Tuesday, May 20, 2008

Melayu mesti bangkit jadi bangsa cemerlang

ISU hak orang Melayu masih lagi hangat dibincangkan sehingga kini. Daripada soal raja, ketuanan orang Melayu sehinggalah kepada isu keris terus menjadi polemik. Kehangatan Kongres Pemuafakatan Melayu yang berakhir 4 Mei lalu masih lagi terasa. Ia berakhir dengan keputusan untuk menubuhkan Majlis Muafakat Melayu Malaysia selepas mengambil kira suara sebahagian 2,100 peserta yang mewakili 200 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai kongres itu. Ia bertujuan memantau, mempertahan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu. Memang kita sebagai orang Melayu suka dan berharap agar hak kita dipertahankan oleh Perlembagaan.
Sebenarnya, mempertahankan hak saja belum cukup selagi tiada usaha untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri orang Melayu. Hak yang dilindungi Perlembagaan semata-mata hanya akan menjadi bom jangka yang akan meletup pada satu masa apabila ia dilihat sebagai tidak lagi adil kepada kaum lain. Contohnya sebelum ini, wujud sistem kuota bagi kemasukan ke universiti mengikut kaum yang kini dimansuhkan. Sebenarnya ia mengundang rasa tidak puas hati di kalangan orang bukan Melayu. Mereka berasakan bahawa sebahagian pelajar Melayu berpeluang masuk ke universiti kerana kuota, bukan kerana kualiti akademik yang mereka miliki. Mengapa mereka persoalkan? Adakah mereka akan persoalkan sekiranya pelajar Melayu benar-benar berkualiti? Sudah pasti tidak. Kerana itu orang Melayu bukan hanya perlu mempertahankan hak semata-mata malah kita perlu berubah dan meningkatkan kualiti diri. Apa yang perlu ialah perubahan sikap orang Melayu. Pengalaman penulis sebagai pensyarah di institusi yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang pendidikan membuktikan bahawa ramai pelajar Melayu yang tidak pernah menghargai segala bantuan diberikan kepada mereka. Mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan kualiti diri. Mereka memikirkan bahawa semua bantuan berkenaan akan kekal sampai bila-bila. Bangsa lain tidak akan mempertikaikan hak kita sekiranya kita benar-benar layak untuk mendapat hak itu. Memang hak keistimewaan yang diberi kepada orang Melayu penting untuk membolehkan mereka bersaing, tetapi sampai bila orang Melayu harus bertongkat.
Lebih buruk lagi ramai orang Melayu hanya berbangga dengan hak yang mereka ada tetapi langsung tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan hak itu untuk berjaya. Sama seperti kita membina masjid yang besar dan cantik tetapi tidak ada orang berjemaah di dalamnya. Selain bidang pendidikan, orang Melayu mesti menguasai bidang ekonomi. Dalam kongres berkenaan, Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Mohammad Alayuddin Che Hassan menyatakan bahawa penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu sebenarnya hanya tiga peratus. Ia menjadi 18 peratus selepas dimasukkan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini membuktikan bahawa tanpa mengambil kira penguasaan GLC, hanya tiga peratus penguasaan ekonomi dibina sendiri oleh orang Melayu. Penulis tidak tahu apakah ada cara lain untuk menguasai ekonomi selain dengan cara membabitkan diri dalam keusahawanan. Penguasaan dari segi politik dan sektor awam saja bukan dikira sebagai penguasaan dalam ekonomi. Dengan sebahagian besar daripada orang Melayu menguasai jawatan dalam sektor awam sehinggalah kepada jawatan politik seperti Menteri, Exco atau Ahli Majlis Perbandaran dan daerah tidak boleh dikira sebagai menguasai ekonomi. Ekonomi adalah berkaitan dengan penguasaan kekayaan dan perniagaan. Tetapi berapa ramai orang Melayu yang menjadi usahawan? Orang Melayu tidak berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan walaupun banyak program dan skim diperkenalkan kerajaan untuk membantu mereka. Kita tidak boleh menafikan yang kita sudah tertinggal jauh ke belakang dalam banyak perkara berbanding bangsa lain terutama dari segi ekonomi. Orang Melayu harus bekerja berkali-kali ganda lebih keras daripada bangsa lain untuk mengejar tahap kemajuan mereka sekarang. Sungguhpun begitu, perkara yang paling ditekankan kebanyakan yang bercakap di dalam kongres itu ialah soal tindakan yang akan dilakukan bagi mengatasi isu ini. Idea yang baik saja tidak berguna jika tidak ada tindakan bersungguh-sungguh dan padu. Sekarang adalah masa untuk bertindak dengan jitu dan bekerja keras ke arah memperkukuhkan kualiti orang Melayu. Seperti yang ditekankan oleh Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid di dalam kongres itu, sekiranya bermula daripada sekarang tidak ada usaha untuk mengembali dan memartabatkan bahasa dan bangsa Melayu, maka beliau tidak akan menghadiri lagi sebarang perhimpunan berkaitan Melayu pada masa depan.

No comments: