Thursday, May 8, 2008

Ketuanan Melayu hanya pertahan hak

KONSEP ketuanan Melayu mempunyai konotasi dominan ke atas kaum lain. Dengan nada lantang sebutannya, boleh menakutkan hatta mengancam kaum lain. Dengan mengambil kira masyarakat pelbagai kaum, Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah menerangkan bahawa ketuanan Melayu harus dilihat dari aspek orang Melayu boleh kelihatan berdaya saing dalam semua bidang supaya mereka dihormati kaum lain. Pada Pak Lah apa erti ketuanan Melayu jika orang Melayu itu ketinggalan dalam semua bidang sehingga terpaksa melutut kepada kaum lain untuk memenuhi keperluan asas hariannya.
Sebenarnya konsep ketuanan Melayu sudah menjadi satu konsep usang yang perlu diperhalusi. Orang Melayu sendiri tidak senang dengan konsep itu kerana mereka tidak berasa tuan di negara sendiri. Sebaliknya kaum lain termasuk pendatang tanpa izin bersikap lebih daripada tuan dengan menguasai pelbagai bidang ekonomi. Orang Melayu hanya ada kuasa membeli yang semakin hari semakin kecil. Saranan Pak Lah itu betul kerana kita tidak harus hanyut dan mabuk dengan konsep ini sehingga kita lupa diri serta kelemahan kita. Kita perlu memperkuatkan diri kita dulu sebelum kita bercakap mengenai ketuanan Melayu supaya tidak menjadi bahan ketawa kaum bukan Melayu.
Selama tiga hari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu berkumpul di Johor Bahru membicarakan 'ketuanan Melayu' dalam konteks pemuafakatan. Tanpa permuafakatan, orang Melayu akan berpecah dan mudah dikuasai kaum lain dengan cara 'pecah dan perintah'. Ujian kepada ketuanan Melayu ialah sejauh mana orang Melayu boleh ketepikan fahaman politik dan bersatu memperjuang serta mempertahankan hak orang Melayu seperti tertera dalam kontrak sosial dengan kaum lain ketika mencapai kemerdekaan. Bagi kaum bukan Melayu, mereka tidak ada masalah dengan konsep ketuanan Melayu sekiranya konsep ini dilihat dalam perspektif yang lebih luas dan tidak berbau perkauman. Mengikut fahaman mereka, orang Melayu berhak kepada konsep ini kerana Umno diterima sebagai wadah Melayu dan teras kerajaan Barisan Nasional.
Begitu juga dengan simbol keris bukan menjadi masalah kepada mereka. Ia menjadi masalah bila lambang keris itu dikaitkan dengan isu perkauman melalui retorik melampau dan mencabar kewibawaan mereka. Kita harus ingat pepatah Inggeris, 'The ballot is mightier than bullets'. Kaum bukan Melayu ada kuasa menghukum melalui pilihan raya. Ini terbukti dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dan mesej yang hendak disampaikan ialah perlu ada kesederhanaan dalam memperjuangkan konsep ketuanan Melayu. Masa sudah berubah dan satu generasi Melayu dan bukan Melayu sudah dilahirkan dan mendapat pendidikan kebangsaan. Pandangan dan fahaman mereka mengenai sosio-budaya-politik berlainan daripada generasi lama.

No comments: