Sunday, May 4, 2008

Adakan penyatuan Melayu jika sayangkan bangsa

Jika sebelum ini, perkara yang dianggap serius itu diperkatakan oleh pelbagai peringkat rakyat hingga pemimpin politik, kini kerabat diraja turut merasai gelombang perubahan itu.

Jika dihayati titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra kelmarin, sebenarnya bukan sahaja baginda tetapi semua orang Melayu dapat merasai petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu kini semakin berani dicabar.

Orang Melayu harus melihat gesaan baginda supaya usaha menyatukan kaum Melayu diletakkan sebagai agenda utama.

Penyatuan Melayu wajar dilakukan segera sebelum ketuanan Melayu terus dihakis atau lenyap suatu hari nanti akibat sikap orang Melayu sendiri.

Ketuanan Melayu yang merangkumi hak-hak agama rasmi Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan kini dicabar secara terang-terangan.

Jangan kerana kuasa, pemimpin Melayu yang berbeza fahaman politik sanggup mengetepikan kepentingan bangsa dan agamanya sendiri.

Ketika ketuanan Melayu sedang diasak atas dasar hak sama rata dan tiada keistimewaan untuk mendapat peluang ekonomi, kaum bukan Melayu mungkin sedang memerhatikan kita.

Kita tidak akan lupa bagaimana banyak program kerajaan dibantah oleh bukan Melayu, sedangkan orang Melayu sedia kepentingannya dikorbankan.

Berdasarkan tolak ansur, kerajaan penuhi tuntutan mereka, sebab semua pemimpin dan masyarakat mereka bersatu.

Kini, setelah kuasa ketuanan Melayu cuba diperlekehkan, apakah pemimpin Melayu masih bersikap ‘tidak nampak gajah di depan mata.’

Kedudukan Melayu hari ini bukan untuk generasi yang hidup sekarang, tetapi fikirkan juga nasib generasi anak cucu Melayu akan datang.

Sama ada kita sedar atau tidak, kekuatan perpaduan umat Melayu hari ini semakin rapuh.

Selepas 50 tahun kita merdeka, inikah yang kita mahu? Tidak ada makna jika negara ini maju, tetapi kuasa politik Melayu kian terhakis dan Melayu terus bercakaran sesama sendiri.

Orang Melayu akan marah jika mereka dikatakan antara punca ketirisan kuasa politik yang boleh menggugat ketuanan Melayu di tanah air sendiri.

Ketuanan Melayu bukan tidak pernah dihina dengan tuntutan yang mengguris perasaan orang Melayu. Tetapi sedihnya ada yang tidak sedar malah ada pula orang Melayu yang sanggup bersekongkol dengan tuntutan yang menghina kedaulatan ketuanan Melayu.

Adakah Melayu sekarang sudah keliru?

Jika pemimpin Melayu sayangkan bangsanya, mulakan rundingan untuk menyatukan orang kita demi maruah dan kedaulatan ketuanan Melayu.

Jika tidak, terpulanglah kepada kita sama ada mahu membiarkannya berlalu begitu sahaja atau tunggu masa ia lenyap.

No comments: