Monday, December 1, 2008

Arak: Apa sebenarnya agenda tersembunyi MB?




SHAH ALAM- Tindakan kerajaan campuran Selangor menolak peraturan membataskan jualan arak di negeri itu disifatkan sebagai membenarkan penjualan minuman tersebut kepada orang Islam.

Presiden Pertubuhan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia (PPPIM), Datuk Zulkifli Mohamad berkata, keputusan itu menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri tidak prihatin terhadap sensitiviti umat Islam di Selangor yang mahukan penjualan arak dikawal.

Katanya, ketika ini minuman berkenaan dilihat dijual secara berleluasa di kebanyakan premis seperti kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam di kawasan yang majoriti penduduknya adalah orang Islam.

Malah, ujarnya, keputusan berkenaan juga jelas menunjukkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tunduk dan akur kepada desakan sekutunya, DAP yang lantang membantah peraturan sedemikian dengan alasan penduduknya terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, keputusan Menteri Besar yang menolak cadangan itu merupakan satu perkara yang mendukacitakan kepada umat Islam di negeri Selangor.

"Dalam isu pembinaan ladang ternakan babi moden di Selangor, kita menentang ia dilaksanakan tetapi kerajaan negeri tetap meneruskan projek itu. Hari ini, apabila cadangan yang melibatkan kepentingan umat Islam, kerajaan negeri tolak pula.

"Jika kerajaan negeri mengambil kira berbilang kaum sebagai asas membatalkan peraturan itu, kenapa kerajaan negeri tidak batalkan sahaja projek ladang babi tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak pelaksanaan peraturan membataskan jualan arak di negeri itu yang merupakan cadangan daripada Pas.

Menurut Abdul Khalid, peraturan itu sukar untuk dilaksanakan di Selangor kerana penduduk di negeri itu terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Sebaliknya, peraturan tersebut telah pun diluluskan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang sepatutnya berkuat kuasa awal tahun depan.

Bagaimanapun, usaha itu dikecam DAP dan Ketua Publisiti parti itu, Tony Pua menyifatkan Pas sebagai bongkak dan sukar bekerjasama kerana tidak merujuk terlebih dahulu dengan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Menteri Besar sendiri seharusnya lebih prihatin dan tahu menjaga hati umat Islam dalam menentukan sebarang keputusan berkaitan agama.

''Bila sudah jadi begini, saya pasti ramai yang akan kecewa dan tahu apa sebenarnya agenda tersembunyi Khalid," ujarnya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Khalid sengaja membezakan taraf keagamaan yang seharusnya tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana individu.

''Mengapa dia (Khalid) sanggup mempolitikkan isu hukum Islam? Seharusnya setuju sahaja cadangan Pas itu dan tutup cerita," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid menyifatkan kerajaan campuran Selangor hanya berdolak-dalih tentang isu penjualan alkohol.

Beliau yang juga ahli bersekutu Pertubuhan Polisi Alkohol Antarabangsa menegaskan, tidak pernah timbul soal bantahan daripada penganut agama lain yang mahu menghalang penjualan alkohol di tempat mereka.

''Ternyata tindakan kerajaan campuran Selangor hanya bermotif sesuatu dan seharusnya lesen arak di negeri itu turut dihapuskan,'' katanya.

No comments: