Saturday, May 3, 2008

Siaran langsung Parlimen diteruskan

KUALA LUMPUR 2 Mei – Kabinet hari ini membuat keputusan untuk meneruskan siaran langsung sidang Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagaimanapun berkata, siaran langsung itu hanya secara percubaan dan akan dikaji semula penyiarannya jika insiden memalukan seperti yang berlaku Rabu lalu berulang lagi.

Menurutnya, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan bagi menghentikan serta-merta siaran langsung itu semata-mata kerana insiden yang berlaku itu.

“Keputusan Kabinet ini dianggap sebagai peluang terakhir untuk semua ahli Parlimen supaya berkelakuan baik semasa siaran langsung sidang Parlimen ditayangkan,” kata Ahmad Shabery pada sidang akhbar di Angkasapuri di sini hari ini.

Hari pertama sidang Dewan Rakyat Rabu lalu kecoh apabila ahli-ahli Parlimen terutama pembangkang menunjukkan keghairahan untuk membangkitkan Peraturan Mesyuarat sehinggakan sesi soal jawab yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi hanya dimulakan setengah jam kemudian.

Sesi itu juga tercemar apabila Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) memanggil Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sebagai ‘bigfoot’ manakala Bung Moktar membalas cemuhan itu dengan menggelar Karpal ‘big monkey’.

Ahmad Shabery berkata, mesyuarat Kabinet hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan membenarkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat ‘secara percubaan’ bagi melindungi imej Parlimen yang tercemar.

Katanya, tingkah laku ahli Parlimen terutama pembangkang adalah memalukan kerana mereka sanggup menimbulkan isu remeh sedangkan ada perkara lebih penting yang sepatutnya dibincangkan di Dewan Rakyat.

“Inilah yang kita katakan bahaya siaran langsung kerana ia menyebabkan ramai ahli Parlimen tidak berkelakuan sebagai seorang ahli Parlimen... mereka hanya mencari jalan untuk menonjolkan diri dengan hal remeh.

“Apabila kamera dihentikan, mereka boleh pula berkelakuan baik. Apakah ini yang kita mahukan? Kalau nak wujudkan Parlimen kelas pertama, ahli Parlimen mestilah berkelakuan kelas pertama,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, sekiranya insiden seperti Rabu lalu terus berlaku semasa siaran langsung ditayangkan, beliau bimbang rakyat akan hilang kepercayaan terhadap semua wakil rakyat.

“Memang dari segi berita, orang seronok tengok bila ada kekecohan dan mungkin kalau ada yang melompat meja dan bertumbuk, lagi seronok tengok. Tapi adakah ini yang kita nak tunjukkan kepada rakyat?” katanya.

Ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen BN, Bung Moktar yang turut terlibat dalam insiden itu, beliau berkata: “Saya tidak pertahankan beliau atau mana-mana ahli Parlimen yang mengeluarkan perkataan tidak sesuai dalam Parlimen.

“Tetapi saya mahu tegaskan bahawa dalam konteks insiden Rabu lalu, daripada 90 minit sidang Dewan Rakyat berlangsung, 80 peratus kecoh adalah kerana tindakan pembangkang.”

Mengenai kemungkinan kerajaan menanggung kerugian sekiranya siaran langsung di Parlimen terpaksa dihentikan sedangkan banyak peralatan telah dibeli untuk tujuan itu, Ahmad Shabery berkata, negara akan lebih rugi jika rakyat hilang kepercayaan terhadap ahli Parlimen dan institusi Parlimen.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata, Kementerian Penerangan akan berusaha mempertingkatkan penerimaan siaran televisyen di kawasan-kawasan pedalaman di Sabah.

“Terdapat kawasan pedalaman di negeri itu yang masih gagal menerima siaran televisyen walaupun sistem telekomunikasi negara merupakan antara yang terbaik di dunia,” kata beliau.

No comments: