Sunday, November 23, 2008

'Letak jawatan jika skandal seks, rasuah,pemalas...





SHAH ALAM 23 Nov. - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengusulkan agar Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu meletak jawatan sekiranya terbabit dalam skandal rasuah mahupun seks.

Cadangan usul itu akan dikemukakan pada Kongres Nasional Wanita PKR yang diadakan 28 November ini.

Usul itu dibuat sebagai salah satu cara bagi membersihkan parti termasuk di peringkat kepimpinan daripada gejala tersebut.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, sekiranya usul itu diluluskan, mana-mana pemimpin yang didapati terlibat dalam skandal tersebut, jawatan mereka dalam parti termasuk wakil rakyat akan digugurkan secara automatik.

''Ini yang kita bawa dan bahaskan dalam kongres parti yang akan diadakan nanti.

''Kita tidak mahu ada pemimpin khususnya daripada PKR terlibat dalam gejala rasuah atau seks, kita mahu pemimpin yang bersih.

''Sekiranya diluluskan, kita turut mahu supaya usul ini dapat diikuti oleh parti sekutu seperti DAP dan Pas,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, dua pemimpin parti itu, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, 57, dan Kapten (B) Usaili Alias, 56, ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang lebih RM100,000 berhubung satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, Perak, pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, Zuraida turut memberitahu, pihaknya akan membincangkan cadangan supaya sayap parti itu disertai hanya wanita berumur kurang 40 tahun di peringkat bahagian dan negeri.

Menurutnya, wanita yang berumur lebih 40 tahun pula akan diserap ke dalam kepimpinan di peringkat pusat parti itu.

''Kita mahu menarik lebih ramai wanita muda di bawah umur 40 tahun menyertai PKR. Selain itu, kita juga membuka ruang lebih luas kepada wanita berumur lebih 40 tahun terbabit secara langsung di peringkat induk.

''Malah, kita akan meminta pucuk pimpinan tertinggi PKR menawarkan satu daripada tiga jawatan Naib Presiden PKR kepada wanita,'' ujarnya.


PKR sokong pecat jawatan Zul Hassan



Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong keputusan Kerajaan Negeri Perak untuk memecat Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan ekoran kenyataannya yang mengaku terima habuan khidmat seks tetapi disifatkan sebagai "sedekah".

wan azizah permatang pauh by election 210808 02Presidennya, Datu Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataan sedemikian telah memperlekehkan usaha Pakatan Rakyat ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang menghormati kepercayaan rakyat.

"Bagaimanapun, tindakan kerajaan negeri Perak yang pantas dan tegas dalam menangani isu ini memperlihatkan kesungguhan Pakatan Rakyat bagi memastikan pegawai kerajaan benar-benar berpegang pada etika dan moral, dan bukan sekadar cakap kosong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Zul Hassan yang juga ahli PKR akan dihadap ke jawatankuasa disiplin parti itu untuk menjelaskan kenyataannya yang menyamakan habuan seks dengan "sedekah".

Wan Azizah berkata, PKR berpendirian bahawa amat penting untuk pegawai tinggi berkelakuan baik agar menjadi teladan generasi muda.
"Maka kami menyokong penuh tindakan yang diambil ke atas Zul Hassan dan tindakan selainnya yang diambil ke atas sebarang salahlaku asalkan terdapat bukti kukuh.

"Kami tidak akan bertoleransi dalam isu salahlaku yang melibatkan mana-mana pegawai kerajaan, tanpa mengira parti dan jawatan, sebaliknya mengatasinya dengan serius.

"Akhirnya kami ingin mengesahkan bahawa Mohammad Imran Abdullah yang juga terlibat dalam skandal seks tersebut bukan ahli PKR," katanya.

Wanita turut sokong

Sementara itu, Wanita PKR juga menyokong tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin yang mahu Zul Hassan melepas segera jawatan ahli Majlis Daerah Perak Tengah.

Sehubungan itu, pergerakan tersebut mahu pihak pimpinan terutama, Dr Syed Hussien Ali selaku pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, mengambil tindakan disiplin parti terhadap Zul Hassan.

pkr keadilan weekly pc 280607 zuraida kamaruddinKetuanya, Zuraida Kamaruddin merujuk merujuk kepada fasal 5 (11) dan fasal 5 (3e) berhubung perjuangan parti itu membela dan memertabatkan kaum wanita.

"Fasal 5(11) memperjuang dan membela nasib wanita serta memartabatkan kaum wanita dan fasal 5(3e) juga menekankan kepada aspek ketinggian akhlak.

"Jelas perbuatan yang dilakukan Zul Hasnan tidak berakhlak sama sekali khususnya bagi insan yang beragama Islam," kata Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami Wanita Keadilan juga mahu tindakan segera diambil tanpa mengira latarbelakang parti," katanya.

Merujuk kepada aspek keadilan, tambah Zuraida, seharusnya wanita tersebut juga perlu mendapat pembelaan sewajarnya tanpa mengira bangsa dan agama.

"Jawatan Zul Hassan - selain ahli majlis - keanggotaannya juga perlu dilucutkan dan tindakan disiplin harus dikenakan terhadap beliau ekoran sifat kepimpinan yang ditonjolnya yang tidak menyerupai contoh seorang pemimpin.

"Kami dari Wanita Keadilan juga mahu pihak berkuasa agar menyiasat kes ini sedalam-dalamnya di mana wanita dijadikan mangsa serta diperalatkan oleh sesetengah individu untuk kepentingan tanpa mengira latar belakang politik," kata Zuraida sambil menggesa pihak yang bersalah supaya dibawa ke muka keadilan.

No comments: