Wednesday, October 29, 2008

Tujuh rintihan masyarakat Cina

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini meluahkan tujuh rintihan rakyat khususnya di kalangan masyarakat Cina yang turut mengakibatkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Presiden MCA, beliau berkata, para pemimpin BN dan semua parti komponennya perlu memandang berat terhadap keluhan rakyat tersebut dan bertindak secara berkesan untuk membawa perubahan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

''Perkara yang saya sentuh hari ini adalah benar-benar suara orang ramai. Isu-isu tersebut merupakan maklum balas yang diterima oleh MCA dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mahu mendengar perkara sebenar," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55 di Wisma MCA di sini hari ini.

Katanya, tujuh isu tersebut ialah masalah penyalahgunaan kuasa oleh ahli politik dan pegawai kerajaan seperti dalam pemberian kontrak kerajaan serta segelintir ahli politik dalam BN yang angkuh dan ghairah membuat kenyataan atau ucapan yang berbau perkauman atau mengugut kaum-kaum lain.

Tambahnya, orang ramai juga mengeluh berhubung dengan peningkatan kes jenayah, harga barang dan kos kehidupan yang tinggi akibat kenaikan harga minyak serta cara pengendalian isu-isu keagamaan oleh pihak berkuasa.

''Mereka juga merintih kerana pihak berkuasa tertentu dianggap suka menggunakan alasan dasar ekonomi negara mengikut interpretasi yang prejudis dan pemikiran yang sempit.

''Ramai peniaga, pengusaha, pemaju atau pelabur bukan bumiputera sentiasa berasa kecewa kerana berasa disekat dan tidak dilayan oleh sesetengah kementerian, jabatan atau agensi kerajaan dengan adil dalam soal pemberian lesen, permit, pinjaman atau peluang penyertaan tender," ujar Ka Ting.

Menurutnya, kekurangan peruntukan daripada kerajaan dalam pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta sekolah-sekolah mubaligh turut menjadi isu di kalangan masyarakat Cina dan India.

Ka Ting berharap kerajaan dapat menangani perkara-perkara tersebut dengan segera supaya keyakinan orang ramai terhadap kerajaan dapat dipulihkan.

Presiden MCA itu yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan hari ini berkata, sejak berada di luar Kabinet, beliau telah berjumpa dengan banyak pihak terutama di kalangan rakyat biasa dan mendapat pelbagai maklumat mengenai harapan mereka terhadap kerajaan.

No comments: