Tuesday, July 29, 2008

Muzakarah Umno, Pas jadi kenyataan

KOTA BHARU: Empat pemimpin tertinggi Pas semalam sebulat suara bersetuju meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam negara ini.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat hampir sejam yang dihadiri Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din serta Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa.

Nik Abdul Aziz yang sebelum ini mahu perbincangan dengan Umno dihentikan segera, turut bersetuju membenarkan pemimpin Pas meneruskan pertemuan berkenaan selaras dengan persetujuan Majlis Syura Ulama pada mesyuaratnya, 23 April lalu.


Bagaimanapun, pada mesyuarat semalam Pas membuat pendirian mahu perbincangan itu dikenali sebagai muqabalah yang bermaksud perjumpaan atau bersemuka, bukannya muzakarah.

Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya yang dibacakan Dr Haron selepas mesyuarat empat pemimpin tertinggi parti itu di kediaman rasminya, JKR 10 di sini, menjelaskan beliau dan Abdul Hadi tidak bercanggah pendapat, sebaliknya kekeliruan berlaku disebabkan penggunaan perkataan muzakarah dan bukannya muqabalah.

"Muqabalah bermaksud perjumpaan atau bersemuka, manakala muzakarah membawa maksud berdebat secara terbuka," katanya.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita, Nik Abdul Aziz menjelaskan kenyataannya sebelum ini juga sama saja dengan kenyataan Presiden parti.

"Kalau perjumpaan untuk masuk Barisan Nasional (BN) memang tak ada, tapi kalau boleh tukar muzakarah kepada muqabalah," katanya.

Abdul Hadi pula berkata, tidak timbul isu Pas akan menyertai BN kerana parti itu masih bersama Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan perjumpaan pemimpin Pas dan Umno sebanyak tiga kali sebelum ini bukan saja membincangkan isu semasa yang dialami orang Melayu dan umat Islam, malah perpaduan dengan kaum lain selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Kita juga minta kerajaan Pusat memberi perhatian terhadap masalah rakyat di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, khususnya di bawah Pas.

"Dalam isu ini, sebagai mana persefahaman kita dalam Pakatan Rakyat, tidak menjadi halangan untuk kita mengadakan perjumpaan dengan Umno kerana pertemuan itu bagi membincangkan isu bersama demi kepentingan seluruh rakyat kerana Pas wajib menyuarakan kepentingan Islam dan pada masa sama, keadilan wajib diberi kepada semua kaum," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, beliau tidak menghadiri pertemuan tiga kali dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, sebaliknya Pas diwakili Datuk Mustapha Ali yang membawa usul diputuskan pada mesyuarat Majlis Syura Ulama, April lalu.

No comments: