Thursday, May 1, 2008

Mukhriz pelawa bertanding Ketua Pemuda

KOTA TINGGI 1 Mei - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir mempelawa lebih ramai pemimpin UMNO menawarkan diri bagi merebut jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pemilihan Disember ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO berkata, dengan membuka gelanggang seluas-luasnya, ia membolehkan ahli parti membuat pilihan terbaik bagi memilih calon berwibawa menerajui mereka.

"Pada prinsipnya saya mengalu-alukan kepada sesiapa juga yang berminat. Ini kerana kaedah ini boleh melahirkan satu pertandingan sihat kerana kita dapat memilih pemimpin yang benar-benar berjiwa pejuang untuk bangsanya.

"Saya juga berharap pada kali ini ada calon-calon yang tampil mewakili semua pihak, sebagai contoh saya anak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Khairy Jamaluddin menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor," katanya.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian pada Majlis Dialog bersama tujuh Ketua Pemuda UMNO Bahagian iaitu Tenggara, Pulai, Pasir Gudang, Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pengerang di sini hari ini.

Beliau berkata, pendiriannya untuk memegang sesuatu jawatan dalam parti perlu diuji menerusi pertandingan kerana jika kaedah itu diamalkan akan membolehkan UMNO terus mantap dan menjadi tarikan serta diyakini generasi muda.

DibendungSehubungan itu, beliau berikrar untuk menyegarkan semula Pemuda UMNO dengan memastikan segala permasalahan yang melanda UMNO khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu akan dibendung dengan pelbagai cara jika dipilih memegang jawatan berkenaan.

Tambah Mukhriz, adalah menjadi misi dan visinya untuk merampas semula negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Saya faham dan akur ini bukan perkara mudah untuk dilakukan, namun sekiranya semua pihak kembali ke pangkal jalan dengan menghayati perjuangan UMNO sebenar, saya yakin segala-galanya boleh berlaku," katanya.

Mengenai pengganti Abdullah jika mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO, Mukhriz secara jujur dan yakin bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah orang yang paling layak menerajui parti itu.

Katanya, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri telah menunjukkan ketokohannya dan mentadbir negara dengan mempengerusikan lebih 30 jawatankuasa Kabinet.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Mukhriz berpendapat, berdasarkan pengamatannya calon yang layak ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau telah menunjukkan pendirian tegas dan berani menyuarakan perkara yang hak dan benar.

"Kalau kita mahu UMNO sentiasa relevan khususnya di kalangan generasi muda, maka kita juga wajar melakukan perubahan dengan tidak hanya menjadi 'pak turut', sebaliknya budaya menegur, memberi pandangan dan mendesak haruslah disuburkan dalam setiap jiwa kita sebagai ahli parti," tegasnya.

Mengenai keahlian UMNO, beliau menyarankan Majlis Tertinggi (MT) memudahkan proses kemasukan keahlian parti itu dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini.

Katanya, kaedah yang diguna pakai sekarang iaitu menggunakan borang yang diisi secara manual agak ketinggalan dan menyusahkan khususnya generasi muda untuk menyertai UMNO.

"Sudah sampai masanya bagi pihak MT memikirkan kaedah-kaedah terkini yang difikirkan sesuai dan kondusif jika ingin menarik generasi muda menyertai UMNO.

"Cara paling mudah ialah dengan menyediakan laman web bagi membolehkan mereka mendaftar sebagai ahli UMNO," katanya.

No comments: