Tuesday, July 29, 2008

Pas, Umno perlu jujur bermuzakarah demi perpaduan


DARI kiri (atas): Abdullah Ahmad Badawi, Nik Aziz Nik Mat, (bawah) Najib Razak dan Abdul Hadi Awang.



Masyarakat Melayu, Islam dituntut bermuhasabah untuk merenung sejenak ketentuan nasib masa depan mereka

MUNGKIN belum pernah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengiyakan sebarang bentuk kerjasama parti itu dengan Umno. Selama ini, bagi bekas Menteri Besar Terengganu itu, Pas dan Umno ibarat air dengan minyak – tidak boleh bercampur.

Beliau dilihat sebagai pemimpin Pas yang tidak mudah tunduk kepada sebarang desakan apatah lagi untuk diajak bersemuka dengan orang Umno. Tidak hairanlah, ada pemerhati politik berpendapat selagi Abdul Hadi mengetuai Pas, selagi itulah jurang antara pemimpin Melayu dalam Umno dan Pas sukar dirapatkan.


Bagaimanapun, apabila Abdul Hadi dalam wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu minggu lalu, menyentuh mengenai proses muzakarah bersama Umno, ramai yang terkejut – antara percaya atau tidak ia keluar daripada mulut pemimpin nombor satu Pas itu.

Kini umum sudah tahu, rupa-rupanya muzakarah itu sudah berjalan secara senyap sebanyak tiga kali antara kepemimpinan tertinggi Umno dan Pas, bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam serta kepentingan umat Islam di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengesahkan pertemuan itu berkata: "Kita berbincang dengan ikhlas dan menyuarakan apa juga pandangan yang kita fikir wajar, antaranya isu yang boleh memberi kesan kepada agama Islam kerana penting kita tidak berbalah dalam hal berkaitan agama.

"Lagipun, jika hal agama ini menjadi isu politik, ia boleh membawa masalah kepada orang Islam. Apa boleh saya katakan kita ada bersefahaman yang baik," katanya.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak turut menerima baik cadangan muzakarah itu kerana bagi beliau, apa yang penting ialah keinginan dan langkah terbaik untuk kepentingan negara.

Dalam satu kenyataan, Abdul Hadi berkata, perjumpaan pertama dengan Perdana Menteri berlaku sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang turut membabitkan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad.

"Pas tidak menafikan bahawa memang sudah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, bagi membincangkan isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. Pas bersedia menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia," katanya.

Abdul Hadi berkata, pertemuan itu sudah pun dilaporkan ke mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula dilaporkan berkata beliau bersetuju jika muzakarah itu ditukar kepada muqabalah kerana baginya muzakarah lebih kepada perdebatan, manakala muqabalah bermaksud perjumpaan atau bersemuka.

Walau apa pun namanya, yang penting ialah pemimpin kedua-dua parti itu bertemu dan berbincang atas nama perpaduan Melayu dan kepentingan agama.

Muzakarah antara pemimpin kedua-dua parti ini bukan sesuatu perkara baru atau luar biasa kerana ia pernah diadakan pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sekitar 1970-an ketika Umno dan Pas mahu menguatkan perpaduan orang Melayu berikutan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, selain bagi menggerakkan agenda meningkatkan taraf hidup dan ekonomi Bumiputera.

Tidak dinafikan selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, senario politik tanah air berubah sama sekali. Malah, keadaan agak bercelaru selepas itu dengan soal ketuanan Melayu dicabar, agama Islam bagaikan diperlekeh, malah ada pemimpin pembangkang seolah-olah mencabar institusi raja atau istana.

Pada masa sama, ramai orang Melayu berasa tidak senang hati apabila ada pihak secara terbuka memperkatakan mengenai hak keistimewaan mereka, kontrak sosial selain berkaitan isu ekonomi dan pendidikan, termasuk perkara berkaitan pemberian biasiswa untuk pelajar ke luar negara.

Tanpa mahu membangkitkan sentimen perkauman, hakikatnya kedudukan orang Melayu bagaikan tercabar, apatah lagi mereka berpecah berikutan fahaman politik yang berbeza. Keadaan itu menuntut masyarakat Melayu dan Islam bermuhasabah untuk merenung sejenak apakah nasib masa depan mereka.

Jika ingin mencapai sesuatu bagi perpaduan nasional, ia seharusnya bermula dengan perpaduan orang Melayu. Apabila wujud perpaduan Melayu, maka perpaduan nasional baru boleh dimulakan. Umno dan Pas adalah dua parti Melayu terbesar.

Berbekalkan keikhlasan dan komitmen jitu, ramai berpendapat muzakarah pada ketika orang Melayu menghadapi pelbagai cabaran sekarang, perlu disegerakan demi kepentingan agama dan bangsa.

Sudah semestinya rakan Pas dalam Pakatan Rakyat, terutama DAP tidak senang hati dengan perkembangan itu kerana mereka mungkin berpendapat perpaduan jitu pemimpin Melayu akan mengancam kedudukan mereka yang kini sudah menguasai dua negeri, iaitu Pulau Pinang dan 'Kabinet Kerajaan Perak'.

Memang ada kumpulan tertentu dalam Pas yang tidak selesa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai Pakatan Rakyat dan melihat DAP sebagai penghalang kepada agenda negara Islam parti itu. Dengan isu kes liwat membabitkan Anwar, Pas sudah mula melihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat semakin rapuh.

Di Perak, walaupun Menteri Besarnya orang Pas, banyak keputusan dikatakan dipengaruhi DAP yang menguasai barisan Exco. Contohnya isu 'Perjanjian Pangkor II' tetapi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan dakwaan ada 'Perjanjian Pangkor II', persetujuan bertulis antara beliau dengan pemimpin DAP negeri yang antara lain melarang Menteri Besar itu mengatakan Perak diperintah oleh Islam.

Banyak lagi isu lain yang bagaikan bertentangan dengan kehendak Pas di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Pada peringkat awal kerjasama itu, Pas dan DAP boleh melupakan ideologi politik menerusi 'perkahwinan untuk keselesaan', tetapi semakin hari nampaknya perkahwinan itu tidak semesra yang diharapkan.

Jika diibaratkan 'teruna dan dara', Pas dan DAP tidak boleh 'berkahwin' dan jika berkahwin sekali pun (orang kata kahwin paksa), talak adalah permainannya.

Berdasarkan hakikat ini, ke mana Pas mahu mengadu atau memperjuangkan sesuatu bagi kepentingan Melayu dan Islam. Dengan PKR? Parti orang Melayu, iaitu PKR dan Pas seolah-olah menjadi buah catur kepada DAP. PKR mahukan ketuanan rakyat, bukan ketuanan Melayu.

Akhirnya, Pas terfikir sebaik-baiknya Umno adalah saudara 'jauh' yang sesuai untuk bermuzakarah. Umno begitu serius untuk bermuzakarah dan diharapkan Pas juga perlu menunjukkan ia turut serius.

Tiada pihak harus mempersoalkan niat murni itu melainkan mereka yang melihat semuanya daripada sudut negatif atau perangkap semata-mata. Dalam hal muzakarah ini, tiada satu parti sama ada Umno atau Pas, yang dominan. Malah ia juga bukan bertujuan menekan mana-mana parti, sama ada Pas atau Umno, sebaliknya bagi kepentingan bersama.

Jika Umno dan Pas terus berbalah, akan berlaku kekalutan berterusan. Perbincangan adalah tradisi ulama zaman silam. Berkembangnya ilmu pada zaman keagungan Islam disebabkan hidupnya suasana muzakarah di kalangan mereka.

Malangnya, suasana itu semakin lenyap. Muzakarah diganti dengan perbalahan. Umat Islam terseret ke gelanggang pertikaman lidah, bertegang leher dalam suasana panas dan sensitif. Siapa yang meraih keuntungan?

Hakikatnya, Umno dan Pas yang mempunyai kekuatan tersendiri harus bertemu atas dasar keikhlasan dan tidak melihat muzakarah itu sebagai satu cara untuk menarik perhatian umum semata-mata. Soal sama ada Pas sebagai sebuah parti mahu menyertai BN, biar diketepikan dulu.

Pas dan Umno perlu jujur dalam perkara ini kerana keikhlasan itu akan mengikis segala prasangka, andaian dan biar perkara berlalu tersimpan dalam sejarah.

Benar, air dan minyak tidak akan bercampur, tetapi dalam kuali segala-galanya boleh bercantum apabila airnya mula mendidih. Itulah 'air perpaduan'.

No comments: