Alasan yang diberikan kerana mereka tidak berpuashati kerana tidak diberikan kebenaran untuk mencelah penggulungan yang dibuat oleh Najib.

Namun di awal penggulungannya telah menjelaskan, beliau hanya akan memberi laluan kepada Ahli Parlimen meminta penjelasan setelah beliau selesai membentangkan langkah-langkah tambahan Bajet 2009.

Selama 15 minit pertama penggulungan, barisan pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk memaksa Najib memberikan laluan untuk mereka memberikan penjelasan.

"Sabar, saya akan beri laluan setelah saya bentangkan langkah-langkah tambahan," kata Najib.

Lebih hangat apabila Najib mula melancarkan 'serangan' ke atas pembangkang apabila menyentuh mengenai cadangan bajet alternaif yang dibetangkan oleh Anwar.

Najib menyifatkan cadangan pembangkang untuk mengurangkan bajet 2009 sebanyak RM24 bilion sebagai pendekatan ekonomi yang menguncup.

"Langkah ini sama dengan pendekatan yang diambil pada tahun 1997/98 oleh Menteri Kewangan ketika itu (Anwar adalah Menteri Kewangan ketika itu).

Malah katanya, cadangan ekonomi menguncup itu akan membawa kepada kehancuran ekonomi negara.

Selain itu Najib menjelaskan, langkah tambahan bajet yang dibuat oleh kerajaan sebagai 'policy response' terhadap krisis kewangan dunia agar ekonomi Malaysia terjamin dan rakyat tidak terlalu tertekan.

Katanya, inilah yang membezakan pendekatan kerajaan dengan pembangkang.

"Cadangan bernas kerajaan, cadangan hampas pembangkang," ujarnya.

Berikutan serangan awal itu, Anwar bangun beberapa kali membantah kerana tidak diberi peluang untuk mencelah.

Najib berkata, mereka akan diberi peluang untuk mendapatkan penjelasan tetapi biarlah setelah langkah tambahan dibentangkan dahulu.

"Permatang Pauh (Anwar) faham peraturan mesyuarat tapi saja buat-buat tak faham," katanya.