Wednesday, October 29, 2008

Akur pada Perlembagaan

Ada pihak mempersoalkan mengapakah orang Melayu banyak diberikan keistimewaan, walhal kaum lain juga memegang status sebagai warganegara Malaysia dan lahir di Malaysia.

SALEHUDDIN: Kekeliruan ini timbul ekoran ramai di kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi selepas merdeka tidak didedahkan kepada sejarah bagaimana pembentukan negara ini dan undang-undang yang berkaitan pemeliharaan hak setiap kaum di negara ini.

Apabila mereka tidak didedahkan dengan sejarah dan tidak diberitahu mengenai bagaimana wujudnya peruntukan khusus mengenai hak keistimewaan orang Melayu di bawah Perlembagaan maka tidak hairanlah ramai pihak yang mempersoalkan mengapa mesti orang Melayu diberikan keistimewaan.

Malaysia mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Konsep ini telah dipersetujui untuk diserapkan sebagai konsep yang diguna pakai di negara ini oleh pemerintahan kerajaan British ketika negara dalam proses mencapai kemerdekaan.

Teras utama konsep Raja Berperlembagaan ini adalah raja-raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi yang amat penting dalam sistem pemerintahan negara khususnya untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Jika dilihat kepada sejarah bagaimana kemerdekaan negara diperoleh, sebenarnya persetujuan telah dicapai di antara tiga kaum terbesar negara Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, Raja-Raja Melayu dan dengan persetujuan kerajaan British agar hak keistimewaan orang Melayu akan terus dilindungi selepas mencapai kemerdekaan melalui kuasa yang diberikan kepada raja-raja Melayu.

Persetujuan inilah yang dinamakan sebagai Social Contract atau kontrak sosial. Ia dipersetujui atas dasar asas bagi mengurangkan jurang ekonomi kaum Melayu. Dan, apa yang diputuskan di dalam kontrak sosial tersebut telah diterjemahkan ke dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang terus digunapakai dan menjadi teras kepada pembangunan dan pemodenan negara Malaysia.

Bagaimanapun, hak dan kepentingan kaum lain tidak pernah dipinggirkan dan sentiasa dipelihara dan diperuntukkan juga di bawah Artikel 153 itu sendiri.

Apakah kemungkinan yang boleh berlaku akibat daripada tindakan segelintir pihak mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak?

Apabila mereka mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu maka inilah yang dikatakan mempersoalkan kedudukan undang-undang dan membangkitkan isu sensitif yang boleh mengundang perselisihan faham dan mencetuskan ketegangan antara kaum. Peruntukan yang menjamin keistimewaan orang Melayu akan terus kekal selagi ia tidak dipinda.

Bagaimana hendak memastikan persetujuan semua kaum, Raja Melayu dan kerajaan British dilaksanakan oleh generasi akan datang?

Persetujuan kontrak sosial ini telah termaktub di dalam undang-undang melalui Artikel 153. Peruntukkan mengenai keistimewaan orang Melayu telah diperketatkan lagi pada 10 Mac 1971 dengan memasukkan Fasal (8A), Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana dalam peruntukkan ini diberi kuasa tambahan. Iaitu memberi kuasa tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberi arahan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai pentadbiran dan pengurusan universiti dan pusat pengajian tinggi atau kolej agar merizabkan tempat dalam jumlah tertentu bagi pelajar Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak di universiti, pusat pengajian tinggi dan kolej.

Dengan kata lain, pihak berkuasa tersebut perlu mematuhi sekiranya terdapat arahan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara tersebut. Jika diteliti dengan mendalam peruntukan fasal ini, jelas ia memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi penetapan kuota bagi orang Melayu di universiti, kolej dan pusat pengajian tinggi yang lain.

Apabila disentuh soal kuota kepada pelajar Melayu, bukanlah bermakna pelajar Melayu tidak layak untuk mendapatkan tempat di universiti. Ini kerana pelajar Melayu masih perlu memenuhi pra syarat dan kelayakan asas sebelum diterima masuk ke sesebuah universiti atau pusat pengajian tinggi.

Dalam masa yang sama apabila ada sistem kuota tidaklah bermakna pihak universiti mengenepikan soal kualiti kerana syarat untuk melepasi ujian dan peperiksaan tidak tertakluk kepada sistem kuota.

Dengan kata lain, jika pelajar Melayu tidak melepasi standard, mereka tetap gagal. Di samping peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak yang telah dibincangkan, terdapat juga peruntukan di bawah undang-undang negeri yang merizabkan tanah khusus bagi pemilikan oleh orang Melayu dan syarikat-syarikat yang dikategorikan sebagai syarikat pegangan Melayu bagi tanah beri milik, tanah kerajaan negeri, tanah rizab hutan dan tanah yang telah dirizabkan untuk kegunaan umum.

Sebagai contoh di negeri Selangor terdapat Enakmen Rizab Melayu (Selangor) FMS Cap 142 yang memberikan penekanan terhadap rizab tanah bagi orang Melayu. Undang-Undang ini memastikan tanah yang dirizabkan untuk orang Melayu sentiasa terpelihara.

Bagaimana pula kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan?

Di dalam Perlembagaan ada memperuntukkan Artikel 3(1) bahawa agama Islam adalah agama bagi Persekutuan. Namun dalam masa yang sama, agama-agama lain boleh diamalkan tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

Di negara ini, majoriti orang Melayu beragama Islam. Secara tidak langsung apabila kita memperkatakan mengenai agama Islam ia berhubung rapat dengan orang Melayu. Persoalan mengenai agama Islam juga telah dipertanggungjawabkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Kedudukan agama Islam juga terpelihara dengan rapi di bawah Perlembagaan dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Mengapa sejak kebelakangan ini terdapat golongan tertentu, malahan sekumpulan orang Melayu sendiri yang telah mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu?

Perkembangan ini pastinya amat merunsingkan dan mengundang kegelisahan di kalangan masyarakat Melayu yang ingin terus mempertahankan kedudukan dan keistimewaan yang terpelihara sejak berzaman sebagai pribumi negara ini.

Persoalannya adakah masyarakat Malaysia telah terlupa tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan dahulu yang mana hak-hak orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak akan terus dipelihara, dilindungi tanpa perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Tidakkah masyarakat hari ini sedar bahawa institusi raja diwujudkan bukan sebagai satu lambang upacara dan adat istiadat rasmi semata-mata. Malahan sebagai satu organ penting di dalam tampuk pemerintahan negara yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan masyarakat pribumi Sabah Sarawak dan agama Islam.

Adakah generasi muda hari ini tidak pernah didedahkan tentang sejarah kewujudan negara ini yang berteraskan prinsip asas kontrak sosial antara kaum? Atau adakah orang Malaysia mudah lupa dan begitu alpa sehingga mengenepikan segala yang telah dipersetujui malah sedia termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan? Di manakah silapnya kita dalam kegagalan memastikan prinsip asas ini terpahat di dada dan pemikiran setiap rakyat di negara ini?

Hak istimewa

Apabila saya memperkatakan tentang kedudukan undang-undang mengenai hak istimewa orang Melayu dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak ini yang dipelihara oleh institusi raja, saya tidak sama sekali menyatakan undang-undang mengenepikan hak kaum lain di negara ini.

Malah kaum lain juga mempunyai hak yang sama rata di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara, cuma terdapat keistimewaan sedikit kepada orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sebagaimana dipersetujui oleh semua kaum ketika mencapai kemerdekaan seperti di bawah Artikel 153.

Persoalan juga timbul adakah memelihara hak keistimewaan orang Melayu sekarang ini sudah tidak relevan lagi. Saya menyatakan soal relevan atau tidak bukan menjadi persoalannya kerana apa yang penting adalah hak istimewa ini sudah terpahat di bawah Perlembagaan dan akan terus kekal sehingga suatu pindaan dilakukan terhadap peruntukan itu.

Perjuangan untuk memelihara hak istimewa orang Melayu tidak boleh dilihat sebagai perjuangan berbentuk perkauman racist. Ini kerana undang-undang telah sedia memperuntukkan keistimewaan dan hak tersebut dan kita hanya perlu mempertahankan hak yang sedia ada ini.

Apakah faktor-faktor penting yang memerlukan hak istimewa orang Melayu dan institusi beraja mesti dipertahankan?

Ia perlu dipertahankan bagi memastikan: (i) Mempertingkatkan ekonomi orang Melayu setaraf dengan kaum-kaum lain agar tidak terpinggir (ii) Orang Melayu mempunyai daya saing dari segi ekonomi yang seimbang dengan kaum lain. (iii) Tahap kemiskinan orang Melayu dapat diatasi dengan kadar segera.

(iv) Kekuatan ekonomi orang Melayu boleh menjadi asas kepada kekuatan politik orang Melayu (v) Agama Islam terus dipelihara sebagai agama rasmi yang perlu dihormati oleh seluruh masyarakat Malaysia. (vii) Agar hak orang Melayu terhadap pemilikan tanah di negara ini dipelihara.

(viii) Pelajar-pelajar Melayu mendapat tempat di universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan dalam jumlah yang hampir sama dengan kaum lain. (ix) Peluang diberi kepada kontraktor -kontraktor dan peniaga-peniaga Melayu untuk menjalankan perniagaan dan dapat bersaing dengan kaum lain di dalam apa jenis perniagaan yang diceburi.

Bagi memastikan kedudukan dan kepentingan orang Melayu sentiasa terpelihara, Perlembagaan Persekutuan melalui Artikel 153 telah memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh merizabkan untuk orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak dalam kadar yang difikirkan munasabah untuk perkara-perkara seperti di bawah.

(a) Jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam (b) Peruntukkan biasiswa dan danasiswa (c) Keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya (d) Peruntukkan permit atau lesen bagi pengendalian apa-apa tred atau perniagaan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan yang membenarkannya (e) Kemudahan-kemudahan khas yang lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Perlu diingat, perenggan (e) Meliputi perkara yang luas iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan hak istimewa kepada orang Melayu dalam aspek lain apabila kerajaan Persekutuan hendak mengadakan sesuatu kemudahan khas lain bagi menjamin hak orang Melayu di Malaysia sentiasa terpelihara dan dindungi.

Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja memperuntukkan peranan Yang di-Pertuan Agong di dalam merizabkan perkara-perkara tersebut di atas.

Bahkan melalui Fasal (3) dan (6) Artikel 153 juga diperuntukkan kaedah perlaksanaan rizab tersebut bagi menjamin ia dapat dilaksanakan dengan berkesan iaitu dengan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan apa-apa arahan seperti yang diperuntukkan seperti:

(a) Mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang bidang kuasanya meliputi orang-orang dalam perkhidmatan awam. (b) Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai pemberian biasiswa, danasiswa atau pendidikan dan latihan. (c) Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pemberian permit dan lesen, bagi perlaksanaan rizab yang dinyatakan.

Setelah disentuh dan dihuraikan secara panjang lebar mengenai fungsi Yang di-Pertuan Agong, apakah nasihat ataupun saranan anda mengenai isu berbangkit ini?

Semua pihak perlu berbalik dan akur kepada peruntukan undang-undang. Sekiranya ini dilakukan, saya yakin tidak akan timbul pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum.

Pihak-pihak terlibat perlu lebih sensitif dalam mempersoalkan hak setiap kaum demi menjamin keharmonian dan keamanan negara ini. Saya juga yakin sekiranya semua pihak memahami sejarah kewujudan peruntukan mengenai hak istimewa orang Melayu dan memahami konsep raja berperlembagaan nescaya semua pihak akan akur tentang apa yang telah diberikan kepada setiap kaum.

Saya juga melihat terdapat golongan tertentu apabila membincangkan hak orang Melayu mereka lebih cenderung menyatakan ia menyentuh isu perkauman. Walhal ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana dalam undang-undang sudah sedia termaktub. Jadi mengapakah mesti mereka mempersoalkannya dan bertelingkah sedangkan undang-undang sudah jelas untuk difahami.

Ringkasnya, saya juga percaya kekeliruan ini timbul apabila semua pihak bercakap mengikut emosi masing-masing tanpa merujuk kepada undang-undang.

Sebagai rumusan, kuasa Yang di-Pertuan Agong di dalam memelihara keistimewaan orang Melayu di negara ini sentiasa terpelihara di bawah peruntukan undang-undang negara.

No comments: