Saturday, May 3, 2008

RTM kekal siaran langsung Dewan

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam memutuskan supaya siaran langsung sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat selama 30 minit menerusi RTM1 diteruskan, tetapi ia hanya sebagai percubaan dan tertakluk kepada semakan semula.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata kementerian akan menilai secara menyeluruh kebaikan dan keburukan siaran langsung yang bermula jam 10 pagi setiap hari Parlimen bersidang itu sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat.

Kerajaan katanya, mungkin menghentikan siaran langsung itu jika kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat ketika persidangan Rabu lalu berulang kerana ia boleh menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kemuliaan institusi Parlimen serta menjejaskan imej negara.


"Kabinet memutuskan untuk meneruskan siaran langsung itu dengan memberi tempoh percubaan kepada Ahli Parlimen menjaga tingkah laku mereka tetapi ia akan dihentikan jika insiden kekecohan itu berulang.

"Kabinet beranggapan terlalu awal untuk menghentikan siaran langsung itu hanya berdasarkan kekecohan yang ditimbulkan Ahli Parlimen khususnya pembangkang pada hari pertama persidangan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasca Kabinet di pejabatnya, di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kekecohan yang ditimbulkan Ahli Parlimen pembangkang pada hari pertama sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1, Rabu lalu sebagai memalukan.

No comments: