Thursday, May 8, 2008

Naqdu: 'Ke mana hala tuju Melayu-Islam, Malaysia?'

KETIKA bangsa Melayu kecoh sesama sendiri akibat undian Melayu yang semakin menipis kepada Umno, penulis diajukan dengan soalan oleh seorang teman dari negeri yang jatuh ke tangan DAP di utara tanah air, apakah Islam di Malaysia dapat berkembang jika dipisahkan daripada Melayu? Jawapan penulis untuk pertanyaan itu ialah Melayu dan Islam di Malaysia saling melengkapi dan akan pincang tanpa satu daripadanya kerana sejarah negara juga sudah membuktikan Islam berkembang seiring dengan bangsa Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Soalan itu diajukan kepada penulis ekoran rasa tidak puas hati teman ini, penyokong setia parti terbabit dan menghormati pemimpin tertingginya, tetapi tersentap dengan permintaan tokoh terbabit agar Melayu digantikan dengan Islam.
Malahan, terbaru tokoh ini mengenakan syarat untuk duduk berunding tanpa mengira aliran fahaman politik masing-masing demi masa depan Melayu Malaysia, hanya jika parti yang menjadi lawannya mengetepikan nasionalisme dan perjuangan itu digantikan dengan Islam. Terasa aneh bin ajaib apabila syarat itu diletakkan kerana nabi Muhammad SAW tidak memisahkan perjuangan Islam dengan bangsa diwakili dalam usahanya menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok dunia sehingga tamadun dan peradabannya digali sarjana sehingga kini. Penulis sempat berbincang dengan seorang lagi teman yang juga bimbang masa depan Melayu Malaysia sebelum 8 Mac lagi dan nyata sependapat dengan penulis apabila turut bersetuju bahawa Islam di Malaysia adalah Melayu dan sebaliknya.
Konotasi sedemikian juga menyebabkan lahir frasa ‘masuk Melayu’ yang menjadi kebimbangan sesetengah ibu bapa bukan Melayu, apabila ahli keluarga memeluk Islam kerana mereka tidak rela melihat saudara baru itu bertukar bangsa, sekalipun hakikatnya perspektif kelompok itu silap. Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1072 memberi dua maksud untuk nasionalisme iaitu perasaan cintakan bangsa dan negara sendiri yang mendalam manakala maksud kedua pula, pergerakan untuk mencapai kebebasan ekonomi dan politik daripada kuasa asing. Penulis yakin, kedua-dua maksud ini masih dan akan terus relevan dalam perjuangan Melayu-Islam di Malaysia, apalagi ketika bangsa lain terus memantapkan perjuangan mereka dalam segala aspek kehidupan dengan menggunakan segala macam wahana, tanpa menggugurkan agenda bangsa. Tindak-tanduk pemimpin Melayu tanpa mengira fahaman politik mereka, sejak lebih sedekad lalu nyata menunjukkan mereka banyak mengalah, termasuk dalam hal yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara, sehingga tampil sanggup melukakan hati bangsa sendiri atas nama perpaduan.
Dalam banyak perkara Melayu-Islam di Malaysia tidak mampu bersatu meskipun demi kepentingan bangsa dan hal ini jauh berbeza daripada Melayu-Islam di Singapura, meskipun sebagai kelompok minoriti, mereka berusaha untuk bangkit sebagai bangsa bermaruah. Dengan suara politik yang terbatas, mereka bangkit memartabatkan bangsa itu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam hal pelajaran umpamanya melalui pembentukan tabung pendidikan serta diuruskan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Dana yang dikumpul melalui potongan gaji $1 setiap bulan semua kakitangan Melayu, disalurkan dalam bentuk Biasiswa Mendaki demi membantu anak Melayu yang berjaya ke pusat pengajian tinggi di samping menyediakan kelas tuisyen untuk yang bakal menduduki peperiksaan awam. Penulis juga terusik dengan senario terbaru apabila 2, 100 peserta Kongres Permuafakatan Melayu mewakili 200 badan bukan kerajaan Melayu di seluruh negara membaca resolusi yang membabitkan perkara dalam perlembagaan, politik, ekonomi, Islam, bahasa, pendidikan dan sosial. Reaksi seorang teman, “Bukankah Melayu sudah ada terlalu banyak pertubuhan? Mengapa perjuangan Melayu masih tercungap-cungap? Mengapa mesti dibentuk kumpulan pendesak yang baru? Apa yang dilakukan segala macam badan demi perjuangan Melayu sebelum ini?”. Apa yang dibincangkan dalam kolum ini tanpa niat menghasut, menentang atau menghina tokoh tertentu, tetapi atas kesedaran sebagai rakyat Malaysia dalam kelompok Melayu-Islam, yang tidak mahu melihat bangsaku melayu di negara sendiri.

No comments: