Sunday, May 4, 2008

Melayu Sri Lanka Hadapi Cabaran Getir Pelihara Bahasa Ibunda

COLOMBO, 4 Mei (Bernama) -- Kira-kira 50,000 rakyat Sri Lanka berketurunan Melayu kini menghadapi cabaran besar dalam usaha memelihara agama dan adat resam, khususnya bahasa Melayu yang menjadi warisan nenek moyang mereka serta simbol penting jati diri mereka dalam masyarakat pelbagai keturunan di negara ini.

Di negara yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk ini, yang kebanyakannya berketurunan Sinhalese, masyarakat Melayu Islam terpaksa menyesuaikan diri untuk menjalani kehidupan bersama etnik minoriti lain - Tamil, Moor dan Burgher (keturunan Serani).

Keperluan untuk memulihara bahasa dan budaya Melayu menjadi begitu mendesak sekarang apabila semakin ramai rakyat negara ini berminat untuk bertutur dalam bahasa Melayu, walaupun banyak dialek lain semakin menyerlahkan kehadirannya dalam landskap linguistik di negara ini.

"Ramai yang tak tahu membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu hanya digunakan di rumah sesama anggota keluarga, sedangkan bahasa ini amat disayangi oleh rakyat di sini.

"Semakin susah untuk memelihara bahasa ini, terutama di kawasan bandar di mana orang lebih banyak menggunakan bahasa Singhalese dan Inggeris. Di luar bandar, datuk dan nenek kami masih bercakap Melayu dengan anak dan cucu mereka," kata Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka (SLMA) Iqram Cuttilan kepada Bernama.

Kebanyakan Melayu Sri Lanka datang ke negara ini semasa pemerintahan Belanda dan British antara akhir kurun ke-17 dan akhir kurun ke-18, terutama dari kepulauan Indonesia, sebagai anggota tentera, pekerja dan mereka yang dibuang negeri.

Kemudian, pentadbiran British mengambil orang Melayu dari Negeri-negeri Selat untuk berkhidmat dalam pasukan infantri tempatan.

Sebahagian besar orang Melayu tinggal di Colombo dan di kawasan paling selatan negara pulau ini.

Iqram, yang nenek moyangnya berasal dari Jawa, berkata masyarakat Melayu menghadapi masalah untuk mengembangkan bahasa ibunda mereka kerana kekurangan bahan bacaan dalam bahasa itu, di samping ketiadaan kesungguhan untuk memperjuangkan penggunaan bahasa itu dalam urusan rasmi.

"Dulu, makalah dan akhbar kami sebahagian besarnya menggunakan bahasa Melayu, tetapi kini semakin berkurangan dan digantikan dengan bahasa Singhalese serta Inggeris. Persatuan ini cuba menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan menyediakan kelas bagi membolehkan pelajarnya cuba bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu," kata Iqram.

Didorong oleh kekuatan semangat untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu, SLMA mendapatkan bantuan kedutaan Indonesia dan Malaysia di sini untuk meluaskan penggunaan bahasa itu bagi mengelaknya lenyap di negara yang mempunyai pelbagai etnik ini.

"Kami adakan kelas dan cuba mengajar asas bahasa Melayu, ayat dan perkataan mudah bagi membantu mereka memperkayakan perbendaharaan kata. Kami sedang berbincang (dengan SLMA) untuk menubuhkan sebuah pusat bagi memelihara bahasa ini dalam kalangan orang Melayu di sini," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka Rosli Ismail kepada Bernama.

SLMA ditubuhkan pada 1922 dan merupakan cawangan kepada Kelab Kriket Melayu Colombo yang diasaskan pada 1872.

Bangunan lamanya, yang masih tersergam megah, menjadi mercutanda penuh bersejarah tentang sumbangan penting masyarakat Melayu di negara Asia Selatan ini.

Sebuah badan dikenali sebagai SLMA Rupee Fund turut memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Melayu di negara ini.

No comments: