Monday, December 1, 2008

Isu babi: Pas tidak mampu bersuara - Dr. Mahathir




KUALA LUMPUR- Pas kini tidak mampu bersuara malah banyak tindak-tanduknya hanya untuk memuaskan parti lain termasuk membenarkan penternakan babi di kawasan kampung orang Melayu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pas rela menerima perkara itu, malahan tidak lagi berani untuk bercakap mengenai penubuhan negara Islam.

Oleh itu kata beliau, orang Melayu juga tidak boleh mengharapkan Pas untuk melindungi hak-hak keistimewaan mereka memandangkan parti itu lebih kecil daripada DAP walaupun mempunyai penyokong yang ramai.

Jelasnya, inilah dilema yang dihadapi oleh orang Melayu terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sama ada untuk memilih UMNO dan Barisan Nasional (BN) ataupun Pas dan pembangkang.

''Orang Melayu berpendapat kalau mereka mengundi UMNO dan BN bermakna mereka akan memilih pemimpin yang rasuah dan jika mengundi Pas bermakna mengundi pembangkang yang pasti tidak akan meneruskan pembangunan orang Melayu dan bahasa Melayu ," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja mengenai 'Dilema Melayu' pada Siri Wacana Gapena V anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) di sini hari ini.

Ujar beliau, ini adalah dilema orang Melayu, tetapi menegaskan ia tidak bermakna mereka membenci orang Cina atau India.

Dilema itu katanya, bagi mempertahankan kedudukan orang Melayu kerana tidak harus menjadi hamba di negara sendiri.

No comments: