harakah telah dihadkan pengeluarannya dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan (sehinggalah saat ini). Pakatan BA yang menjadi pencabar kuat kepada BN dalam pilihanraya 1999 tidak dapat bertahan lama, malangnya. DAP sudah mula merasakan bahawa kekalahan Karpal, Kit Siang dan beberapa kawasan potensi adalah kerana penggabungannya dengan PAS dalam BA. DAP akhirnya meninggalkan BA pada 21 September 2001, 10 hari selepas berlakunya tragedi 11 September di Amerika Syarikat. Menurut Kerk Kim Hock dalam satu temubual selepas DAP keluar daripada gabungan pembangkang, penyokong-penyokong tradisi DAP tidak akan menyokong lagi parti itu jika DAP bekerjasama dengan PAS. Dalam keadaan BN mengeksploitasikan isu negara Islam yang dibawa oleh PAS, ramai pengundi tradisi DAP tidak menyokong parti tersebut pada pilihanraya 1999. PAS yang menjadi semakin kuat apabila berjaya menguasai Terengganu dan mempertahankan Kelantan sedikit demi sedikit menjadi angkuh dan melupakan agenda Reformasi.PAS pada ketika itu terlupa atau "buat-buat lupa" bahawa kejayaan mereka merampas Terengganu atas dorongan rakyat mahukan Reformasi ditambah dengan sentimen kebenciaan rakyat kepada Mahathir yang sangat kuat.Rakyat yang mengundi PAS juga mahukan skandal dan salah urus selama 25 tahun pentadbiran bekas MB Wan Mokhtar Wan Ahmad dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan. Akan tetapi pemerintahan PAS Terengganu tidak mengutamakan agenda Reformasi dan memerangi rasuah. Pada 12 November 2003, PAS melancarkan Dokumen Negara Islam. Pelancaran dokumen ini telah menyebabkan DAP menjauhkan lagi daripada PAS dan pengundi-pengundi bukan Melayu menjadi takut. PAS sudah tersilap baca. Kesilapan ini akhirnya membawa padah kepada parti Islam terbesar tersebut.Perang "anti terorisme" yang dibawa oleh George W Bush, pemegang mahzab politik "neocon" disambut oleh kerajaan BN. Usaha menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dilakukan secara terancang.Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Kumpulan "Mujahidin" Malaysia yang kemudian tidak semena-mena ditukar namanya oleh polis kepada Kumpulan "Militan" Malaysia (KMM) pada pertengahan 2001 sebelum berlakunya tragedi 11 September.Penggunaan ISA besar-besaran dimulakan dengan penahanan 10 aktivis Reformasi pada April dan dua pemimpin mahasiswa dua bulan kemudian 2001. BN juga mula melarang sebarang ceramah politik.Pada Ogos 2001, “perang anti terorisme” telah dimulakan di Malaysia apabila kerajaan Mahathir menahan 10 orang anggota KMM, termasuk anak Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apabila berlaku peristiwa 11 September, tindakan Mahathir menggunakan ISA menjadi “halal”. Kerajaan Mahathir berbangga apabila Amerika Syarikat juga mahu memperkenalkan “Patriot Act” yang mirip kepada ISA. Yang menjadi tanda tanya dalam fikiran saya sehingga ini: Apakah penahanan KMM pada Ogos 2001 hanyalah satu kebetulan? Atau, pihak perisikan Malaysia sudah mengetahui tentang tragedi 11 September yang bakal berlaku di Amerika Syarikat? Begitu eratkah hubungan perisikan Malaysia dengan CIA?Rapuhnya pakatan BA telah memberikan kekuatan kepada BN menjelang pilihanraya umum 2004. Apabila Abdullah Ahmad Badawi naik sebagai PM, harapan baru diberikan dan mandat yang besar diperolehi oleh BN dalam pilihanraya tahun itu. Terengganu berjaya dirampas kembali oleh BN - jika pada 1999, PAS menguasai 28 kerusi, kali ini PAS hilang pula 28 kerusi negeri. Kelantan walaupun masih dipegang oleh PAS, pentadbirannya sentiasa goyang akibat majoriti yang kecil.Abdullah yang dibantu oleh "pemikir tingkat empat" mencedok konsep "Masyarakat Sivil" (civil society) daripada gerakan Reformasi dengan mengantikan namanya kepada "Masyarakat Hadhari".Tetapi beliau gagal membawa Reformasi kepada negara - janji-janjinya tidak ditunaikan. Perang rasuah yang ingin dibawanya hanyalah cakap-cakap kosong. Saki-baki orang-orang Mahathir dalam pemerintahannya tidak dibersihkan sehingga "memakan" dirinya kembali. Mahathir seperti yang dikatakan oleh Musa Hitam baru-baru ini adalah "duri dalam daging" pemerintahan Abdullah.Ketika Abdullah lemah akibat serangan Mahathir dan konco-konconya yang bertalu-talu, Anwar Ibrahim memainkan peranan untuk memperkuatkan pakatan pembangkang. Anwar muncul "pendamai" konflik ideologi senyap PAS-DAP. Akhirnya Anwar berjaya mendorong PAS dan DAP duduk semeja. Kedua-dua parti tersebut bersetuju Anwar sebagai calon perdana menteri mereka.Akibatnya PAS memperkenalkan garis Negara Berkebajikan (welfare state) dalam manifesto pilihanrayanya yang lalu dan menggugurkan agenda negara Islam. PAS dilihat oleh pengundi-pengundi bukan Melayu sebagai "lebih liberal" dan berwajah baru. Penjenamaan semula yang dilakukan itu, bersama sejumlah faktor lain, berjaya mempengaruhi rakyat pelbagai kaum.DAP yang sebelum ini dilihat sebagai "chauvinis" Cina juga menunjukkan mereka komited untuk membela semua kaum dan berjaya melunakkan hati pengundi Melayu, khususnya di bandar dan pekan kecil, untuk bersama mereka. Selepas menang di Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menjadi ketua menteri baru bertekad untuk mengamalkan pemerintahan ala "Umar bin Abdul Aziz", seorang khalifah Islam yang terkenal dengan pemerintahannya yang bersih dan telus.Guan Eng telah berjaya menggagalkan rancangan jahat pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang yang mahu membangkitkan sentimen perkauman.Menjelang 10 tahun gerakan reformasi yang akan genap usianya pada September ini, politik negara semakin berkocak. Terbaru, Dr Mahathir keluar dari Umno dan menyeru pemimpin dan ahli untuk mengikut jejak langkahnya bagi memberikan tekanan kepada Abdullah untuk meletakkan jawatan. Dr Mahathir yang ditentang oleh gerakan Reformasi kerana pemerintahan kuku besinya masih lagi bebas "mengacau". Kesilapan terbesar Abdullah ialah beliau tidak membersihkan sisa-sisa orang Mahathir dalam Umno dan pentadbirannya. "Budak tingkat empat" yang menjadi pemikir kepada Abdullah hanya rakus untuk mengaut kekayaan daripada memberikan strategi politik yang betul kepada Abdullah. Akibatnya, Abdullah hilang mandat besar yang diperolehinya pada 2004. Sekarang beliau terpaksa "bertarung" dengan pendekar-pendekar di dalam Umno (majoritinya orang Mahathir) yang menyalahkannya kerana BN hilang majoriti dua pertiga di parlimen. Pakatan Rakyat yang lahir daripada gerakan Reformasi harus bijak mengharungi arus politik negara. Jika tersilap langkah seperti apa yang dilakukan oleh PAS semasa memerintah Terengganu dan Abdullah Ahmad Badawi yang tidak membersihkan orang-orang Mahathir dalam pemerintahannya, Pakatan Rakyat juga akan menerima nasib yang sama.Apakah 10 tahun Reformasi yang akan disambut pada September ini akan menyaksikan Pakatan Rakyat mengambil alih negara seperti yang dikatakan oleh Anwar baru-baru ini?Ataupun Mahathir akan berjaya menaikkan Najib sebagai perdana menteri agar legasinya diteruskan?Kita tunggu dan lihat. Sejarah telah membuktikan kemenangan sentiasa di tangan orang-orang yang berani dan bijak.

Tuesday, May 20, 2008

Tunjuk kesetiaan – PM - Abdullah minta ahli UMNO bertenang, terus berjuang

KUALA LUMPUR 19 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua ahli UMNO bertenang dan menunjukkan kesetiaan kepada parti walaupun bekas presiden parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak keluar UMNO.
“Kita perlu menjadi ahli UMNO yang taat setia kepada parti dengan memastikan parti kita terus menjadi parti yang kuat dan mampu meneruskan perjuangan seperti mana yang telah diasaskan sejak dahulu lagi,” katanya.
Mengulas tindakan Dr. Mahathir keluar parti, Presiden UMNO itu melahirkan rasa terkejut dengan tindakan nekad tersebut tetapi mengingatkan ahli-ahli UMNO: “Apa yang penting dalam hal ini, kalau itulah keputusannya, ahli UMNO perlu bertenang.”
“Saya sendiri sejak dahulu sampai sekarang tidak pernah keluar UMNO. Saya akan teruskan perjuangan UMNO dan akan tetap setia kepada UMNO.
“Saya amat berharap ahli UMNO akan tetap setia dengan parti ini. Apa akan jadi kepada kita jika tidak ada parti seperti UMNO? UMNO telah banyak berjasa kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas bertemu beberapa delegasi Kongres Teknologi Maklumat Sedunia 2008 di sini hari ini.
Dalam reaksinya, Abdullah juga menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatannya sebagai pemimpin tertinggi kerajaan dan Presiden UMNO ekoran tindakan bekas perdana menteri itu.
“Kenapa saya perlu meletak jawatan? Saya ada tugas yang perlu dilaksanakan, saya akan meneruskan tugas-tugas saya,” katanya
Sambil mengakui tindakan Dr. Mahathir itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan parti, Abdullah meminta semua ahli UMNO tidak terikut-ikut dengan langkah tersebut.
“Saya terkejut dengan tindakan Tun meletakkan jawatan. Nampaknya Tun tidak mahu lagi jadi ahli UMNO dan saya fikir sudah tentu Tun telah memikirkannya,’’ kata beliau.
Dalam sidang akhbarnya di Alor Star ketika mengisytiharkan dirinya keluar UMNO, Dr. Mahathir berkata, beliau hanya akan kembali menyertai UMNO selepas Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden UMNO atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.
Dr. Mahathir mendakwa UMNO kini hanya menjadi sebuah badan untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri “yang mengutamakan keluarganya daripada kepentingan negara.”
Ditanya sama ada beliau bimbang dengan kesan pengumuman Dr. Mahathir itu terhadap UMNO yang merupakan parti tunjang Barisan Nasional (BN), Abdullah memberitahu, mungkin ada ahli yang akan meninggalkan UMNO tetapi beliau “tidak fikir ia akan melibatkan Ahli Parlimen UMNO.”
UMNO mempunyai 79 ahli Parlimen daripada 140 wakil rakyat BN di Dewan Rakyat.
“Kalau ahli akar umbi... wallahhualam. Keahlian UMNO lebih daripada tiga juta. Mungkin ada (yang keluar parti), mungkin tidak ada tetapi yang penting ialah kita perlu fikir baik-baik adakah kita mahu meninggalkan UMNO.
“Kalau kita benar-benar ahli yang memperjuangkan UMNO, kita mesti bersabar dengan UMNO.
“Kalau kita tidak mahu dengan UMNO, bererti tidak ada lagi perjuangan UMNO dalam diri kita. Bagi saya, saya akan terus berjuang dengan UMNO,” tegasnya.
Menurut Abdullah, semua ahli UMNO harus menunjukkan kesetiaan kepada parti kerana UMNO banyak berjasa kepada rakyat negara ini.
Katanya, bukan orang Melayu sahaja yang dapat manfaatnya malah hasil perjuangan UMNO juga dirasai kaum lain.
“Saya tidak kata ia (langkah Dr. Mahathir keluar UMNO) tidak menjejaskan langsung, namun saya masih percaya ahli-ahli kita masih sayangkan UMNO dan tidak logik mereka sewenang-wenangnya mahu meninggalkan parti kerana tiada alasan untuk mereka bertindak sedemikian,” katanya.
Abdullah menegaskan, kekuatan UMNO adalah berasaskan kepada perpaduan majoriti ahli dan bukannya disebabkan pemimpin berpengaruh.
“Dulu ketika pemimpin besar, kanan dan berpengaruh tidak ada dalam parti, majoriti ahli UMNO tetap bersama parti, sebab itu UMNO wujud sampai ke hari ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Dr. Mahathir baru-baru ini, Abdullah berkata, beliau tidak tahu apa yang dibincangkan oleh kedua-duanya.
“Saya tidak tahu apa yang dibincangkan antara beliau (Tun Mahathir) dengan Najib,” katanya.

Perbuatan Dr. Mahathir tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 19 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO mengarahkan semua ahlinya terus setia kepada parti dan menunggu arahan selanjutnya daripada pucuk pimpinan berhubung tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta ahli Pemuda UMNO tidak mengambil tindakan terburu-buru.
Selama ini, kata beliau, Pemuda UMNO sentiasa dididik untuk meletakkan kepentingan parti pada kedudukan paling utama.
“Saya percaya Pergerakan Pemuda UMNO akan sentiasa rasional dan arahan saya kepada mereka ialah terus berada dalam barisan yang kukuh sehingga arahan selanjutnya.
“Secara peribadi, Pergerakan Pemuda UMNO akan memastikan kita akan sentiasa mempertahankan kepentingan parti dalam apa jua keadaan dan mengharapkan agar kemelut ini ditangani segera secara bijaksana,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Dr. Mahathir mengisytiharkan dirinya keluar daripada UMNO.
Hishammuddin menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang hanya mahu kembali ke dalam UMNO selepas Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kenyataan seperti itu sebenarnya tidak menguntungkan parti, sebaliknya ia membuka ruang kepada parti lawan yang sering mengintai peluang untuk memecahbelahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Hishammuddin sekali lagi mengingatkan semua pihak bahawa cadangan supaya Abdullah meletak jawatan akan hanya menguntungkan pihak lawan dan sama sekali tidak akan membawa manfaat kepada UMNO.
“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita semua sedang berusaha bersungguh-sungguh membina semula parti dan menyuntik semangat di kalangan ahli-ahli serta mengembalikan keyakinan serta sokongan rakyat kepada UMNO,’’ katanya.
Beliau juga berkata, parti-parti komponen BN memerlukan kepimpinan UMNO.
“Jangan sesekali kita mengecewakan mereka,’’ katanya.

Ujian taat setia ahli umno

AHLI-AHLI UMNO pasti terkejut, sedih dan resah apabila mendapat berita Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak keluar daripada parti itu semalam.
Tiada siapa pun menjangkakan beliau tergamak mengambil tindakan sedemikian. Pun begitu, Dr. Mahathir telah memberi penjelasan akan sebab-sebab beliau keluar daripada UMNO.
Biar apa pun perasaan yang melanda ahli-ahli UMNO, mereka hendaklah menerima keputusan bekas Presiden UMNO itu dengan tenang.
Marah macam mana sekalipun, tindakan Dr. Mahathir mengajak ahli-ahli mengikut beliau keluar daripada parti keramat itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dalam waktu UMNO menghadapi keadaan yang amat mencabar sekarang.
UMNO telah banyak menghadapi cabaran sejak sebelum dan selepas pilihan raya yang sedikit sebanyak ada kaitan dengan pengaruh kritikan Dr. Mahathir terhadap kepimpinan parti.
Mengajak ahli keluar daripada UMNO untuk menjatuhkan kepimpinan parti adalah tidak betul, kerana ini bukan masa untuk menambahkan lagi keadaan sukar dalam parti sekarang.
Maka kesemua 3.2 juta ahli UMNO perlu bertenang dan berpegang teguh kepada moto parti 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'.
Apa yang berlaku semalam melontarkan satu lagi ujian kepada ahli-ahli UMNO. Sesungguhnya, ujian terbaru ini hendaklah menyatukan mereka selepas diuji dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Ahli-ahli UMNO perlu menerima realiti, walaupun parti itu sekarang bukan lagi segagah dahulu tetapi hakikatnya UMNO masih merupakan parti orang Melayu yang terkuat.
Hakikatnya, UMNO mempunyai 79 ahli Parlimen Melayu berbanding dengan Pas 23 wakil dan ahli Parlimen Melayu dalam PKR hanya 20 orang.
Dalam suasana politik negara sekarang, UMNO masih menjadi harapan orang Melayu. Ingatlah, UMNO lahir kerana memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Jika ahli-ahli UMNO mempunyai jiwa orang perjuangan, sudah tentu mereka tidak mudah mengalah dan luntur semangat hingga sanggup meninggalkan perjuangan.
Suasana sekarang adalah ujian besar kepada pejuang-pejuang Melayu dalam UMNO. Jika ahli-ahli parti itu berjiwa pejuang sejati, mereka tidak akan tinggalkan parti dalam keadaan apa pun.
Tindakan Dr. Mahathir meninggalkan UMNO telah membuka peluang kepada ahli-ahli untuk berfikir semasak-masaknya akan masa depan UMNO. Ahli-ahli UMNO perlu tabah menghadapi masalah yang melanda parti mereka. Mereka tidak boleh ikut tingkah laku seorang yang sedang marah.
Barangkali ada rahmat tersembunyi di sebalik apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir kepada UMNO. Ia mungkin satu ujian untuk mengukur sejauh mana kuatnya kesetiaan ahli-ahli UMNO kepada parti yang berusia 62 tahun ini.
Inilah cabaran getir sama ada ahli-ahli mahu melihat UMNO kembali kuat atau terus dihancurkan. Ahli-ahli UMNO perlu berfikir. Apakah langkah mengikut jejak Dr. Mahathir keluar daripada parti akan menyelesaikan masalah?
Fikirlah habis-habis.

Kuasa melayu belum terhakis

Hari ini UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-62. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sambutan kali ini dianggap menjadi pentas terbaik untuk parti berkenaan bermuhasabah berikutan prestasi dalam Pilihan raya Umum ke-12, baru-baru ini.
Pelbagai tafsiran dibuat mengenai kekuatan UMNO berikutan keputusan berkenaan, apatah lagi apabila Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen manakala empat negeri terlepas kepada pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Di Wilayah Persekutuan pula, BN hanya menang tiga daripada 13 kerusi dan BN juga gagal menawan kembali Kelantan. Sokongan yang diterima oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dijadikan sandaran untuk menimbulkan persepsi bahawa UMNO kini semakin ditolak oleh orang Melayu.
Walaupun pelbagai tafsiran dibuat berhubung kedudukan UMNO, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai pandangan beliau sendiri.
Dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia yang dijawab secara bertulis oleh Perdana Menteri, beliau mengulas pandangan-pandangan yang dilemparkan kepada UMNO.
Bagi Abdullah, UMNO tidak mengalami kemerosotan sokongan daripada orang Melayu biarpun prestasi parti itu agak menurun dalam pilihan raya umum.
‘‘UMNO masih kekal tunjang kekuatan Melayu,’’ itulah hujah Abdullah.
Bagi Perdana Menteri, UMNO tetap dengan perjuangan asal dan tetap mempertahankan maruah Melayu. Menurut beliau, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO dan kuasa Melayu belum terhakis.
Dalam wawancara itu juga, beliau turut mengulas mengenai dakwaan kononnya UMNO tunduk kepada tekanan parti komponen BN. Bagi Perdana Menteri tidak timbul soal tunduk kerana apa juga keputusan yang dibuat dalam BN ia dilakukan secara konsensus.
Sempena sambutan ulang tahun UMNO hari ini, Abdullah memberikan pesanan kepada ahli-ahli parti dengan berkata, “Kita tidak ada masa untuk bertelagah atau memikirkan mengenai apa jawatan yang perlu kita pegang semata-mata kerana ada Mesyuarat Agung.’’
MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat UMNO selepas enam dekad?
ABDULLAH: Selepas enam dekad, UMNO telah mengalami pelbagai peristiwa, rintangan dan cabaran politik dalam sejarahnya. Ujian dan cabaran ini datang dalam pelbagai bentuk.
Yang terbesar adalah masalah parti-parti serpihan yang tumbuh dan tertubuh apabila beberapa pemimpin telah membawa pengikut-pengikut mereka keluar parti UMNO atas sebab-sebab yang berbeza dari semasa ke semasa.
Bermula dengan Pas pada tahun 1951; Parti Negara yang dipimpin sendiri oleh Datuk Onn, Pengasas UMNO; Parti Melayu Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan yang mutakhir adalah PKR di bawah pimpinan "de facto leader"nya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apapun yang berlaku, sejarah melihat UMNO terus dengan perjuangannya untuk membela orang-orang Melayu, orang-orang Islam dan di samping itu menjadi pelopor kepada perjuangan untuk semua orang Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa bagi mendapat tempat dan perhatian dalam negara ini.
Jangan pula kita lupa, di sebalik peristiwa-peristiwa tersebut, UMNO terus memenangi setiap pilihan raya umum bermula dari pilihan raya pertama pada tahun 1955 dan seterusnya, selama 12 kali berturut-turut termasuk pilihan raya pada tahun ini. Kemenangan UMNO adalah bersama parti-parti komponen dalam Perikatan dan seterusnya dalam Barisan Nasional (BN).
Keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu menunjukkan sokongan orang Melayu di beberapa negeri semakin terhakis, apakah ini menunjukkan bahawa UMNO tidak lagi dilihat sebagai tunjang kekuatan Melayu?
ABDULLAH: Kalau diperhatikan secara teliti akan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, UMNO tidak mengalami kemerosotan seperti yang didakwa. UMNO memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya tetapi majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004.
Walaupun begitu, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total. Kuasa orang Melayu belum terhakis. Saya setuju jika prestasi kita diperkatakan menurun, tetapi UMNO masih kekal sebagai tunjang kekuatan Melayu.
Sebagai Presiden UMNO, apakah yang dilakukan oleh Datuk Seri dalam usaha mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO di semua peringkat?
ABDULLAH: Sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, saya telah menemui semua ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian. Mereka telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.
Pertemuan ini telah diadakan di kediaman saya dalam beberapa siri secara tertutup. Pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.
Pada pendapat saya, di samping usaha mengukuhkan parti, UMNO bersama-sama dengan parti-parti komponen lain dalam BN perlu meyakinkan rakyat tentang kemampuan Kerajaan Barisan Nasional untuk memberikan khidmat yang terbaik, melaksanakan tanggungjawabnya dan memenuhi janji-janji yang dibuat dalam PRU ke-11 dan 12 yang lalu.
Ada pandangan yang menyatakan kemerosotan sokongan terhadap UMNO juga disebabkan oleh kepimpinan parti yang dilihat terlalu liberal dan sering tunduk kepada tekanan parti komponen BN. Apa komen Datuk Seri?
ABDULLAH: UMNO bukanlah parti yang tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak. Jika ada apa-apa permohonan yang wajar, UMNO tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada permohonan tersebut. Ini adalah amalan yang berlaku dalam muafakat BN. Parti-parti komponen dalam BN semuanya membuat keputusan mengenai satusatu perkara berasaskan konsensus. Soal liberal dan sikap terbuka tidak timbul.
Dalam Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru, mereka mendesak supaya UMNO dan Melayu tidak terlalu tunduk kepada tekanan kaum lain termasuk komponen BN. Apakah jaminan bahawa UMNO akan benar-benar tegas dalam soal ini?
ABDULLAH: UMNO tetap dengan perjuangan asal. UMNO tetap mempertahankan maruah Melayu. Itu sudah termaktub dalam perlembagaannya. Yang penting dan perlu diingat adalah UMNO berada dalam Barisan Nasional. Muafakat dan kebijaksanaan, kesederhanaan serta keadilan dan kesaksamaan perlu menjadi amalan dalam mengambil tindakan.
Sama ada hendak akui atau tidak, salah satu sebab kenapa UMNO dikatakan ditolak oleh orang Melayu di peringkat akar umbi ialah kerana parti itu kini dilihat seperti 'dikuasai' golongan elit. Apa kata Datuk Seri?
ABDULLAH: Sekali lagi ingin saya tegaskan, UMNO tidak ditolak di akar umbi. Di luar bandar UMNO tetap kukuh. Kekuatan UMNO dibina dari peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya peringkat Majlis Tertinggi. Yang menganggotai barisan kepimpinan parti terdiri daripada mereka yang mendapat sokongan ahli-ahli parti di semua peringkat. Di samping itu, kebanyakan mereka terdiri daripada individu-individu yang telah memenangi pilihan raya dengan sokongan majoriti rakyat.
Bagaimana hendak membina balik semangat perjuangan yang sudah terhakis itu?
ABDULLAH: Semangat juang tentulah mesti relevan dengan masa. Dulu perjuangan menuntut kemerdekaan. Selepas merdeka, perjuangan bagaimana mengisi kemerdekaan sehingga berjaya. Bila berjaya, perjuangannya adalah bagaimana mengurus kejayaan. Tiada yang terhakis. Cuma kaedah dan isi perjuangan berbeza kerana peredaran masa. Tetapi soal pokok, iaitu pembelaan nasib bangsa, agama dan negara terus menjadi 'core' kepada perjuangan. Mungkin ini yang perlu dihidupkan semula, diperkukuhkan. Sejarah perjuangan bangsa perlu diterap semula. 'Legitimacy' kewujudan orang Melayu di bumi ini mesti difahami oleh semua kaum tanpa menjejaskan hak-hak kaum lain.
Bagaimana hendak mengembalikan rasa bangga menjadi ahli UMNO?
ABDULLAH: UMNO mesti terus memperkasa dan membangunkan bangsanya melalui penguasaan ilmu pengetahuan, kedaulatan bahasa, kemuliaan akhlak dan agama, integriti dan maruah bangsa, kedaulatan Raja-Raja dan kesucian Islam. Semua ini adalah perkara-perkara yang tidak boleh dikompromi. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini terhakis dan dipinggirkan. Itulah intipati perjuangan yang menjadi kebanggaan kita.
Pilihan raya umum yang lalu juga menunjukkan generasi muda Melayu seolah-olah tidak peduli terhadap apa yang akan terjadi kepada UMNO, oleh itu apakah usaha yang akan dilakukan oleh UMNO untuk memberi pemahaman dan menarik sokongan golongan berkenaan?
ABDULLAH: Inilah cabaran besar kepada golongan muda dalam UMNO khususnya Pergerakan Pemuda dan Puteri bagi memastikan orang muda Melayu mengetahui, memahami dan menghayati sejarah perjuangan UMNO.
UMNO mesti pergi kepada mereka, tidak boleh membiarkan atau menunggu mereka datang. Pemuda UMNO mesti mencari ahli-ahli baru, menyebar risalah, memilih 'kader' dan melatih mereka. Golongan muda mesti didekati dan diajak bersama. Secara tegas, Pemuda dan Puteri UMNO mesti menjadi contoh sebagai pejuang yang bersemangat patriotik, berintegriti dan berjaya dalam hidup mereka serta tidak angkuh.
Bagaimana Datuk Seri melihat sokongan orang Melayu terhadap parti-parti lain seperti Pas dan PKR, apakah kehadiran mereka boleh menghakis populariti UMNO dan bolehkah mereka mengambil alih peranan UMNO membela Melayu?
ABDULLAH: UMNO parti sederhana. Kita bela Islam, kita bela Melayu, tetapi dalam waktu yang sama kita bela juga kaum-kaum lain yang berbeza agama.
Saya percaya, rakyat akan terus memilih UMNO sekiranya mereka memahami perjuangan dan dasar UMNO. UMNO tidak boleh membiarkan persepsi buruk yang dilemparkan oleh pembangkang terhadapnya.
UMNO mesti berkerja kuat untuk melenyapkan persepsi negatif tersebut. Jika ini dapat dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam memberikan khidmat kepada rakyat, UMNO akan tetap menjadi parti pilihan pertama rakyat Malaysia.
Tahun ini UMNO akan berhadapan dengan pemilihan parti. Pada pandangan Datuk Seri barisan kepimpinan seperti manakah yang sepatutnya dibentuk dalam UMNO bagi memastikan ia terus relevan dan diterima kembali oleh rakyat?
ABDULLAH: Perjuangan asal UMNO mesti terus dikekalkan. Kita mahu pemimpin yang ikhlas, jujur, beramanah serta memahami perjuangan UMNO. Perjalanan kita masih jauh. Bangsa-bangsa yang besar memerlukan antara 100-150 tahun untuk membina tamadun mereka.
Kita baru 50 tahun tetapi kita sudah mula menunjukkan kejayaan. Kita mesti mengurus kejayaan kita ini dengan baik serta memperbaiki kelemahan kita. Kita mesti bersatu dan bersetia. Itu sahaja rahsia dan petuanya.
Sempena ulang tahun UMNO yang ke-62, apakah seruan Datuk Seri kepada ahli UMNO dan orang Melayu?
ABDULLAH: Slogan UMNO cukup jelas dan sentiasa relevan. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Kita tidak ada masa untuk bertelagah atau memikirkan mengenai apa jawatan yang perlu kita pegang semata-mata kerana ada Mesyuarat Agung.
Parti kita telah mendapat mandat rakyat untuk terus mentadbir negara ini. Kita mesti menguruskan kejayaan ini dengan baik dan menangani masalah dengan penuh hemah, jujur dan bertanggungjawab.
Banyak kerja yang kita mesti lakukan. Kita mesti memastikan negara terus aman, stabil dan makmur. Kualiti hidup rakyat mesti terus diperbaiki. Bekalan makanan mencukupi dan kita mesti menyediakan tempat tinggal yang selesa dan elok, serta menjamin kebebasan rakyat untuk terus hidup di negara ini dengan harmoni dan selesa. UMNO dan orang Melayu mesti menguruskan kejayaan yang telah dibina selama ini untuk terus menjadi bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Saya tidak sangka Dr. M benar-benar keluar parti

ALOR STAR 20 Mei - ''Saya bukan cabar tapi hanya mengemukakan pendapat. Saya tidak sangka Tun Dr. Mahathir Mohamad akan benar-benar keluar daripada UMNO.''
Itulah penjelasan Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Warga Darul Aman, Ismail Wan Teh yang kononnya menjadi pencetus kepada keputusan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu keluar daripada parti berkenaan semalam.
Pada forum Nasib Kedudukan Bangsa Melayu di sini semalam, beliau bertanya kepada Dr. Mahathir sama ada bekas Perdana Menteri itu berani untuk meletakkan jawatan setelah berulang kali menghentam pemimpin UMNO.
Menurut Ismail, tujuannya bertanyakan soalan sedemikian hanya mengingatkan Dr. Mahathir supaya bertanggung jawab atas segala kenyataan yang dikeluarkan olehnya ketika masih berada di dalam UMNO.
Bagi beliau, tindakan Dr. Mahathir yang mengeluarkan kritikan pedas kepada pemimpin UMNO seolah-olah menggambarkan beliau terlalu marah dan kecewa dengan UMNO.
"Kita tidak mahu wujudnya pemimpin yang hanya tahu bercakap tetapi tidak mahu memikul tanggung jawab dengan apa yang telah dikatakan.
"Kita tidak boleh menyuruh orang lain untuk meletakkan jawatan sedangkan kita masih berada di dalam parti tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri itu yang merupakan ahli seumur hidup UMNO membuat kejutan dengan membuat pengumuman bahawa beliau keluar daripada parti tersebut setelah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ismail juga merupakan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu namun beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Hassan Syarif.
Jelas Ismail, pada forum itu, beliau hanya hadir sebagai wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan tidak bersuara mewakili mana-mana parti.
"Soalan saya juga bukan bertujuan untuk mendesak beliau (Dr. Mahathir) untuk keluar daripada UMNO.
"Semua yang berlaku semalam hanya pendapat spontan yang keluar daripada minda saya untuk mengetahui jawapan sebenar daripada mulutnya sendiri setelah beliau tidak putus-putus melontarkan kritikan terhadap parti ini," katanya.
Ismail memberitahu, keputusan Dr. Mahathir untuk keluar daripada UMNO merupakan satu kehilangan besar kepada parti itu kerana beliau merupakan seorang ahli politik yang mempunyai banyak jasa kepada negara.
"Pengalaman yang ada pada Dr. Mahathir sepanjang menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri tidak ada pada orang lain.
"Beliau merupakan seorang yang bijaksana dan saya pasti keputusannya keluar parti telah lama difikirkan dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk dihebahkan," jelasnya.
Tambahnya, keputusan Dr. Mahathir keluar daripada parti bolehlah diibaratkan seperti pasangan suami isteri yang telah bercerai dengan talak satu.
"Jika bercerai dengan talak satu, pasangan itu masih boleh rujuk kembali dan bernikah semula.
"Ahli-ahli UMNO yang mahu melihat Dr. Mahathir kembali berjuang di dalam mesti mesti pandai mengambil pendekatan memujuk beliau kembali menyertai parti," ujarnya.

Memang kehendak Dr. Mahathir?

TANGGAL 19 Mei 2008 mungkin tidak boleh dilupakan rakyat Malaysia apabila tokoh paling disegani dan dikagumi bukan sahaja di dalam negara malah antarabangsa, Tun Dr. Mahathir Mohamad melemparkan ‘bom’ yang mengejutkan sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli UMNO.
Bermula dalam satu forum perpaduan Melayu di Alor Star, hanya menerusi ungkapan “saya umumkan keluar dari UMNO,” cukup untuk menggegarkan seluruh negara dan boleh membuatkan ramai yang menangis khususnya di kalangan ahli parti berkenaan.
Kesan daripada pengumuman negarawan yang disanjungi itu, ramai yang sampai sekarang masih ‘terkejut’ sambil memperkatakan bagaimana Dr. Mahathir sanggup bertindak demikian dan apakah cerita di sebalik forum bertajuk Nasib Kedudukan Bangsa Melayu anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu?
Sebenarnya, tidak ada petanda awal bahawa Dr. Mahathir akan membuat pengumuman drastik itu walaupun sebahagian besar daripada lebih 1,000 tetamu yang hadir di forum tersebut, awal-awal pagi sudah berkumpul menanti ketibaannya di sebuah hotel.
Forum bermula dengan ucapan pengerusi dewan berkenaan, Tan Sri Khalid Abdullah yang terlebih dahulu memperkenalkan fungsi badan diwakilinya sebagai sebuah pertubuhan bebas, tidak bersandarkan politik tetapi bertindak memperbetulkan keadaan khususnya dalam menyatukan orang Melayu.
Cuma, agak ‘pedas’ apabila Khalid mempersoalkan tentang barisan menteri yang tidak ada wakil dari Kedah dan dianggapnya sebagai zalim dan diberi tepukan gemuruh. Permulaan daripada Khalid bolehlah dianggap sebagai ‘pemanas enjin’ dan sebelum Dr. Mahathir ‘masuk gear.’
Benar bagai diduga, apabila Dr. Mahathir mula bercakap, sesiapa pun tidak berganjak, malah sesekali beliau sempat berjenaka yang menyerlahkan lagi betapa bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu bijak ‘menguasai gelanggang.’
Mendesak
Tidak ada apa yang mengejutkan. Apa sahaja kritikan terhadap Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah biasa kerap kali diluahkan termasuk mendesak Abdullah meletakkan jawatannya berikutan keputusan buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Sehinggalah apabila sampai suatu ketika Dr. Mahathir membuat satu cadangan sambil bertanyakan sama ada ahli-ahli UMNO berani untuk menyahut cabarannya supaya pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan bahagian meletak jawatan dan keluar daripada UMNO.
Sekali lagi dewan bergemuruh apabila orang ramai menyahut cabaran Dr. Mahathir ketika beliau bertanyakan sama ada mereka berani atau tidak untuk berbuat demikian?
Bagaimanapun, ramai yang langsung tidak menyedari atau terfikir di sebalik cabaran Dr. Mahathir itu, apakah beliau sendiri bakal keluar daripada UMNO kerana persoalan yang dikemukakan cuma untuk pemimpin-pemimpin cawangan dan bahagian?
Kemungkinan besar, jika tidak ada dialog atau sidang akhbar, Dr. Mahathir tidak akan mengumumkan keluar UMNO atau sekiranya beliau mahu berbuat demikian sekali pun, ia dilakukan pada masa lain, bukannya kelmarin.
Ada yang berpendapat demikian kerana ramai beranggapan sesi dialog merupakan pencetus segala-galanya. Tumpuan diberikan kepada seorang peserta, Ismail Wan Teh yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) apabila dia bertanyakan kepada Dr. Mahathir mengenai kedudukannya selepas meminta pemimpin-pemimpin UMNO itu meletak jawatan dan keluar daripada parti berkenaan.
Sampai di sini, tumpuan terus diberikan kepada Dr. Mahathir yang secara spontan menganggap ia adalah satu cabaran dan jawapan diberikan sudah cukup untuk membuatkan seluruh dewan bergemuruh.
Secara terus terang, jawapan Dr. Mahathir di hadapan 1,000 tetamu ialah “Saya akan umum keluar dari UMNO.” Jawapan yang ketika itu sudah cukup untuk menarik perhatian tetapi belum begitu merisaukan.
Tentulah, hasil daripada dialog tersebut menimbulkan pertanyaan khususnya di kalangan wartawan yang membuat liputan kerana ingin mengetahui bilakah Dr. Mahathir akan membuat pengumuman secara rasmi. Ini kerana di sebalik keributan tindakan Dr. Mahathir itu, ramai yang kurang sahih apakah Dr. Mahathir sudah keluar atau akan mengumumkannya kemudian?
Akhirnya, jawapan paling tepat ditemui. Pada sidang akhbar selepas dialog tersebut, Dr. Mahathir terus diasak bertubi-tubi mengenai tindakannya itu dan beliau mengesahkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dengan memberi syarat akan kembali selepas Abdullah meletakkan jawatannya.
Kesimpulannya tidak kira sama ada Ismail atau wartawan yang dikatakan mencetus kepada pengunduran Dr. Mahathir daripada UMNO, sebenarnya perlu dilihat ialah bekas Perdana Menteri itu mungkin telah bersedia meninggalkan parti yang paling disayanginya.
Mengenali peribadi Dr. Mahathir, beliau mempunyai keberanian mengambil risiko. Sikap itu menjadikan beliau cukup tabah walaupun terpaksa berdepan pelbagai kritikan. Jadi, tidak mungkin ketika meminta pemimpin UMNO keluar parti, beliau pula tidak bersedia jika dicabar mengambil tindakan sama.

Buat Melayu terus berpecah

IPOH 20 Mei – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO hanya akan menyebabkan bangsa Melayu terus berpecah-belah.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, Dr. Mahathir yang memimpin parti selama 22 tahun juga tidak wajar membangkitkan sesuatu yang boleh menyebabkan rakyat lari daripada mentaati dan menghormati pemimpin sedia ada.
Beliau berkata, adalah lebih baik jika Dr. Mahathir terus menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat sebarang teguran bagi menangani sesuatu masalah.
‘‘Tetapi hari ini dia (Dr. Mahathir) letak jawatan dan keluar daripada parti yang dulu dia dokong kuat, barangkali ramai yang akan jadi pengikut dan ini akan jadi perpecahan yang besar khususnya orang Melayu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas upacara perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2008 oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

YB bertikam lidah isu kedaulatan hak Melayu

PERSIDANGAN Dewan Rakyat semalam dicemari pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang ketika Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal menggulung perbahasan sehingga memaksa Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee menangguhkan persidangan kepada Selasa ini. Kekecohan bermula apabila N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) mempertikaikan kenyataan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang tidak mahu ada orang bukan Melayu mempertikaikan pendirian orang Melayu mempertahankan hak mereka. Tindakan Gobalakrishnan mencelah ketika Tajuddin membuat penegasan mengenai hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan menyebabkan Tajuddin mengarahkan Gobalakrishnan duduk selain mendakwa berlagak macam menteri.
Pertikaman lidah antara mereka yang berlarutan menyebabkan Ronald sendiri keliru antara kedua-dua mereka ketika mengarahkan mereka duduk dan memberi peluang kepada Mohd Shafie meneruskan penggulungannya. Zulkifli Nordin (PKR-Kulim Bandar Baru) bangun dan meminta dewan mengarahkan Tajuddin menarik balik kata-katanya yang menuduh Gobalakrishnan seperti 'minum todi'. Tindakan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mencelah menyebabkan Zulkifli mengeluarkan kata-kata `duduk menantu' sehingga mencetuskan ketegangan dan jerit menjerit antara wakil kerajaan dan pembangkang.
Ronald kemudiannya mengarahkan Tajuddin menarik balik tuduhannya, tetapi Tajuddin mendakwa kata-katanya itu tidak ditujukan kepada sesiapa sebaliknya dibuat secara umum. "Kalau ambil tindakan, ramai yang kena keluar dewan, kita seboleh-bolehnya elak perkara itu berlaku," kata Ronald ketika cuba mendamaikan suasana. Perbalahan itu juga mencetuskan semula isu kenyataan biadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) apabila Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mengeluarkan kenyataan ada kalangan ahli parti pembangkang yang kecewa dengan pemimpin mereka hingga berminat lompat parti. "Tunggulah dua nak menyeberang," katanya sehingga mendapat perhatian Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) yang secara sinis mendakwa tidak munasabah melompat atas kapal yang hendak tenggelam.
Pertikaman lidah turut membabitkan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang marah apabila Gobalakrishnan mempertikaikan sejarah kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004. "Kita tidak besar kepala walaupun menang besar," kata Ibrahim. Terdahulu sebelum perbalahan tercetus, Mohd Shafie berkata perpaduan rakyat tidak hanya tertumpu di kawasan atau negeri tertentu saja, sebaliknya membabitkan semua pihak.

Tindakan Tun keluar Umno tentu bawa kesan: Muhyiddin

NEW YORK: Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati ahli Umno supaya bertenang dan jangan membuat sebarang keputusan secara gopoh sehingga merosakkan parti, masa depan orang Melayu dan negara. Sambil melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno, beliau menasihati ahli Umno supaya bertindak secara bijaksana serta berhemah dan tidak memburukkan lagi keadaan. "Apa yang lebih utama ketika ini, adalah menjaga keselamatan dan agenda perjuangan parti serta kedudukan orang Melayu. Keadaan kini kritikal dan tindakan ini (keluar parti) tentunya akan membawa kesan. Di saat seperti ini perpaduan orang Melayu amat penting,” katanya kepada media Malaysia selepas menyertai Seminar Peluang Perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut keputusan Dr Mahathir, Muhyiddin berkata: “Apa saja pertimbangan yang digunakan Tun dalam keputusannya, cuma Tun saja yang lebih tahu daripada kita.”

Syarat Dr Mahathir mustahil dipenuhi: Musa Bekas TPM anggap tindakan seperti duri sudah keluar dari daging

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyifatkan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno selepas 22 tahun menerajui parti itu umpama 'duri yang sudah keluar dari daging'. Musa berkata, walaupun sedih dan dukacita mendengar berita itu, terutama ketika Umno menghadapi keadaan yang sangat mencabar, beliau berharap ahli Umno menerima keputusan Dr Mahathir dengan hati terbuka dan tenang kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. "Duri dalam daging sudah pun terkeluar dan mulai sekarang pucuk pimpinan harus menumpukan usaha mereka kepada, pertama menerima hakikat bahawa Umno sekarang bukan lagi sekuat atau diterima sepenuhnya oleh rakyat terutama Melayu dan kedua, konsep 'Mahathirsme' sudah berlalu dan Umno harus balik kepada konsep 'Bersih, Cekap, Amanah' yang pada awal 80-an dulu diterima dengan begitu positif," katanya dalam kenyataan dari luar negara, semalam.
Musa juga mengingatkan ahli Umno yang tersesat jalan supaya menggunakan keadaan mengejutkan itu untuk bertafakur dan kembali ke pangkal jalan bagi kebaikan bersama. "Sambarlah peluang keemasan ini... bertafakurlah dan berhati-hatilah dengan tenang serta... baliklah ke pangkal jalan. "Ingatlah, yang lebih penting ialah Umno," katanya.
Sementara itu, veteran Umno yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, berkata beliau sudah lama keluar daripada Umno kerana mempunyai pandangan hampir sama dengan Dr Mahathir. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung tindakannya itu. Seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, berkata tindakan Dr Mahathir keluar Umno ibarat berulangnya sejarah Datuk Onn Jaafar keluar Umno sebelum menubuhkan Parti Negara. "Tidak mustahil tindakan Dr Mahathir itu akan diikuti beberapa pemimpin Umno lain seperti yang berlaku pada zaman Onn.
"Keadaan itu akan menyebabkan ahli parti berterabur ibarat ayam disambar helang. Orang Umno perlu mencari jalan untuk bersatu semula termasuk memperbetulkan pemimpin yang bercakaran sesama mereka. "Walaupun Dr Mahathir ada hak untuk keluar parti, bagi orang Melayu, tindakan itu tidak elok dan tidak sesuai pada masa sekarang, saya bimbang rosak tapai kerana ragi, rosak bawang ditimpa jambaknya. "Kebimbangan saya juga boleh diibaratkan seperti pantun Melayu 'Anak Raja memikul kayu, mari dibuat batang titian, malang nasib anak Melayu, pemimpin banyak berdengki-dengkian," katanya. Beliau berkata, syarat dikenakan Dr Mahathir bahawa beliau hanya akan menyertai semula Umno jika Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan adalah syarat yang mustahil untuk dipenuhi kerana Abdullah menang pada pilihan raya umum lalu dan kerajaan sudah ditubuhkan. "Pertelingkahan antara Dr Mahathir dan Abdullah boleh diperbetulkan jika Raja-Raja Melayu memainkan peranan seperti zaman penubuhan Malayan Union yang menyatukan pemimpin Melayu," katanya.

Tun Dr Mahathir umum keluar Umno berkuatkuasa serta merta

ALOR STAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta. Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. "Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini hari ini.
Bekas Presiden Umno itu juga berkata, beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara. "Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya. Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.
Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara. "Saya boleh senaraikan perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita. "Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lalu. Sebab itu saya tidak teragak untuk keluar dari Umno," katanya. Dalam sejarah Dr Mahathir dalam Umno, beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972.
Dr Mahathir turut mengajak anggota Umno yang sependapat dengannya berhubung dengan kepimpinan untuk mengikuti jejaknya dengan bertindak keluar dari parti itu tetapi bukan untuk menyertai parti lain. "Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya," tambahnya. Bekas Perdana Menteri turut melahirkan rasa kecewa kerana anggota Umno masih disekat oleh kepimpinan parti daripada berjumpanya. "Sampai nak adakan perjumpaan, ahli Umno dan ketua bahagian tidak dibenar berjumpa saya. Ini apa," katanya. Beliau berkata tindakan kepimpinan Umno itu hanya menyebabkan timbul lebih banyak rasa tidak puas hati dan akhirnya melambangkan Umno sebagai tidak demokratik. - Bernama

Pekida bidas pertikai kuasa Raja Melayu

SELAYANG: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) cawangan Gombak membidas sebarang tindakan dan kenyataan yang mempersoalkan kedudukan dan kuasa Raja Melayu serta meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka terbabit. Pengerusi Tetapnya, Abdul Rashid Fadzil, berkata tindakan perlu diambil terhadap mereka terbabit kerana ia bertentangan prinsip Rukun Negara. “Sebagai rakyat Malaysia kita mesti berpegang kepada prinsip Rukun Negara yang salah satunya menyatakan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Oleh itu kita menyarankan kepada pihak berkuasa supaya siapa saja tanpa mengira pegangan politik dan bangsa yang melanggar prinsip kedua Rukun Negara diambil tindakan,” katanya pada Perhimpunan 1,000 Melayu Gombak bersama Pekida dan protes terhadap Karpal Singh di Taman Jasa, Selayang di sini semalam. Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 100 ahli dan pemimpin Pekida sekitar Lembah Klang turut membuat tuntutan kepada Pengerusi DAP itu memohon maaf secara terbuka kerana kenyataannya mempersoalkan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury, mengguris perasaan orang Melayu. Sehubungan itu satu laporan polis terhadap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Gombak jam 4 petang semalam.
Abdul Rashid berkata, tindakan Karpal sebagai ahli politik berpengalaman dan boleh mempengaruhi pengikutnya berkemungkinan menimbulkan sentimen perkauman. “Dalam hal ini kami melihat beliau sebagai seorang yang licik memanipulasi secara teknikal undang-undang yang tafsirannya berbentuk subjektif hingga menyebabkan apa yang dikatakannya sebagai logik dan boleh diterima akal oleh pengikutnya,” katanya.

Sentral: Melayu mesti bijak guna kuasa

Mohd Ali minta masyarakat khususnya generasi muda hayati sejarah perjuangan bangsa, agar mereka tidak mudah lupa diri MELAKA: Orang Melayu perlu bijak menggunakan kuasa yang ada pada mereka sekiranya tidak mahu melihat bangsa mereka terus ketinggalan berbanding kaum lain di tanah air sendiri, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau berkata, kaum ini juga tidak harus menyalahkan orang lain disebabkan kelemahan mereka kerana hakikatnya bangsa itu tetap memiliki kekuatan kuasa politik yang sudah dipersetujui rakyat pelbagai kaum di negara ini serta termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, orang Melayu juga kini tidak perlu merintih kerana segala kuasa ada di tangan mereka dan Umno sendiri sebagai penaung kaum itu berupaya mendorong dan menggerakkan mereka ke arah kejayaan sambil tidak mengabaikan bangsa lain menerusi perkongsian kuasa menerusi Barisan Nasional (BN). "Sebab itu, yang penting sekarang ialah orang Melayu harus tahu menggunakan kuasa yang sudah sedia ada di tangan mereka," katanya ketika berucap pada majlis menaikkan bendera Umno sempena sambutan ulang tahun ke-62 parti itu, di kediaman rasminya di Seri Bendahara, Ayer Keroh, dekat sini, baru-baru ini. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Idris Haron dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Mumamad.
Mohd Ali turut mengingatkan masyarakat Melayu khususnya generasi muda supaya menghayati sejarah perjuangan bangsa itu, agar mereka tidak mudah lupa diri dan diperkotak-katikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. "Orang Melayu akan rasa terhina jika hak mereka disentuh dan ingin dihapuskan oleh segelintir golongan yang tidak senang dengan bangsa itu. Sebab itu, penghayatan mengenai sejarah perjuangan bangsa ini perlu diberi perhatian," katanya. Mohd Ali yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, kerajaan menerusi BN sentiasa menjaga kepentingan serta kedudukan orang Melayu dan jika masih terdapat sebarang kekurangan, ia berpunca daripada bangsa itu sendiri. "Kerajaan sentiasa memberi peluang kepada orang Melayu untuk mengusahakan beberapa perniagaan besar seperti industri pasir dan kayu, namun masih ada bertindak menyerahkan perniagaan itu kepada kaum lain untuk menguruskannya," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, Umno masih segar dan tetap menjadi parti terkuat orang Melayu walaupun kini terpaksa berdepan dengan keputusan paling mencabar pada pilihan raya umum lalu. Katanya, kejayaan Umno memenangi 79 daripada 117 kerusi Parlimen ditandingi pada pilihan raya lalu, bukan saja jelas menunjukkan BN terus kekal membentuk kerajaan, malah mendapat sokongan majoriti rakyat yang yakin dengan kemampuan kedua-duanya. "Kita boleh dianggap bertuah dan bernasib baik kerana masih lagi diberi kepercayaan dan kuasa untuk memerintah, sedangkan banyak parti politik luar yang lebih gah di dunia seperti Australia, England dan Amerika Syarikat tumbang kepada lawan masing-masing. "Lihat saja di Australia, England dan Amerika Syarikat, banyak pemimpin mereka sudah hilang kepercayaan masyarakat," katanya.

Ufuk Minda: Pendekatan jihad perkasa modal insan Melayu

KESAN peristiwa 13 Mei antara lain membangkitkan orang Melayu daripada alpa dan lalai terhadap pentingnya ikut serta dalam pembangunan negara secara aktif dan terancang. Kesan daripada pilihan raya umum ke-12, menyedarkan mereka mengenai pentingnya faktor bersatu dalam politik. Natijahnya, mengajak orang Melayu sentiasa berwaspada mengenai pentingnya kualiti kepemimpinan dengan memperkasakan ilmu dan ketrampilan. Perubahan boleh berlaku dalam diri orang Melayu sendiri dan ia boleh berlaku hasil pengaruh luar sehingga memberi kesan kepada ketahanan dalam jangka panjang. Pola diterima sekian lama dalam kepemimpinan orang Melayu ialah sebagai teras dan memberikan perlindungan terhadap orang bukan Melayu dan menyebabkan mereka berasa selesa dengan kepemimpinan yang adil dan amanah.
Maksud adil dan amanah harus dilihat dalam konteksnya. Di Malaysia, orang Melayu masih ramai dibelenggu faktor kemiskinan dan ketinggalan dalam perniagaan. Orang Melayu sebahagiannya belum mengalami proses perubahan mental dan fizikal yang mantap. Hasilnya kesediaan untuk bersaing dan berlumba serta menghadapi cabaran baru agak terkebelakang. Oleh itu, harus ada perancangan strategik yang bijaksana supaya generasi muda dapat dibangunkan secara agresif dengan keupayaan memperkasa jiwa dan memiliki tekad serta azam untuk turut sama dalam arus perubahan adalah cemerlang. Pembangunan modal insan adalah jawapan terbaik bagaimana mobiliti ilmu dan pendidikan dalam pelbagai jurusan diutuhkan supaya generasi muda dapat dibekalkan dengan pendedahan yang wajar serta memberikan lonjakan serta berdaya saing.
Di kalangan generasi muda ramai yang pintar dan cerdik. Selalunya anak ini mempunyai peluang terbuka untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai kepakaran. Anak daripada kelompok ini harus dijadikan fokus supaya bakat dan kecerdikannya disuburkan dan dapat menyumbang untuk kemajuan negara. Melayu masih lemah dalam bidang perniagaan. Pendekatan jihad dalam bidang itu harus ditanam sejak awal supaya penyertaan keusahawanan dapat diseimbangkan. Kalau sekadar mempelajari teori dan mendapat ijazah dalam bidang berkaitan, belum memadai. Keupayaan menjadikan asas ilmu dan kemahiran sebagai modal, ia harus berkembang dan bertekad untuk maju sehingga pada peringkat global. Keupayaan yang terancang dan bijaksana, bakal memberi kesan terhadap perubahan ekuiti atau pegangan orang Melayu dalam ekonomi negara. Satu aspek negatif bagaimana sebahagian generasi muda memberikan tumpuan ialah budaya dari Barat.
Kesannya generasi muda semakin hilang daripada arus perdana untuk memperkasa diri. Yang pastinya keruntuhan cara berfikir dan kerosakan peribadi boleh memberikan kesan terhadap corak kepemimpinan pada masa depan. Amat penting modal insan di kalangan generasi muda dijaga dengan baik dan disuburkan dengan pembinaan watak yang seimbang. Mereka adalah generasi penerus yang bakal mewarisi kepemimpinan bakal mencerminkan kesinambungan baik dan saling mengukuh sifatnya.

Melayu mesti bangkit jadi bangsa cemerlang

ISU hak orang Melayu masih lagi hangat dibincangkan sehingga kini. Daripada soal raja, ketuanan orang Melayu sehinggalah kepada isu keris terus menjadi polemik. Kehangatan Kongres Pemuafakatan Melayu yang berakhir 4 Mei lalu masih lagi terasa. Ia berakhir dengan keputusan untuk menubuhkan Majlis Muafakat Melayu Malaysia selepas mengambil kira suara sebahagian 2,100 peserta yang mewakili 200 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai kongres itu. Ia bertujuan memantau, mempertahan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu. Memang kita sebagai orang Melayu suka dan berharap agar hak kita dipertahankan oleh Perlembagaan.
Sebenarnya, mempertahankan hak saja belum cukup selagi tiada usaha untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri orang Melayu. Hak yang dilindungi Perlembagaan semata-mata hanya akan menjadi bom jangka yang akan meletup pada satu masa apabila ia dilihat sebagai tidak lagi adil kepada kaum lain. Contohnya sebelum ini, wujud sistem kuota bagi kemasukan ke universiti mengikut kaum yang kini dimansuhkan. Sebenarnya ia mengundang rasa tidak puas hati di kalangan orang bukan Melayu. Mereka berasakan bahawa sebahagian pelajar Melayu berpeluang masuk ke universiti kerana kuota, bukan kerana kualiti akademik yang mereka miliki. Mengapa mereka persoalkan? Adakah mereka akan persoalkan sekiranya pelajar Melayu benar-benar berkualiti? Sudah pasti tidak. Kerana itu orang Melayu bukan hanya perlu mempertahankan hak semata-mata malah kita perlu berubah dan meningkatkan kualiti diri. Apa yang perlu ialah perubahan sikap orang Melayu. Pengalaman penulis sebagai pensyarah di institusi yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang pendidikan membuktikan bahawa ramai pelajar Melayu yang tidak pernah menghargai segala bantuan diberikan kepada mereka. Mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan kualiti diri. Mereka memikirkan bahawa semua bantuan berkenaan akan kekal sampai bila-bila. Bangsa lain tidak akan mempertikaikan hak kita sekiranya kita benar-benar layak untuk mendapat hak itu. Memang hak keistimewaan yang diberi kepada orang Melayu penting untuk membolehkan mereka bersaing, tetapi sampai bila orang Melayu harus bertongkat.
Lebih buruk lagi ramai orang Melayu hanya berbangga dengan hak yang mereka ada tetapi langsung tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan hak itu untuk berjaya. Sama seperti kita membina masjid yang besar dan cantik tetapi tidak ada orang berjemaah di dalamnya. Selain bidang pendidikan, orang Melayu mesti menguasai bidang ekonomi. Dalam kongres berkenaan, Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Mohammad Alayuddin Che Hassan menyatakan bahawa penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu sebenarnya hanya tiga peratus. Ia menjadi 18 peratus selepas dimasukkan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini membuktikan bahawa tanpa mengambil kira penguasaan GLC, hanya tiga peratus penguasaan ekonomi dibina sendiri oleh orang Melayu. Penulis tidak tahu apakah ada cara lain untuk menguasai ekonomi selain dengan cara membabitkan diri dalam keusahawanan. Penguasaan dari segi politik dan sektor awam saja bukan dikira sebagai penguasaan dalam ekonomi. Dengan sebahagian besar daripada orang Melayu menguasai jawatan dalam sektor awam sehinggalah kepada jawatan politik seperti Menteri, Exco atau Ahli Majlis Perbandaran dan daerah tidak boleh dikira sebagai menguasai ekonomi. Ekonomi adalah berkaitan dengan penguasaan kekayaan dan perniagaan. Tetapi berapa ramai orang Melayu yang menjadi usahawan? Orang Melayu tidak berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan walaupun banyak program dan skim diperkenalkan kerajaan untuk membantu mereka. Kita tidak boleh menafikan yang kita sudah tertinggal jauh ke belakang dalam banyak perkara berbanding bangsa lain terutama dari segi ekonomi. Orang Melayu harus bekerja berkali-kali ganda lebih keras daripada bangsa lain untuk mengejar tahap kemajuan mereka sekarang. Sungguhpun begitu, perkara yang paling ditekankan kebanyakan yang bercakap di dalam kongres itu ialah soal tindakan yang akan dilakukan bagi mengatasi isu ini. Idea yang baik saja tidak berguna jika tidak ada tindakan bersungguh-sungguh dan padu. Sekarang adalah masa untuk bertindak dengan jitu dan bekerja keras ke arah memperkukuhkan kualiti orang Melayu. Seperti yang ditekankan oleh Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid di dalam kongres itu, sekiranya bermula daripada sekarang tidak ada usaha untuk mengembali dan memartabatkan bahasa dan bangsa Melayu, maka beliau tidak akan menghadiri lagi sebarang perhimpunan berkaitan Melayu pada masa depan.

Karpal hina Islam: Mufti

IPOH: Tindakan menghina Raja-Raja Melayu boleh disamakan dengan menghina agama Islam kerana Perlembagaan Persekutuan menyatakan Sultan atau Raja dan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama negeri secara mutlak. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mempersoal kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menunjukkan beliau tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa agama Islam kepada Raja-Raja Melayu. Selain menghina agama Islam, katanya, sebagai warga negara Malaysia, kenyataan Karpal itu menunjukkan sikap yang tidak taat kepada Raja Melayu.
Beliau berkata, tindakan sedemikian sudah tentu menyakiti hati orang Melayu kerana rantau Nusantara sudah mempunyai Raja sejak beratus-ratus tahun. "Dulu, rakyat sangat patuh kepada Sultan kerana mereka berkuasa mutlak di setiap negeri. Tetapi selepas kemerdekaan, konsep Raja Berperlembagaan menjadikan Sultan atau Raja memegang kuasa agama Islam dan adat Melayu. Itu pun dia nak kritik. "Masalahnya bukan undang-undang. Dia berhak untuk bercakap mengenai undang-undang tetapi Sultan ada kuasa agama. Perkara ini adalah sensitif pada orang Melayu yang juga beragama Islam.
"Kita tidak pernah menghina agama lain, bahkan dalam Islam, haram kita menghina agama orang lain," katanya di sini, semalam.

kuasa Melayu

Berdasarkan kepada Buletin Perangkaan Malaysia (terbitan Jun 2006), jumlah penduduk di Malaysia ialah seramai 26.64 juta orang. 24.8 juta orang merupakan warganegara Malaysia manakala bakinya 1.84 juta orang merupakan bukan warganegara Malaysia. Kaum Melayu mewakili 54 % dari populasi penduduk iaitu seramai 13.48 juta orang. Kaum bumiputera (selain daripada Melayu) seramai 2.93 juta orang mewakili 11.8 %. Justeru itu kaum Bumiputera mewakili 65.8 % dari jumlah keseluruhan warganegara Malaysia.Kira kira 25 % daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina iaitu seramai 6.22 juta orang, 7.5% terdiri daripada kaum India dengan seramai 1.86 juta orang, manakala lain-lain kaum pula seramai 1.7 % iaitu seramai 318.9 ribu orang. Hampir 85% daripada kaum India di Malaysia merupakan masyarakat Tamil.Mesti ramai yang tertanya-tanya kenapa saya mengutarakan perangkaan ini.Kaum Melayu mewakili 54% dari keseluruhan penduduk Malaysia. Dari segi ekonomi, 54% merupakan penyumbang terbesar kepada pasaran.25% merupakan orang peniaga manakala 54% adalah merupakan pasarannya. Pada pandangan anda kalaulah masyarakat 54% ni kedudukannya tidak setabil, selalu diusik dihina.. dicaci, dipecahbelahkan oleh musuh-musuh dalam selimut, agak-agak tuan- tuan dan puan-puan sekalian apak akan terjadi kat Malaysia ni? Huru hara tu...Masyarakat yg 25% tu tak boleh meniaga tu.. semua orang susah.So saya mintaklah jangan diusik masyarakat 54% ni. Sebab kalau dia dah mengamuk.. bahaya tu..tq

Thursday, May 8, 2008

UMNO buat laporan polis terhadap Karpal

KUALA LUMPUR 8 Mei – UMNO hari ini membuat laporan polis ke atas Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana membuat kenyataan berbaur hasutan dengan mempersoalkan bidang kuasa Sultan Perak.
Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul petang ini.
Ketika ditemui beliau berkata, Karpal Singh membuat kenyataan berbaur hasutan apabila turut mempersoalkan secara terbuka tentang budi bicara Raja-Raja Melayu di negeri-negeri seperti Terengganu, Perlis dan Perak sambil membuat ulasan yang keras bahawa Raja juga tertakluk kepada undang-undang seperti rakyat biasa ekoran pindaan Perlembagaan pada tahun 1993.
``Ulasan tersebut seolah-olah memberi amaran kepada Sultan Perak dan Raja-Raja Melayu yang lain supaya tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri, dan ini adalah satu penghinaan kepada Raja-Raja Melayu,” katanya di sini hari ini. - Utusan

Pakatan rakyat tidak peka kedaulatan sultan

KETIKA Pengerusi DAP, Karpal Singh mengeluarkan siri kenyataan mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pertukaran dan pelantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), rakan-rakannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pula mendiamkan diri.
Sikap enggan mengulas atau tidak ambil peduli di kalangan rakan-rakan pakatan rakyat DAP itu sememangnya menjengkelkan.
Bukankah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang terlibat dalam kemelut itu adalah dari parti Pas, manakala kerajaan yang dibentuk di Perak juga terdiri daripada wakil rakyat PKR.
Rakyat tahu sebelum ini Pas misalnya amat menjuarai isu-isu berkaitan dengan istana. Dalam beberapa kes apabila ada pemimpin UMNO terlebih bersuara membelakangkan istana, maka Pas- lah yang akan menjadi heronya.
Tetapi dalam kes pertukaran dan pelantikan semula Datuk Jamry Sury di negeri yang Menteri Besarnya adalah dari Pas, parti itu nampaknya tiada idea tentang apakah sebenarnya pendirian mereka.
Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin PKR berketurunan Melayu dan beragama Islam yang sehingga kini masih membisu. Adakah tindakan berdiam diri membawa maksud bersetuju atau juga boleh dimengertikan sebagai pengecut?
Jika dilihat dari segi logiknya mustahil Pas bersetuju dengan kata-kata Karpal, sebab itu awalawal lagi Menteri Besar Perak memohon maaf dan akur kepada arahan sultan.
Jelas Mohammad Nizar menghormati kuasa yang ada pada sultan, sebaliknya DAP yang awal-awal lagi terpaksa berkompromi menerima Menteri Besar dari Pas, cuba menjuarai isu tersebut.
Namun sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin tertinggi Pas dalam hal itu memberi gambaran bahawa Pas berada dalam dilema - diluah mati emak ditelan mati bapa.
Sebab itu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika diminta mengulas isu tersebut enggan mengeluarkan pandangannya, sudah pasti tidak mahu menyinggung hati rakan pakatan rakyat.
Ini kerana semua orang tahu hubungan antara istana dan orang Melayu beragama Islam amat rapat, malah institusi itu amat dihormati apatah lagi diketahui kenyataan Karpal tidak menepati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan.
Karpal sendiri sudah mula berdolak-dalik kononnya beliau tidak bermaksud mempertikaikan kuasa sultan dan menuduh UMNO mempolitikkan isu tersebut. Seharusnya Pas dan PKR menyatakan pendirian dalam hal ini supaya diketahui apakah sebenarnya agenda mereka bersabit kedudukan istana, orang Melayu dan agama Islam.
Presiden MCA, Ong Ka Ting berani menyatakan pendirian menyanggah titah ucapan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra tanpa mempedulikan hati rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN).
Tetapi bagi Pas dan PKR, menjaga hati rakan pakatan rakyat mungkin jauh lebih penting daripada mempertahankan institusi istana yang menegakkan kedudukan bangsa Melayu dan menegakkan syiar Islam.
Dalam hal ini, rakyat dapat menilai apa sebenarnya agenda pakatan rakyat, siapa mereka dan sejauh mana kerakusan mereka untuk berkuasa.

Harapan generasi pewaris

IBARAT perjalanan hidup seorang manusia, usia 62 tahun UMNO yang akan disambut pada 11 Mei ini pastinya sarat dengan pelbagai kisah dan pengalaman yang luar biasa.
Suka dan duka bersilih ganti dengan cabaran serta ujian dan biarpun pernah hampir rebah, semua itu berkumpul menjadi satu kekuatan dan kematangan untuk UMNO bertahan sehingga kini.
Peredaran zaman turut menyuntik kekuatan yang berbeza buat UMNO namun, paksi perjuangannya tidak pernah sekali-kali tergelincir daripada landasan membela nasib dan maruah bangsa Melayu.
Justeru, biar lahir sebanyak mana sekali- pun sayap perjuangan UMNO, aspirasi yang didukung tetap sama meskipun mereka mungkin berbeza pendirian dalam banyak perkara.
Begitu juga dengan perjuangan Putera serta Puteri UMNO. Tidak keterlaluan jika dikatakan sayap parti itu memainkan peranan yang sangat besar sebagai langkah pemula kepada generasi muda untuk memahami erti perjuangan bangsa menerusi kekuatan politik.
Dengan hakikat itu, sambutan ulang tahun ke-62 UMNO bagi Putera dan Puteri kali ini pastinya bakal disambut dengan pengertian yang lebih besar dan disulami harapan supaya suara mereka sentiasa menjadi wadah kepada perjuangan sebenar UMNO.
Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Puteri UMNO Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, usia 62 tahun UMNO tidak boleh ditafsir sebagai sebuah parti yang kuat sebaliknya tempoh itu seharusnya membayangkan bahawa UMNO sebenarnya semakin berdepan dengan cabaran yang lebih hebat.
Peningkatan usia UMNO saban tahun katanya, perlu disusuli dengan muhasabah di kalangan ahli-ahlinya dengan bersaksikan perjuangan tokoh-tokoh UMNO terdahulu dalam memberikan kesenangan kepada generasi hari ini.
Dalam masa yang sama tambah Mas Ermieyati, ahli-ahli UMNO juga perlu melihat cabaran dan perjuangan UMNO dari sudut pandangan yang lebih luas seterusnya mendepani setiap rintangan yang mendatang dalam perspektif dan persekitaran semasa.
''Situasi ini secara tidak langsung akan membawa perjuangan UMNO kepada meyakinkan generasi muda hari ini bahawa parti ini adalah survival orang Melayu dan terbina pada asas untuk memperjuangkan nasib dan maruah orang Melayu.
''Harus diakui usaha ini adalah satu tanggungjawab yang berat kepada UMNO termasuklah Puteri,"katanya.
Mengimbas apa yang berlaku pada PRU-12 lalu, Mas Ermieyati berkata, banyak pihak menuding jari kepada orang muda yang dikatakan tidak memberi sokongan sehingga membawa gelombang perubahan yang sangat besar kepada landskap politik negara.
Justeru jelasnya , seperkara yang mungkin dapat diperhalusi daripada isyarat tersebut ialah 'peralihan kuasa' perlu dilaksanakan dalam UMNO.
RelevanIa boleh direalisasikan dengan membuka ruang yang lebih besar kepada generasi muda untuk membawa perubahan yang relevan dengan kehendak zaman di dalam parti itu.
UMNO juga tambah beliau, perlu menyuntik nafas baru kepada generasi muda dengan memberi kepercayaan kepada golongan itu untuk mentadbir dan mencorak perjuangan parti seiring dengan pandangan dan aspirasi orang muda.
''Jika kita perhatikan kebanyakan yang menjadi tunjang kepada UMNO hari ini adalah generasi sebelum merdeka sedangkan gelombang perubahan politik ketika ini banyak dicetuskan oleh generasi selepas merdeka.
''Justeru, UMNO tidak boleh mengelak daripada satu perubahan yang mantap dan padu untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti untuk Melayu ini," ujarnya.
Mengharapkan pengisian ulang tahun UMNO ke-62 kali ini melebihi sekadar sebuah perhimpunan semata-mata, Pengerusi Putera UMNO Johor, Rusdin Mahamud pula menjelaskan, adalah lebih baik sekiranya roh dan semangat perjuangan sebenar UMNO disemarakkan lagi terutamanya di kalangan generasi muda.
Golongan itu hari ini katanya, perlu disuntik dengan semangat, jati diri, kesedaran dan tanggungjawab hakiki tokoh UMNO terdahulu yang berjuang membebaskan negara daripada tangan penjajah.
Biarpun kiblat perjuangan itu tidak lagi sama, beliau percaya, semangat juang tokoh terdahulu itu tidak harus mati.
Ia sebaliknya mesti terus mengalir dalam darah generasi muda sebagai spiritual dan roh perjuangan memastikan UMNO terus berdiri tegak dan megah membela nasib orang Melayu.
Berpegang kepada semangat itu, katanya, setiap ahli UMNO pastinya tidak akan tergelincir daripada asas perjuangan parti yang sebenar iaitu menegakkan kepentingan bangsa dan agama melangkaui kepentingan dan kesenangan peribadi.
''Sambutan ulang tahun UMNO pastinya lebih bermakna sekiranya setiap ahli UMNO yang meraikannya memiliki roh perjuangan untuk membela bangsa serta menjadi penggerak dan bukannya pengikut semata-mata," katanya.
Harapan serupa turut disandarkan oleh Ketua Puteri Kedah, Shahanim Mohd. Yusof yang dalam mendekati generasi muda terutamanya di negeri itu, akan menubuhkan sebuah koperasi usahawan siswazah sebagai platform menyatukan wanita muda untuk menggerakkan aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun beliau menarik perhatian sempena ulang tahun penubuhan UMNO ke-62 nanti supaya kakitangan kumpulan A iaitu pengurus dan profesional diberi ruang untuk kembali menyumbang kepada pembangunan UMNO.
Tambah beliau, UMNO ketika ini ketandusan pemimpin pewaris yang berkarisma dan berwibawa sekali gus memerlukan satu platform yang lebih luas dalam melahirkan pemimpin dengan ciri-ciri tersebut.
''Adalah sesuatu yang merugikan apabila golongan ini yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan kebijaksanaan yang tinggi terpaksa menyalurkan kelebihan itu kepada pembangkang kerana dikekang penglibatan mereka dalam UMNO," katanya.

Erti setia pada negara

KENYATAAN Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan tentang erti kesetiaan kepada negara di sidang Dewan Rakyat semalam memang menarik perhatian.
Ketika bangun membantah penggunaan perkataan derhaka oleh Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim, Po Kuan berkata, soal kesetiaan wakil rakyat kepada raja dan negara tidak wajar dipertikaikan.
Ini kerana menurut beliau lagi, setiap ahli Parlimen telah mengangkat sumpah setia di samping diluahkan semasa menyanyi lagu Negaraku.
Sememangnya apa yang dikatakan oleh ahli Parlimen DAP itu ada benarnya - setiap ahli Parlimen diikat oleh sumpah setia, justeru kesetiaan mereka tidak boleh dipertikaikan.
Namun cukupkah sekadar mengangkat sumpah dan menyanyikan lagu Negaraku yang mungkin setahun boleh dikira dengan sebelah jari untuk menyerlahkan kesetiaan rakyat Malaysia kepada negara tercinta.
Jika itu ukurannya, alangkah mudahnya untuk semua orang mendakwa bahawa mereka taat dan setia, tidak cukup dengan mengangkat sumpah ditambah pula nyanyian Negaraku - maka cukuplah pakejnya.
Asal dapat dibuktikan dua elemen itu, maka tindakan-tindakan lain termasuk mencerca, menghina atau mempertikaikan fungsi serta kuasa raja boleh dihalalkan begitu sahaja.
Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan yang berbau hasutan dan boleh memporak-porandakan rakyat boleh saja dilontarkan tanpa mengira sama ada ia menyakitkan sesiapa.
Hakikatnya sumpah setia yang dibaca ketika tangan kanan diangkat dan bait-bait lagu Negaraku yang dinyanyikan mungkin sekali setahun membawa pengertian yang amat mendalam.
Tercetus di dalamnya janji-janji untuk bersatu, saling bertoleransi dan tidak akan memecah belahkan rakyat. Paling penting ialah di dalam lagu Negaraku terserlah betapa tingginya institusi diraja sebagai payung kepada rakyat.
Jika semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan agama menghayati elemen dalam sumpah setia serta lagu Negaraku tentu tidak akan tercetus lepas laku mempertikaikan kuasa sultan dalam urusan yang sememangnya dalam bidang kuasa baginda.
PerpaduanRakyat Malaysia juga tentu ingat akan Rukun Negara kita. Rukun lima perkara itu menjadi teras perpaduan untuk membentuk satu negara tanpa mengira agama dan bangsa.
Tertera pada ikrar Rukun Negara ialah janji rakyat untuk menumpukan seluruh tenaga dan usaha bagi mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat.
Rukun Negara meletakkan 'Kepercayaan Kepada Tuhan' sebagai prinsip pertama. Begitu pentingnya setiap rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa berlandaskan hidup kepada agama.
Tanpa agama, manusia tidak percaya konsep ketuhanan, lantaran kehidupan yang dilalui tanpa sebarang pegangan dan juga kepercayaan. Maka hidup akan menjadi tidak terarah sehingga boleh saja menjadikan negara porak- peranda.
Menariknya jika dilihat semula susunan prinsip Rukun Negara yang menjadikan 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' sebagai prinsip kedua selepas kepercayaan kepada Tuhan.
Betapa semua rakyat Malaysia dari peringkat bawahan hinggalah atasan termasuk ahli-ahli Parlimen mesti melihat semula prinsip-prinsip penting dalam Rukun Negara terutamanya dari sudut yang hangat diperkatakan sekarang.
Perlu difikirkan secara teliti mengapa kesetiaan kepada raja disatukan pula dengan negara. Pastinya definisi kesetiaan kepada raja dan negara amat berkait rapat di mana semua rakyat dituntut setia kepada raja dan penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.
Itulah yang cuba dibangkitkan oleh ahli Parlimen Muar yang mahu supaya satu usul dibentangkan bagi membolehkan Karpal jatuh dalam kategori 'penderhaka' lantaran mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Bukan sekadar kuasa, Pengerusi DAP itu turut mengaitkan Sultan Perak dengan jawatan Ketua Hakim Negara yang pernah disandang baginda, seolah-olah baginda jahil undang-undang.
Hakikatnya pakej prinsip Rukun Negara yang turut menggariskan Kedaulatan Undang-Undang; Keluhuran Perlembagaan; dan Kesopanan dan Kesusilaan amat berkait rapat.
Kelima-lima elemen itu saling berkait dan ia menjadi asas paling penting ke arah membentuk negara yang benar-benar merdeka dan rakyat yang sentiasa harmoni serta saling percaya- mempercayai. Sebab itu, jika pertikaian Karpal terhadap kuasa Sultan Perak dijadikan kajian kes maka dapat dipastikan bahawa empat daripada lima prinsip Rukun Negara itu telah terusik.
Pertamanya Karpal memperlekehkan kuasa raja sekali gus kesetiaannya kepada raja boleh saja dipersoalkan atau diragui. Semestinya apabila institusi raja diusik dengan kaedah yang tidak betul, apa pula status Karpal terhadap negara. Beliau boleh saja mendakwa bahawa niatnya bukan memperlekehkan kuasa raja dan kesetiaannya kepada negara juga tidak terusik namun siri kenyataan serta persoalan terhadap raja dan bangsa Melayu boleh sahaja menggambarkan siapa Karpal sebenarnya.
Begitu juga dengan prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang secara jelas telah dilanggar oleh peguam terkemuka itu serta Keluhuran Perlembagaan yang secara jelas tidak dihormati oleh seorang rakyat Malaysia. Karpal juga melanggar batas Kesopanan dan Kesusilaan apabila secara tidak segan-silu mempersoalkan kuasa sultan yang secara terang-terangan terkandung di dalam Perlembagaan.
Secara realitinya sekadar mengangkat sumpah taat setia dan menyanyikan lagu Negaraku belum cukup untuk membuktikan bahawa kita adalah rakyat Malaysia yang menghargai tempat tumpah darah kita.
Setiap tatalaku dan kata-kata mesti mencerminkan bahawa tiada sebarang keraguan tentang kecintaan rakyat terhadap negara bangsa serta institusi-institusi yang perlu diberi penghormatan dan pengiktirafan.
Perlu diingat kejayaan menguasai lima negeri bukan bermakna pemimpin dan rakyat di negeri berkenaan keluar daripada Malaysia. Mereka masih bernaung di bawah sultan dan Yang di-Pertuan Agong yang sama.
Mereka masih berpaksikan sebuah negara bernama Malaysia. Justeru setiap tuntutan undang-undang mesti dihormati manakala ikatan sosial yang terjalin antara rakyat yang berbeza warna kulit dan rupa tidak boleh dirungkai semata-mata kerana lima negeri menyerah kepada politik yang berbeza.

Kerajaan digesa kemuka usul bincang tindakan Karpal

KUALA LUMPUR 7 Mei – Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mencadangkan kerajaan mengemukakan satu usul di Dewan Rakyat bagi membincangkan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong semasa perasmian persidangan Parlimen minggu lalu.
Razali Ibrahim (BN-Muar) yang menyambung perbahasan usul terima kasih atas titah diraja berkata, tindakan Karpal mempersoalkan siapa yang menulis titah Seri Paduka itu boleh dilihat sebagai satu bentuk penderhakaan.
“Bagi saya, perkara ini perlu diperbahaskan tetapi bukan semasa saya membahaskan usul titah diraja, kerana saya sudah terlepas untuk membawa usul itu serta-merta ketika perkara itu berlaku.
“Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(8) iaitu jika ingin membicarakan soal perlakuan Yang di-Pertuan Agong dan ini termasuk (membincangkan) titah, Yang Berhormat Bukit Gelugor kena buat usul. Tetapi beliau tidak berbuat demikian dan ini sendiri telah melanggar peraturan.
“Saya harap kerajaan bawa satu usul untuk ahli Parlimen membahaskan tindakan Bukit Gelugor dan kita buat keputusan dan kalau perlu rujuk (Karpal) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.
Istilah ‘derhaka’ yang digunakan Razali dalam perbahasannya, bagaimanapun, mengundang bantahan kalangan anggota pembangkang termasuk Karpal yang meminta supaya beliau menarik balik kenyataan itu.
Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) berkata, soal kesetiaan kepada raja dan negara tidak wajar dipertikaikan apatah lagi masing-masing sudah mengikrarkannya semasa mengangkat sumpah taat setia dan menyanyikan lagu Negaraku.
Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) pula menempelak Po Kuan dengan menegaskan sekadar mengangkat sumpah taat setia dan menyanyikan lagu Negaraku tidak cukup untuk menunjukkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ia perlu juga ditunjuk melalui perlakuan kita. Sebab itu kadang-kadang bila ada sahabat kita di sebelah sana (pembangkang) bercakap berkobar-kobar, ada yang berpendapat (ia) tidak taat dan derhaka,” katanya.
Po Kuan sebelum itu turut meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar agar menarik balik kenyataannya yang disifatkan tidak mencerminkan bangsa Malaysia.
“Tadi dalam keputusan Datuk Timbalan Yang Dipertua kata, satu penghormatan bagi orang Melayu bila bercakap pasal perkara berkaitan raja, Saya pohon tarik balik sebab kita semua taat kepada raja,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Junaidi enggan menarik balik kenyataannya yang dibuat semasa membuat keputusan berhubung Peraturan Mesyuarat meminta supaya Razali menarik balik kenyataan mengatakan Karpal menderhaka.
“Bagi orang Melayu, penghormatan kepada raja dan sultan amat penting. Dalam hal ini sesiapa yang sentuh soal sultan atau raja dianggap tidak taat kepada sultan,” kata Wan Junaidi.
Karpal sebelum itu meminta Wan Junaidi bertindak terhadap Razali kerana mengatakan beliau ‘mengkhianati’ raja semata-mata kerana beliau ingin tahu siapakah yang sebenarnya menulis titah Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, yang merujuk kepada perkataan treason dalam Peraturan Mesyuarat 36 versi Bahasa Inggeris berkata, seseorang wakil rakyat tidak boleh menggunakan perkataan itu terhadap anggota Dewan yang lain.
Namun, Razali mempertahankan hujahnya dengan berkata beliau tidak pernah menuduh Karpal khianat atau menderhaka.
Katanya: “Kalau di mahkamah, kita pertikaikan keputusan mahkamah kita dianggap menghina mahkamah... di dalam Dewan saya kata kalau kita pertikaikan, kita boleh panggil derhaka, saya bukan tuduh.”
Kata-kata Razali disokong Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar yang bangun mencelah. Katanya, isu sebenar berpunca daripada salah tafsir dan tidak faham Bahasa Malaysia oleh pembangkang, selain tidak memahami adat orang Melayu.
Turut bangun membuat penjelasan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili yang berkata, isu siapa yang menyediakan titah Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan persidangan Parlimen minggu lepas tidak patut dibangkitkan.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, penyediaan titah itu telah melalui beberapa proses tapisan sebelum akhirnya dijadikan titah diraja.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudian menghentikan perbincangan mengenai isu derhaka dan titah itu dengan menyatakan bahawa adalah wajar bagi pihak kerajaan membuat usul berhubung kenyataan Karpal yang mempertikaikan titah diraja.
SEORANG ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam mencadangkan kerajaan mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi membincangkan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong semasa perasmian persidangan Parlimen minggu lalu.
Razali Ibrahim (BN-Muar) yang menyambung perbahasan usul terima kasih atas titah diraja berkata, tindakan Karpal mempersoalkan siapa yang menulis titah Seri Paduka itu boleh dilihat sebagai satu bentuk penderhakaan.
“Saya harap kerajaan bawa satu usul untuk ahli Parlimen membahaskan tindakan Bukit Gelugor dan kita buat keputusan dan kalau perlu rujuk (Karpal) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.

Isu sultan: Apa kata Pas? - Surat 2

SAYA membaca kenyataan Karpal Singh di dalam akhbar-akhbar tempatan yang mempertikaikan keputusan Sultan Perak di dalam kes yang melibatkan pertukaran Datuk Jamry Sury, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan kemudiannya mempersoalkan titah Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mengingatkan pihak istana Perak supaya memahami kuasa terhad raja-raja dan dilaporkan berkata “rakyat kini tidak lagi hidup dalam zaman feudal.”
Bagi saya perkataan sebegini merupakan tindakan memperlekeh-lekehkan kewibawaan sultan dan istana. Karpal Singh dilaporkan menambah lagi bahawa “Sultan Perak sendiri pernah jadi Ketua Hakim Negara, takkan tidak sedar kes ini.” Ini lagi satu perbuatan yang memperkecilkan kebijaksanaan dan kearifan tuanku sultan.
Saya berasa sangat terluka dengan kenyataan Karpal Singh ini.
Karpal Singh juga dilapor menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak sepatutnya dipengaruhi istana, dan “Arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang…” Karpal Singh melalui kenyataan ini telah menyalahkan Sultan Perak di dalam hal ini dan secara langsung menganggap bahawa titah baginda itu tidak mengikut undang-undang.
Dalam kenyataan peguam terkemuka, Datuk Muhammad Shafee Abdullah (Utusan Malaysia, 7 Mei 2008) beliau dilaporkan telah berkata bahawa tindakan di bawah Akta Hasutan boleh diambil ke atas Karpal Singh sekiranya ramai orang Melayu dan pemimpinnya terluka dan marah dengan kenyataan pemimpin DAP itu.
Saya mendapati ramai pemimpin Melayu dan juga orang Melayu melalui media dan juga perbincangan persendirian telah menyuarakan perasaan ketidaksenangan, terluka dan marah terhadap kenyataan Karpal Singh tersebut.
Berpandukan kenyataan Muhammad Shafee itu, saya menyarankan supaya pihak-pihak yang berkewajipan di dalam menegakkan keadilan di negara ini dengan segera mengambil tindakan sewajarnya, demi untuk mengelak daripada api kemarahan tersebar lebih luas.
Sekiranya Karpal Singh telah melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara, maka beliau patut dihakimi dengan segera. Tiada siapa pun terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan.
Karpal Singh juga dilaporkan telah menimbulkan soalan tentang siapa yang menyediakan titah ucapan Diraja Yang di-Pertuan Agong. Karpal Singh telah mempertikai kewibawaan Seri Paduka dan institusi raja apabila beliau menimbulkan soalan sebegitu.
Apabila Yang di-Pertuan Agong melafazkan titah maka itulah yang ingin dititahkan oleh Seri Paduka dan rakyat tidak perlu menyoal siapa yang menyediakan titah itu. Apabila Karpal Singh menyoal seperti itu, maka dengan jelas beliau mempersoal keupayaan Seri Paduka untuk berfikir sendiri. Ini dalam fikiran saya, adalah satu perbuatan merendahkan kedaulatan dan martabat Seri Paduka.
Kalau kita hanya heboh-heboh sahaja dalam media tentang sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, Perlembagaan atau tatasusila, tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan yang konkrit, maka rakyat mungkin akan hilang kepercayaan kepada keupayaan pihak-pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat untuk membendung perkara-perkara yang boleh mendatangkan musibah dan keamanan negara.
PROFESOR DATUK DR. HASHIM YAACOB

Isu sultan: Apa kata Pas? - Surat 1

SEKALI lagi DAP melalui Karpal Singh dengan angkuh mempersoalkan keputusan dan hak Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam negeri itu.
Setelah membaca akhbar online Harakah (Pas) dan Suara Keadilan (PKR), saya dapati isu ini kurang mendapat perhatian daripada kedua-dua parti itu sedangkan bagi saya ia merupakan isu yang sangat penting kerana melibatkan agama Islam dan raja Melayu.
Baru dua bulan pakatan pembangkang berjaya menakluk lima negeri dan mempunyai suara yang besar di Parlimen, pelbagai isu telah timbul. Jika beginilah keadaannya, kemungkinan dalam tempoh lima tahun ini akan timbul lebih banyak isu melibatkan hak agama Islam, kedaulatan raja dan keistimewaan orang Melayu akan terus dipertikaikan terutamanya oleh DAP walaupun semuanya telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Ketika mula-mula menawan Perak, DAP telah memboikot majlis angkat sumpah kerana wakil Pas dilantik menjadi Menteri Besar Perak. Dan, kini DAP mempersoalkan pula keputusan sultan terhadap perjalanan agama Islam negeri Perak. Pihak pembangkang juga terus-menerus mempersoalkan pembelian kelengkapan terbaik untuk angkatan tentera.
Perlu diingatkan tidak ada sebuah negara yang maju sekalipun akan mengabaikan aspek ketenteraan dan sejarah telah membuktikan negara yang tidak mempunyai sistem pertahanan yang baik mudah dipermainkan.
Malaysia juga pernah menghadapi masalah ini ketika berhadapan isu air dengan Singapura dan Pulau Batu Putih.
Persoalannya ketika agama Islam dan kesultanan Melayu terus dihina, ke mana perginya PKR dan Pas? Tidak ada langsung kenyataan daripada pemimpin-pemimpin mereka.
Sebenarnya ini telah membuktikan DAP adalah parti yang berkuasa dalam pakatan rakyat terutamanya di negeri Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Di Selangor, DAP melalui Teresa Kok begitu bangga mengumumkan projek babi terbesar dalam sejarah negara ini dan di Perak pula, DAP terus menghina institusi agama dan kesultanan. Khabarnya di Pulau Pinang juga pakatan DAP-PKR tidak senang dengan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jika sultan dan Yang di-Pertuan Agong pun mereka boleh hina, apatah lagi pemimpin-pemimpin BN, PKR dan Pas termasuk Menteri Besar Perak sendiri kerana dominasi kuat DAP di negeri itu.
Pasti ramai orang Melayu yang marah, tetapi kita sepatutnya menyalahkan diri kita dan orang Melayu sendiri kerana mengundi dan memberikan mereka kuasa untuk berbuat demikian.
Diharapkan kerajaan dapat mengambil tindakan yang amat tegas terhadap pengerusi DAP itu kerana telah berjaya menimbulkan kemarahan rakyat dan boleh menjejaskan kemakmuran dan keharmonian kaum di negara ini.
Seperkara lagi, melihat kepada isu ini, saya berpendapat amat sukar untuk mengharapkan PKR agar memelihara kesucian Islam dan kedaulatan raja Melayu memandangkan mereka sering menyatakan mereka merupakan sebuah parti yang ingin membawa keadilan dan kesaksamaan terhadap semua kaum.
Saya juga berpendapat pemimpin Melayu dalam PKR perlu melihat kepada sejarah nenek moyang kita dahulu sebelum ingin memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan. Ini kerana pada suatu masa dahulu orang Melayu merupakan kaum yang sangat berjaya dalam ekonomi di Nusantara dan dunia melalui kerajaan Melaka dan Kedah lama tetapi kini kuasa itu hilang setelah dijajah dan kemudiannya Inggeris meletakkan orang Cina di bandar besar dan membiarkan orang Melayu menjadi miskin di kampung.
Oleh itu, diharapkan Pas dapat mengkaji semula kerjasamanya dengan DAP dan PKR sebagai amaran kepada DAP.
Pas sepatutnya menjadi parti pembangkang terbesar memandangkan mereka satu-satunya parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri yang begitu lama sebelum ini. Tetapi sedihnya, Pas kini seolah-olah menjadi pak turut kepada DAP di Parlimen, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Imam Al-Ghazali pernah berkata sebagai panduan dalam memilih sahabat: ‘‘Di dalam memilih sahabat hendaklah engkau perhatikan syarat-syarat bersahabat. Maka janganlah engkau bersahabat kecuali dengan orang yang layak untuk dijadikan sahabat.’’
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda: Seseorang itu akan mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, oleh kerana itu, hendaklah seseorang kamu melihat terlebih dahulu siapakah yang patut dijadikan sahabat.
Saya amat berharap agar semua orang Islam di negara ini akan bersatu pada pilihan raya umum akan datang bagi menentang pihak yang cuba melemahkan kuasa Islam di negara ini.

Perak perlu nyata pendirian

IPOH 7 Mei - Kerajaan Negeri Perak diminta menyatakan pendirian mereka terhadap sikap biadab Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang menitahkan arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) ditarik balik.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, seluruh rakyat yang menghormati institusi raja terluka dengan sikap biadab Karpal mempertikaikan kuasa Sultan Perak dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah secara terbuka.
''Dalam hal ini, saya ingin bertanya kepada pimpinan kerajaan negeri, apakah pendirian sebenar mereka terhadap sikap Karpal ini,'' katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Karpal terus mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury, yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.
Karpal juga mengingatkan Istana Perak supaya memahami kuasa terhad raja-raja dan menekankan 'rakyat kini tidak lagi hidup pada zaman feudal'.'
Menurut Zambry, tindakan Karpal menyanggah titah Sultan Perak menunjukkan keperibadian beliau tidak terdidik dengan sosiobudaya dan sistem berkerajaan yang diwarisi turun-temurun di negara ini.
Malah, apa yang paling dikesali, katanya, Karpal mengkritik Sultan Perak yang pernah menyumbangkan jasa besar dalam perundangan negara dan disegani seluruh masyarakat.
''Apakah Karpal ingat sultan yang disanggah itu tidak tahu peraturan pentadbiran kerajaan dan tidak tahu undang-undang?
''Kenapa beliau tidak mahu mengkritik tindakan Menteri Besar mengarahkan pertukaran Pengarah JAIP secara serta-merta tanpa memberikan ruang untuk mempertahankan dirinya,'' katanya.
Sementara itu, Persatuan Darul Ridzuan di Selangor dan Wilayah Persekutuan meminta Menteri Besar Perak supaya tidak bertindak untuk kepentingan politik tanpa mengira perasaan rakyat terutama hak orang Melayu.
KutukSetiausaha Kehormatnya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, Mohammad Nizar sepatutnya memastikan pentadbiran negeri itu dijalankan dengan berhemah supaya tidak menimbulkan kemarahan rakyat.
"Kami berharap beliau dapat menghormati hubungan dan tradisi antara kerajaan negeri dan institusi Kesultanan Perak yang selama ini telah dapat dilakukan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hilmi berkata, persatuan itu amat menyokong penuh tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang menitahkan supaya pertukaran Jamry ditarik balik.
Mohammad Nizar sebelum ini mengarahkan Jamry ditukar serta-merta kerana masalah tiada persefahaman dengan kerajaan negeri pembangkang itu.
Persatuan itu turut menganggap kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan peranan Sultan Perak dalam penarikan balik arahan tersebut, sebagai biadab.
"Persatuan ini mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan itu yang membelakangkan kewujudan kerjasama antara kerajaan negeri dan Istana Perak dalam soal agama Islam di negeri itu," katanya.

Kuasa raja-raja perlu dipertingkat

KUALA LUMPUR 7 Mei - Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mempersoalkan secara terbuka kuasa Sultan Perak dalam bidang agama Islam memperlihatkan bahawa kuasa raja-raja perlu dipertingkatkan seperti yang dicadangkan dalam Kongres Permuafakatan Melayu, baru-baru ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob berkata, kedudukan raja agak lemah pada masa ini yang menjadikan mereka boleh dikritik atau ditegur pemimpin politik biasa.
"Mungkin apa yang diutarakan peserta-peserta Kongres Permuafakatan Melayu itu ada benarnya, kuasa raja perlu diperkukuhkan agar mereka menjadi benteng kedaulatan Melayu yang sebenar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Khairuddin, beliau yakin, jika kuasa raja itu lebih kuat dari sekarang, maka tidak akan ada mana-mana pihak yang mengkritik institusi sosial tertinggi Melayu itu.
Katanya, apa yang berlaku di Perak itu bukan lagi isu negeri berkenaan tetapi berkaitan dengan kedudukan dan kedaulatan raja Melayu secara keseluruhan.
Sehubungan itu, katanya, satu tindakan berbentuk holistik perlu diambil termasuk memperkukuhkan kuasa-kuasa raja dan ia perlu diberikan perhatian semua pemimpin bukan sekadar di Perak sahaja.
Semasa Kongres Permuafakatan Melayu berlangsung dari Jumaat hingga Ahad lalu di Johor, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mencadangkan kuasa raja-raja Melayu dikukuhkan kembali bagi membolehkan raja menjadi benteng menjaga kedaulatan dan hak orang Melayu di negara ini.
NGO Melayu berkenaan mencadangkan perkara itu memandangkan kedudukan dan kedaulatan Melayu dilihat semakin terhakis terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
Karpal secara berterusan mempersoalkan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlah Shah berhubung pertukaran dan pelantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).
Tambah Khairuddin, Karpal perlu bersikap sensitif terhadap perasaan orang Melayu di negara ini ketika mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Percayalah, orang Melayu pun boleh keluar macam-macam kenyataan, tetapi tidak ada perlunya kita berbuat demikian jika ia hanya akan menyinggung perasaan kaum lain," katanya.

Pemuda UMNO, BN terus jadi benteng sultan

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak diminta tampil mempertahankan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlah Shah berhubung isu pertukaran dan pelantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya akan sentiasa menjadi benteng bagi memastikan kedaulatan sultan dan raja-raja Melayu tidak diancam.
''Saya berharap pemimpin BN dan juga rakan-rakan kita di Perak terus bangkit dan menunjukkan kesetiaan mereka kepada Sultan Perak,'' katanya yang juga Pengerusi Pemuda BN pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, beberapa pemimpin UMNO termasuk Hishammuddin sendiri menyifatkan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singah terus mempersoalkan keputusan Sultan Perak berhubung isu JAIP sebagai perbuatan biadab.
Menurut mereka tindakan Karpal yang juga Ahli Parlimen Gelugor itu bukan sahaja biadab malah mencabar kedaulatan sultan.
Kelmarin pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Karpal mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury, yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.
Hishammuddin berkata, Pergerakan Pemuda UMNO dan BN langsung tidak dapat menerima tindakan Karpal itu.
''Kenyataan Karpal sungguh angkuh dan sombong sedangkan Menteri Besar Perak sendiri telah menghadap Sultan Perak dan memohon maaf di atas tindakannya,'' katanya.

Hak Melayu tak boleh dipersoal

JOHOR BAHRU: Kuasa politik orang Melayu di negara ini dijamin Perlembagaan Negara dan sebarang usaha mengubah hak keistimewaan orang Melayu perlu dibawa ke Parlimen dan mendapat majoriti dua pertiga daripada Ahli Parlimen, kata Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. Sehubungan itu, bekas Pengerusi MAS itu yang membentangkan kertas kerja 'Kedaulatan Perlembagaan Malaysia' pada Kongres Permuafakatan Melayu berkata, tiada mana-mana rakyat Malaysia yang boleh mempersoalkan keistimewaan orang Melayu di negara ini. “Perkara ini dijamin Perlembagaan Negara dan juga negeri. Ia adalah kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semua pemimpin masyarakat ketika menggubal Perlembagaan Negara,” katanya.
Abdul Aziz berkata, institusi Raja Perlembagaan adalah sumber penting yang menyumbang kepada pegangan Ketuanan Melayu dan ia perlu dipertahankan semua orang Melayu di negara ini tanpa mengambil kira pandangan politik masing-masing. “Kita perlu sedar bahawa Umno melalui Datuk Onn Jaafar yang menentang Malayan Union sekali gus membawa kepada kemerdekaan negara. Ketika itu, orang Melayu bersatu dalam menangani ancaman yang sudah pasti menggugat ketuanan Melayu di tanah air sendiri,” katanya. Beliau berkata, Perkara 153 mengenai Hak Istimewa Orang Melayu tidak pernah menjadi bahan tawar-menawar ketika penggubalan Perlembagaan Negara kerana ia dilindungi Raja-Raja Melayu sejak British mula menduduki Tanah Melayu.
“Ia tidak boleh dipindah kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Peruntukannya dalam Perlembagaan Negara tidak boleh dipertikai atau dipersoalkan oleh sesiapa pun. “Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan pernah mencadangkan supaya perkara berkenaan diguna pakai selama 15 tahun saja tetapi mendapat tentangan keras daripada Umno dan Raja-Raja Melayu. “Kedudukan orang Melayu tidak boleh disamakan dengan pendatang. Kerana itulah, hak istimewa kita dilindungi Perlembagaan,” katanya. Sementara itu, Profesor Datuk Dr Zainal Kling dari Universiti Perguruan Sultan Idris dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Kedaulatan Kebudayaan, Pendidikan, Bahasa dan Agama Bangsa Melayu’ menggesa supaya pertikaian keistimewaan hak Melayu dihentikan.