Thursday, May 8, 2008

Syor junjung Panca Warisan

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno dicadangkan mengarak dan menjunjung keris Panca Warisan yang menjadi lambang maruah Melayu dan Umno sebagai ganti kepada tradisi menghunus dan menciumnya tanpa khuatir terhadap tanggapan kaum lain. Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata tindakan mengarak dan menjunjung keris tidak bercanggah dengan permohonan maaf Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini kerana menjunjung al-Quran serta cokmar sudah ada dalam budaya Melayu. “Orang Melayu sedar keris sebenarnya bagasi budaya masa lalu dan meskipun boleh diberi makna baru, ia perlu sesuai dengan konteks sejarah dan peristiwa tanpa menolak makna asal yang sudah mantap. Pada masa sama, semua pihak termasuk APM perlu mendidik masyarakat mengenai makna keris yang bukan hanya senjata untuk mengamuk,” katanya pada Berita Harian selepas Forum Keris Melayu di APM, di sini semalam.

No comments: