Sunday, May 4, 2008

Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu Diserah Kepada Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 4 Mei (Bernama) -- Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar, di Istana Bukit Serene di sini hari Ahad.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata beliau menyerahkan resolusi itu kepada Sultan Johor bersama-sama dengan empat anggota kongres lain.

Ia mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, Bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya termasuk menubuhkan "Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM)".

Kongres selama tiga hari itu yang berakhir hari ini, diadakan berlandaskan dua perkara iaitu mewujudkan negara dan bangsa Malaysia yang selamanya berlandaskan kedaulatan Melayu serta persetiaan antara rakyat dengan Raja-Raja Melayu," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, di sini.

Kongres bertemakan "Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa" itu dihadiri 2,100 peserta dan 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, mulai Jumaat lepas.

Ismail berkata antara tuntutan Perlembagaan termasuk mempertahankan hak, keistimewaan dan kedudukan bangsa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia manakala tuntutan politik termasuk memohon Majlis Raja-Raja Melayu menyempurnakan tugas dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan Melayu.

Beliau berkata tuntutan ekonomi antaranya mengandungi pelaksanaan keadilan sosial dan kesaksamaan pengagihan negara bagi semua warganegara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan manakala agama Islam menuntut meluaskan tafsiran prinsip Islam sebagai hikmah kehidupan, teras pemikiran dan sistem perundangan negara.

Tuntutan Bahasa Melayu pula katanya, antaranya menuntut untuk mengekalkan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain menuntut dasar pengajaran dan peperiksaan subjek Sains dan Matematik dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

Tuntutan pendidikan antaranya menuntut pengukuhan penggunaan bahasa kebangsaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan sebagai alat komunikasi dan keilmuan bagi mencapai matlamat pembinaan bangsa manakala sosial dan budaya menuntut penolakan sekeras-kerasnya gagasan, dasar dan pelaksanaan pelbagai budaya yang menggunakan tafsiran serong Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Katanya, sebuah sekretariat tetap akan ditubuhkan di bawah MMMM yang berfungsi melaksanakan segala tuntutan, pertahanan dan pengisian kedaulatan Melayu seterusnya mengatur pergerakan kongres pada masa akan datang.

Ismail berkata Kongres Permuafakatan Melayu berpendapat kongres tersebut adalah relevan bagi membangkitkan kaum Melayu dan berkeyakinan resolusi tersebut akan dibawa ke Majlis Raja-Raja dan diterima pakai oleh kerajaan.

Kongres ini diadakan berikutan dengan keputusan pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lepas yang mencetuskan banyak dilema di kalangan orang Melayu.

No comments: