Thursday, May 8, 2008

Kontrak sosial paksi kuasa Melayu

Umno diminta kembalikan kedaulatan bangsa seperti dalam Perlembagaan KONGRES Permuafakatan Melayu bertemakan 'Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa' selama tiga hari di Johor Bahru yang berakhir semalam, menyaksikan usaha bersungguh-sungguh lebih 2,000 peserta mewakili 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dari seluruh negara mahu bangsa Melayu terus unggul. Mereka mahu kuasa, kedaulatan dan ketuanan Melayu terus dipelihara, bukan membiarkannya diancam oleh pihak lain.
Terletak tidak sampai 10 kilometer dari tempat kelahiran Umno di Istana Besar, kongres anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, untuk mengambil semangat penubuhan Umno 62 tahun lalu, hingga berjaya menumbangkan Malayan Union dan mengembalikan semula hak pemerintahan kepada orang Melayu. Mengambil kesedaran terhadap apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, semua pertubuhan Melayu berkenaan hadir dengan rasa kesedaran bahawa, adakah nasib bangsa Melayu di tanah air mereka sendiri mula terancam? Apakah, begitu terdesaknya bangsa Melayu selepas 50 tahun merdeka untuk terus berhimpun dan mendesak kerajaan yang diterajui orang Melayu sendiri bagi memastikan hak serta kedaulatan mereka terus dijaga dan dipelihara? Sebenarnya, bukan jawapan kepada persoalan itu yang utama, tetapi lebih penting, orang Melayu yang berhimpun ini, menyedari bahawa perlu ditimbulkan dengan lebih kerap semangat keMelayuan dan kepentingan bagi menyedarkan kerajaan untuk tidak memandang bangsa Melayu sebelah mata terhadap segala isu membabitkan kedaulatan Melayu.
Ia boleh digambarkan dengan kebimbangan terhadap penguasaan orang Melayu di Parlimen dengan hanya menguasai 124 kerusi atau 55.8 peratus melalui parti Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus tidak menggambarkan kedaulatan Melayu (Malay Polity) di negara yang kerajaannya, adalah bangsa Melayu. Jika selama ini, orang Melayu beranggapan bahawa Umno yang menjadi penjaga kepada kedaulatan Melayu, sudah pastilah boleh disimpulkan bahawa kuasa Melayu di negara ini, semakin terhakis berdasarkan apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu. Umno hanya menguasai 78 kerusi Parlimen, selain kehilangan kuasa memerintah di Selangor, Kedah serta Perak dan ia secara langsung menunjukkan bahawa orang Melayu sendiri tidak lagi memilih untuk mengundi Umno. Justeru, kongres berkenaan menggariskan 71 tuntutan terbahagi kepada Perlembagaan, politik, ekonomi, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya yang kemudian diserahkan kepada Sultan Johor untuk pertimbangan baginda sebelum dibawa ke Majlis Raja-Raja.
Selain itu, kongres juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMM) dalam memastikan bahawa segala tuntutan dan resolusi yang dicapai ketika persidangan berkenaan akan dilaksanakan kerajaan serta memainkan fungsi sebagai kumpulan pendesak untuk bangsa Melayu. Persoalannya, adakah kuasa kedaulatan Melayu yang selama ini, menjadi asas perjuangan Umno berteraskan kepada agama, bangsa dan negara semakin pudar. Apakah tiada kemungkinan semua parti politik Melayu bersatu bagi terus mempertahankan hak orang Melayu? Persoalan ini, cuba dikupas menerusi empat kertas kerja utama dalam kongres ini, iaitu Kedaulatan Politik Melayu, Kedaulatan Perlembagaan Malaysia, Membentuk Kedaulatan Ekonomi Bangsa dan Kedaulatan Kebudayaan, Pendidikan, Bahasa dan Agama Bangsa Melayu. Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof ketika membentangkan kertas kerja yang pertama mengakui bahawa Umno tidak lagi boleh diibaratkan sebagai pelindung kepada kedaulatan Melayu (Malay Polity). Katanya, orang Melayu perlu sedar bahawa Umno atau mana-mana parti politik Melayu hanya pertubuhan berteraskan politik dan ia boleh datang dan pergi, tetapi kedaulatan Melayu perlu terus dipelihara serta dipertahankan. "Kedaulatan Melayu ini, dijamin Perlembagaan Negara serta dilindungi Majlis Raja-Raja dan ia tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Raja-Raja Melayu. Jadi institusi Kesultanan Melayu yang perlu terus dipertahankan orang Melayu untuk terus kekal selamanya memerintah negara," katanya. Sebenarnya, mendengar dan melihat orang Melayu berbahas dan bercakap mengenai kedaulatan Melayu dalam kongres berkenaan menunjukkan bahawa mereka prihatin terhadap nasib masa depan bangsa mereka, terutama sekali generasi muda yang dilihat semakin tidak mempedulikan hak keistimewaan Melayu yang dijamin Perlembagaan. Isu seperti pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik mendapat tentangan daripada keseluruhan peserta kongres yang menyifatkan bahawa kerajaan pimpinan Umno silap melaksanakan dasar berkenaan kerana ia tidak selari dengan Perlembagaan negara yang jelas memperuntukkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. "Mana silapnya, bahasa Melayu selama ini... bagaimana pemimpin Melayu boleh melaksana dan meneruskan dasar berkenaan. Adakah bahasa ibunda ini, tidak layak digunakan dalam Sains serta Matematik," hujah seorang peserta. Timbalan Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Ramli Jusoh, berkata yang merosakkan orang Melayu serta tidak menghormati kedaulatan Melayu adalah orang Melayu sendiri kerana apabila orang Melayu hendak bersuara mengenai hak mereka, sering kali mereka dilabelkan sebagai perkauman. "Mengapa kita takut untuk bersuara mengenai apa yang dijamin Perlembagaan, hak keistimewaan kita. Adakah disebabkan kita terlalu berbudi bahasa serta bersopan hendak menjaga hati kaum lain, kedaulatan Melayu itu terancam," katanya. Bagaimanapun, jika dilihat dengan lebih mendalam segala luahan peserta malah pembentang kertas kerja, mereka secara tidak langsung mengakui bahawa Umno masih lagi diperlukan sebagai wadah untuk perjuangan memartabatkan semula orang Melayu. Satu lagi yang juga perlu diberikan perhatian ialah mengenai nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi yang sebenarnya, tidaklah menunjukkan sebarang peningkatan ketara sejak 50 tahun kemerdekaan. Malah, ada pembahas yang menyifatkan bahawa kerajaan gagal dalam memberikan peluang kekayaan kepada orang Melayu. Hakikat yang paling nyata ialah bangsa Melayu mulai sedar bahawa mereka perlu bersikap agresif untuk mendesak dan menuntut kerajaan, walaupun ia diterajui orang Melayu sendiri bagi memastikan kedaulatan bangsa ini, terus dipertahan dan diletakkan pada taraf sepatutnya seperti dijamin Perlembagaan. Namun, jika direnungi dengan mendalam, banyak cara yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan taraf hidup dan memajukan orang Melayu tanpa menjejaskan kaum lain. Orang Melayu mempunyai kuasa politik dan berada pada hampir semua kedudukan strategik dalam pemerintahan negara. Malangnya, dalam keadaan sedemikian, masih terdengar rintihan dan keluhan serta nada kekecewaan daripada bangsa Melayu sendiri, kerajaan yang dipimpin orang Melayu, dengan majoriti pentadbir awamnya orang Melayu dan dasar yang jelas pro-Melayu, nampaknya tidak cukup untuk membantu orang Melayu selepas 50 tahun merdeka. Pemimpin Melayu mempunyai pelbagai dasar yang baik untuk memajukan bangsa Melayu dan tidak pernah kekurangan dari segi keupayaan tenaga pemikir bangsa Melayu, tetapi jawapan terhadap segala kegagalan orang Melayu adalah kelemahan daripada pelaksanaan dasar berkenaan. Mungkin Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein patut diteruskan semula dari segi pelaksanaannya kerana tiada cacatnya DEB itu dan ia bukan saja untuk membantu bangsa Melayu, malah kaum lain. Kerajaan perlu menyusun semula struktur pengurusan DEB itu kembali, ditambah dengan matlamat kini untuk membasmi kemiskinan tegar dengan dasar berkenaan jelas berjaya mengeluarkan orang Melayu daripada belenggu kemiskinan. Satu sistem terancang seperti penilaian berkala dan pengurusan audit DEB perlu diperkenalkan untuk mengelakkan penyelewengan dan juga dapat menjamin kejayaannya. Semua peserta yang ditemui mengakui mahu melihat reaksi Umno, yang pasti, parti keramat orang Melayu ini, untuk berusaha memenangi semula hati rakyat, terutama sekali bangsa yang menubuhkannya. Jika ia gagal, maka apa yang perlu dilakukan untuk mendaulatkan politik Melayu ialah dengan kembali kepada kontrak sosial. Kaum lain daripada generasi ke generasi perlu diingatkan mengenai kontrak sosial ini kerana ia membentuk masyarakat Malaysia yang ada pada masa kini, dan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan politik di sebuah negara yang cukup unik ini.

No comments: