Tuesday, July 29, 2008

Kaji semula keanggotaan Pas

DAP persoal kredibiliti berdasar perkembangan mutakhir undang keraguan

KUALA LUMPUR: Tanda perpecahan mula ketara dalam Pakatan Rakyat apabila DAP secara terbuka meminta pakatan itu mengkaji semula keanggotaan Pas.

"Pas ternyata mengundang keraguan mengenai kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada Pas patut terus dibenarkan menganggotainya," kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.


Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan berita baru-baru ini yang mengesahkan bahawa Pas dan Umno, yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), mengadakan rundingan bagi memelihara perpaduan Melayu di negara ini.

"Jaminan Presiden Pas (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa Pas tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.

"Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, Pas mengadakan perbincangan dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan mengenai perkara itu," katanya.

Beliau juga menyelar langkah Pas mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno 'atas nama perpaduan Melayu' dan menyifatkan langkah bersifat perkauman oleh Pas itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat, yang dianggotai DAP, PKR dan Pas memerintah lima negeri – Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Perpecahan gabungan ini akan menyebabkan berlaku perubahan kerajaan di negeri terbabit, kecuali di Kelantan dengan Pas mempunyai majoriti lima kerusi.

Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan agar Umno dan Pas dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan serius. Kenyataan Nik Aziz ini mengetepikan kenyataan Abdul Hadi di Ipoh kelmarin bahawa Pas tidak akan bergabung dengan Umno atau menyertai Barisan Nasional.

"Jelas sekali, kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini memberi persepsi bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Rakyat," kata Karpal.

Bagaimanapun, kenyataan Karpal juga mengandungi kesilapan apabila beliau menyebut Nasharudin Mat Isa sebagai Setiausaha Agung Pas sedangkan orang kuat Pas itu adalah Timbalan Presiden parti berkenaan.

"Minggu lalu, Setiausaha Agung (sebenarnya timbalan presiden) Pas Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan Pas secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat.

"Pas tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal. – Bernama

No comments: