Monday, December 1, 2008

Jangan 'telanjangkan' Wanita UMNO - Halimah




JOHOR BAHRU- Semua pihak diminta tidak 'menelanjangkan' Pergerakan Wanita UMNO dengan menyebarkan keburukan dan fitnah terhadap Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi menghangatkan lagi pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.

Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, persaingan sengit itu nanti dikhuatiri mewujudkan golongan yang berkempen secara agresif termasuk mengutuk, mengaibkan dan menggunakan media massa bagi memastikan pemimpin yang disokong menang.

"Hentikanlah perangai buruk seperti itu sebaliknya pertandingan mestilah berasaskan keyakinan dan keikhlasan untuk memperjuangkan nasib Melayu," katanya yang juga Exco Wanita UMNO itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Halimah mengulas keputusan Rafidah yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mempertahankan jawatan itu selepas Naibnya, Shahrizat mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu sayap itu.

Halimah mendedahkan, golongan tersebut akan bertindak seolah-olah kumpulan pendesak yang memberi tekanan kepada Rafidah dan Shahrizat bagi menghangatkan lagi pertandingan hingga memalukan sayap wanita itu.

Justeru, katanya, perdebatan mengenai pertandingan itu perlu dihentikan kerana semua anggota dan perwakilan sayap sudah matang untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak bagi menerajui Wanita UMNO yang menjadi tulang belakang UMNO.

No comments: