Saturday, May 3, 2008

Perlu semangat kental untuk kekalkan ketuanan Melayu

KUALA TERENGGANU – Orang Melayu perlu memiliki semangat perjuangan yang kental selain berpendirian teguh bagi meneruskan pentadbiran negara dalam usaha mengekalkan tradisi sebagai ketuanan Melayu di tanah air sendiri. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kebanyakan kaum Melayu dari pelbagai peringkat usia mempunyai amalan yang sama, iaitu sikap bertolak ansur yang terlalu tebal. “Sikap sebegini tidak seharusnya ada kerana ia mampu menjadikan seseorang itu mudah menyerah kalah sebagaimana yang dilihat dalam beberapa perkara seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), penggunaan bahasa Melayu dan lain-lain. “Perkara sedemikian seperti penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains berlaku kerana kita lebih bertolak ansur dalam mempertahankan bahasa sendiri dan sepatutnya sebagai Melayu kita perlu sensitif dalam banyak perkara,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam. Beliau mengakui bahawa segelintir bangsa Melayu pada hari ini tiada semangat jati diri yang hebat sehingga sanggup menjual tanah yang strategik kepada bangsa asing tanpa memikirkan kebaikan untuk bangsa sendiri. Beliau turut menyokong kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya orang Melayu tidak sesekali menjadi kuli di tempat sendiri sebaliknya perlu setanding dengan kaum lain di negara ini. Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang berkata, kaum lain yang ada di negara ini saling berlumba-lumba untuk memajukan kaum masing-masing menyifatkan persaingan tersebut sebagai bukan ‘sama rata sama rasa’, bahkan ia bergantung kepada keupayaan masing-masing dalam mencipta strategi untuk terus maju. Sehubungan itu, beliau mengharapkan kaum Melayu di negeri ini tidak memandang mudah berhubung isu ketuanan Melayu, sebaliknya mereka perlu menjadi Melayu hebat dalam setiap aspek, bukan sahaja politik tetapi pentadbiran, pengurusan, ekonomi, agama dan lain-lain. Beliau yang kesal dengan segelintir daripada anak Melayu yang lebih suka kepada aktiviti berbentuk hiburan dan melihat bangsa sendiri jatuh memberitahu bahawa mereka juga kurang bergabung dalam program yang bermanfaat. “Makin lama, ketuanan Melayu dilihat semakin rapuh dan segelintir masyarakat pada hari ini pula kurang mencintai negara selain mudah menyerah kalah dengan sedikit teguran,” ujarnya.

No comments: