Sunday, May 4, 2008

Pengerusi DAP Perak Tunjuk Belang Sebenar DAP, Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Kenyataan exco kerajaan negeri Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak semalam menunjukkan belang sebenar parti itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kenyataan Ngeh bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai kanan jabatan atau agensi kerajaan negeri yang cuba mensabotaj dasar kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat, membayangkan seolah-olah Ngeh membantah arahan Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang mengekalkan Datuk Jamry Sury sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

"Beliau seolah-olah membantah arahan DYMM Sultan yang kekalkan Datuk Jamry (sebagai) Pengarah JAIP," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Ngeh sebagai berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beberapa pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan negeri yang didakwa cuba mensabotaj dasar kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Ngeh berkata kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan termasuk menukar mereka ke jabatan lain sekiranya pegawai terbabit enggan memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam dilaporkan media akan menghadap Sultan Perak dan menyerahkan watikah memohon ampun secepat mungkin atas tindakan beliau mengarahkan pertukaran dengan serta merta Jamry selaku pengarah JAIP.

Jamry, yang bertugas sebagai Pengarah Jaip sejak 2004, diarah bertukar serta merta ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas oleh Mohamad Nizar pada Selasa lepas kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.

Bagaimanapun, Sultan Azlan Shah semalam menitahkan Menteri Besar itu supaya menarik balik serta merta arahan pertukaran tersebut.

Ahmad Zahid juga mencadangkan supaya Anugerah Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Ngeh ditarikbalik.

No comments: