Thursday, May 8, 2008

Pakatan rakyat tidak peka kedaulatan sultan

KETIKA Pengerusi DAP, Karpal Singh mengeluarkan siri kenyataan mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pertukaran dan pelantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), rakan-rakannya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pula mendiamkan diri.
Sikap enggan mengulas atau tidak ambil peduli di kalangan rakan-rakan pakatan rakyat DAP itu sememangnya menjengkelkan.
Bukankah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang terlibat dalam kemelut itu adalah dari parti Pas, manakala kerajaan yang dibentuk di Perak juga terdiri daripada wakil rakyat PKR.
Rakyat tahu sebelum ini Pas misalnya amat menjuarai isu-isu berkaitan dengan istana. Dalam beberapa kes apabila ada pemimpin UMNO terlebih bersuara membelakangkan istana, maka Pas- lah yang akan menjadi heronya.
Tetapi dalam kes pertukaran dan pelantikan semula Datuk Jamry Sury di negeri yang Menteri Besarnya adalah dari Pas, parti itu nampaknya tiada idea tentang apakah sebenarnya pendirian mereka.
Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin PKR berketurunan Melayu dan beragama Islam yang sehingga kini masih membisu. Adakah tindakan berdiam diri membawa maksud bersetuju atau juga boleh dimengertikan sebagai pengecut?
Jika dilihat dari segi logiknya mustahil Pas bersetuju dengan kata-kata Karpal, sebab itu awalawal lagi Menteri Besar Perak memohon maaf dan akur kepada arahan sultan.
Jelas Mohammad Nizar menghormati kuasa yang ada pada sultan, sebaliknya DAP yang awal-awal lagi terpaksa berkompromi menerima Menteri Besar dari Pas, cuba menjuarai isu tersebut.
Namun sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin tertinggi Pas dalam hal itu memberi gambaran bahawa Pas berada dalam dilema - diluah mati emak ditelan mati bapa.
Sebab itu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika diminta mengulas isu tersebut enggan mengeluarkan pandangannya, sudah pasti tidak mahu menyinggung hati rakan pakatan rakyat.
Ini kerana semua orang tahu hubungan antara istana dan orang Melayu beragama Islam amat rapat, malah institusi itu amat dihormati apatah lagi diketahui kenyataan Karpal tidak menepati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan.
Karpal sendiri sudah mula berdolak-dalik kononnya beliau tidak bermaksud mempertikaikan kuasa sultan dan menuduh UMNO mempolitikkan isu tersebut. Seharusnya Pas dan PKR menyatakan pendirian dalam hal ini supaya diketahui apakah sebenarnya agenda mereka bersabit kedudukan istana, orang Melayu dan agama Islam.
Presiden MCA, Ong Ka Ting berani menyatakan pendirian menyanggah titah ucapan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra tanpa mempedulikan hati rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN).
Tetapi bagi Pas dan PKR, menjaga hati rakan pakatan rakyat mungkin jauh lebih penting daripada mempertahankan institusi istana yang menegakkan kedudukan bangsa Melayu dan menegakkan syiar Islam.
Dalam hal ini, rakyat dapat menilai apa sebenarnya agenda pakatan rakyat, siapa mereka dan sejauh mana kerakusan mereka untuk berkuasa.

No comments: