Tuesday, July 29, 2008

Pas bimbang kepercayaan rakyat terhakis

SECARA tiba-tiba, apabila parti Pas mengumumkan kesediaannya bermuzakarah dengan Umno, orang Melayu menarik nafas lega kerana ia dilihat sesuatu yang positif bagi mengindahkan semula landskap politik negara khususnya perbalahan ideologi di kalangan orang Melayu. Hala tuju tetap sama iaitu untuk menjaga kepentingan Islam dan orang Melayu.

Namun, ada juga yang sangsi terhadap niat parti pembangkang itu. Berdasarkan sejarah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga pernah mengadakan kerjasama tetapi Pas sering berdolak dalih dengan niatnya itu. Dan baru-baru ini, Dr Mahathir sekali lagi menyuarakan kesangsiannya bahawa Pas menurut beliau, boleh berbuat apa saja.

Maklumlah, beliau yang sudah berhadapan dengan kerenah Pas selama 22 tahun dan tentunya amat faham mengenai 'perangai' parti Melayu kedua ini. Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan pernah menyatakan bahawa beliau sebenarnya bukan menolak ahli Umno tetapi menolak tubuh Umno yang disifatkan sebuah parti yang tidak menggunakan Islam sebagai landasan perjuangan.


Melihat sudut lain pula, ada ketikanya kita tertanya-tanya apakah yang mendorong Pas ingin bekerjasama dengan Umno? Sungguhpun memang sebelum ini pernah berbuat demikian, tidak ada sebarang hasil atau kata putus yang dapat dilihat.

Parti pembangkang di negara kita pada asalnya bergerak dengan sendiri berikutan ideologi yang terlalu sempit. Tidak seperti formula digunakan kerajaan, dasar tolak ansur dan ideologi yang dapat diterima semua kaum membolehkannya bekerjasama dengan parti yang dibangunkan kaum lain.

Akhirnya, parti pembangkang seperti Pas melihat bahawa ideologi sempit sukar mendapatkan korum dalam pemerintahan dan dengan itu konsep kerjasama dengan parti lain walaupun melanggar prinsip asal terpaksa digunakan. Beberapa pilihan raya sebelum ini iaitu pada 1999, 2004 dan 2008, menampilkan satu kerjasama beberapa parti pembangkang yang sudah membuahkan kejayaan besar kepada mereka, Mac lalu.

Daripada Barisan Alternatif kini Pakatan Rakyat, beberapa negeri juga berjaya ditawan selain berjaya menggugat kredibiliti parti Barisan Nasional.

Namun, tindak-tanduk atau dasar kerajaan Pakatan Rakyat apabila berjaya mentadbir kerajaan negeri seolah-olah memecahkan tembelang sendiri. Banyak isu yang tercetus mengheret ketidakpuasan hati rakyat bukan saja rakyat yang berpihak kepada kerajaan tetapi rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat. Isu yang wujud sejak kebelakangan ini menyentuh hal sensitif seperti isu Raja-Raja Melayu, agama Islam dan keistimewaan orang Melayu.

Malangnya, isu ini pula banyak timbul selepas Pakatan Rakyat memerintah di beberapa negeri. Inilah yang menarik untuk kita analisis mengapa kemungkinan besar Pas berlapang dada untuk mengadakan muzakarah. Pas hanya memerintah di Kelantan dan Kedah. Di Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat diketuai Parti Keadilan Rakyat yang banyak berkompromi dengan kata lain seolah-olah ditunggangi parti DAP.

Parti orang Melayu iaitu PKR dan Pas seolah-olah menjadi buah catur kepada DAP. Contohnya dalam isu penternakan babi, penganjuran konsert ketika perhimpunan sejuta rakyat yang mencetuskan insiden memalukan, isu penyaluran wang derma dalam akaun PKR serta isu lain yang dikatakan meretakkan kesefahaman Pakatan Rakyat.

Pas bimbang dengan kehakisan kepercayaan rakyat terhadap perjuangannya. Disebabkan matlamat ingin menjaga kesepakatan dalam Pakatan Rakyat, Pas terpaksa memberi laluan kepada tuntutan parti lain walaupun tuntutan itu menyentuh soal Islam dan orang Melayu.

Kepada siapa Pas mahu mengadu dalam isu orang Melayu dan Islam. Akhirnya, Pas terfikir sebaik-baiknya, Umno adalah saudara 'jauh' yang sesuai untuk bermuzakarah.

Kita tidak boleh menjangka apa perkara yang dibincangkan walaupun umumnya kita tahu skop perbincangannya akan menyentuh isu orang Melayu dan Islam.

Di sebalik cadangan muzakarah ini, akan adakah satu titik penyelesaian konkrit dalam kerjasama antara Pas-Umno sekiranya muzakarah itu berjaya diadakan, akan terjaminkah orang Melayu dan Islam dalam Pakatan Rakyat seperti terjaminnya orang Melayu dan Islam dalam BN?

No comments: