Tuesday, July 29, 2008

Pertemuan Umno-Pas bincang kepentingan Islam, Melayu

KUALA LUMPUR: Umno memutuskan untuk mengatur lebih banyak pertemuan susulan dengan pemimpin tertinggi Pas bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam dan kepentingan orang Melayu.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, petang semalam.


Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata pertemuan susulan itu pasti diadakan kerana pemimpin tertinggi kedua-dua parti sudah bertemu tiga kali sebelum ini.

“Lebih banyak dialog akan diadakan. Setakat ini ia amat baik dan lebih memahami mengenai asas agama yang kita tak boleh kompromi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MT di Menara Datuk Onn di sini.

Mesyuarat hampir tiga jam itu turut dihadiri Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ditanya bila pertemuan seterusnya akan diadakan, Muhammad berkata tarikhnya belum dipastikan, tetapi perbincangan kedua-dua parti itu tetap akan diteruskan untuk kebaikan rakyat dan negara.

“Isu di sini ialah memahami asas ajaran Islam, bukan lompat parti, itu bukan isu,” katanya mengulas sama ada MT membincangkan mengenai persetujuan Pas untuk meneruskan pertemuan dengan pemimpin Umno.

Kelmarin, empat pemimpin tertinggi Pas sebulat suara bersetuju meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam negara ini.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat hampir sejam yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din serta Timbalan Presiden parti itu, Nasarudin Mat Isa.

Bagaimanapun, pada mesyuarat itu Pas membuat pendirian mahu perbincangan itu dikenali sebagai muqabalah yang bermaksud perjumpaan atau bersemuka, bukannya muzakarah.

Muhammad berkata, pada mesyuarat MT semalam Abdullah turut menerangkan mengenai hasil pertemuan yang diadakan dengan pimpinan Pas sebelum ini, terutama dari segi perkara pokok berkaitan agama yang sepatutnya umat Islam tidak boleh berbalah.

“Ini perkara berkaitan keimanan, berkaitan dengan ajaran agama kita tak boleh berbalah. Kita boleh ada perbezaan pendapat mengenai soal pentadbiran dan sebagainya, tapi dari segi agama kena ada kerjasama dan persefahaman antara kepemimpinan dalam Umno dan Pas yang mewakili pimpinan Islam,” katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu pembelian 14 kereta Mercedes Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta oleh kerajaan Terengganu, beliau berkata perkara berkenaan tidak dibincangkan.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, mesyuarat MT turut berbincang secara ikhlas untuk memperkasakan lagi parti, memperbaiki kelemahan dan bagaimana untuk mendekati isu semasa.

“Kita buat dengan cara yang kemas, muhasabah diri, tengok diri dan tengok realiti, pandang diri kita dan beritahu apa sebenarnya yang patut kita hadapi dengan keadaan baru, khalayak baru, situasi baru, masyarakat semasa yang sudah meningkat dan lebih kritikal, telus dan kena hadapi realiti baru ini,” katanya.

Ketua Penerangan Wanita Umno, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin, yang ditemui pula berkata, ahli MT memberi reaksi positif soal muqabalah.

No comments: