Wednesday, October 29, 2008

Kerajaan akan pastikan GLC berdaya saing


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kerajaan akan terus memantau prestasi syarikat milik kerajaan (GLC) yang bertindak sebagai payung kepada pembangunan syarikat-syarikat kecil bumiputera bagi memastikan mereka terus kekal berdaya saing dalam memacu perkembangan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berbanding prestasi GLC sebelum garis panduan Buku Merah Program Transformasi GLC dikeluarkan pada April 2006, kini dapat dilihat banyak peningkatannya malah ada GLC yang dikategorikan sebagai cemerlang.

"Setelah garis panduan dibuat oleh kerajaan, kita nampak banyak peningkatan. Malah ada GLC yang cemerlang tetapi kita belum puas hati.

"Kita akan terus memantau supaya prestasinya berterusan meningkat dan kalau ada kelemahan tertentu, kita sanggup memperbaikinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini yang mahu mengetahui rancangan dan strategi kerajaan untuk menjadikan GLC mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) mengenai tindakan kerajaan untuk membantu syarikat kecil pembekal perabot ke sekolah yang kini diburu bank setelah hilang kontrak bekalan itu, Najib berkata, beliau telah menemui wakil syarikat berkenaan dan mendengar aduan mereka.

Dalam soalannya, Azmi memberitahu, syarikat kecil tersebut dipayungi Kumpulan Guthrie yang diberikan kontrak membekal perabot di sekolah tetapi kini, 50 peratus daripada syarikat kecil itu diburu bank kerana Guthrie tidak lagi menjalankan perniagaan tersebut.

Najib yang berterima kasih kepada Azmi kerana membangkitkan isu tersebut berkata, beliau telah meminta tender pembekalan itu dikaji semula dan sekiranya perlu, kerajaan akan menggantikannya dengan sistem kontrak berpusat bagi membolehkan syarikat kecil bumiputera itu mendapat peluang perniagaan daripada kerajaan.

''Saya minta peluang diberikan kepada kelompok ini kerana kalau tidak, mereka akan gulung tikar. Peluang patut diberikan kepada mereka," katanya.

Menjawab soalan asal daripada Azmi, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak mahu perniagaan diurus berlandaskan dasar-dasar perkauman dan sentiasa menggalakkan syarikat swasta dan GLC memainkan peranan membangunkan vendor tempatan termasuk bumiputera.

Katanya, syarikat besar milik bukan bumiputera terutama yang memegang lesen atau mendapat kontrak daripada kerajaan, juga patut mengutamakan pembangunan syarikat-syarikat kecil tempatan dan bumiputera.

''Selari dengan garis panduan yang ada, GLC berperanan memayungi syarikat pengusaha dan pembekal kecil bumiputera melalui pelbagai program seperti pelaksanaan Program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) yang diwujudkan khusus untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan syarikat kecil serta menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera dalam aktiviti ekonomi," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, daripada perolehan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berjumlah RM5.5 bilion pada 2007, 32 peratus atau RM1.8 bilion dianugerahkan kepada vendor bumiputera dan TNB juga memainkan peranan sebagai payung kepada 250 vendor di bawah BVDP.

Katanya, pemantauan ke atas pelaksanaan program Buku Merah oleh GLC secara keseluruhan dibuat melalui Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC sebagai salah satu elemen utama Program Transformasi GLC.

Najib berkata, peranan GLC menyokong agenda pembangunan negara tidak terhad kepada aspek perolehan malah memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan sebagai usaha berterusan memperkasakan prestasi GLC.

''Membangunkan tenaga kerja yang berprestasi tinggi dan berdaya saing akan memacu perkembangan ekonomi negara dan pada masa yang sama, melahirkan pemimpin korporat dan usahawan masa depan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu telah pun terbukti dengan lahirnya komuniti usahawan berjaya yang sekarang ini menyokong operasi syarikat seperti Petronas dan Proton.

No comments: