Sunday, November 23, 2008

Dewan Muslimat mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil





Dewan Muslimat mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di atas pendirian tegas dan keberanian beliau untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam Pemilihan UMNO tahun hadapan.

Pendirian tersebut sesungguhnya menampakkan kebijaksanaan beliau dalam menghormati dan menghargai sokongan daripada peringkat akar umbi wanita itu sendiri.

Antara ciri dan nilai paling mahal yang mesti ada pada diri mana-mana pemimpin politik ialah dia memahami kehendak akar umbi, menghargai kehendak dan harapan itu serta mengambil tindakan bagi memenuhinya.

Pertandingan adakalanya wajar sekiranya wujud dua atau lebih tokoh-tokoh pemimpin yang boleh dipilih oleh para pengikut. Pertandingan juga mesti dilihat sebagai satu usaha murni dan bertanggungjawab bagi mendapatkan seorang individu yang mempunyai kelayakan lebih baik dalam semua sudut berbanding individu yang lain. Pemilihan yang tepat dalam konteks ini adalah berasaskan kepada penilaian meritokrasi seseorang itu, bukan kerana ”favouritisme” atau kroni atau kerana dia mempunyai kekuatan wang atau kedudukan.

Tidak dinafikan kepimpinan wanita pada hari ini memerlukan seorang tokoh yang lebih bersikap terbuka, berjiwa besar dan segar khususnya bagi menangani serta memperjuangkan isu-isu pembelaan ke atas golongan wanita tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

DMPP percaya bahawa 3 perkara itu akan nantinya membantu dan seterusnya membawa satu sinar baru bagi merangka satu Dasar Pembelaan ke atas kehidupan dan masa depan wanita dalam negara ini.

Kejayaan Shahrizat memastikan kewujudan sebuah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dan seterusnya mengenalpasti dan memperbaiki (meminda) beberapa perkara yang pincang dan lompang dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya keadilan terhadap golongan wanita seperti contoh Perkara 8 (2) tidak dapat kita nafikan dan ia adalah satu kredit – merit terhadap komitmen dan kesungguhan beliau.

DMPP juga percaya bahawa sudah sampai masanya, gelanggang politik dalam negara yang kita cintai ini dihidangkan dengan gaya kepimpinan dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin politik yang jauh lebih adil, jujur, berimbang, profesional, bersih dan waras.

Pemimpin-pemimpin politik tanpa mengira ideologi parti sewajarnya menampil dan menzahirkan semangat serta sifat negarawan dalam tindak tanduk hatta mentaliti diri masing-masing.

Bukannya semangat dan sifat kepimpinan politik liar dan ala machiavelli yang akan melakukan apa sahaja meskipun salah di sudut hukum, adab dan tatacara hidup guna untuk memburuk serta ”membunuh” karier dan perjuangan lawan.

Rakyat hakikatnya mahu negara ini dipimpin oleh mereka yang mampu memimpin,bersih punyai visi dan berkarisma. Seterusnya menolak kepimpinan retorik, angkuh, syok sendiri, terpalit dengan segala skandal dan jenayah apatah lagi wabak rasuah yang telah merosakkan integriti seorang demi seorang kepimpinan negara yang ada.

DMPP juga sekali lagi mengulangi penegasannya ketika menghadiri Taklimat Berkaitan Sekretariat Pembela Wanita Islam (SENADA) pada 14 November 2008 di Putrajaya yang lepas, agar Datuk Seri Shahrizat dapat menggunakan segala kebijaksanaan dan kekuatan yang ada pada diri beliau sebagai pemimpin bagi menjayakan misi pembelaan ke atas wanita Islam khususnya dan seluruh kelompok wanita amnya.

Justeru kerana, hakikatnya ini adalah kehendak dan harapan akar umbi wanita Islam dalam negara ini.

DMPP sejujurnya meletakkan harapan agar beberapa isu kebajikan dan pembelaan ke atas wanita Islam yang telah dibangkitkan ketika pertemuan 14 November itu seperti pembelaan terancang kepada isteri-isteri dan keluarga mangsa ISA termasuklah perbicaraan terbuka dan adil kepada para tahanan; peruntukan yang sama rata kepada Ahli-Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat (PAS,PKR & DAP) bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dan beberapa perkara lagi dapat diberikan perhatian serius dan tindakan adil oleh Datuk Seri Shahrizat .

Adalah tidak salah sekiranya harapan-harapan ini dapat direalisasikan oleh Kerajaan dan ini tentunya akan menzahirkan bahkan membuktikan lagi niat suci dan murni Bakal Ketua Wanita UMNO itu dalam menangani isu-isu berkaitan pembelaan ke atas wanita yang menurut penegasannya sebagai ”beyond political ideology”.

Juga tidak salah sekiranya kepimpinan politik wanita tanpa mengira parti yang memulakan hasrat, harapan dan usaha murni ke arah penerapan serta pelaksanaan keadilan itu.

Akhirnya, DMPP mendoakan agar rakyat dan negara ini terus dalam lindungan, hidayah dan kasih sayang Allah Azza Wajalla.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

No comments: