Thursday, May 8, 2008

Jangan pandang remeh tuntutan kongress: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu tidak harus dipandang remeh oleh kepemimpinan Umno atau kerajaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Katanya, ini adalah kerana resolusi yang dicapai merupakan hasil perbincangan yang timbul kerana orang Melayu di negara ini mempunyai persepsi bahawa pembelaan terhadap hak dan kepentingan mereka semakin lemah dan terhakis.
Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, parti itu dan juga kerajaan harus memandang berat akan isu yang dibangkitkan kerana ia terhasil daripada perbincangan yang dihadiri oleh ramai tokoh yang memperjuangkan masa depan orang Melayu di negara ini. "Ini adalah lahirnya kebimbangan yang datang dari suara hati pemimpin Melayu serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang Melayu di negara ini. "Sebenarnya apa yang diperjuangkan oleh mereka seharusnya juga apa yang diperjuangkan oleh Umno, cuma kepimpinan Umno pada hari ini dilihat seperti tidak lagi memberi perhatian," katanya selepas melawat persiapan akhir di tapak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2008 (MIHAS 2008) di sebelah bangunan Matrade di sini, hari ini.
Beliau menyuarakan harapannya agar kepemimpinan Umno dapat menerima usul kongres itu dengan hati yang terbuka dan ia tidak menimbulkan kesangsian kaum bukan Melayu. Katanya orang bukan Melayu di negara ini tidak harus rasa tergugat oleh resolusi berkenaan kerana kongres itu tiada membuat tuntuntan terhadap hak bangsa lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Resolusi itu mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek Perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, Bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya termasuk menubuhkan "Majlis Muafakat Melayu Malaysia". Resolusi itu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar oleh Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional(Gapena) Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein bersama-sama dengan empat anggota kongres lain di Istana Bukit Serene di Johor, semalam. - Bernama

No comments: