Tuesday, May 20, 2008

Memang kehendak Dr. Mahathir?

TANGGAL 19 Mei 2008 mungkin tidak boleh dilupakan rakyat Malaysia apabila tokoh paling disegani dan dikagumi bukan sahaja di dalam negara malah antarabangsa, Tun Dr. Mahathir Mohamad melemparkan ‘bom’ yang mengejutkan sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli UMNO.
Bermula dalam satu forum perpaduan Melayu di Alor Star, hanya menerusi ungkapan “saya umumkan keluar dari UMNO,” cukup untuk menggegarkan seluruh negara dan boleh membuatkan ramai yang menangis khususnya di kalangan ahli parti berkenaan.
Kesan daripada pengumuman negarawan yang disanjungi itu, ramai yang sampai sekarang masih ‘terkejut’ sambil memperkatakan bagaimana Dr. Mahathir sanggup bertindak demikian dan apakah cerita di sebalik forum bertajuk Nasib Kedudukan Bangsa Melayu anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu?
Sebenarnya, tidak ada petanda awal bahawa Dr. Mahathir akan membuat pengumuman drastik itu walaupun sebahagian besar daripada lebih 1,000 tetamu yang hadir di forum tersebut, awal-awal pagi sudah berkumpul menanti ketibaannya di sebuah hotel.
Forum bermula dengan ucapan pengerusi dewan berkenaan, Tan Sri Khalid Abdullah yang terlebih dahulu memperkenalkan fungsi badan diwakilinya sebagai sebuah pertubuhan bebas, tidak bersandarkan politik tetapi bertindak memperbetulkan keadaan khususnya dalam menyatukan orang Melayu.
Cuma, agak ‘pedas’ apabila Khalid mempersoalkan tentang barisan menteri yang tidak ada wakil dari Kedah dan dianggapnya sebagai zalim dan diberi tepukan gemuruh. Permulaan daripada Khalid bolehlah dianggap sebagai ‘pemanas enjin’ dan sebelum Dr. Mahathir ‘masuk gear.’
Benar bagai diduga, apabila Dr. Mahathir mula bercakap, sesiapa pun tidak berganjak, malah sesekali beliau sempat berjenaka yang menyerlahkan lagi betapa bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu bijak ‘menguasai gelanggang.’
Mendesak
Tidak ada apa yang mengejutkan. Apa sahaja kritikan terhadap Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah biasa kerap kali diluahkan termasuk mendesak Abdullah meletakkan jawatannya berikutan keputusan buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Sehinggalah apabila sampai suatu ketika Dr. Mahathir membuat satu cadangan sambil bertanyakan sama ada ahli-ahli UMNO berani untuk menyahut cabarannya supaya pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan bahagian meletak jawatan dan keluar daripada UMNO.
Sekali lagi dewan bergemuruh apabila orang ramai menyahut cabaran Dr. Mahathir ketika beliau bertanyakan sama ada mereka berani atau tidak untuk berbuat demikian?
Bagaimanapun, ramai yang langsung tidak menyedari atau terfikir di sebalik cabaran Dr. Mahathir itu, apakah beliau sendiri bakal keluar daripada UMNO kerana persoalan yang dikemukakan cuma untuk pemimpin-pemimpin cawangan dan bahagian?
Kemungkinan besar, jika tidak ada dialog atau sidang akhbar, Dr. Mahathir tidak akan mengumumkan keluar UMNO atau sekiranya beliau mahu berbuat demikian sekali pun, ia dilakukan pada masa lain, bukannya kelmarin.
Ada yang berpendapat demikian kerana ramai beranggapan sesi dialog merupakan pencetus segala-galanya. Tumpuan diberikan kepada seorang peserta, Ismail Wan Teh yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) apabila dia bertanyakan kepada Dr. Mahathir mengenai kedudukannya selepas meminta pemimpin-pemimpin UMNO itu meletak jawatan dan keluar daripada parti berkenaan.
Sampai di sini, tumpuan terus diberikan kepada Dr. Mahathir yang secara spontan menganggap ia adalah satu cabaran dan jawapan diberikan sudah cukup untuk membuatkan seluruh dewan bergemuruh.
Secara terus terang, jawapan Dr. Mahathir di hadapan 1,000 tetamu ialah “Saya akan umum keluar dari UMNO.” Jawapan yang ketika itu sudah cukup untuk menarik perhatian tetapi belum begitu merisaukan.
Tentulah, hasil daripada dialog tersebut menimbulkan pertanyaan khususnya di kalangan wartawan yang membuat liputan kerana ingin mengetahui bilakah Dr. Mahathir akan membuat pengumuman secara rasmi. Ini kerana di sebalik keributan tindakan Dr. Mahathir itu, ramai yang kurang sahih apakah Dr. Mahathir sudah keluar atau akan mengumumkannya kemudian?
Akhirnya, jawapan paling tepat ditemui. Pada sidang akhbar selepas dialog tersebut, Dr. Mahathir terus diasak bertubi-tubi mengenai tindakannya itu dan beliau mengesahkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dengan memberi syarat akan kembali selepas Abdullah meletakkan jawatannya.
Kesimpulannya tidak kira sama ada Ismail atau wartawan yang dikatakan mencetus kepada pengunduran Dr. Mahathir daripada UMNO, sebenarnya perlu dilihat ialah bekas Perdana Menteri itu mungkin telah bersedia meninggalkan parti yang paling disayanginya.
Mengenali peribadi Dr. Mahathir, beliau mempunyai keberanian mengambil risiko. Sikap itu menjadikan beliau cukup tabah walaupun terpaksa berdepan pelbagai kritikan. Jadi, tidak mungkin ketika meminta pemimpin UMNO keluar parti, beliau pula tidak bersedia jika dicabar mengambil tindakan sama.

No comments: