Tiada senyuman dan gelak ketawa yang dapat menutup gegaran dalam Pergerakan Wanita UMNO. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kini berada dalam keadaan yang cukup kronik.Malah siapa saja ahli politik pasti tidak mahu berada dalam kedudukannya yang serba salah itu.

Mahu tak mahu jika tidak ada satu penyelesian segera dicapai adalah selamat untuk menduga Naib Ketua Wanita UMNO pasti kena ‘ langgar ’ bosnya Tan Sri Rafidah Aziz setelah pelan peralihan kuasa bulan Jun 2009 meletakkannya dalam kedudukan yang tersepit.

Soalnya sekarang apa pilihan yang Shahrizat ada.Jika tetap mematuhi pelan peralihan kuasa itu bererti beliau terpaksa berentap dengan Datuk Kamalia Ibrahim yang tetap tidak berganjak hendak bertanding jawatan itu juga setelah mendapat 56 pencalonan iaitu jauh melebihi kuota kelayakan yang ditetapkan.

Shahrizat sendiri mendapat majoriti pencalona untuk jawatan berkenaan iaitu 102.

Sebaliknya jika tidak bertanding jawatan nombor satu pergerakan itu siapa kelak yang akan mengisi jawatan Ketua wanita UMNO yang akan dikosongkan oleh Rafidah Jun nanti?

Menariknya sebanyak 73 Wanita UMNO Bahagian menolak pelan peralihan dengan mencalonkan Shahrizat bertanding jawatan Ketua Wanita.Rafidah mendapat 116 pencalonan.

Bibit-bibit gegaran dalam pergerakan itu mula terserlah petang Ahad bila Shahrizat mengeluarkan satu kenyataan meminta Rafidah supaya mempertimbangkan untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa jawatan tertinggi sayap itu supaya selaras dengan pemilihan parti peringkat pusat Mac depan.

Beliau berkata permohonan itu dibuat berdasarkan perkembangan UMNO masa kini.

Namun sepertit yang semua orang sudah tahu mesyuarat Exco Wanita UMNO yang dipengerusikan oleh Rafidah dan turut dihadiri oleh Shahrizat selama lima jam di ibupejabat UMNO pagi Isnin telah memutuskan agar jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita tidak bertanding.

Pendirian Kamalia dalam soal ini sudah jelas bila beliau tidak menghadiri mesyuarat itu.

Dan petang Selasa kemelut dalam pergerakan itu lebih terserlah bila Kamalia menegaskan secara terbuka beliau tetap akan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.

Katanya beliau tawar diri kerana tidak mengiktiraf pelan peralihan kuasa pergerakan itu pada Jun 2009.

Menurutnya pelan peralihan seumpama itu tidak terkandung dalam perlembagaan UMNO dan “bukan amalan UMNO”.

Exco Wanita UMNO yang dikenali tokoh yang low profile dan lemah lembut itu juga berkata beliau tidak melihat keperluan untuk bertemu Rafidah atau Shahrizat untuk berunding.

Katanya beliau tak nak jumpa kerana pendiriannya sudah ada.Menurut Kamalia setakat ini kedua-dua mereka belum menghubunginya lagi.

Ditanya sama ada beliau “kisah” untuk bertanding dengan Shahrizat bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO, Kamilia berkata beliau tidak akan menarik diri walaupun berdepan dengan sesiapa jua.

Petang Selasa Shahrizat juga telah mengeluarkan satu kenyataan dua perenggan yang dilihat mempertikaikan pelan peralihan kuasa Jun 2009.