Sunday, May 4, 2008

Apa muslihat DAP

Tidak sampai pun seminggu dari tarikh kemenangan parti-parti pembangkang, pelbagai perkara yang boleh mencetuskan aksi berbau perkauman telah dilakukan oleh pemimpin DAP.

Pada hari Selasa lalu, sebaik-baik selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan penghapusan amalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Mutiara itu, manakala kelmarin, bapanya Lim Kit Siang selaku Penasihat DAP Pusat yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengarahkan semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri DAP memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak kerana tidak setuju dengan pemilihan wakil Pas sebagai Menteri Besar.

Menyedari reaksi dan bantahan hebat orang Melayu, Kit Siang kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Walau apa pun penjelasan Guan Eng dan Kit Siang mengenai DEB dan institusi raja bagaikan ‘menampar’ muka orang Melayu yang sedang tidur lena.

Sepatutnya kedua-dua beranak yang berpindah-randah dari Johor, Melaka, Perak dan kini di Pulau Pinang perlu juga memikirkan perasaan kaum pribumi sebelum membuat sebarang kenyataan.

Kenapa mereka tidak mahu memahami dan menghormati perasaan orang Melayu Pulau Pinang dan Perak yang sebilangannya turut memberi undi kepada DAP.

Adakah DAP sengaja ingin menjolok sarang tebuan dan menjangka jutaan tebuan akan membiarkan sarangnya dibiarkan jatuh hancur berkecai.

Kit Siang sebagai pemimpin veteran dalam politik nasional tidak mungkin pendek akal hingga langsung tidak peduli sensitiviti institusi raja-raja Melayu.

Apakah ada muslihat Kit Siang untuk memberi mesej kepada pengundi bukan Melayu bahawa wakil DAP patut dilantik sebagai Menteri Besar Perak bukan daripada calon Pas yang mempunyai suara kecil (lima kerusi) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Adakah tindakan Kit Siang itu semata-mata ingin memberitahu kepada penyokong DAP bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu tidak adil kepada pihaknya?

Peruntukan undang-undang ini mahu dipertikaikan hingga menyebabkan ADUN daripada DAP yang hanya diwakili ahli politik Cina dan India hilang kelayakan sebagai Menteri Besar walaupun memenangi kerusi terbanyak dalam gabungan pembangkang iaitu 18 kerusi berbanding PKR (tujuh) dan Pas (enam).

Hakikatnya, DAP langsung tidak ada sikap tolak ansur terhadap rakan kongsi dalam pakatan pembangkang yang hanya berkelebihan tiga kerusi berbanding dengan Barisan Nasional (BN) yang memenangi 28 kerusi DUN.

Dalam keadaan sekarang, rakyat dapat menyaksikan bagaimana orang Melayu telah diperlekehkan oleh DAP.

Bagaimana perasaan orang Melayu apabila melihat keputusan Sultan Azlan Shah yang melantik ADUN Pas, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak dipertikai oleh DAP.

Apakah DAP tidak menghormati pemilihan Sultan Perak yang arif tentang undang-undang. Sultan Azlan Shah sudah tentu meneliti secara mendalam akan implikasi pelantikan Mohammad Nizar.

CEC DAP boleh memberi mandat kepada Pengerusi DAP Perak merangkap ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham, atau ADUN Behrang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jamaluddin Mohd. Radzi sebagai calon Menteri Besar. Tetapi Sultan Perak telah memutuskan baginda lebih berkenan pada Mohammad Nizar.

Bagaimanapun, majlis angkat sumpah Setiausaha Pas Perak itu sebagai Menteri Besar yang baru petang semalam ditangguhkan kerana pihak istana mendapati DAP, PKR dan Pas tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Hakikatnya kini, orang Melayu yang mengundi DAP boleh melihat tembelang sikap DAP. Apabila sahaja diberi mandat oleh rakyat untuk berkuasa, mereka langsung tidak memikirkan mengenai kaum lain.

Tolak ansur

Jika diimbas kembali tolak ansur Melayu terhadap kaum Cina, kita berasa terharu.

Bayangkan bagaimana UMNO Pulau Pinang yang mendapat kerusi DUN lebih banyak daripada Gerakan dalam pilihan raya umum 1999 tetap menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti itu walaupun undang-undang negeri tidak menyatakan jawatan itu untuk kaum tertentu sahaja.

Kini DAP mula menunjukkan belang parti itu yang memperjuangkan Malaysian Malaysia.

Kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati daripada DAP sudah pasti akan mengundang tafsiran dan kemarahan orang Melayu. Apatah lagi kenyataan menghina pilihan yang telah dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Menurut Setiausaha Agung, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) Ariff Wahab, sekalipun dinafikan oleh Kit Siang bahawa DAP tidak berhasrat membelakangi Sultan Perak, namun kenyataan itu menggambarkan bahawa beliau seorang yang sangat angkuh.

Kit Siang seharusnya sedar bahawa sultan sebagai payung rakyat, tanpa mengira Melayu ataupun bukan Melayu mesti menghormati kedudukan mereka.

“Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian berterusan, maka kami menyeru agar semua pihak berwaspada dan berhati-hati mengeluarkan apa-apa kenyataan politik pada masa ini. Sesuatu kenyataan yang dibuat hendaklah difikirkan semasak-masaknya dari segenap aspek, bukan hanya memikirkan tentang satu-satu parti atau satu-satu kaum sahaja.

“Kami amat risau bahawa kenyataan-kenyataan DAP masa ini akan menjadi pencetus kepada peristiwa perkauman yang kita sama-sama jauhi seumpama 13 Mei 1969,” kata Ariff kepada Utusan Malaysia.

Penolakan DAP terhadap pencalonan Pas selaku Menteri Besar Perak menggambarkan pakatan pembangkang DAP, PKR dan Pas adalah retorik politik pilihan raya semata-mata.

Kata penganalisis politik, Md. Shukri Shuib, ini kerana dalam kes di Perak misalnya, ia menggambarkan keangkuhan DAP yang secara mentah-mentah menolak peranan istana dalam merestui calon Menteri Besar Melayu dari Pas.

Ini bermakna bahawa wujud satu sentimen perkauman yang menebal di kalangan pemimpin DAP, apatah lagi keseluruhan wakil rakyat mereka adalah daripada kalangan bukan Melayu.

Untuk rekod, dengan kemenangan DAP di 18 kerusi DUN Perak membuatkan mereka selaku aktor politik yang menjuarai kemenangan pembangkang di negeri Datuk Maharajalela.

“Namun, mereka lupa bahawa tanpa gabungan mantap Pas dan PKR bersama mereka, DAP tidak akan mampu mendapatkan kuasa di negeri beraja Melayu tersebut.

“Kini, dengan tindakan DAP yang tidak merestui Pas selaku Menteri Besar, maka mustahil pembentukan kerajaan pembangkang dapat dilakukan,” kata Md. Shukri yang merupakan pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa , Universiti Utara Malaysia.

Dengan penangguhan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak, katanya, maka ini memberikan laluan alternatif kepada UMNO yang memenangi 27 kerusi daripada keseluruhan 28 DUN dimenangi BN jika diperkenan pihak Istana Iskandariah untuk mengemukakan calon mereka.

“UMNO juga perlu diberikan peluang membentuk kerajaan atas dasar dominasi politik semasa secara kiraan satu tiket parti tanpa merujuk kepada Pas, PKR dan DAP sebagai satu gabungan. Jika formula ini diterima pakai, maka BN harus kembali diberikan kuasa mentadbir negeri sebagai parti terbesar dalam DUN,” kata Md. Shukri.

Kini, terbukti bahawa ketuanan Melayu adalah juga berkisar kepada restu istana, tanpa peranan sultan dan raja Melayu, pastinya Perak dan negeri-negeri Melayu lainnya akan berhadapan dengan krisis ketuanan Melayu yang serius.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berpendapat sekarang pengundi Melayu yang undi pembangkang harus bersedia terima kehancuran DEB. Beliau turut mempersoal di mana pejuang Melayu dalam PKR?

“Adakah mereka mahu melihat ketuanan Melayu hancur. Apakah orang Melayu PKR hanya melihat bangsanya ditekan oleh DAP? Adakah mereka juga sanggup institusi Raja Melayu diperlekehkan DAP?” kata beliau.

Di mana Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau tidak sanggup tanah Melayu diambil kerajaan dan kini Guan Eng memegang portfolio tanah di Pulau Pinang. Walau apa pun harga ketuanan Melayu, kita harus pertahankannya.

No comments: