Thursday, May 1, 2008

Rasuah & Salah Guna Kuasa : Apakah harapan dari Pakatan Rakyat?

RASUAH & salah guna kuasa – Ini terma ciptaan dan kita percaya sudah pun menjadi buah mulut pimpinan Pakatan Rakyat. Sebelum tercipta Pakatan Rakyat lagipun isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi peluru untuk menembak bertubi-tubi kerajaan BN.Hari ini percaya atau tidak lima negeri sudah dalam pentadbiran Pakatan Rakyat hampir 2 bulan. Banyak yang sudah kita dengar. Dalam menilai secara konstruktif kita yakin dan percaya bahawa ada positif dan ada yang kedengaran negatif tentang pentadbiran di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat.Jika sebelum ini kita dengar tentang hentaman hebat soal perilaku rakus Bekas MB Selangor tentang isu setinggan, rasuah dan salah guna kuasa. Hingga hari ini manakah fail dan dokumen jika benar terdapat rasuah dan salah guna kuasa yang dibuat. Di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pasti dapat mengeluarkan dokumen bukti perlakuan rasuah dan salah guna kuasa tersebut. Ataupun sebenarnya hampir tidak ada salah laku rasuah yang dilakukan. Lazim untuk kita melihat pendedahan adalah akibat terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan, namun jika terlalu pasif gerakan pendedahan yang dilakukan maka seolah-olah harapan buat melihat pesalah rasuah dan salah guna kuasa di hukum adalah semakin malap?Mungkin terlalu licik pimpinan yang lalu hingga tulang rasuah pun tidak dapat untuk dihidu dan dijumpai. Kita generasi baru ingin melihat keberkesanan idealisme di terjemah menjadi kata dan laksana kerana kita yakin bahawa perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata. Jika Anwar Ibrahim dengan laungan Lawan Tetap Lawan, sudah pasti dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa juga tetap komited dengan inti pati makna laungan tersebut.Jika dahulu kesukaran mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan jitu menjadi halangan, ternyata hari ini dengan ruang sebagai parti yang memerintah keempat negeri baru di tawan ini memudahkan akses untuk meneliti dan membongkar rahsia rasuah pemimpin terdahulu. Adalah mengaibkan jika yang selalu bercakap soal kebenaran dan kini punyai ruang untuk membedah dan merawat penyakit rasuah dan salah guna kuasa dengan kuasa yang ada di tangan dilengah-lengahkan.Ataupun isu rasuah dan salah guna kuasa secara berleluasa oleh kerajaan terdahulu hanya momokan fitnah pembangkang sebelum ini. Ini bukan tuduhan, tetapi sekadar perkongsian untuk beringat tatkala kuasa dalam genggaman buat merubah apa yang sebelum ini kita klasifikasikan sebagai yang mungkar.Apakah bentuk makruf yang mahu di buat Pakatan Rakyat jika bukan dengan kita membawa yang makruf secara agresif dan secara optimum pelaksanaannya.Jangan hanya tinggal harapan sahaja buat rakyat untuk melihat para penguasa yang rakus memakan rasuah terus bebas buat seolah-olah diri mereka dimaafkan. Peranan dan tanggungjawab ini perlu lebih dipukul oleh sang penguasa yang telah pun meletakkan diri mereka sebagai pejuang rakyat. Apakah makna pejuang rakyat jika akhirnya apabila berada pada tampuk sang penguasa masih lagi ragu-ragu lagi atau masih kabur untuk menerobos rahsia mungkar pemimpin sebelum ini. Jika ia benar maka selidikilah dan menentukan bentuk pengajarannya. Jika tidak benar, adakah permohonan maaf itu perlu? Apakah setelah berdaulat maka lain yang dikata maka lain yang di kota? Soal amanah dan kepimpinan adalah urusan besar yang gunungpun tidak tertanggung bebanan ini. Jangan hingga politik haiwan yang menentukan arah penujuan kita. Penyelesaian isu rasuah perlu lebih lantang untuk disuarakan apatah lagi dalam keadaan kerajaan pusat sudah beria menubuhkan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia. Jika tidak, harapan hanya tinggal harapan.

No comments: