Saturday, May 3, 2008

JPA Taja Semua Pelajar Lepasan SPM 2007 Yang Peroleh 9A Ke Atas

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Selain menaja 2,000 pelajar ke luar negara di bawah Program Ijazah Luar Negara dan 10,000 pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan di bawah Program Ijazah Dalam Negara pada tahun ini, kerajaan kali ini akan turut menaja semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang memperoleh keputusan 9A dan ke atas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan berkata pelajar yang akan ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu termasuklah mereka yang melanjutkan pengajian ke tingkatan enam sekolah bantuan penuh kerajaan dan pusat matrikulasi di bawah Kementerian Pelajaran, termasuk Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dan Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penajaan kepada pelajar ini akan diteruskan sehingga ke peringkat ijazah pertama di IPT tempatan, katanya dalam satu kenyataan.

Sidek berkata penajaan akan turut ditawarkan kepada pelajar-pelajar berkenaan yang berjaya mendapat tempat di universiti-universiti Ivy League dan setara di luar negara serta pelajar yang mendapat tempat di kampus universiti luar negara di Malaysia seperti Monash University, Nottingham University, Curtin University of Technology dan Swinburne University.

"Saya ingin memaklumkan bahawa usaha yang diperkenalkan ini adalah selari dengan inisiatif kerajaan yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang inovatif dan berkemahiran yang tinggi," katanya.

Beliau berkata pertambahan bilangan penajaan itu dibuat kerana kerajaan menyedari bahawa bilangan pelajar yang mendapat keputusan yang amat cemerlang dalam semua mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan saban tahun.

Namun demikian, tidak semua pelajar cemerlang ini mendapat peluang penajaan kerajaan untuk melanjutkan pengajian tinggi mereka di IPT kerana bilangan penajaan yang disediakan adalah terhad dengan beberapa faktor kekangan seperti pendapatan keluarga dan persaingan yang tinggi.

"Menyedari hakikat bahawa pelajar-pelajar cemerlang ini merupakan aset utama negara pada masa akan datang, inisiatif menambah bilangan penajaan diperkenalkan kerajaan di mana semua pelajar cemerlang rakyat Malaysia yang memenuhi syarat keputusan SPM 2007 iaitu 9A dan ke atas berpeluang menerimanya tanpa mengira latar belakang masing-masing," katanya.

Sidek berkata langkah itu secara tidak langsung, akan menarik minat para pelajar cemerlang itu untuk melanjutkan pengajian di IPT tempatan.

Langkah ini juga diharap dapat membantu usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia supaya setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

No comments: